Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rampas 150 jersi Harimau Malaya

Posted: 02 Dec 2012 10:10 AM PST

KUALA LUMPUR: Lima peniaga yang menjual jersi tiruan Harimau Malaya dan Garuda sempena perlawanan dua pasukan itu, diserbu Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di kawasan Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, lebih 150 jersi tiruan dirampas daripada enam gerai yang menjual jersi di kawasan itu.


Jurucakap KPDNKK, berkata jersi berkenaan dijual pada harga RM35 berbanding jersi asli pula berharga RM140.

"Kami hanya dapat merampas barangan daripada enam gerai manakala selebihnya melarikan diri apabila mereka menghidu kehadiran pihak penguatkuasa," katanya.


Beliau berkata, hanya dua pemilik daripada enam gerai yang diserbu diberkas dan mereka dikompaun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


4 serba hitam curi RM45,000

Posted: 02 Dec 2012 09:58 AM PST

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat perompak berpakaian hitam dan bersenjatakan pisau menceroboh sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum mengikat tangan dan kaki pemilik kediaman itu dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM45,000, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, seorang wanita berusia 23 tahun yang tidur tersedar daripada tidur selepas melihat pintu biliknya dibuka sebelum dia mendapati empat lelaki tidak dikenali memakai topeng dan berpakaian serba hitam menceroboh rumahnya.


Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan kehadiran mereka menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek panik dan mengacukan pisau ke leher mangsa sambil mengarahkannya supaya berdiam diri jika tidak mahu dicederakan.

"Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa dengan tali.


"Rakan suspek pula menggeledah bilik lain sebelum mereka membawa adik perempuan mangsa bersama pembantu rumah ke dalam bilik itu dan diikat," katanya.


Sumber berkata, seorang daripada suspek turut berkawal di pintu bilik tidur mangsa sementara yang lain menggeledah mencari barangan berharga.

"Suspek melarikan wang tunai RM5,000, barangan kemas RM30,000, telefon bimbit, kamera dan pelbagai jam tangan berjenama.


"Mangsa bagaimanapun tidak dicederakan dan berjaya membuka ikatan jam 6 pagi. Sebaik berjaya melepaskan diri mangsa menghubungi polis meminta bantuan," katanya.

Menurutnya, polis yang tiba ke tempat kejadian beberapa minit kemudian membuat pemeriksaan dan menjumpai kesan pecah masuk di pintu rumah itu.


Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Penyamun tekup mulut

Posted: 02 Dec 2012 09:54 AM PST

GOMBAK: Seorang wanita mengalami pengalaman menakutkan apabila mulutnya ditekup dan mukanya diacu pisau apabila rumahnya di Selayang diceroboh seorang lelaki berbadan gempal pagi Jumaat lalu.

Dalam kejadian samun itu penjenayah turut memukulnya sebelum menyamun barangan kemas dianggarkan bernilai RM2,000.


Malah, tindakan mangsa berusia 49 tahun itu menjerit memanggil anaknya yang berada dalam bilik ketika bergelut dengan lelaki terbabit berjaya menyelamatkan wanita itu daripada diapa-apakan suspek yang merampas rantai leher sebelum melarikan diri.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, wanita terbabit yang mengisi pakaian dicuci dari mesin basuh ke dalam bakul di belakang rumah terkejut selepas didatangi lelaki tidak dikenali memakai topi keledar berpenutup dan menekup mulut mangsa. "Dalam keadaan mulut masih ditekup suspek mengarahkannya membuka gelang tangan namun mangsa yang sukar bernafas enggan menyebabkan lelaki itu berang dan memukulnya serta menolaknya sehingga terjatuh," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang ketakutan menjerit memanggil anaknya yang berada dalam bilik menyebabkan suspek panik dan merentap rantai leher dipakai mangsa. "Dia yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Kaku lepas tiupan wisel penamat bola sepak AFF

Posted: 02 Dec 2012 09:48 AM PST

ALOR SETAR: "Sejak beberapa hari lalu, arwah menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap, tetapi beliau beritahu tidak sabar untuk menonton perlawanan bola sepak penentuan separuh akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia menentang Indonesia, malam tadi (kelmarin).

"Tak sangka pula itu perlawanan bola sepak terakhir yang arwah tonton sebelum dia disahkan meninggal dunia," kata Mohd Sobri Ahmad, 30-an rakan Jasuky Jahury Jaafar, 36, yang meninggal dunia sejurus menonton perlawanan itu jam 11 malam.


Difahamkan, arwah meninggal dunia selepas pengadil meniup wisel tamat 90 minit masa perlawanan antara dua negara itu yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Perlawanan itu memihak kepada Malaysia apabila menewaskan pasukan Indonesia 2-0 dalam perlawanan itu menyebabkan Jasuky sangat gembira dengan kemenangan itu sebelum dia disahkan meninggal dunia.


Mohd Sobri berkata, beliau tidak pasti sama ada arwah mengambil cuti kelmarin hanya untuk menonton bola sepak itu atau sebaliknya kerana sebelum ini arwah mengadu mengalami masalah kesihatan.


Beliau berkata, Jasuky yang juga Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, selama 10 tahun adalah seorang yang ceria dan minat menonton bola sepak, tetapi disebabkan sibuk dengan tugas, dia terlepas menonton beberapa kali perlawanan bola sepak yang membabitkan Malaysia.

"Saya kenal dia sudah lama, tetapi dia tidak pernah memberitahu dia sakit apa menyebabkan saya terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia selepas dihubungi rakan malam tadi (semalam)," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


105 dipaksa makan kertas

Posted: 02 Dec 2012 09:47 AM PST

PELABUHAN KLANG: Seramai 105 wanita warga asing bukan saja dikurung, malah turut dipaksa makan kertas surat khabar selain tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu oleh sebuah syarikat agensi pembantu rumah yang beroperasi di Bandar Baru Klang, di sini.

Mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun itu diperdaya menjadi pembantu rumah secara bulanan dan harian, namun tidak menerima gaji selepas berkhidmat sejak enam bulan lalu dengan alasan mereka perlu menyerahkan gaji selama tujuh bulan sebagai bayaran untuk bekerja di Malaysia.


Mereka yang terdiri daripada 95 warga Indonesia dan masing-masing enam dan empat warga Filipina itu, diselamatkan dalam Ops Khas 6P Jabatan Imigresen Selangor, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, serbuan jam 7.45 pagi itu mendapati semua wanita terbabit dikurung di tingkat tiga dan empat premis syarikat agensi pembantu rumah berkenaan.


Beliau berkata, wanita terbabit turut mendakwa dikasari selain makanan dicatu agensi berkenaan dan ada antara mereka yang dipaksa makan kertas surat khabar setiap kali cuba melawan atau menuntut hak mereka.


"Setiap pagi, agensi ini akan menghantar mangsa dengan van ke rumah dan pejabat di Klang untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan tukang cuci dengan pendapatan RM700 sebulan.

"Mereka dikurung di beberapa bilik di premis berkenaan sebaik pulang dari tempat kerja dan tidak dibenarkan keluar bagi mengelak kegiatan ini dihidu pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini, semalam. Amran berkata, siasatan mendapati, semua mangsa masuk ke Malaysia sejak sebulan hingga enam bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial sebelum ditempatkan di premis agensi pembantu rumah itu.


Dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan dan masing-masing lima dan tiga warga Indonesia Kemboja yang berusia 30 hingga 50 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan. Amran berkata, pihaknya kini mengesan seorang lelaki tempatan iaitu pemilik agensi pembantu rumah terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, agensi berlesen itu beroperasi sejak lima tahun lalu, tetapi didapati melakukan kesalahan kerana semua wanita yang diambil bekerja itu hanya memiliki pas lawatan sosial bukan permit bekerja sah.


"Semua wanita terbabit dibawa ke rumah perlindungan di Bukit Ledang, Damansara untuk perlindungan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.


"Mereka disiasat mengikut Seksyen 44(1), Akta Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala lelaki dan wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan jika disabitkan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda," katanya.


Sementara itu, seorang daripada wanita terbabit, Adinda Tanas, 20, mendakwa sejak bekerja dengan agensi itu Mei lalu, dia tidak pernah menerima gaji.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Tembak tak mati

Posted: 02 Dec 2012 09:47 AM PST

ULU TIRAM: Niat baik seorang juruwang kafe siber mahu meleraikan pertengkaran membawa padah apabila dia kini tenat di hospital akibat terkena empat daripada 10 das tembakan yang yang dilepaskan seorang lelaki di Jalan Johar 4, Taman Desa Cemerlang di sini.

Dalam kejadian jam 10.15 malam, Jumaat lalu, Lew Wek Shu, 37, cuba meleraikan pertengkaran dua kumpulan lelaki yang bertengkar berhampiran tempat kerjanya sebelum dia ditembak pada kedua-dua bahu, rusuk kiri dan lengan kiri.

Lew yang ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar Johor (HPJ) di sini, semalam, berkata, ketika kejadian dia bekerja di pusat siber berkenaan apabila terdengar pertengkaran.

Menurutnya, tidak tahan bunyi bising berlarutan hampir setengah jam, dia memberanikan diri meleraikan pertengkaran itu, tetapi malangnya niat baiknya tidak disenangi kedua-dua ahli kumpulan yang memakinya kerana mencampuri urusan mereka.


"Tidak mahu berlarutan, saya beredar, tetapi tiba-tiba seorang daripada mereka melepaskan tembakan dan ada yang terkena belakang saya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Awang Hitam mulut manis

Posted: 02 Dec 2012 09:45 AM PST

KUALA LUMPUR: "Awang Hitam memang bijak bermain kata-kata seolah-olah amat meyakinkan. Malah lakonan berlagak pandai mereka juga sungguh berkesan," kata penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar.

Menurut beliau, walaupun banyak kali didedahkan di akhbar, kes penipuan Internet yang didalangi warga Afrika atau lebih dikenali sebagai 'African Scam' seolah-olah tidak berkesudahan.


"Permainan mereka amat meyakinkan sebab mereka tahu bukannya mudah untuk mendapatkan wang dalam jumlah besar daripada mangsa yang hanya dikenali melalui Internet.

"Perancangan mereka cukup teliti beserta dengan 'bukti' yang direka-reka dan wanita yang sunyi pula mudah tertipu kerana terlalu percaya dengan apa yang dikatakan.


"Tambahan pula apabila mereka melaburkan sedikit wang pada mulanya sebelum mengambil segala-galanya yang ada pada wanita yang menjadi mangsanya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Maut lepas tiga hari beli motosikal

Posted: 02 Dec 2012 09:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Malang bagi seorang lelaki yang baru saja membeli motosikal tiga hari lalu apabila maut selepas dilanggar kereta Mercedez Benz dari arah belakang di kilometer 2.6, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Abdul Rashid Yusof, 39 , berasal dari Kampung Cheras Baru meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan ke Damansara untuk mengambil majikannya seorang warga Jepun itu dilanggar Mercedez Benz yang dipercayai hilang kawalan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh sebelum dilanggar kenderaan lain yang menyebabkan kecederaan parah.


Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati Mercedez Benz itu yang turut terbakar hampir 80 peratus akibat kejadian dan ditemui dalam keadaan melawan arus.


Bagaimanapun, katanya, pemandu kenderaan berkenaan yang berusia 24 tahun sempat menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Lembu mengamuk disangka perompak

Posted: 02 Dec 2012 09:45 AM PST

ALOR GAJAH: Tiga sekeluarga terpaksa berkurung hampir dua jam dalam bilik di rumah mereka apabila terdengar bunyi bising di luar rumah yang disangka dilakukan perompak sebelum menyedari ia sebenarnya angkara sekumpulan lembu yang mengamuk dalam kejadian di Kampung Padang Kemunting, Tanjung Bidara di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Rasol Ahmad, 46, bersama isteri, Norliza Wil, 42, dan anak tunggal mereka, Mohd Fakrullah, 4, tidur sebelum terdengar bunyi mendengus diikuti bunyi benda berkecai di depan rumah mereka.


Menurut Rasol, dia menyangka rumahnya dimasuki perompak segera mengejutkan isterinya dan mereka mendiamkan diri kerana bimbang keselamatan keluarga.

"Saya terdengar bunyi pasu bunga pecah, meja dan kerusi diletakkan di anjung rumah diterbalikkan hingga menyebabkan anak yang lena turut terjaga.


"Kami tidak mampu bersuara dan turut mematikan suis lampu bilik sehingga terdengar bunyi azan Subuh. Saya memberanikan diri keluar dari bilik dan mengintai dari tingkap rumah," katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, sebaik membuka pintu rumah jam 7 pagi, dia terkejut mendapati 12 lembu dewasa menggeledah depan rumah dan sebahagiannya menyondol pagar kawat duri di rumahnya hingga rebah.

"Siapa tidak marah melihat keadaan sama berulang dan ini adalah kali keempat kumpulan lembu tidak bertuan ini mengganas dalam kawasan rumah saya yang berpagar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Tersalah tetak orang

Posted: 02 Dec 2012 09:28 AM PST

KOTA KINABALU: Kegembiraan seorang lelaki menyambut kemenangan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan bola sepak berakhir tragedi berdarah apabila diserang secara tiba-tiba di sebuah restoran di Putrajaya, Telipok, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, mangsa berusia 28 tahun sedang minum selepas menonton perlawanan bola sepak di restoran itu bersama tiga rakannya.

Bagaimanapun, tiba-tiba seorang lelaki berusia awal 20-an meluru ke arah mangsa dan menyerangnya dengan parang.

Mangsa yang terkejut dengan tindakan lelaki tidak dikenalinya itu gagal mengelak sehingga mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kepala.


Akibat kecederaan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


No comments:

Post a Comment