Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ahli silap mata dibakar hos TV

Posted: 03 Dec 2012 07:57 AM PST

CALIFORNIA: Seorang ahli silap mata Amerika semalam menjalani rawatan di Republik Dominica selepas seorang hos televisyen membakar kepalanya.

Berasal dari Chico, California, Wayne Houchin berkata, dia dimasukkan ke hospital akibat terbakar. Bagaimanapun, doktor mengatakan ia tidak akan meninggalkan kesan parut. Kenyataan dalam Facebook miliknya mengatakan Houchin 'sedang berehat dan semakin pulih menjalani rawatan di negara Caribbean' itu, di mana dia membuat persembahan dengan sekumpulan ahli silap mata. Ketika membuat kemunculan pada 26 November lalu dalam rancangan televisyen Closer To The Star di Republik Dominica itu, hos jemputan, Franklin Barazarte tiba-tiba menyembur kepala ahli silap mata warga Amerika itu dengan ''Agua de Florida', minyak wangi mudah terbakar yang biasa digunakan dalam upacara Santeria. Dua hari selepas insiden itu, Houchin menulis di Facebook: "Saya tidak jangka dia akan melakukan demikian kepada saya. Ini bukan adegan lagak ngeri atau sebahagian adegan persembahan ini adalah serangan jenayah.


"Tindakan pantas anggota silap mata lain menyelamatkan nyawa saya.

"Api itu dipadamkan dan saya dikejarkan ke bilik kecemasan hospital. Saya mengalami melecur teruk di kepala, leher, muka dan tangan kanan," katanya.


Video mengenai insiden itu menunjukan kepala ahli silap mata itu terbakar ketika tangan Barazarte menyentuh rambut Houchin.


Tidak dapat dipastikan mengapa hos TV itu menyembur cecair itu ke kepala Houchin dan apa yang membuatnya terbakar. Rancangan itu tidak mengulas mengenai insiden itu. Video turut menunjukkan Houcgin, Barazarte dan ahli silap mata lain berusaha untuk memadamkan api itu dalam tempoh beberapa saat.

Insiden itu tidak disiarkan di televisyen negara itu, tetapi video mengenainya dimuat naik ke Internet.


Hocuhin berkata: "Republik Dominica adalah negara yang indah dan dipenuhi dengan penduduk yang cantik.

"Sambutan dan sokongan di sini sangat hebat.


"Sokongan, kasih sayang dan dukungan diberikan kepada saya melalui media sosial, blog dan forum daripada rakan dan peminat sangat mengujakan. Terima kasih," katanya.


Tidak diektahui sama Houchin sudah mengupah peguam di Republik Dominica. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Tauke Playboy dijangka kahwin dengan bekas tunang

Posted: 03 Dec 2012 07:54 AM PST

HOLLYWOOD: Pemilik Playboy, Hugh Hefner, bercadang untuk berkahwin lagi dengan seorang wanita yang 60 tahun lebih muda daripadanya.

Lelaki berusia 86 tahun itu ditinggalkan oleh Crystal Harris tahun lalu, tetapi nampaknya dia kembali menjalinkan hubungan dengan bekas tunangnya itu, yang juga seorang 'model playboy.'

Crystal, 26, digelar "pengantin lari" selepas meninggalkan Hefner, lima hari sebelum hari perkahwinan mereka pada Jun 2011.

Sumber di Amerika Syarikat berkata, mereka kini bercadang untuk berkahwin pada malam tahun baru.


Menurut sumber kepada laman web gosip, TMZ, pasangan itu "semakin rapat."


Katanya, "Crystal merasakan perpisahannya dengan Hefner sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih berdikari, satu perkara yang dia rasa perlu dilakukan. Majlis perkahwinan mereka akan dibuat secara kecil-kecilan untuk keluarga dan teman rapat saja."

Crystal menulis di laman Twitter untuk 500,000 peminatnya: "Untuk masa lalu, terima kasih atas setiap pengajaran. Untuk masa depan, saya sudah bersedia."

Hefner pernah berkahwin dua kali sebelum ini, pertama dengan Mildred Williams di mana mereka bercerai pada 1959. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Pengawal pantai maut dirempuh bot bawa dadah

Posted: 03 Dec 2012 07:53 AM PST

NEW YORK: Seorang pegawai pengawal pantai yang menyiasat bot penyeludupan dadah dekat Santa Cruz, California semalam terbunuh apabila pemandu bot itu memecut laju merempuh dua pengawal pantai yang mendekatinya.

Bot pengawal pantai kedua mengejar bot suspek yang melarikan diri, menahan dua suspek tidak dikenali dan menemui sejumlah ganja dari kenderaan itu, kata pegawai rendah pengawal pantai, Seth Johnson. Pegawai yang maut itu mengalami kecederaan parah di kepala apabila dia dirempuh dan tercampak ke dalam lautan dekat Pulau Santa Cruz. Pegawai kedua yang tercampak dari bot hanya cedera ringan.


Pesawat pengawal pantai sebelum itu mengesan 'bot jenis panga", bot menangkap ikan dengan enjin motor sangkut beroperasi tanpa sebarang cahaya di perairan pulau itu.

Bot ronda Halibut pengawal pantai kemudian diarahkan ke kawasan itu. Ketika bot Halibut mendekati bot menangkap ikan itu, dua pegawai dikerah menyiasat bot yang gelap terbabit. Apabila bot kecil pengawal pantai menghampiri bot itu dengan nyalaan cahaya biru, pemandunya tiba-tiba memecut dengan laju. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Drebar China dijel 6 minggu

Posted: 03 Dec 2012 07:51 AM PST

SINGAPURA: Seorang pemandu bas warga China yang terbabit dengan mogok industri yang pertama di republik ini sejak 26 tahun lalu dipenjara enam minggu selepas dia mengaku bersalah, kata pendakwa raya kerajaan semalam.

Bao Feng Shan, 38, didakwa kerana peranannya dalam mogok itu yang disifatkan kerajaan sebagai mogok haram.


Laporan media mengatakan Bao tidak diwakili peguam.

"Pemandu itu mengaku bersalah atas tuduhan dikenakan terhadapnya dan dipenjarakan selama enam minggu," kata jurucakap Kamar Peguam Negara.


Empat lagi pemandu China turut dituduh minggu lalu kerana pembabitan mereka dalam mogok pada 26 dan 27 November lalu, yang pertama di Singapura sejak 1986 dan direman selama seminggu untuk siasatan lanjut. Mereka akan tampil semula di mahkamah Khamis ini.


Jika didapati bersalah, mereka bakal berdepan hukuman penjara setahun, denda maksimum SG$2,000 (RM 4,989) - bersamaan dengan dua bulan gaji atau kedua-duanya sekali.

Singapura kelmarin menghantar pulang 29 pemandu lain yang turut mengambil bahagian dalam mogok itu selepas permit kerja mereka dibatalkan. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Lelaki nyaris maut dihumban dari jambatan

Posted: 03 Dec 2012 07:50 AM PST

CHON BURI (Thailand): Seorang lelaki nyaris maut apabila dia dihumban dari jambatan dengan tali diikat di lehernya oleh sekumpulan samseng yang ingin membunuhnya semalam.

Polis berkata, pihaknya menerima laporan bahawa seorang lelaki dihumban dari jambatan dekat jalan pintas Chon Buri-Rayong. Polis menemui tali nilon yang terputus diikat pada belebas jambatan.


Saksi memberitahu polis, sekumpulan lelaki menghumban mangsa ke bawah jambatan dengan tali diikat di lehernya tetapi tali itu terputus dan mangsa terjatuh di atas jalan raya. Mangsa berjaya mengelak daripada dilenyek beberapa trak dan kereta yang melalui jalan raya itu. Dia kemudian merangkak ke kawasan hutan berhampiran. Mangsa keluar dari tempat persembunyian apabila dia menyedari kehadiran pasukan polis yang mencarinya.

Mangsa dikenal pasti sebagai Prasarth Sattabutr, 29, mengalami patah kaki dan beberapa kecederaan lain. Dia memberitahu polis, dia diculik Sabtu lalu ketika bekerja di tapak pembinaan di estet perindustrian Sahaphat. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Jokowi mahu kerajaan pusat biayai 70% kos MRT

Posted: 03 Dec 2012 07:49 AM PST

JAKARTA: Gabenor Jakarta, Joko 'Jokowi' Widodo semalam berkata, dia akan meneruskan rancangan untuk membina sistem aliran laju massa (MRT) hanya jika kerajaan pusat sanggup membayar lebih untuk projek itu.

Joko berkata, dia akan berunding dengan kerajaan pusat dengan harapan ia akan membiayai sebahagian besar daripada pinjaman AS$1.5 bilion (RMRM4.5 bilion) daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan memperuntukkan subsidi bagi membantu menangani kos operasi MRT. "Saya akan bertemu dengan menteri terbabit esok (hari ini)," katanya.


Pentadbiran bandar raya itu berharap kerajaan akan membayar 70 peratus daripada pinjaman ditawarkan agar pentadbiran bandar raya hanya perlu membayar baki 30 peratus lagi.

Berdasarkan skim bayaran balik sedia ada, kerajaan sepatutnya membayar 24 peratus pinjaman, manakala pentadbiran bandar raya perlu membayar baki 58 peratus lagi. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


PKB sokong Rhoma sebagai calon pilihan raya presiden

Posted: 03 Dec 2012 07:49 AM PST

JAKARTA: Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) mengesahkan ia telah mengadakan pertemuan dengan raja dangdut Rhoma Irama, yang sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2014.

Setiausaha Agung PKB, Helmy Faisal Zaini berkata, Pengerusi Parti, Muhaimin Iskandar sudah berbincang dengan Rhoma mengenai kemungkinan untuk mencalonkan penyanyi popular itu.


Helmy berkata, sebagaimana dipetik daripada tribunnews.com, PKB akan menyokong pencalonan Rhoma sebagai calon presiden. Selain itu, Persatuan Artis dan Musisi Melayu Indonesia (PAMMI) menyokong penyanyi berusia 65 tahun itu sebagai calon pilihan presiden mereka.

Bagaimanapun, anggota lembaga pusat PKB, Abdul Malik Haramain berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada PKB akan menyokong pencalonan Rhoma sebagai presiden. Abdul Malik berkata, PKB belum mengesahkan mekanisme untuk mencalonkan calon presidennya. Menurutnya, parti itu berminat untuk mengadakan konvensyen seperti Golkar sebagai sebahagian proses pencalonan pilihan raya presiden. - tribunnews.com

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Bom meletup: 4 budak mati

Posted: 03 Dec 2012 07:48 AM PST

HANOI: Sebutir bom dari era perang Vietnam meletup dalam majlis yang diadakan oleh sebuah keluarga, menyebabkan empat kanak-kanak terbunuh dan empat lagi penduduk kampung cedera parah.

Mangsa, seorang kanak-kanak perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki berusia antara empat dan 11 tahun, maut kelmarin selepas menemui bom berkenaan ketika bermain di laman, kata pegawai polis, Luong Van Tri.

Empat lagi, dua lelaki dan dua kanak-kanak berusia lima dan 12 tahun, cedera parah dalam kejadian yang berlaku di wilayah Vinh Long itu.

Luong berkata, pemilik rumah itu menemui bom buatan Amerika Syarikat sebesar 81 milimeter beberapa tahun lalu.


"Dia meninggalkannya dekat dengan pohon buluh di laman belakang rumah tanpa melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya.


Luong berkata, kanak-kanak itu mengambil bom berkenaan lalu melemparnya, menyebabkan ia meletup. Ketika itu orang dewasa berada di dalam rumah dan tidak nampak mereka bermain dengan bom itu.

Kerajaan komunis Vietnam Mei lalu berkata, sekurang-kurangnya 42,100 orang terbunuh dan 62,100 lagi cedera akibat bom tinggalan perang Vietnam sejak konflik dengan AS berakhir pada 1975.

Pihak berkuasa berkata, mereka memerlukan lebih AS$1.6 bilion (RM4.9 bilion) untuk membersihkan kawasan seluas 1.3 juta hektar, iaitu 20 peratus daripada keluasan negara yang masih dipenuhi dengan bahan letupan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Pramugari ancam simbah kopi pada anak Thaksin

Posted: 03 Dec 2012 07:48 AM PST

HONG KONG: Cathay Pacific menyiasat laporan seorang pramugari mengugut untuk menyimbah kopi ke arah anak perempuan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan memanggilnya "musuh", kata syarikat penerbangan itu.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, pramugari itu berkata, dia mahu menyimbah kopi pada Paetongtarn, seorang daripada tiga anak Thaksin, selepas mendapati dia berada dalam pesawat untuk penerbangan dari Bangkok ke Hong Kong.

"Saya terus memberitahu pengurus penerbangan, saya tidak boleh bekerja apabila mendapati anak perempuan musuh saya berada dalam pesawat," kata pramugari itu dalam laman Facebooknya.

Katanya, dia menelefon penasihatnya sekiranya dia boleh menyimbah kopi ke arah Paetongtarn, tetapi diberitahu perbuatan itu melanggar undang-undang Hong Kong. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


90 pekerja cedera pelantar minyak runtuh

Posted: 03 Dec 2012 07:48 AM PST

SINGAPURA: Sebahagian pelantar minyak runtuh di limbungan Singapura semalam, menyebabkan 90 pekerja cedera.

Seorang pekerja dalam keadaan kritikal manakala 22 lagi cedera parah dalam satu kemalangan paling buruk di negara ini.

Kejadian berlaku di Limbungan Jurong, yang dimiliki oleh Sembcorp Marine Ltd, syarikat pembuat pelantar terbesar dunia.

Dalam kenyataannya, Sembcorp berkata, "Siasatan awal mendapati satu daripada tiga kaki mekanisme pelantar tidak berfungsi, menyebabkan ia senget ke satu arah. Semua kerja-kerja di pelantar diberhentikan"


Syarikat Sembcorp Marine yang mempunyai kaitan dengan pelabur Singapura, Temasek Holdings Pte Ltd, berkata, kemalangan itu berlaku ketika ujian dibuat ke tasa pelantar yang masih dadalam pembinaan.


Kejadian terburuk pernah berlaku di Limbungan Jurong di mana 76 orang terbunuh dalam letupan kapal minyak Greek, Spyros, pada Oktober 1978.

Dalam enam bulan pertama tahun ini, 26 pekerja terbunuh ketika bekerja, berbanding 31 pada tempoh masa sama pada 2011. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


No comments:

Post a Comment