Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ubat maut RM40,000

Posted: 10 Dec 2012 12:11 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas kecewa selepas mendapati ubat tradisional yang dibeli daripada seorang jurujual dengan harga RM40,000 untuk merawat kanser hati dihidap isterinya yang didakwa mampu mengubati penyakit itu ternyata ubat palsu selepas kematian wanita kesayangannya itu di rumah mereka di Sentul, September lalu.

Lelaki itu, Bay Fatt Soon, 73, mendakwa didatangi seorang pengamal perubatan tradisional Cina di rumahnya yang mendakwa mampu menyembuhkan penyakit mendiang isterinya pada 22 Ogos lalu.


Katanya, tabib terbabit menjanjikan penyakit mendiang isterinya yang dikahwini sejak lebih 50 tahun itu akan sembuh dan mampu hidup lebih lama sekiranya memakan ubat yang bernilai RM360,000 berkenaan.

"Tabib terbabit mendakwa mempunyai kedai ubat di Johor dan berjaya merawat ribuan pesakit menggunakan ubat berkenaan.


"Saya yang hanya mahukan lebih masa bersama mendiang isteri percaya kata-kata tabib terbabit dan membayar RM40,000 untuk ubat berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.


Menurut Bay, penyakit isterinya bertambah parah sebelum meninggal dunia sebulan selepas menggunakan ubat berkenaan.

Dia yang berasa tertipu cuba menghubungi tabib terbabit, namun usaha mengesan lelaki itu gagal apabila diberitahu kedainya di Johor ditutup selepas diburu ramai pesakit yang membeli ubat berkenaan.


Bay menemui Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di pejabatnya untuk mendapatkan bantuan sebelum diperkenalkan dengan pengedar sah ubat berkenaan yang mengesahkan ubat itu palsu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Penganjur konsert dakwa ditipu Adun RM13,500

Posted: 10 Dec 2012 11:59 AM PST

KAJANG: Seorang warga emas kerugian RM13,500 apabila dipercayai diperdayakan seorang ahli politik ketika menganjurkan satu konsert Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persatuan di Tian Hou Temple, di sini, pada Februari lalu.

Mangsa, Tan Kim Swee, 70, dari Pandan Perdana, Cheras di sini, kesal dengan sikap ahli politik berkenaan yang cuba lepas tangan berhubung bayaran tiket bagi persembahan itu.


Katanya, dia diamanahkan ahli politik yang juga Adun kawasan itu untuk menguruskan acara terbabit dan memberi 18 buku tiket konsert bernilai RM1,000 dan RM700 bagi jumlah tetamu seramai 458 orang.

"Ini kali pertama saya ditipu sepanjang 20 tahun menguruskan acara.


"Saya terpaksa menanggung hutang terbabit kerana penganjur mahu saya menjelaskan wang itu segera selepas konsert habis," katanya.


Menurut Tan, keengganan Adun itu menjelaskan bayaran kepada penganjur menyebabkan dia terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan untuk menyelesaikan hutang terbabit.

"Saya pergi ke pejabat Adun itu sebanyak tiga kali untuk meminta kembali wang konsert, tetapi tidak dilayan dan dia memberi alasan tidak mahu membayarnya serta menganggap ia percuma.


"Saya sudah buntu bagaimana mahu mendapatkan wang saya kembali. Saya hanya minta RM3,800, tetapi masih tidak dipedulikan," katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Tan membuat laporan polis pada September lalu di Balai Polis Pandan bagi menuntut keadilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Waris dicari

Posted: 10 Dec 2012 11:59 AM PST

SHAH ALAM: Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Hospital Serdang bagi melakukan pengecaman terhadap mayat seorang lelaki yang ditemui di tebing Sungai Tekali, Hulu Langat, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, polis sukar membuat pengecaman berikutan keadaan mayat yang disorok dalam guni itu sudah reput ketika ditemui polis.


Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa memakai baju lengan pendek hitam dan seluar pendek kelabu.

Orang ramai diminta menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat kejadian itu atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Chai Hu Yen di talian 019-902 1222.


Harian Metro semalam melaporkan mayat seorang lelaki berusia 30-an yang sudah reput ditemui dalam guni itu dengan keadaan badannya berlipat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Datuk R kena cekup

Posted: 10 Dec 2012 11:57 AM PST

JOHOR BAHRU: Lelaki menyamar sebagai Datuk R bagi menipu orang ramai melalui facebook dan diburu polis sejak lebih setahun lalu, dicekup di sebuah hotel bajet di Taman Tampoi Utama, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Rosman Omar berkata, lelaki yang menggunakan nama Datuk R berusia 37 tahun itu memberi kerjasama ketika ditahan dan tidak cuba melarikan diri.


Katanya, polis menerima beberapa aduan daripada mangsa lelaki itu di beberapa balai polis sekitar bandar raya ini, kononnya lelaki itu yang menggunakan nama Datuk R serta nama sebenarnya menjejak rakan lama sejak 25 tahun lalu menggunakan facebook sebelum mengikis wang mangsa lebih RM100,000 sejak dua tahun lalu.

Menurut Rosman, pihaknya belum pasti sama ada lelaki itu memalsukan identiti dalam kes lain memandangkan masih ramai mangsa belum membuat laporan.


Beliau berkata, lelaki itu direman hingga hari ini dan kemungkinan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi. Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan Datuk R menawarkan peluang perniagaan kepada lebih 10 rakan sekolah sebelum memperdaya mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Penyamun sepak mangsa mendongak

Posted: 10 Dec 2012 11:56 AM PST

DUNGUN: "Saya tidak berani mendongak untuk melihat wajahnya selepas muka saya dua kali disepak penyamun itu," kata Mohd Fazrin Ibrahim, 18, menceritakan detik cemas kejadian samun kedai 24 jam di Pulau Serai, dekat sini, semalam.

Mohd Fazrin berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya, Mohd Ikram Mohd Sani, 19, bertugas syif malam di kedai itu apabila dua lelaki bersenjatakan parang panjang masuk jam 4.13 pagi.


"Saya serta rakan berada di belakang dan apabila loceng berbunyi, saya berjalan ke kaunter. Tiba-tiba seorang lelaki yang bersenjatakan parang menerpa ke arah saya," katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, lelaki itu mencekak leher baju rakannya manakala dia diarah membongkok sambil lelaki itu meletakkan parang pada lehernya.


"Rakan suspek menyelongkar laci wang di kaunter depan.


"Dia meminta kami diam, tidak bergerak dan menurut perintahnya sambil memberi amaran mencederakan kami jika ingkar," katanya.

Mohd Fazrin mengangkat mukanya ke arah penyamun terbabit untuk melihat wajahnya, tetapi dua tendangan daripada lelaki itu singgah ke mukanya.


"Selepas memperoleh RM3,000, kedua-dua penyamun itu melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal yang disorok di belakang kedai," katanya.

Sementara itu, pengurus kedai terbabit, Wan Ahmad Rizal Mohd Yusof, 35, berkata, dia yang tinggal di Taman Rakyat di sini, bergegas ke premis sebaik menerima panggilan daripada dua pekerjanya.


"Sebahagian wang jualan tidak sempat dimasukkan ke bank dan saya segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk membuat laporan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Peniaga enggan serah RM30 dibelasah

Posted: 10 Dec 2012 11:53 AM PST

KUALA LUMPUR: Kerana RM30, seorang lelaki yang juga peniaga berusia 42 tahun cedera dibelasah dua samseng dalam kejadian di Jalan Sultan Ismail di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dipukul dua lelaki berusia 20-an itu selepas enggan menyerahkan wang perlindungan yang diminta kumpulan terbabit.


Menurut sumber, mangsa yang meletakkan kenderaannya berhampiran sebuah bank di tempat kejadian untuk berniaga mendakwa didatangi dua lelaki tidak dikenalinya.

"Dua suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan RM30 kepada mereka.


"Mangsa yang enggan memberikan wang berkenaan kemudian dimaklumkan seorang daripada suspek bahawa kawasan terbabit dijaga mereka.


"Malah, seorang daripada suspek juga memaksa mangsa supaya memberikan wang berkenaan kepada mereka setiap hari sekiranya mahu berniaga di kawasan itu," katanya.

Sumber berkata, keengganan mangsa menyerahkan wang berkenaan menyebabkan kumpulan terbabit berang sebelum memukul mangsa.


"Mangsa bukan saja ditumbuk sebaliknya disepak terajang dua suspek itu," katanya.

Katanya, kumpulan terbabit kemudian mengarahkan mangsa meninggalkan kawasan berkenaan.


"Mangsa yang cedera di badan dan kepala membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee," katanya.


Mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, namun hanya dirawat sebagai pesakit luar.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Anak koma mula bercakap

Posted: 10 Dec 2012 11:22 AM PST

IPOH: Selepas 10 hari koma akibat jangkitan virus Leptospirosis atau kencing tikus, seorang pemuda kini sudah mampu tersenyum dan mula bercakap sejak tiga hari lalu sekali gus menceriakan seluruh ahli keluarganya.

Sebelum ini, Mohamad Firdaus Abdul Rahman, 22, terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada 25 November lalu akibat jangkitan virus ketika berkelah di kawasan air terjun di Ulu Chepor.

Malah, doktor pakar yang merawatnya pada masa itu sukar meramalkan Mohamad Firdaus akan bebas daripada jangkitan itu selepas virus berkenaan mula menyerang paru-parunya.

Bagaimanapun, doa tidak putus-putus ahli keluarga dan rakannya berhasil apabila Mohamad Firdaus kini bebas daripada jangkitan virus bahaya itu serta dipindahkan ke wad biasa sejak tiga hari lalu.


Bapanya, Abdul Rahman Ngah Ariffin, 54, dan ibunya, Fauziah Mohd Noor, 49, nyata syukur perkembangan itu biarpun sebelum ini kerap berendam air mata memikirkan nasib anak kedua mereka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Tragedi dua bersaudara

Posted: 10 Dec 2012 11:19 AM PST

KOTA KINABALU: Hasrat dua bersaudara mengadakan majlis ulang tahun kematian ahli keluarga rakan baik mereka berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kolam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam, Deidre R Jinol, 19, mati di tempat kejadian akibat cedera parah manakala abang saudaranya, Jeremiah Isaac Alex Among, 22, maut ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.

Sementara itu, lima lagi mangsa yang menaiki pikap Isuzu D-Max iaitu pemandu, Lim Kuo How, 30, dan empat penumpang dikenali sebagai Teoh Ling Seong, 33, Voon Chun Siung, 23, Brigid Loi May Ching, 31, serta Fanny Wong Fun Nee, 28, hanya cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, kedua-dua mereka yang menaiki kereta Mitsubishi Galant dalam perjalanan dari Luyang menuju ke pusat bandar sebelum hilang kawalan lalu bertembung kenderaan pikap dinaiki lima individu termasuk dua wanita.


Rempuhan kuat menyebabkan kenderaan dinaiki pasangan itu terputus dua manakala pikap berkenaan remuk.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


Tak sempat sambung belajar

Posted: 10 Dec 2012 11:19 AM PST

KOTA KINABALU: "Sepatutnya Jeremiah mendaftar masuk ke Politeknik Kota Kinabalu Isnin ini untuk menyambung pelajarannya selepas menamatkan latihan praktikal beberapa minggu lalu.

"Namun, semuanya hanya tinggal kenangan apabila dia terbabit kemalangan hingga meragut nyawanya dan seorang anak saudaranya," kata Alex Among, 49, bapa kepada Jeremiah Isaac, 22, yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Kolam, di sini, kelmarin.


Menurut Among, dia hanya menyedari kejadian itu apabila dihubungi polis sebelum bergegas ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk meninjau keadaan anaknya.

"Namun sebaik tiba di ICU, pihak hospital memaklumkan anak saya baru meninggal dunia," katanya ketika ditemui di HQE, di sini, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


‘Saya hanya bertawakal’

Posted: 10 Dec 2012 11:18 AM PST

REMBAU: Seorang pemandu lori yang membawa muatan ayam hidup dari Sedenak, Kulai, Johor, sanggup mempertaruhkan nyawanya dan kelindan apabila merempuh pembahagi jalan semata-mata bagi mengelak daripada melanggar kereta yang memotong kenderaan itu secara berbahaya, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 6 pagi di Kilometer 228.6, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah Utara, berhampiran Pedas-Linggi, dekat sini, menyebabkan pemandu terbabit, Mohd Arifudin Mohd Abdul Sidek, 25, cedera di lengan kanan, selain sakit di bahagian badan dan kaki akibat terhantuk, manakala kelindannya, Mohd Ridzuan Rohani, 20, tidak cedera.


Menurut Mohd Arifudin, mereka dalam perjalanan menghantar bekalan 3,000 ayam hidup untuk sebuah restoran makanan segera di Pelabuhan Klang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta memotong kenderaan lain secara berbahaya dari lorong kanan dan terus memasuki laluan saya. Jika tak mengelak, saya pasti merempuh kereta itu.


"Saya hanya bertawakal dan mengambil risiko bagi mengelak kemalangan lebih teruk yang mungkin membabitkan banyak kenderaan lain," katanya.


Katanya, sepanjang lebih tiga tahun memandu lori, kemalangan itu paling teruk dialami dan bersyukur kerana terselamat.

"Saya cuba membrek, tetapi kerana muatan dibawa menyebabkan sukar mengawal lori lalu merempuh pembahagi jalan dan terbalik dalam longkang. Kami bernasib baik kerana lori dipandu perlahan, jika tidak mungkin menyebabkan kemalangan lebih teruk," katanya.


Mohd Arifudin turut menafikan kemalangan berlaku disebabkan mengantuk kerana dia sudah mendapat rehat mencukupi ketika berhenti di Simpang Renggam.

"Kami bertolak dari Sedenak pada am 4 pagi dan berhenti di Simpang Renggam selama satu jam setengah sebelum meneruskan perjalanan. Nak kata mengantuk mustahil, sebab saya sudah berehat panjang," katanya.


Sementara itu, pemerhatian di tempat kejadian mendapati bahagian depan lori remuk, manakala puluhan sangkar plastik terpelanting jatuh dalam longkang menyebabkan ada ayam terlepas.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11


No comments:

Post a Comment