Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tetak pagar rumah

Posted: 04 Dec 2012 11:07 AM PST

SHAH ALAM: "Ketika sedang tidur lena, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi bising di luar rumah. Saya bangun dan keluar meninjau keadaan sebelum mendapati bumbung dan dinding bahagian tepi rumah terbakar. Saya memadamkan kebakaran itu sebelum menghubungi polis," kata akauntan, S Suhan, 26.

Mangsa yang juga Ketua Pemuda MIC Seksyen 19, Shah Alam berkata, ketika kejadian jam 5.20 pagi itu, tiga ahli keluarganya iaitu ayah, emak dan abang selain seorang pembantu rumah berada di rumah di Jalan 20/12, Seksyen 20, di sini.


Katanya, sejurus selepas kejadian, dia memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tiga lelaki menaiki Perodua Kelisa berhenti di depan rumah.

"Lelaki terbabit keluar dari kereta sebelum melempar dua botol molotov koktel dalam botol arak. "Berdasarkan rakaman CCTV itu, seorang daripada lelaki yang memakai kain penutup kepala berwarna hijau dan putih mengeluarkan parang daripada kenderaan sebelum menetak pagar rumah saya," katanya.


Suhan berkata, beliau keluar dan memeriksa pagar rumah sebelum mendapati ada kesan tetakan.


"Saya terkejut dengan kejadian ini dan tidak tahu apa motif mereka melakukan perbuatan itu. "Ini satu perbuatan terkutuk kerana mungkin ada sesetengah pihak yang tidak senang hati melihat saya melakukan kerja sosial terhadap penduduk di kawasan ini," katanya.

Bagaimanapun, Suhan berkata, beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat selain tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku.


Kira-kira 10 minit kemudian, sebuah kereta Suzuki yang diletakkan di Jalan 19/4, Seksyen 19, di sini, rosak teruk selepas cermin hadapan dan belakangnya dipecahkan individu yang tidak dikenali jam 5.30 pagi, hari sama.

Selain itu, suspek mengetuk bahagian hadapan dan belakang kereta berkenaan sehingga kemek sebelum melarikan diri.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dua kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut akan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Kempen kerdil impak besar

Posted: 04 Dec 2012 11:04 AM PST

KUALA LUMPUR: Kempen Cegah Jenayah Syariah dengan bertemakan Jom Cegah Jenayah Syariah yang dilaksanakan Jabatan Agama Islam dan Wilayah Persekutuan (Jawi), kelmarin walaupun dilihat kerdil, tetapi memberi impak besar kepada masyarakat.

Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, pendekatan dakwah melalui kempen itu membuktikan Jawi sebagai agensi penguat kuasa agama mengambil perhatian serius terhadap permasalahan masyarakat.


"Kempen Jawi itu bertujuan memberitahu masyarakat bahawa pihak penguat kuasa agama tidak berdiam diri atau melepaskan batuk di tangga dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Tanam janin dalam semak

Posted: 04 Dec 2012 11:03 AM PST

SUBANG JAYA: Satu janin berusia lima bulan ditemui cuba ditanam seorang lelaki dalam semak berhampiran Taman Subang Mas, di sini, semalam.

Janin yang cukup sifat dipercayai lelaki itu ditemui 5.40 petang selepas seorang lelaki berusia 20-an memaklumkannya kepada anggota polis yang melalui tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, janin berkenaan yang dibungkus dalam kain ditanam seorang lelaki yang melarikan diri sebaik anggota polis tiba.

Katanya, polis mendapat maklumat daripada seorang lelaki berusia 20-an yang mengesyaki seorang lelaki menanam sesuatu dipercayai bayi dalam semak.


"Hasil siasatan forensik mendapati janin berkenaan baru ditanam di kawasan itu," katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, janin berkenaan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


M Nasir unggul kali ke-13

Posted: 04 Dec 2012 11:02 AM PST

PETALING JAYA: Buat kali ke-13 berturut-turut, komposer, Datuk M Nasir terus unggul sebagai komposer yang menerima royalti tertinggi daripada Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP), sekali gus menggondol Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada majlis Anugerah MACP Ke-17 di The Royal Bintang, malam tadi.

Selain beliau, penulis lirik yang cukup sinonim dengan lagu dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad iaitu Habsah Hassan pula dipilih menerima anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.


Pemilihan pemenang anugerah itu berdasarkan keputusan pengagihan royalti MACP sepanjang tahun ini. Justeru, majlis makan malam dan penyampaian anugerah itu diadakan bagi mengiktiraf pencipta lagu terunggul dan lagu dengan persembahan terbanyak menerusi radio, televisyen, tempat awam serta telefon bimbit.

Sementara itu, bagi anugerah Nadi Cipta dimiliki penyanyi rock yang popular dengan lagu Teratai dan Kamelia iaitu Ramli Sarip.


Bagi penerima anugerah lain ialah Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak yang menjadi milik EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd.


Begitu juga anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak, Luncai Emas Sdn Bhd, Komposer Muda Berpotensi, Low Weng Fai.

Manakala, lagu Inggeris Persembahan Terbanyak Tempatan ialah James Michael Baum menerusi lagu One Night.


Diikuti, anugerah Lagu Cina Persembahan Terbaik menjadi milik Tan Vui Chuan/Huang Ting, lagu Wo Ai Ta/penyanyi Ding Dang), Lagu Melayu Persembahan Terbanyak (Pakai Buang dendangan Stacy-Edry Abdul Halim), Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak (Katy Perry-Hot n Cold) dan Lagu Dengan Pendapatan Luar Negara Tertinggi (Sandy Rivera& Haze-Freak).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


‘Ghaib’ lepas tonton aksi Harimau Malaya

Posted: 04 Dec 2012 11:02 AM PST

KUALA LUMPUR: "Kali terakhir Amri dilihat rakannya di luar pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil seorang diri dan memberitahu sedang menunggu abang 'Ultras Malaya' untuk pulang bersama selepas menyaksikan perlawanan Piala Suzuki AFF antara skuad Harimau Malaya dan Indonesia, malam Sabtu lalu.

"Namun, sejak malam itu, Amri tidak pulang ke rumah dan usaha menghubunginya gagal sehingga kini. Saya tidak tahu keadaan Amri sekarang," kata Nor Zilar Mohd Nor, 51, ibu remaja lelaki berusia 14 tahun yang disyaki hilang.


Amri atau nama sebenarnya Shamreeshah Daniel adalah anak anggota polis berpangkat sarjan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Nor Zilar berkata, anak keempat daripada enam beradik itu sangat meminati bola sepak dan sering ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak bersama rakan-rakannya.


"Amri tidak pernah ke stadium seorang diri dan biasanya pergi bersama beberapa rakannya. Malah, pada Sabtu lalu, saya menghantar dia dan seorang rakannya ke LRT (stesen transit aliran ringan) Taman Bahagia.


"Saya membenarkan Amri pergi stadium malam itu kerana dia mahu menyaksikan perlawanan bersama keluarga rakannya itu. Tetapi, sebaik tiba di stadium, saya dimaklumkan rakannya itu, Amri segan untuk duduk bersama mereka dan pergi ke tempat duduk lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


GRO lori balak

Posted: 04 Dec 2012 11:00 AM PST

KOTA BHARU: Sebuah restoran dekat Tanah Putih, Gua Musang, dikesan menyediakan pusat karaoke haram dan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing sebagai umpan untuk menggoda pemandu serta kelindan lori balak yang sering singgah ketika melalui kawasan itu.

Difahamkan, taktik itu mendapat sambutan sehingga restoran terbabit menyediakan satu dewan besar dan dua bilik kecil di bahagian belakang khusus pelanggan singgah berkaraoke sambil berhibur.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen Kelantan dapat mengesan aktiviti tidak bermoral itu dan melakukan serbuan jam 10 malam, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Mahasan Mustapa berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan lapan GRO warga Thailand dipercayai terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.


Katanya, walaupun semua ditahan mempunyai pas lawatan sosial, pemantauan sebelum ini mendapati mereka menjadi GRO dan mendapat tip daripada pelanggan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Tebus 15 kepala akhbar untuk dua tiket

Posted: 04 Dec 2012 10:59 AM PST

KUALA LUMPUR: Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada pembaca setia Harian Metro (HM) yang dapat mengumpul 15 kepala akhbar ini antara 22 November dan 14 Disember ini untuk ditukar kepada dua tiket percuma ke i-City Water World, Shah Alam dalam program Gempak Santai.

Pengurus Projek HM, Abdul Kadir Hamza mengingatkan pembaca HM supaya menebus tiket berkenaan pada 8 hingga 14 Disember ini di The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Balai Berita, Bangsar antara jam 10 pagi dan 5 petang.


"Tiket ditawarkan terhad kepada 20,000 keping saja dan bergantung kepada konsep siapa cepat dia dapat kepada pembaca yang mempunyai 15 keratan kepala akhbar lengkap dari tarikh dinyatakan.

"Pemegang tiket atau gelang tangan Gempak Santai juga berpeluang merebut tawaran istimewa dari i-City Shah Alam iaitu 'Beli 1 Percuma 1' dan mereka hanya perlu membeli i-Card bernilai RM100 untuk memasuki pelbagai permainan di sana seperti Snowalk, FunWorld - termasukTrick Art Museum, 5D cinema dan Bumper Cars," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Beliau berkata, sah laku tiket adalah pada 15 hingga 16 Disember ini.


"Pembaca HM juga akan dihiburkan dengan kehadiran artis popular seperti Kumpulan May, Bandi Amuk, Ainan Tasneem, Haiza dan Lena AF di pentas utama jam 9 malam 15 Disember," katanya.

Penjelasan lanjut boleh menghubungi Eksekutif Kanan Penjenamaan HM, Zurani Abdullah di talian 03-2056 7103 pada waktu pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Pengantin baru dijel 3 bulan

Posted: 04 Dec 2012 10:58 AM PST

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki baru berkahwin dua minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah mencuri telefon bimbit bernilai RM399.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Muhammad Firdaus Nuqiahbullah Mohamood, 23, dari Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.


Dia didakwa mencuri telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Young bernilai RM399 di Kedai Suria SRS Enterprise, Kampung Pagar Ubi, Tepoh, di sini, jam 5.30 petang 24 November lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh yang bekerja sebagai pemandu, tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


‘Sekejap laju, kejap perlahan’

Posted: 04 Dec 2012 10:58 AM PST

IPOH: "Bas dipandu sekejap laju sekejap perlahan." Itu reaksi Nur Atiqah Zainian, 24, penumpang bas yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa pemandu bas di sini, awal pagi semalam.

Nur Atiqah yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, akibat luka di bibir dan cedera di kerongkong mendakwa, bas yang dinaiki 13 penumpang dari Pudu Sentral ke Ipoh itu dipandu dalam kelajuan berbeza sepanjang perjalanan itu dipercayai pemandunya mengantuk.

Menurutnya, dia mula tidak sedap hati dengan tindakan pemandu bas berkenaan menyebabkan dia sukar untuk melelapkan mata.

"Ketika kejadian, saya terlelap seketika sebelum terjaga akibat terdengar jeritan penumpang lain selain terhidu bau tumpahan minyak.


"Dalam keadaan kelam-kabut, saya mendapati bibir saya mengalami pendarahan teruk selain gigi hadapan patah," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


Laluan terus bermandi darah

Posted: 04 Dec 2012 10:56 AM PST

GOPENG: Laluan 'maut' Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) terutama berdekatan Gua Tempurung terus bermandi darah apabila meragut seorang lagi nyawa dan mencederakan 10 yang lain dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan treler bermuatan air mineral di sini, awal pagi semalam.

Seperti terkena 'sumpahan', kemalangan kira-kira jam 12.40 pagi itu berlaku tidak jauh dari tiga laluan kerap kemalangan sebelum ini iaitu antara kilometer 294 hingga 310.


Dalam kejadian di KM 304.6 itu, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Pudu Sentral, Kuala Lumpur ke Ipoh itu hilang kawalan ketika mendaki bukit sebelum merempuh belakang sebuah treler yang dipandu perlahan.

Kejadian mengakibatkan pemandunya, Abdul Rahim Musa, 57, berasal dari Ipoh maut serta-merta di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di kepala, manakala 10 penumpang lain cedera ringan termasuk seorang daripadanya parah.


Insiden ngeri itu mengulangi punca sama kejadian empat kes kemalangan lain yang berlaku di sekitar laluan itu dalam tempoh sebulan lalu apabila semuanya berpunca akibat merempuh belakang kenderaan berat ketika mendaki bukit.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemandu bas berkenaan disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari tempat oleh anggota bomba dan penyelamat.

Beliau berkata, 10 penumpang lain cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi mendapatkan rawatan.


"Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk tiga penumpang bas berkenaan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05


No comments:

Post a Comment