Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jerat Gajah dalam diam

Posted: 03 Dec 2012 07:46 AM PST

SKUAD Harimau Malaya mampu mengatasi halangan Thailand dalam misi memburu tiket ke final Piala AFF namun tidak boleh terlalu ghairah khususnya pada aksi pertama separuh akhir di gelanggang sendiri Ahad ini.

Itu pendapat disuarakan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee hasil pengamatannya terhadap kekuatan Thailand yang merekod tiga kemenangan bersih dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.


Beliau yang berada di Bangkok untuk menyaksikan dua perlawanan awal Thailand dalam saingan Kumpulan A berkata, skuad kendalian Winfried Schafer itu nyata berbeza berbanding ketika mereka terkandas di peringkat awal dua tahun lalu.

"Saya sempat menyaksikan dua perlawanan Thailand menentang Filipina dan Myanmar. Apa yang saya dapat lihat Thailand kali ini jauh berbeza. Mereka pasukan pilihan tapi itu tidak bermakna kita tak boleh melakukan kejutan.


"Apa yang penting skuad kebangsaan perlu menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri pada pertemuan pertama, namun kita tidak boleh terlalu ghairah. Thailand bukan seperti Laos atau Indonesia, kalau tidak berhati-hati, apa yang terjadi ketika menentang Singapura tempoh hari boleh berulang kembali.


"Pemain perlu bersabar dan tidak cepat hilang penguasaan bola," katanya kepada Arena Metro semalam.

Skuad juara bertahan kendalian Datuk K Rajagobal beraksi buruk pada perlawanan pertama Kumpulan B dengan melakukan banyak kesilapan sehingga membenarkan Singapura memperoleh gol mudah untuk menang 3-0.


Namun Harimau Malaya bangkit dengan merakam kemenangan 4-1 ke atas Laos dan mengesahkan tiket ke separuh akhir dengan menewaskan Indonesia 2-0.

Berbeza pula dengan juara tiga kali Thailand yang tampak sukar digugat apabila mencatat tiga kemenangan ke atas Filipina 2-1, Myanmar 4-0 dan Vietnam 3-0 untuk muncul juara kumpulan.


Kim Swee yang membimbing skuad bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta tahun lalu berkata, pemain negara perlu berusaha keras untuk menyekat penguasaan Thailand di bahagian tengah yang diketuai pemain perancang, Datsakorn Thonglao.


"Thailand memiliki pemain sayap kanan dan kiri yang bagus iaitu Theerathon Bunmathan dan Nataporn Phanrit. Datsakorn pula memiliki kepakaran dalam membuat umpanan ke dalam kotak penalti yang cukup merbahaya untuk memberi ruang kepada penyerang berbisa mereka Teerasil Dangda menjaringkan gol.


"Thailand jarang melakukan hantaran jauh kecuali ketika mahu menyerang," katanya.


Bagaimanapun Kim Swee yakin Rajagobal mampu merencana strategi terbaik untuk mengekang skuad Changsuk itu untuk mara ke final.


"Keyakinan pemain bertambah baik dan permainan mereka terus meningkat selepas mencatat kemenangan pada dua perlawanan terakhir. Tiada sebab untuk pasukan negara gagal mengulangi kejayaan dua tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Himpit Juve

Posted: 03 Dec 2012 07:34 AM PST

ROME: Kemenangan menerusi gaya berbeza buat Napoli dan Inter Milan membolehkan mereka terus menekan pendahulu Juventus dalam Serie A awal pagi semalam namun Fiorentina kehilangan rentak selepas diikat pasukan sedang meningkat, Sampdoria.

Napoli membelasah pasukan tercorot Pescara 5-1 namun Inter mencatat kemenangan kurang menakjubkan 1-0 di gelanggang sendiri ke atas Palermo.


Dua gol masing-masing sumbangan Gokhan Inler dan Edinson Cavani, satu daripadanya menerusi sepakan penalti, membantu Napoli kendalian Walter Mazzarri kekal dua mata di belakang Juve, yang menundukkan jiran setempat Torino 3-0, kelmarin.

Inter berada empat mata di belakang Juve dengan 31 mata selepas menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan hasil bantuan jaringan sendiri pemain Palermo, Santiago Garcia.


Stefan Savic menjaringkan kedua-dua gol Fiorentina untuk meraih satu mata selepas Nenad Krsticic menyamakan kedudukan buat Sampdoria sebelum mendahului menerusi gol sendiri Gonzalo Rodriguez. Gol Savic adalah yang pertama buatnya dalam Serie A.


"Secara jujur, saya gembira dengan kedudukan kami, alangkah baiknya jika musim ini sudah berakhir atau sekurang-kurangnya beberapa perlawanan sebelum musim tamat," kata jurulatih Fiorentina, Vincenzo Montella.

"Kami berdepan Sampdoria yang mencetus banyak masalah dan ketika kami bertindak cemerlang, kami berpeluang untuk menang." Fiorentina berada di tangga keempat, sama 29 mata dengan Lazio dan dua mata di belakang Inter Milan manakala Sampdoria melonjak ke tangga ke-12 dengan 17 mata.


Lazio ketinggalan enam mata di tangga kelima selepas menundukkan Parma 2-1 menerusi gol pemain pertahanan Giuseppe Biava pada minit ke-25 dan gol kesembilan Miroslav Klose musim ini.

Ishak Belfodil merapatkan kedudukan buat Parma pada minit ke-66 selepas sepakan penaltinya diselamatkan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Gol Campbell bantu Betis

Posted: 03 Dec 2012 07:34 AM PST

MADRID: Joel Campbell membuktikan kehebatan apabila jaringannya membantu Real Betis menang 3-2 ke atas Deportivo La Coruna dalam aksi La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Pemain berusia 20 tahun yang dipinjamkan dari Arsenal melakukan sepakan lencong dari jarak 25 ela ke penjuru gol untuk meletakkan Betis di tangga keempat dan membuktikan kemampuannya sebagai pemain sayap sekalipun masih tidak berpengalaman.


Campbell berhijrah dari Saprissa di negara asalnya, Costa Rica ke Arsenal pada 2011 namun dia dipinjamkan ke kelab Perancis, FC Lorient sebelum menyertai Betis musim panas lalu.

Sekalipun dikurniakan dengan kepantasan dan kebolehan semula jadi, persembahannya bagaimanapun tidak konsisten namun dia menggunakan peluangnya menentang Deportivo ketika pemain sayap kiri, Juan Carlos mengalami kecederaan.


Deportivo bertindak balas menerusi dua gol Ivan Sanchez-Rico 'Kiki' selepas dua jaringan Ruben Castro meletakkan kelab Andalusia itu di depan namun Campbell menyambut hantaran Benat Etxebarria dan merembat masuk gol kemenangan.


Dalam satu mesej kepada persekutuan bola sepak Costa Rica, jurulatih Betis, Pepe Mel mendakwa perkembangan Campbell terjejas kerana komitmen antarabangsa.

"Walaupun mereka di Costa Rica mungkin marah dengan saya, adalah biasa seorang pemain tidak dapat menyesuaikan diri sekiranya dia sering kali berada dalam penerbangan," katanya.


"Apabila dia bermain sepenuh musim bersama kami tanpa perlu bersama pasukan negaranya, dia mula serasi dengan sistem kami. Jika dia bertindak baik, maka tahun depan Arsenal akan mendapat faedahnya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


McDowell juara Cabaran Dunia

Posted: 03 Dec 2012 07:34 AM PST

THOUSAND OAKS (Amerika Syarikat): Bintang Ireland Utara, Graeme McDowell menamatkan kemarau kejuaraan selama dua tahun dengan kemenangan tiga pukulan pada kejohanan Cabaran Dunia dihoskan oleh Tiger Woods, semalam.

McDowell, melengkapkan musim cemerlang 2010 yang menyaksikannya menjuarai Terbuka AS dengan kemenangan pada kejohanan jemputan tidak rasmi penamat musim itu, tidak menang di mana-mana sejak itu.


Dia melakar empat bawah par 68 di lapangan Sherwood Country Club dengan jumlah keseluruhan 72 lubang, 17 bawah par 271 dan tiga pukulan di depan Keegan Bradley.

Bradley, juara Kejohanan PGA 2011, yang memulakan saingan dua pukulan di belakang McDowell, mencatat 69 untuk keseluruhan 274.


"Saya terlalu gembira bagaikan berada di awangan selepas kejayaan ini," kata McDowell, yang mendahului sejak pusingan kedua.


Bo Van Pelt mencatat 70 untuk menduduki tangga ketiga dengan 278, manakala hos kejohanan Woods melakar satu bawah par 71 untuk berkongsi tangga keempat dengan 279. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Ketepikan Schalke!

Posted: 03 Dec 2012 07:33 AM PST

PARIS: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan beliau masih berhasrat mengetepikan cabaran Schalke untuk muncul juara Kumpulan B pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati buat tahun ke-13 berturut-turut dengan kemenangan 2-0 ke atas Montpellier dua minggu lalu, namun Gunners mesti menundukkan Olympiakos yang mengintai peluang ke Liga Europa, awal pagi esok jika mereka bercadang mengelakkan bertemu pasukan pilihan seperti Barcelona, pada pusingan berikutnya.


Schalke mendahului kumpulan itu dengan 11 mata selepas lima perlawanan dengan Arsenal satu mata di belakang, namun rekod pertemuan baik kelab Jerman itu bermakna anak buah Wenger akan muncul naib juara kumpulan sekiranya kedua-dua kelab mengumpul mata sama.

Di sebalik mengakui mungkin merehatkan beberapa pemainnya yang keletihan, Wenger tetap optimis kelab utara London itu akan kekal fokus untuk mengungguli kumpulan itu dengan menafikan Schalke.


"Ada sesuatu yang menjadi pertaruhan dan saya akan memberi peluang kepada beberapa pemain simpanan, selain pergi ke sana dan memenangi perlawanan untuk memastikan kami melaksanakan tugas dengan baik," kata pengendali berbangsa Perancis itu.


"Itulah yang saya cuba lakukan. Saya yakin Montpellier akan cuba menamatkan cabaran dalam Liga Juara-Juara dengan baik. Montpellier ada peluang mengalahkan Schalke," katanya merujuk kepada satu lagi pertemuan Kumpulan B, awal pagi esok.

Arsenal berdepan minggu sukar sejak akhir-akhir ini dengan keputusan seri berturut-turut menentang Aston Villa dan Everton dan melengkapkannya dengan kekalahan 0-2 di tangan Swansea di laman sendiri Sabtu lalu, keputusan yang menyaksikan mereka tergelincir ke tangga ke-10 liga.


Wenger percaya kunjungan ke Greece mungkin menjadi penawar terbaik.

"Kami harap mampu mempamerkan aksi baik di Olympiakos. Ia penting buat kami. Saya tidak begitu bimbang dengan aksi di gelanggang lawan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


City, Mancini berdepan bahaya

Posted: 03 Dec 2012 07:33 AM PST

BERLIN: Bos Manchester City, Roberto Mancini berdepan prospek tidak mampu layak ke Liga Europa selepas satu lagi aksi buruk dalam kempen Liga Juara-Juara.

Buat musim kedua berturut-turut, City tidak berpeluang layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas merekod tiga seri dan dua kalah menyebabkan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan D dengan sekadar tiga mata.


Mereka akan berkunjung ke kelab Jerman, Borussia Dortmund yang sudah layak bersama Real Madrid, awal pagi esok. Kini City dan Ajax akan bersaing untuk menduduki tangga ketiga kumpulan dan layak ke Liga Europa.

City mesti mengalahkan Dortmund dan berharap Real kendalian Jose Mourinho boleh menafikan kemenangan Ajax sekiranya mereka mahu terus bersaing dalam saingan kelab peringkat Eropah musim ini.


"Kami akan cuba, tapi kami perlu menang di Dortmund dan ia tidak mudah kerana Dortmund berada dalam situasi baik," kata Mancini, yang tidak bimbang mengenai pasukannya kekurangan motivasi kerana tidak layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.


"Masih ada Liga Perdana dan Liga Europa jika kami berjaya, begitu juga Piala FA. Musim ini masih panjang dan ia amat penting." Mancini turut berharap pasukannya boleh menemui semula sentuhan pemusnah.

Mancini, yang diejek dan dikecam penyokong City kerana mengeluarkan penjaring terbanyak, Carlos Tevez ketika seri 1-1 di gelanggang sendiri dengan Everton Sabtu lalu, tidak akan bersama penolongnya, David Platt di bangku pemain simpanan awal pagi esok.


Platt digantung dua perlawanan oleh Uefa selepas diperintah meninggalkan bangku simpanan pemain ketika perlawanan menentang Real Madrid. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Nasib Chelsea masih belum dapat diketahui

Posted: 03 Dec 2012 07:29 AM PST

LONDON: Enam kelab masih menaruh harapan untuk meraih satu daripada tiga tempat terakhir ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara pada minggu terakhir peringkat kumpulan minggu ini sekalipun nasib penyandang juara Chelsea tidak menentu.

Kelab dari London itu bersaing dengan Juventus dalam Kumpulan E namun sekalipun mereka mengalahkan Nordsjaelland di Stamford Bridge awal pagi Khamis ini, mereka akan muncul juara bertahan pertama tersingkir di peringkat kumpulan jika kelab Itali itu berjaya mengelak daripada kalah di tangan Shakhtar Donetsk.


Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez, pilihan tidak popular di kalangan penyokong selepas menggantikan Roberto Di Matteo yang dipecat dua minggu lalu, gagal memenangi hati peminat selepas kalah sekali dan seri dua kali dalam tiga perlawanan pertamanya mengendalikan kelab itu.

"Kami memiliki pemain berpengalaman yang beraksi di peringkat ini dalam tempoh yang lama. Anda boleh lihat bagaimana mereka berlatih dan jelas mereka mahukan peningkatan," kata Benitez.


Celtic dan Benfica masih berpeluang menyertai juara Kumpulan G, Barcelona ke peringkat kalah mati manakala Galatasaray atau CFR Cluj boleh muncul naib juara Kumpulan H di belakang Manchester United.


Bagi kelab yang sudah memastikan tempat ke pusingan 16, perlawanan terakhir ini akan menentukan sama ada mereka layak sebagai juara kumpulan.

Malah bagi sesetengah pasukan yang tidak layak, mereka masih mengintai peluang untuk beraksi dalam Liga Europa. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


'Saya tak mahu mengalah'

Posted: 03 Dec 2012 07:26 AM PST

LONDON: Rafael Benitez menegaskan beliau tidak akan mengalah selepas melepaskan kemarahan ke atas pemain Chelsea berikutan kekalahan kepada West Ham.

Benitez mengakui selepas anak buahnya tewas 1-3 di Upton Park, beliau sendiri tidak pasti sama ada kedudukannya sebagai pengurus masih selamat hanya selepas 12 hari di Chelsea serta mengemudi tiga perlawanan yang setakat ini menjadi mimpi buruk dalam kariernya di Stamford Bridge.


Bagaimanapun beliau menegaskan tidak akan terbawa-bawa dengan kemelut yang terus membelenggu kelab termasuk penyokong yang marah dengan keputusan kelab melantik bekas pengurus Liverpool itu sebagai pengurus sementara Chelsea.

Ditanya sama ada beliau terlalu memikirkan ejekan serta kain rentang yang memprotes kehadirannya menjelang saingan Liga Juara-Juara menentang Nordsjaelland, Benitez berkata: "Tidak. Apabila saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran ini, saya sedar ia adalah satu cabaran besar." Ditekan dengan soalan sama ada penyokong boleh melakukan apa saja untuk memastikan beliau berundur, Benitez menjelaskan: "Kami perlu memenangi setiap perlawanan dan selepas itu setiap orang pasti gembira." Satu-satunya penyokong yang Benitez perlu pastikan gembira ialah pemilik Blues, Roman Abramovich dengan penyokong secara terbuka merayu kepadanya pada perlawanan Sabtu lalu sambil bersorak 'Roman Abramovich, adakah ini yang anda mahukan?" Ketika jutawan Russia itu terus tidak mengendahkan kritikan pelantikan Benitez, beliau juga pasti tidak mahu melihat pencapaian hambar.


Benitez adalah pengurus Chelsea pertama gagal membimbing pasukan mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan pertama kelab di bawah era Abramovich.


Beliau juga adalah pengurus pertama gagal menyaksikan anak buahnya meledak gol pada dua perlawanan pertama, pengurus pertama juga tewas kepada West Ham serta menyaksikan kedudukan kelab di tangga empat teratas semakin terancam.

Walaupun tidak membimbing pasukan dalam tujuh perlawanan terakhir, statistik menunjukkan ia adalah kemarau kemenangan paling panjang pernah direkod Blues pada saingan liga sejak 17 tahun lalu, kedudukan mata terendah sejak dibeli Abramovich dan kini ketinggalan 10 mata di belakang Manchester United. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Norwich kekal rekod tanpa kalah

Posted: 03 Dec 2012 07:22 AM PST

NORWICH, England: Norwich City meneruskan rekod tanpa kalah mereka sepanjang lapan perlawanan liga di tempat sendiri dengan kemenangan 2-1 ke atas Sunderland kelmarin sambil menyaksikan pelawat hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Gol menerusi Sebastien Bassong serta Anthony Pilkington meletakkan Norwich mendahului 2-0 dan meskipun Craig Gardner merapatkan jurang sebelum tamat separuh masa pertama, anak buah Martin O'Neill gagal mencari gol penyamaan pada babak kedua.


Sunderland kekal di atas tiga pasukan terbawah dengan kurang satu perlawanan sementara Norwich dibimbing Chris Hughton, terus naik ke tangga ke-12.

Tewas hanya sekali dalam tujuh perlawanan di tempat sendiri, Norwich bermula baik di Carrow Road dan berada di depan seawal minit kelapan.


Sepakan percuma Robert Snodgrass terkena pertahanan Sunderland, Carlos Cuellar yang disambut Bassong dengan sepakan voli melepasi Simon Mig- nolet dari jarak dekat.


Sunderland hampir menyamakan kedudukan menerusi Danny Rose tetapi dinafikan penjaga gawang Norwich, Mark Bunn, namun pada minit ke-37, tuan rumah berjaya menambah gol kedua.

Pilkington yang menerima hantaran cantik Bradley Johnson melakukan penyudah baik dengan merembat bola masuk ke penjuru kanan gawang lawan.


Sunderland berjaya merapatkan kedudukan apabila Gardner menewaskan Bunn dari jarak jauh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Mat Yo belum berganti

Posted: 03 Dec 2012 07:21 AM PST

TANDA tanya siapa bakal menyarung jersi nombor 9 yang pernah dipakai Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo masih misteri walaupun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan tiga lagi pemain baru yang akan beraksi dengan Red Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia musim depan, semalam.

Dua daripada pemain baru itu membabitkan pemain import dari Kelab Sydney FC, Australia, Dimitri Petratos, 20, dan Lek Keira, 29, dari Croatia yang juga bekas pemain kelab Iran, Sahin FC, manakala seorang lagi pemain tempatan, Haris Safwan Mohd Kamal dari Johor FC.


Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, Petratos yang beraksi sebagai penyerang dalam kelab terkuat di Australia bakal menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan tiga kejuaraan yang dimenangi, musim depan.

Bagaimanapun, katanya, Petratos dan dua lagi pemain baru tidak akan menyarung jersi nombor 9.


"Sekarang kami bercakap mengenai persiapan pasukan dan siapa yang akan menyarung jersi nombor 9 akan diketahui pada 6 Disember ini kerana kami juga masih membuat perbincangan dengan beberapa pemain lain.


"Kami yakin dengan pengambilan seorang bintang muda dari kelab terhebat Australia akan membantu kita," katanya pada majlis memperkenalkan pemain baru Kelantan di Kafe TRW, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim, penolong pengurus pasukan, Wan Badri Wan Omar dan dua bekas pemain T-Team, Zairo Anuar Zailani dan Mohd Faiz Subri yang sebelum ini diumumkan menyertai Kelantan.


Dalam pada itu, mengenai khabar angin Kafa bakal 'meminang' penyerang kebangsaan, Safee Sali dan pemain Indonesia, Andik Vermansyah, Annuar berkata, Kafa masih menyimpan sedikit ruang untuk melakukan perubahan bagi memantapkan lagi pasukan Kelantan.

"Tidak mustahil jika kami mahu ambil Safee atau Andik kerana masa pendaftaran pemain masih ada dan apa-apa saja boleh berlaku. Malah, kami juga sedang berbincang dengan beberapa lagi pemain dari pasukan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


No comments:

Post a Comment