Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Muzium 10,000 barang mainan

Posted: 07 Dec 2012 05:20 AM PST

MELAKA: Dipenuhi lebih 10,000 barangan permainan daripada era 40-an sehingga kini menjadikan Muzium Mainan Melaka di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru, dekat sini, amat istimewa untuk dilawati.

Bermula dengan hanya mengumpul barang permainan sebagai hobi ketika zaman remaja, kini pemilik muzium berkenaan, George Ang, 45, berbangga kerana semua koleksinya itu hampir memenuhi setiap ruang di rumah banglo disewanya bagi tatapan peminat mainan.

Sebut saja barangan permainan bermula daripada zaman moden di negara ini daripada bersaiz ibu jari sehinggalah sebesar manusia, semua boleh ditonton di muzium persendirian itu yang dibuka enam hari seminggu dan ditutup pada Isnin.

Menurut Ang, sebahagian besar barangan permainan dipamerkan itu milik peribadi yang tidak pernah dibuang sejak dia masih kanak-kanak kerana dia amat menghargai pemberian orang atau yang dibelinya sendiri.


Katanya, apabila mencecah usia remaja, dia mula meminati model motosikal selepas bapanya enggan membenarkannya mengambil lesen memandu.


"Saya mengumpul pelbagai model motosikal, termasuk kenderaan lain dan sejak itu mula taksub kepada patung adiwira atau figura filem sains fiksyen, seram dan komedi popular Hollywood selepas tamat sekolah dan menyambung pengajian di Kuala Lumpur.

"Saya amat meminati filem Star Wars dan hampir pelbagai jenis watak filem aksi. Jadi, topeng pelbagai saiz mengikut watak berdasarkan sekuel filem itu dikumpul, selain cenderamata, kemeja-T dan buku," katanya di sini.

Menurutnya, salah satu figura filem aksi dari filem Star Wars iaitu Yoda yang mempunyai nostalgia tersendiri apabila ia diperoleh menerusi cabutan bertuah dianjurkan sebuah syarikat penyedia makanan segera pada 1999 bagi promosi bagi sekuel 'Star Wars Episode 1: The Phantom Menace'.

Bercerita lanjut, Ang berkata, untuk mendapatkan figura edisi terhad itu, dia terpaksa makan di restoran makanan segera itu hampir setiap hari semata-mata bagi mendapatkan borang untuk mencuba nasib.

Katanya, ia turut dibantu adiknya yang bekerja di Port Dickson, Negeri Sembilan yang memenangi patung Yoda itu sebelum memberikan kepadanya.

"Bagi ruangan pameran figura untuk kategori filem, Star Wars yang paling mendominasi bahagian ruangan itu dan ia juga tempat paling diminati ramai pengunjung.

"Setiap barangan permainan dikumpul sejak kecil, ia akan dibuka daripada pembungkusnya dan disimpan semula dalam kotak," katanya.

Ang berkata, ketika zaman remaja kotak menyimpan barang permainanlah paling banyak disimpan di biliknya dan memenuhi setiap ruang.

"Ketika belajar di Kuala Lumpur dulu, saya sanggup mengikat perut semata-mata untuk membeli barangan permainan kerana minat mendalam," katanya.

Menurut Ang, muziumnya dilengkapi 50 kabinet bagi menyimpan barangan permainan itu yang turut membabitkan permainan lama, patung penyanyi terkenal, ketenteraan, watak kartun dan animasi serta permainan zaman kanak-kanak sekitar 70-an sehingga 80-an.

Katanya, koleksi bagi permainan yang dijual oleh syarikat makanan segera dan pengeluar produk konsumer lain turut dipamerkan.

"Boleh kata apa saja permainan mengikut peringkat generasi dan zaman ada dipamerkan di muzium saya ini dan mungkin tidak disimpan lagi oleh sesiapa," katanya.

Menurutnya, dia mengusahakan muzium ini sejak empat tahun lalu dan sempat beroperasi setahun di Jalan Jonker, di sini sebelum berpindah ke Bukit Baru, kerana tidak mampu menanggung kos sewa yang tinggi.

Katanya, dia sebelum ini bertugas sebagai pengarah seni di sebuah agensi pengiklanan di Kuala Lumpur dan mengambil keputusan pulang ke negeri asalnya kerana berjauhan dengan keluarga.

"Saya melakukan pelbagai kerja sambilan berkaitan seni selepas pulang ke negeri ini dan kemudian mengambil keputusan membuka muzium permainan," katanya.

Beliau berkata, sepanjang membuka muzium ini, dia sangat gembira kerana dapat menghiburkan hati pengunjungnya yang teruja kerana dapat mengembalikan nostalgia mereka di zaman kanak-kanak.

"Pernah ada pengunjung yang datang ke tempat saya membabitkan seorang datuk bersama cucunya dan ketika melihat barang dipamerkan, lelaki warga emas itu tersenyum sambil bercerita mengenai kenangan barangan yang pernah dimainkannya.

"Melihat keadaan itu, saya tersentuh dan berpuas hati kerana dapat menyumbang untuk menggembirakan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


‘Bandar hantu’

Posted: 07 Dec 2012 05:15 AM PST

PELABUHAN KLANG: Ibarat bandar 'hantu'. Itulah gambaran keadaan di beberapa fasa bangunan rumah kedai di Bandar Armada Putra, di sini, yang terbiar sehingga penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu bimbang mendekati kawasan rumah kedai itu.

Tinjauan Metroplus di sekitar kawasan itu mendapati kira-kira 30 unit rumah kedai tiga tingkat serta deretan kedai masih belum diduduki dan dibiarkan dalam keadaan tidak terurus sejak dibina pada 2000.

Kawasan rumah kedai tidak beroperasi dibiarkan dalam keadaan semak sehingga ditumbuhi rumput panjang dan kotor boleh mengundang kehadiran binatang berbisa yang mengancam nyawa penduduk.

Seorang penduduk, Othman Ali, 32, berkata ketiadaan kemudahan asas seperti bank, stesen minyak atau klinik menyebabkan penduduk terpaksa pergi ke bandar Pelabuhan Klang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kawasan itu.


Menurutnya, ketiadaan kemudahan asas di kawasan itu bukan saja menyukarkan penduduk malah turut menyebabkan kawasan perniagaan di situ tidak mendapat sambutan kerana peniaga tidak berani mengambil risiko kerugian kerana ketiadaan pelanggan.


"Jika diperhatikan, kawasan ini memang agak terpencil kerana jauh dari bandar Klang. Kebanyakan penghuni hanya terdiri daripada kakitangan yang bekerja dengan terminal kapal Star Cruise dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Penempatan bagi orang awam lain tidak banyak. Setahu saya, kebanyakan unit kedai ini sudah dibeli, namun ia tidak pernah beroperasi kerana pemilik tidak berani untuk menanggung risiko," katanya yang menjadi penduduk terawal mendiami kawasan itu.

Katanya, kawasan terbiar itu dipenuhi rumput panjang dikhuatiri mengundang binatang berbisa seperti ular, manakala keadaan longkang yang terbiar pula ditakuti akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Saya bimbang kerana jika keadaan ini berterusan, ia mungkin akan menjadi sasaran penagih dadah selain mampu menyumbang kepada aktiviti yang tidak bermoral seperti maksiat dan minum minuman keras.

"Kalau dilihat, kawasan berkenaan kini menjadi 'port' lepak bagi golongan remaja terutama pada waktu malam. Saya juga lihat banyak botol arak berselerakan selain dinding diconteng dengan perkataan tidak senonoh," katanya.

Katanya, keadaan bangunan yang terbiar itu juga mencacatkan pemandangan bandar kecil itu dan menimbulkan perspektif negatif di kalangan pengunjung luar yang datang berikutan ia terletak berhampiran terminal kapal Star Cruise.

"Kalau mahu dijual pun, saya rasa harga sudah jatuh dan tidak laku kerana kawasan ini terpencil dan jauh dari orang ramai.

"Tambahan pula, ia gelap kerana tiada kemudahan lampu jalan sepanjang jalan masuk dan sunyi pada waktu malam," katanya.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Yusof Adlan, 29, berkata penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri terpaksa menaiki teksi yang turut mengenakan caj yang tinggi kerana kurangnya perkhidmatan bas awam.

Yusof berkata, keadaan itu antara faktor menyumbang kepada kekurangan penduduk yang sanggup tinggal di kawasan berkenaan.

"Pihak berwajib perlu berbuat sesuatu bagi menyelesaikan masalah kawasan ini bagi menarik semula orang ramai yang membeli rumah di sini menduduki semula rumah masing-masing dengan menyediakan segala kemudahan dan alternatif agar kawasan ini kembali rancak," katanya.

"Sekiranya ramai penduduk yang menduduki semula kawasan ini, pasti kedai yang dibina begitu banyak di sini dapat beroperasi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Pengaduan Awam Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya tiada kuasa bagi kerja naik taraf kawasan itu kerana terdapat pemaju yang bertanggungjawab.

Katanya, pemaju asal projek itu mengalami kerugian, urusan pindah milik kepada pemaju baru kini masih lagi dalam penyelesaian peringkat mahkamah.

"MPK tidak ada kuasa memajukan tempat itu, tetapi sebagai pihak berkuasa tempatan, MPK hanya boleh memantau keadaan kebersihan di kawasan itu.

"Urusan naik taraf bagi memajukan kawasan itu tugas pemaju dan terserah kepada mereka untuk melakukan apa saja. Tetapi buat sementara waktu, tugas itu masih belum dapat dilakukan kerana pemaju baru belum lagi diputuskan pihak mahkamah," katanya.

Norfiza berkata, MPK akan melakukan kerja pembersihan terhadap longgokan sampah dibuang pihak tidak bertanggungjawab serta membersihkan lalang bagi mengelak bangunan menjadi habitat haiwan berbisa.

Katanya, MPK juga akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa dan hanya akan bertanggungjawab terhadap masalah sampah di luar premis saja dan bukannya dalam bangunan kerana dikira sampah milik pemilik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


Air atas bukit

Posted: 07 Dec 2012 05:12 AM PST

GOMBAK: "Dalam dua tahun sudah tiga kali saya mengganti mesin basuh akibat banjir lumpur di sini.

"Sejak pembinaan bangunan di atas bukit itu, keadaan semakin buruk menyebabkan kami berjaga-jaga setiap kali hujan lebat untuk mengangkat barang ke tempat tinggi," kata Asni Anuar, 40, penduduk Kampung Sungai Kertas, Batu Caves di sini, yang sering dilanda banjir lumpur.


Menurutnya, kerugian ditanggungnya melebihi RM5,000 termasuk memerah keringat membasuh lumpur yang melekat di dinding dan lantai rumahnya serta kediaman ibunya, Azizah Mohd Said, 60, berhampiran.

Katanya, sejak mendiami kawasan itu 30 tahun lalu, banjir lumpur tidak berlaku sebelum pembinaan bangunan persendirian dua tingkat di situ bermula, tiga tahun lalu.


"Kasihan emak terpaksa mengemas rumah akibat air berlumpur membanjiri rumah manakala barangan kesayangan dibuang begitu saja. "Arus deras ketika banjir mengancam keselamatan kerana almari barang tumbang dan kami kerap ganti barang elektrik yang rosak," katanya.


Ahmad Talut, 51, mendakwa pembinaan di atas bukit itu tidak menepati spesifikasi kerana pemilik tanah tidak membina tembok serta longkang saliran di kawasan bawah bukit.

Katanya, masalah semakin buruk apabila tambak tidak dibina secara betul dan boleh menyebabkan masalah lebih serius.


"Saya bina benteng sendiri dan mengeluarkan modal membuat longkang bagi mengelak air berlumpur memasuki kawasan rumah, namun jiran mengalami masalah banjir lumpur yang sangat teruk.

"Pengalaman dalam bidang pembinaan lebih 30 tahun mendapati pemilik tanah tidak mengikut syarat pembinaan ditetapkan," katanya.


Menurutnya, dia membuat aduan mengenai pembinaan itu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana menyusahkan penduduk di kawasan rendah terutama ketika hujan lebat.


"Pertembungan air bukit dan sungai menjadikan takungan air tinggi dan menyebabkan banjir kilat di kawasan ini.


"Pembinaan rumah dan menambak tanah tanpa menepati piawaian kerja tanah menyebabkan rumah kami dinaiki air berlumpur," katanya.


Sulaiman Yaakub, 46, berkata, rumahnya kerap dinaiki air berlumpur menyebabkan mereka sekeluarga membuang barang keperluan di dalam rumah seperti tilam dan almari.


"Sehingga kini saya tidak ganti lagi kerana pasti air membanjiri lagi rumah kami dan merosakkan barang itu," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya sudah menyaman pemilik lot tanah itu kerana melakukan pembinaan haram.


"Pemilik diminta membina tembok serta saliran kerana pernah kejadian runtuhan tanah. MPS akan memantau semula pembinaan di sana untuk memastikan pemilik mengikut piawaian ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07


Sarang ponteng

Posted: 27 Sep 2012 09:29 PM PDT

KUALA LUMPUR: Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, yang dibuka, baru-baru ini, kini menjadi lokasi kaki ponteng pelajar dari sekolah berhampiran untuk melepak.

Lokasinya yang terpencil dan jauh dari kesibukan jalan utama menjadikan kawasan berkenaan sunyi dan ini menyebabkan segelintir pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil kesempatan ke situ.


Tinjauan Metroplus pada jam 11 pagi di taman rimba itu baru-baru ini, mendapati terdapat sekumpulan remaja mandi-manda dan berbual-bual sambil merokok di pondok di situ.

Ketika ditanya mereka mendakwa berusia 11 hingga 17 tahun dan semuanya berasal dari perumahan berhampiran taman rekreasi berkenaan.


Menurut mereka, ibu bapa masing-masing tidak mengetahui apa yang dilakukan kerana bekerja dan pemerhatian juga mendapati pada jam 1 tengah hari kumpulan remaja itu bergerak pulang sama seperti waktu tamat persekolahan biasa.


Peniaga, Muhd Saiful Adnan, 20, berkata, walaupun baru pertama kali ke taman rimba itu, namun dia agak kesal apabila mendapati kawasan itu menjadi lokasi kaki ponteng pelajar sekolah.

Katanya, lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan selain tiada kawalan ketat di taman itu menyebabkan mereka bebas keluar dan masuk ke pusat rekreasi itu.


"Sekiranya tiada pengawasan di kawasan itu, kami bimbang pelbagai jenayah lain dilakukan remaja kerana tiada siapa sedar perbuatan mereka kerana ia jauh daripada pandangan masyarakat.

"Malah, saya dapati sudah banyak kerosakan dilakukan di tandas selain terdapat kecurian seperti kipas," katanya.


Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak lebih tegas menangani perkara ini bagi memastikan taman rimba itu terjaga dan memberi keselesaan kepada pengunjung.


Bagi Syed Ahmad Syuhaidi, 24, dia berkata, selain kawasan itu menjadi 'port' lepak pelajar yang ponteng, taman itu perlu diselenggara lebih baik bagi menarik orang ramai untuk berkunjung.


"Macam mana orang ramai hendak tahu kewujudan taman rimba ini kerana tanda lokasi tidak kelihatan, malah sepanjang laluan dari jalan utama pula dipenuhi sampah-sarap selain tiada bekalan air dan elektrik.


"Ramai kawan-kawan saya tidak tahu mengenai taman ini dan mereka terkejut sebaik mengetahui lokasinya terletak di Pantai Dalam," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kerjasama semua pihak perlu bagi mengekang aktiviti ponteng di kalangan pelajar dan mereka berhak melaporkan kegiatan itu kepada pihak sekolah.


Katanya, kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat melaporkan jika terdapat kejadian itu bagi rekod sekolah ia sekali gus mengekang perbuatan terbabit.


"Bagaimanapun, pihak sekolah juga boleh mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan perkara ini berlaku antaranya dengan memanggil nama pelajar yang ponteng atau menaikkan nama pada laman web sekolah.


"Dengan ini, pelajar yang melakukan kesalahan itu sedar dan malu untuk mengulangi aktiviti tidak berfaedah," katanya ketika dihubungi.


Katanya, dasar 'sifar ponteng' juga perlu dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan sekolah sebagai pusat ilmu seterusnya membudayakan pendidikan di kalangan pelajar.


Sementara itu, Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Ismail Stapa berkata, sekiranya kegiatan ponteng itu berlaku di kawasan selenggaraan mereka, pemerhatian akan dilakukan pihaknya, namun tiada tindakan diambil berikutan perbuatan itu bukan di bawah bidang kuasa mereka.


Katanya, sekiranya mereka tidak mengganggu atau melakukan perbuatan vandalisme, pegawai yang ditugaskan di satu-satu kawasan riadah tidak boleh melakukan tindakan kecuali menasihat mereka supaya berkelakuan baik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Alat permainan rosak, berkarat

Posted: 27 Sep 2012 09:24 PM PDT

SEREMBAN: Kebanyakan peralatan taman permainan di Taman Permai Fasa 2, di sini, rosak serta tidak sempurna, sekali gus berisiko membahayakan pengunjung taman itu terutama kanak-kanak.

Tinjauan Metroplus mendapati sebahagian besar peralatan permainan tidak boleh digunakan, malah kebanyakannya sudah berkarat yang boleh mengundang bahaya.


Lebih teruk, pihak tidak bertanggungjawab membakar beberapa bahagian peralatan permainan papan gelongsor, bangku batu dipecahkan, buaian berkarat dan rantainya putus serta sampah dibuang merata-rata tempat.

Kebanyakan alat permainan terutama buaian dan jongkang-jongkit sudah rosak sehingga menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan kanak-kanak yang menggunakannya.


Lebih menghairankan, kedudukan taman permainan berkenaan bersebelahan Pusat Rukun Tetangga, Taman Permai 2 itu.


Sebuah gazebo yang menjadi tempat pengunjung berehat bersama keluarga mengambil angin pula bocor dan tidak terurus.

Dua beradik remaja yang bersantai di taman permainan ketika ditemui Metroplus, Amirul Mohd Zin, 15, dan adiknya Mohd Asrul, 13, berkata, sudah lama keadaan taman berkenaan tidak terurus.


Menurut Amirul, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS Seremban, di sini, walaupun keadaan taman permainan itu teruk, tetapi dia masih menjadikan tempat itu untuk berehat.

"Selepas mengulang kaji pelajaran di rumah biasanya di taman permainan ini tempat saya berehat. Taman ini dekat dengan rumah sebab itu saya datang sini," katanya.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kerosakan dan perbuatan vandalisme di taman permainan di Taman Permai Fasa 2 itu.


Beliau berkata, pihaknya dalam proses melantik kontraktor menjalankan kerja pemulihan taman permainan berkenaan.


"Saya minta penduduk menjaga harta awam selepas taman permainan itu dibaiki kelak.


"Pihak MPS mungkin akan mencadangkan supaya mana-mana sukarelawan menjadi bapa angkat kepada taman permainan itu. Pada awal tahun ini, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sudah melaksanakan program bapa angkat taman permainan bagi mencegah vandalisme di daerah itu dan terbukti berjaya menurunkan aduan berhubung kes seumpamanya.


"Program bapa angkat ini akan diperluaskan ke Seremban. Kami bukan suruh mereka (bapa angkat) jaga taman permainan, tetapi kami hanya mahu maklumat sebelum kami ambil tindakan terhadap pelaku vandalisme," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


‘Mandi’ air cuci lantai

Posted: 27 Sep 2012 09:22 PM PDT

KUALA LUMPUR: Beberapa penghuni Venice Hill Condo, Cheras, di sini, kesal dengan tindakan segelintir penghuni kondominium itu membuang sampah dan mencurah air cucian lantai ke bawah sehingga mengancam penghuni di tingkat bawah.

Penghuni, Nazatul Azreen Abdul Hayi, 40, yang menginap di tingkat bawah, mendakwa perbuatan itu dipercayai dilakukan pelajar kolej yang menyewa di tingkat 16 ke atas yang sering membuang sampah-sarap dan mencurah air.


"Saya nyaris basah selepas dicurah air sisa cucian lantai oleh pelajar berkenaan baru-baru ini.

"Sampah yang dicampak seperti tin minuman, kertas laporan kajian, plastik makanan, lampu kalimantang, malah suami saya menemui pembalut kondom di halaman rumah.


"Kawasan ini menjadi tumpuan kanak-kanak, ia mungkin penyebab kemalangan dan kami sentiasa risau keselamatan mereka," katanya yang juga mempunyai anak berusia 12 tahun.


Nazatul Azreen berkata, persatuan penduduk sudah banyak kali membuat aduan kepada pengurusan kolej terbabit, namun tiada tindakan diambil dan masalah itu masih berterusan sehingga kini tanpa penyelesaian.

Menurutnya, tempat pembuangan sampah di setiap tingkat tidak jauh daripada setiap unit kondominium, tetapi mereka membuang sampah dari tingkat atas tanpa fikirkan keselamatan dan keselesaan penduduk lain.


Dia yang menghuni tingkat bawah berkata, walaupun baru berpindah di sini dia berasa tertekan dengan kejadian terbabit kerana sampah bertaburan di halaman rumah setiap hari walaupun baru dikutip pekerja pembersihan.

Suaminya, Shukri Abd Rahman, 43, mendakwa masalah ini berlaku sejak tingkat atas Tower 10 disewakan kepada pelajar kolej berdekatan dan dia terkilan kerana pelajar itu penuntut perubatan yang sepatutnya sentiasa mementingkan kebersihan.


"Saya takut pisang berbuah dua kali kerana terbaca laporan akhbar mengenai buluh jatuh dari tingkat atas sebuah pangsapuri menimpa budak sehingga maut mengejutkan saya," katanya.


Eksekutif Bangunan Tower 10, Sofian Md Piah, 38, mengesahkan 108 kondominium milik persendirian disewakan kepada pelajar kolej terbabit dengan 70 peratus daripadanya wanita dan selebihnya pelajar lelaki.


Sofian memberitahu, pihaknya sudah berusaha menjaga kebersihan kawasan bangunan itu dengan sentiasa mengadakan rondaan, tetapi masih ada sampah dibaling.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Tunggu lama belok kanan

Posted: 27 Sep 2012 09:18 PM PDT

MELAKA: Saban hari pengguna jalan raya yang mahu membelok ke kanan menghala ke bulatan Ayer Molek dan kawasan sekitarnya menerusi simpang tiga Bukit Lintang/Kandang berdepan kesulitan berikutan bilangan kenderaan terlalu banyak menggunakan laluan itu setiap hari.

Tinjauan Metroplus mendapati, akibat terlalu sukar membelok keluar ke kanan laluan yang begitu sibuk terutama pada waktu puncak, sebilangan pengguna terpaksa memandu keluar ke arah kiri sebelum berpatah balik selepas membuat pusingan di hadapan pintu masuk Pejabat Mardi Negeri Melaka.


Tindakan dilakukan pengguna itu bertujuan mengejar masa ketika menghantar anak masing-masing ke sekolah atau ke tempat kerja disebabkan tidak sanggup menunggu lama untuk membelok ke kanan di simpang terbabit.

Ini berikutan bilangan kenderaan yang datang dari kedua-dua arah pada waktu puncak dari bulatan Ayer Molek dan kawasan Kandang, bertali-arus mengakibatkan jumlah kenderaan yang datang dari arah Bukit Lintang dan kawasan sekitarnya yang berhenti di simpang terbabit terpaksa menunggu lama untuk membelok ke kanan.


Sehubungan itu, pengguna yang tidak mahu membuang masa menunggu giliran memandu keluar menerusi simpang berkenaan, mengambil keputusan keluar ke kiri simpang sebelum membelok semula di hadapan pintu masuk pejabat Mardi berdekatan.


Pengguna jalan raya, Mohd Rabbani Wakiman, 24, dari Taman Ayer Molek berkata, memang wujud masalah seumpama itu khususnya pada waktu pagi yang mana pemandu menghadapi kesukaran membelok ke kanan.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkenaan perlu memasang lampu isyarat di simpang tiga terbabit untuk memudahkan pengguna yang keluar dari simpang berkenaan.


"Jika lampu isyarat dipasang di lokasi terbabit, ia bukan saja memudahkan pengguna, malah menjamin keselamatan pemandu dari semua arah di persimpangan berkenaan.

"Ini secara tidak langsung dapat mengelak kejadian tidak diingini berlaku di lokasi berkenaan," katanya kepada Metroplus.


Sementara itu, Rokiah Mohamad, 50, dari Bukit Lintang berkata, masalah berkenaan menjejaskan masa pengguna.


"Kalau pengguna sudah terlambat, tentu mereka tiada pilihan dan terpaksa membuat pusingan di kawasan berhampiran sebelum memandu menghala ke bulatan Ayer Molek.


"Ini kerana pada waktu puncak, jumlah kenderaan dari kedua-dua arah di hadapan simpang tiga berkenaan begitu banyak sehinggakan pemandu sukar keluar dari simpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Hanya 36 restoran capai gred amat bersih

Posted: 27 Sep 2012 09:18 PM PDT

NILAI: Pengusaha kedai makan dan restoran di daerah ini diminta memberikan perhatian terhadap aspek kebersihan premis dan makanan bagi mengelak berlaku keracunan makanan dan penyakit berjangkit.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, pihaknya belum berpuas hati terhadap prestasi kebersihan kedai makan dan restoran di daerah itu yang masih rendah berbanding jumlah keseluruhan restoran yang beroperasi.


Katanya, daripada jumlah restoran yang beroperasi iaitu sebanyak 350 premis, hanya 36 yang mencapai tahap amat bersih atau mendapat gred A manakala gred B (52) dan gred C (64).

"Sebanyak 198 restoran didapati kotor atau mendapat gred D hasil operasi pembersihan dan pengredan MPN.


"Ini menunjukkan masih ramai pengusaha restoran mengabaikan aspek kebersihan.


"Keadaan ini bukan saja akan memberi kesan kepada pengguna, malah boleh menjejaskan imej pihak berkuasa tempatan," katanya ketika merasmikan majlis penutup Seminar Keselamatan Makanan dan Alam Sekitar Bawah Program Local Agenda 21 2012, di Dewan MPN, baru-baru ini.

Seramai 150 pengusaha restoran dari kawasan perbandaran itu menyertai seminar sehari yang bertujuan menyalurkan maklumat kepada mereka mengenai tanggungjawab terhadap isu kebersihan makanan.


Abd Halim berkata, pihaknya terpaksa bertindak tegas terhadap mana-mana restoran yang gagal mematuhi etika kebersihan.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu kejadian cirit-birit atau penyakit berjangkit berlaku disebabkan kecuaian atau kegagalan pengusaha restoran terhadap aspek kebersihan yang akhirnya menjejaskan imej PBT.


"Saya berharap semua pengusaha lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


No comments:

Post a Comment