Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lima rakyat Jerman maut

Posted: 02 Dec 2012 08:26 AM PST

KAHERAH: Lima pelancong Jerman dan tiga warga Mesir terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua bas mini berhampiran pusat percutian Laut Merah, semalam.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua bas itu bertembung dalam sebuah pusat peranginan berhampiran Hurghada.


Jumlah pelancong yang cedera belum disahkan. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman berkata, beberapa warganya terbunuh dan cedera dalam kemalangan di bandar pinggir laut Mesir. "Kementerian Luar mengaktifkan kumpulan pengurusan krisis bagi menangani isu ini, manakala Duta Jerman dalam perjalanan ke tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, agensi berita lain melaporkan, lima warga Jerman dan tiga penduduk tempatan maut dalam kemalangan berkenaan. Sumber polis berkata, lima warga Jerman itu adalah kakitangan syarikat penerbangan yang dalam perjalanan ke lapangan terbang Hurghada. "Kemalangan berlaku apabila bas mini membawa warga Jerman itu memasuki jalan utama tetapi dirempuh sebuah bas lain yang membawa pelancong. Kedua-dua pemandu bas terbabit adalah warga tempatan dan mereka meninggal dunia. Kemalangan jalan raya memang lazim di Mesir, dengan kebanyakannya disebabkan keadaan jalan raya dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang.


Jumaat lalu, dua pelancong Russia maut apabila bas yang mereka naiki terbalik berhampiran Nuweiba, Sinai. Pada 17 November lalu pula, 47 pelajar tempatan terkorban apabila bas mereka dirempuh kereta api di tengah Mesir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Dibaham ikan lumba-lumba

Posted: 02 Dec 2012 08:25 AM PST

ORLANDO: Walaupun biasanya ikan lumba-lumba adalah haiwan yang jinak dan tidak berbahaya, dalam keadaan tertentu ia sebenarnya boleh mengancam nyawa.

Seorang budak perempuan berusia lapan tahun, misalnya, mengalami detik mencemaskan ketika dia dibawa melawat Sea World di Orlando, Florida, minggu lalu.


Menurut media semalam, Jillian Thomas sedang memberikan ikan lumba-lumba di taman tema itu makan apabila haiwan berkenaan tiba-tiba menyerangnya. Kanak-kanak dari Georgia itu mengalami kecederaan apabila dia digigit ikan lumba-lumba berkenaan.

Akibatnya, Jillian luka sebesar wang syiling di tiga tempat, selain bengkak tangan kiri.


Bapa Jillian, Jamie Thomas, berkata dia sempat merakamkan insiden itu dengan kamera videonya.


Berdasarkan rakaman itu, kata Thomas, Jillian jelas nyaris ditarik ke dalam air selepas pergelangan tangannya digigit ikan lumba-lumba berkenaan secara mengejut.

"Serangan itu tidak dijangka kerana ia berlaku ketika Jillian memandang ke tempat lain," katanya. Klip video itu dimuat naik Thomas di Internet sebagai langkah menasihati ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati. Kata Thomas, perkara pertama terlintas di fikirannya ketika Jillian diterkam ialah mahu terjun ke kolam berkenaan untuk menyelamatkan nyawa anaknya. "Saya sangkakan ikan itu akan mengheret Jillian," katanya. Walaupun luka Jillian akan sembuh, Thomas dan isterinya tetap kecewa kerana kakitangan pusat rekreasi itu menganggapnya tidak serius. Kata Thomas, dia lega kerana Jillian tidak ditarik ke dalam kolam, tetapi tidak mustahil ada orang lain akan menerima nasib lebih buruk pada masa depan. "Ia bukan serangan pertama ikan lumba-lumba di situ," katanya. Walaupun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Sea World, Thomas berkata, dia berharap pusat rekreasi itu wajar menaikkan had usia bagi kanak-kanak yang ingin menyuap makanan kepada haiwan berkenaan.


Pada 2006, dua pengunjung dewasa terpaksa membuka mulut seekor ikan lumba-lumba yang membaham tangan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun. Sementara itu, jurucakap Sea World berkata, tiada sebarang perubahan dijangka dilakukan di situ. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Kanak-kanak peribumi hilang diseret buaya

Posted: 02 Dec 2012 08:23 AM PST

DARWIN: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun hilang selepas dia dibaham buaya ketika mandi bersama beberapa orang lain di Wilayah Utara Australia, semalam.

Ia adalah serangan kedua berlaku di situ dalam tempoh dua minggu.


Walaupun polis dan renjer meneruskan operasi menyelamatkan semalam, pihak berkuasa bimbang mereka gagal menyelamatkan mangsa, Kurang dua minggu lalu, seorang budak perempuan berusia tujuh tahun maut dibaham buaya di situ Selepas seekor buaya berjaya ditembak mati, pihak berkuasa menemui cebisan tubuh mangsa dalam perut reptilia berkenaan. Kejadian semalam berlaku di Port Bradshaw, membabitkan budak dipercayai daripada suku asli tempatan. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Terowong runtuh: lima maut

Posted: 02 Dec 2012 08:23 AM PST

OTSUKI (Jepun): Petugas penyelamat Jepun semalam menemui lima mayat rentung dalam terowong lebuh raya yang runtuh, menimbus kereta dan menyebabkan kebakaran menimbulkan kebimbangan ramai lagi terperangkap di dalamnya.

Sekurang-kurangnya tujuh orang hilang di dalam terowong sepanjang hampir lima kilometer itu. Saksi menceritakan detik menakutkan ketika sekurang-kurangnya sebuah kenderaan terbakar menyebabkan asap tebal menghalang penglihatan dan menyukarkan pernafasan. Selama beberapa jam pasukan penyelamat terpaksa menunda usaha mereka untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah siling konkrit seberat 1.5 tan yang runtuh dari bumbung, sementara jurutera memberi amaran lebih banyak serpihan konkrit yang akan runtuh. Petugas kecemasan yang bergegas ke Terowong Sasago di Lebuh Raya Chuo, 80 kilometer di barat Tokyo itu berdepan asap tebal yang keluar dari pintu masuk terowong itu. Puluhan orang meninggalkan kenderaan mereka di laluan yang menuju ke Tokyo itu dan melarikan diri keluar dari satu daripada laluan kecemasan atau ke pintu keluar terowong, di mana mereka terpaksa bertahan dalam cuaca sejuk. Petugas kecemasan yang dilengkapi peralatan pernafasan berhempas-pulas memasuki sepertiga laluan dalam terowong itu, di mana mereka menemui 110 meter siling konkrit runtuh dan menghempap sekurang-kurangnya dua kenderaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Iran gantung hukuman mati lepas pesalah bertaubat

Posted: 02 Dec 2012 08:22 AM PST

TEHERAN: Iran menggantung hukuman mati terhadap seorang pengaturcara komputer yang disabitkan bersalah mereka laman web pornografi selepas dia 'bertaubat', lapor agensi berita Mehr sebagai memetik kenyataan peguamnya.

Saeed Malekpour, pemastautin tetap di Kanada ditahan Disember 2008 di Iran ketika dia pulang ke tanah air untuk menziarahi bapanya yang sakit dan didakwa menjalankan operasi laman web lucah. Menurut kumpulan hak asasi manusia dan keluarganya, lelaki berusia 37 tahun itu didapati bersalah pada Disember 2010 atas tiga pertuduhan, termasuk "mereka dan mengendali laman web lucah dan menghina kesucian Islam".


Saeed membangun program untuk memuat turun gambar di Internet dan ia digunakan tanpa pengetahuannya untuk rekaan laman porno, kata kumpulan kemanusiaan dan keluarganya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Dua mati, 2 lagi cedera ditembak jurulatih mengamuk

Posted: 02 Dec 2012 08:22 AM PST

SETE (Perancis): Jurulatih pusat latihan menembak di selatan negara ini yang berang dengan jirannya kerana berbuat bising ketika parti hari jadi mengamuk semalam, membunuh dua orang dan mencederakan dua yang lain, kata polis.

Jurulatih berusia 49 tahun itu pergi ke kediaman jirannya di tingkat bawah meminta mereka memperlahankan bunyi muzik.


Apabila mereka enggan, dia memberi amaran: "Saya akan pulang ke rumah dan datang semula untuk membunuh anda," kata pendakwa raya Brice Robin. Jurulatih itu menepati janjinya apabila menceroboh masuk ke pangsapuri jirannya pada jam 2 pagi dan melepaskan tembakan kearah tetamu di situ. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Tiada lagi buruh murah

Posted: 02 Dec 2012 08:22 AM PST

JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono akan mengambil pendirian tegas berikutan tuntutan daripada kesatuan buruh agar mengakhiri persepsi antarabangsa bahawa Indonesia menjadi syurga bagi pelabur yang ingin memperoleh tenaga kerja yang murah.

Berikutan beberapa perhimpunan dilakukan kesatuan terbabit baru-baru ini yang sering berakhir dengan keganasan, Susilo berkata, pendirian kerajaan mengenai kebajikan buruh selaras dengan tuntutan mereka. "Menjadi tanggungjawab moral kita untuk berjuang mengatasinya. Era untuk tenaga buruh murah dan ketidakadilan sudah berakhir," katanya dalam ucapan di hadapan gabenor, datuk bandar, ketua polis dan komander tentera daerah.


Susilo menegaskan perhimpunan buruh dan mogok akan berhenti jika majikan lebih komited untuk memperbaiki kebajikan pekerja mereka.

Sejak dua bulan lalu, pekerja melakukan perhimpunan menuntut peningkatan bayaran gaji minimum secara purata melebihi 30 peratus mulai tahun depan. Jumlah pengambilan pekerja kontrak daripada pihak ketiga di bawah skim sumber luar juga dihadkan. Kerajaan akur kepada tekanan kesatuan dengan memperkenal dekri yang mengehadkan skim ambil pekerja luar. Beberapa pentadbiran tempatan juga bersetuju untuk menaikkan gaji minimum pada tahun depan. Pentadbiran Jakarta memutuskan untuk meningkatkan gaji minimum kepada 44 peratus berbanding 25 peratus yang dituntut kesatuan sekerja. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Singapura hantar pulang 29 drebar bas China

Posted: 02 Dec 2012 08:21 AM PST

SINGAPURA: Singapura semalam menghantar pulang 29 pemandu bas China yang terbabit dalam mogok pertama di negara itu sejak 26 tahun lalu.

Pemandu berkenaan yang bekerja untuk operator pengangkutan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, SMRT melancarkan mogok pada Isnin dan Selasa lalu ekoran perbalahan gaji dan menuntut keadaan pekerjaan lebih baik. Permit kerja mereka juga dibatalkan sebelum penghantaran pulang itu. "Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa kesemua 29 bekas pemandu bas SMRT telah dihantar pulang ke negara asal mereka," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.


"Mereka memberi kerjasama dan proses itu berlangsung tanpa insiden tidak diingini," kata kenyataan itu sambil menambah pegawai kedutaan China dan kakitangan SMRT turut membantu dalam proses penghantaran pulang itu. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Indonesia mahu bina sekolah di Gaza

Posted: 02 Dec 2012 08:21 AM PST

JAKARTA: Indonesia akan membina sebuah sekolah di Gaza, Palestin, menurut Pengarah Aksi Cepat Tanggap (ACT), Doddy Cleveland.

Sekolah itu akan dibina di kawasan seluas 5,000 meter persegi di Bait Lahiya, utara Gaza.


Doddy bersama dengan sekumpulan ahli Parlimen Indonesia akan mengunjungi Gaza untuk menyerahkan bantuan kecemasan kepada mangsa kekejaman tentera Israel, lapor agensi berita Antara. Delegasi itu yang diketuai Pengerusi Suruhanjaya Dewan Perwakilan I, Mahfudz Siddiq terdiri daripada tujuh ahli Parlimen, 10 wartawan dan sebilangan aktivis organisasi bukan kerajaan dan kakitangan kedutaan Indonesia di Kaherah dan Amman. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


332 sekolah di Pattani dibuka semula hari ini

Posted: 02 Dec 2012 08:21 AM PST

BANGKOK: Kesemua 332 sekolah di Pattani akan dibuka semula esok (hari ini) selepas guru diyakinkan Menteri Pendidikan, Pongthep Thepkanchana bahawa tuntutan mereka akan dipenuhi secepat mungkin, kata Pengerusi Persatuan Guru Wilayah Selatan Thai, Boonsom Srithongprai, semalam.

Persatuan itu menyerahkan resolusi untuk menutup kesemua 332 sekolah di Pattani tanpa batasan masa, menuntut kajian semula langkah keselamatan terhadap guru selepas pengarah sekolah Tha Kam Sam ditembak mati kumpulan militan pada 22 November lalu.


Ekoran kejadian itu, guru melancarkan mogok dan sekolah ditutup mulai 26 November lalu. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


No comments:

Post a Comment