Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


100 jersi tiruan Harimau Malaya dirampas

Posted: 09 Dec 2012 12:38 PM PST

CHERAS: Lebih 100 jersi Harimau Malaya tiruan dirampas pihak Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekitar kawasan Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 4.30 petang itu, jersi bernilai hampir RM10,000 dirampas dari enam premis yang menjalankan perniagaan sempena perlawanan separuh akhir pertama di antara pasukan Malaysia dan Thailand.


Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK, Amer Hassan itu memeriksa lebih 50 gerai jualan selama lebih sejam dengan kekuatan lima pegawai penguat kuasa termasuk seorang wakil daripada syarikat jenama jersi yang membuat aduan.

Sementara itu, Pengarah KPDNKK WPKL, Abu Samah Tajuddin ketika dihubungi berkata, pemeriksaan ke atas premis berkenaan susulan daripada operasi minggu lalu selain mendapat aduan daripada pemilik jenama jersi Harimau Malaya sendiri.


"Kami akan mengambil tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi mengelak penjualan barangan tiruan yang semakin berleluasa.


"Tindakan juga diambil terhadap penjual dan pembekal barangan jenama tiruan ini sekiranya didapati bersalah mengikut Seksyen 8 (2), Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan bagi perseorangan, boleh didenda RM10,000 dan penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda RM500,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


45 cari ‘klien’ kena tangkap

Posted: 09 Dec 2012 12:36 PM PST

KUALA LUMPUR: Seramai 45 wanita warga asing dipercayai pelacur ditahan polis ketika mencari pelanggan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan P Ramlee, di sini, kelmarin.

Serbuan dijalankan Bahagian Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu turut mencekup seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang asyik melayan pelanggan berhibur dalam pusat hiburan terbabit.


Ketua Operasi, Asisten Superintendan Mohd Hatta Che Din berkata, operasi yang bermula jam 1 pagi itu dibantu 13 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Wanita yang ditahan terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia berusia 18 hingga 30-an yang rata-rata menyalahgunakan pas lawatan sosial.


"Lebih 200 pengunjung pusat hiburan itu diperiksa dan kami menahan lima lelaki dipercayai penjawat awam dalam serbuan terbabit," katanya.


Hatta berkata, pusat hiburan itu menjadi tumpuan pelancong asing dan anak muda untuk mendapatkan khidmat seks wanita warga asing terbabit yang menawarkan harga murah.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tujuan dokumentasi dan soal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Gadis diraba rakan sekerja

Posted: 09 Dec 2012 12:35 PM PST

GOMBAK: Seorang remaja perempuan yang baru dua minggu bekerja di sebuah pasar raya di Selayang bagi menghabiskan cuti persekolahannya dicabul rakan sekerja.

Kejadian itu menyebabkan remaja terbabit trauma sebelum menceritakan kepada ibunya.


Sumber berkata, ibu mangsa yang tidak puas hati dengan tindakan rakan sekerja anak perempuannya itu yang juga dipercayai warga asing, membuat laporan polis kelmarin. Menurut sumber itu, dalam kejadian Khamis lalu, mangsa bekerja dengan lelaki terbabit jam 11 pagi dan ditegur lelaki itu dengan perkataan lucah.

"Suspek mengajak mangsa ke rumahnya untuk melakukan hubungan seks, namun mangsa menolak ajakan suspek. "Suspek yang tidak berpuas hati meraba badan mangsa. Tindakan suspek menyebabkan mangsa takut lalu melarikan diri," katanya.


Sumber berkata, mangsa mendakwa dia sekali lagi diganggu suspek dengan menghubunginya meminta mangsa mengirimkan SMS dan gambar bogel mangsa.


Kata sumber, mangsa yang bimbang diganggu suspek memaklumkan insiden itu kepada ibunya.

"Mangsa dibawa membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan polis lanjut," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Tak tahan sakit bongkar hamil

Posted: 09 Dec 2012 12:31 PM PST

SERIAN: Selepas sembilan bulan menyembunyikan kehamilannya, seorang remaja bawah umur terpaksa membiarkan rahsianya terbongkar apabila meminta bapanya menghantar ke hospital kerana tidak tahan lagi sakit untuk bersalin, kelmarin.

Difahamkan, gadis berusia 16 tahun yang keciciran sekolah dari Batu 34, Jalan Kuching-Serian itu tahu dia mengandung, tetapi menyorokkan daripada pengetahuan keluarga kerana takut.


Bapa gadis terbabit yang berusia 52 tahun terkejut apabila anaknya meminta tolong membawanya ke Hospital Serian (HS) kerana tiba masa untuk bersalin.

Keluarga terbabit membawanya ke hospital sebelum membuat laporan di Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut.


Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Mohd Jamali Umi berkata, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian berlaku Mac lalu jam 3.14 petang di sebuah asrama pekerja di Pekan Serian.


Katanya, mangsa yang bekerja di sebuah pasar raya di sini, berkenalan dengan lelaki berusia awal 20-an yang baru bekerja di tempat sama.

"Pada hari kejadian, lelaki itu mengajak gadis terbabit minum minuman keras di asrama mereka hingga mangsa tidak sedarkan diri. Apabila sedar, mangsa mendapati dia tidak berpakaian dan dipercayai dirogol," katanya ketika dihubungi.


Katanya, gadis itu bersemuka dengan lelaki terbabit meminta dia bertanggungjawab, tetapi tidak diendahkan, sebaliknya lelaki itu kini menghilangkan diri.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan polis kini memburu lelaki terbabit yang dipercayai berasal dari Lubok Antu untuk didakwa kerana merogol gadis bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Budak main mancis melecur kedua-dua kaki

Posted: 09 Dec 2012 12:31 PM PST

KUCHING: Gara-gara bermain mancis, seorang kanak-kanak sembilan tahun melecur kedua-dua kaki selepas tidak sengaja menyalakan api yang menyambar tong minyak petrol di sebuah kedai runcit di Kampung Rambungan, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 3 petang ketika kanak-kanak itu mengikut bapanya membeli barang di kedai runcit yang tidak jauh dari rumahnya.


Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, sebaik tiba di kedai itu anaknya mengambil sekotak mancis, tetapi tidak menyangka akan menghidupkannya sehingga dia terdengar jeritan apabila kaki mangsa disambar api.

"Terdapat satu tong berisi petrol diletakkan berdekatan tempat anak saya bermain mancis menyebabkan api menyambar dan terkena kedua-dua kakinya," katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.


Katanya, dia bergegas membawa anak lelakinya ke sebuah klinik di Matang sebelum diarahkan merujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.


"Saya bersyukur kerana dia tidak cedera serius walaupun kedua-dua kaki melecur. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh terjadi.

"Setakat ini, saya lega apabila doktor memberitahu keadaan sudah stabil. Mudah-mudahan dia pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Lelaki cemburu serang rakan isteri tepi jalan

Posted: 09 Dec 2012 12:30 PM PST

SERIAN: Padah keluar dengan isteri orang, seorang lelaki bukan sahaja menerima malu malah turut cedera dibelasah teruk di depan orang ramai oleh suami wanita itu di persimpangan Tarat, Jalan Kuching-Serian di sini, kelmarin.

Kejadian jam 3 petang itu berlaku apabila suami yang berusia 42 tahun terserempak isterinya menaiki kereta lelaki berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Kuching.


Suami berkenaan yang curiga dengan kemesraan isterinya dengan lelaki berkenaan, mengekori kereta dinaiki pasangan terbabit sebelum memintasnya di satu persimpangan.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Mohd Jamali Umi berkata, sebaik memintas kereta yang dipandu lelaki berusia 30-an itu, suspek mengarahkan kedua-duanya keluar dari kenderaan.


Katanya, berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan dan suspek mengamuk lalu menumbuk serta memukul lelaki itu sehingga menyebabkannya cedera di kepala.


"Apabila kejadian itu menjadi perhatian pengguna jalan raya lain, suspek berhenti membelasah lelaki berkenaan dan meninggalkan tempat kejadian.

"Isteri suspek membuat laporan di Balai Polis Serian sejurus kejadian, mendakwa suaminya yang panas baran memukul rakan lelakinya kerana cemburu.


"Mangsa menerima rawatan pesakit luar di klinik berhampiran dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan suspek dipanggil ke balai untuk memberi keterangan bagi tindakan selanjutnya.


Dalam kes berasingan, seorang lelaki kerugian lebih RM1,000 selepas cermin keretanya dipecahkan seorang lelaki dengan sebiji kelapa di Kampung Melayu Hilir di sini kelmarin. Katanya, mangsa dipercayai mabuk dan bertindak ganas dengan memecahkan cermin kereta jirannya yang diletakkan di pekarangan rumah.


Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Guni mayat

Posted: 09 Dec 2012 12:29 PM PST

KAJANG: Misteri penemuan guni berbau busuk yang tersangkut di tebing Sungai Tekali, Hulu Langat, di sini, terjawab apabila guni itu dibuka, kelmarin.

Satu mayat lelaki berusia 30-an yang sudah reput ditemui dalam guni itu dengan keadaan badannya berlipat.

Mangsa dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam sebelum mayatnya disumbat ke dalam guni dan dicampak ke sungai itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi semalam berkata, seorang saksi yang melalui kawasan sungai itu kira-kira jam 6.30 petang menemui satu guni terikat di tebing sungai.


"Saksi yang mengesyaki sesuatu menghubungi bilik gerakan Balai Polis Batu 14 memaklumkan penemuan itu dan berikutan itu, sepasukan polis dihantar ke lokasi penemuan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Penyeluk saku berselendang

Posted: 09 Dec 2012 12:28 PM PST

KUCHING: Sekumpulan enam penyeluk saku termasuk dua wanita menggunakan selendang sebagai alat pemudah cara ketika melakukan jenayah itu dengan menyasarkan pelanggan yang sedang beratur di kaunter bayaran pusat beli-belah.

Antara menjadi mangsa kumpulan itu ialah dua sahabat yang beratur di kaunter bayaran pusat beli-belah di Batu 4 1/2 di sini, kelmarin.


Mangsa pertama, seorang kerani berusia 18 tahun kehilangan telefon bimbit iPhone apabila tiga suspek termasuk seorang wanita berselendang mendekatinya ketika membuat bayaran di kaunter jam 8.30 malam.

Difahamkan, ketika kejadian keadaan pusat membeli-belah itu sesak menyebabkan wanita dari Taman Poh Kong itu, tidak menyedari kelicikan penjenayah itu mengambil telefon bimbit dalam beg tangannya. Dia hanya menyedari telefon bimbitnya lesap ketika mahu menyimpan dompet selepas beredar dari kaunter bayaran lalu meminta bantuan pekerja premis itu untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


"Rakaman menunjukkan seorang wanita berselendang mengambil telefon bimbitnya dari beg tangan dalam masa beberapa saat sahaja sebelum memberikan kepada seorang lelaki dipercayai rakan subahatnya yang berdiri di belakang mangsa," katanya.


Mangsa bersama teman lelakinya kemudian terserempak rakannya yang turut mengalami nasib sama, kehilangan telefon bimbit dipercayai angkara kumpulan itu.

Kata sumber, mangsa kedua, gadis berusia 16 tahun dari Batu Kawah memberitahu, ketika kejadian dia berada di sebuah kedai di tingkat bawah pasar raya berkenaan untuk membeli makanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Luluh hati ibu

Posted: 09 Dec 2012 12:28 PM PST

SEREMBAN: Keseronokan tujuh sekeluarga mandi-manda di sebuah taman tema di Rembau, berakhir tragedi menyayat hati apabila seorang daripada mereka ditemui lemas dipercayai tergelincir di dalam terusan yang mengelilingi kolam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Putra Syakirin Ahmad Syahir, 6, maut dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.


Ibunya, Mushitah Zahari, 26, berkata, dia bersama suami, ibu serta adik-beradik lain pergi ke taman tema itu untuk mandi.

"Tiba-tiba, kami menyedari 'Bobob' (Mohd Putra) hilang sebelum dikejutkan dengan teriakan budak lemas oleh orang ramai. "Namun, saya tidak menjangkakan yang lemas itu anak sulung sehinggalah saya melihat petugas taman tema itu mengangkat seorang budak yang memakai seluar sama seperti anak," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJS, di sini, semalam. Mushitah yang bekerja di sebuah hotel di Port Dickson berkata, itu kali pertama dia dan suami, Ahmad Syahir Abd Aziz, 26, membawa anak mereka ke situ dan tidak menyangka percutian itu berakhir dengan tragedi.


"Hancur luluh hati sebaik melihat itu adalah anak lelaki saya dan bergegas meminta bantuan daripada pihak pengurusan taman tema itu. "Ketika itu anak saya masih bernyawa berikutan ada air terkeluar daripada mulutnya dan kedengaran nafasnya, saya terus meminta penyelamat yang berada di situ untuk membuat pernafasan mulut ke mulut, tetapi tiada siapa pun tahu melakukannya," katanya. Menurutnya, dia percaya, anaknya berkemungkinan tergelincir ke dalam terusan kolam itu dan jarak antara tempat kejadian dengannya hanya 50 meter. "Sebaik sedar tiada bantuan dapat diberikan, saya dan suami kemudian membawa anak ke sebuah klinik, tetapi mereka tidak berani untuk merawatnya sebelum suami bergegas memecut kereta menghala ke HTJS," katanya. Mushitah berkata, bagaimanapun, dalam perjalanan ke HTJS, anaknya sudah tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia kira-kira 3.30 petang.


"Saya kesal dengan pihak pengurusan taman tema itu, sepatutnya mereka menyediakan penyelamat yang tahu asas menyelamatkan orang lemas. "Malah, sekiranya rawatan awal diberikan, berkemungkinan anak saya masih dapat diselamatkan, bagaimanapun saya reda dengan kehilangannya dan menganggap ajalnya sudah tiba," katanya. Jenazah Mohd Putra dijangka akan dikebumikan di kampung halaman Mushitah di Kedah, hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


Ditetak pencuri traktor

Posted: 09 Dec 2012 12:26 PM PST

NILAI: Dua lelaki cedera di kepala dan hidung selepas ditetak tujuh penjenayah bersenjatakan parang sebelum traktor milik majikan mereka dilarikan dalam kejadian di sebuah kebun durian di Kampung Baru Broga, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu kedua-dua mangsa yang berusia 24 dan 36 tahun itu terselamat dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kajang akibat kecederaan dialami.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata ketika kejadian, kedua-dua mangsa tidur di bilik berasingan sebelum kumpulan perompak memakai topeng itu bertindak menyerbu asrama pekerja.

"Sebaik menyerbu asrama itu, dua perompak kemudian menetak mangsa pertama berusia 24 tahun sebelum mengikat tangan dan kakinya. "Sementara itu, tiga lagi perompak 'mengerjakan' mangsa kedua di bilik berasingan sebelum mengikat tangan dan kakinya," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Katanya, kedua-dua mangsa kemudian mendengar beberapa lelaki lain cuba menghidupkan enjin traktor yang diletakkan di kebun durian itu.


"Hasil siasatan awal, suspek berkemungkinan berjumlah tujuh orang dan mengetahui selok belok kebun itu berikutan jarak kebun berkenaan dengan jalan besar ialah 30 meter. "Malah, kita cuba menjejaki laluan itu dan berkemungkinan suspek mengangkut traktor itu menggunakan lori di jalan besar," katanya. Menurutnya, selepas setengah jam, semua suspek beredar dan mangsa berjaya melepaskan diri sebelum menghubungi majikan.

Menurutnya, jumlah kerugian dianggarkan RM72,000 dan polis sedang giat memburu semua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


No comments:

Post a Comment