Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pandang hadapan

Posted: 02 Dec 2012 08:20 AM PST

PENYERANG negara, Mohd Safee Sali tidak lagi mahu memandang aksi peringkat kumpulan selepas Harimau Malaya mara ke separuh akhir berdepan Thailand.

Skuad Gajah Perang yang dibimbing Winfried Schafer kini menanti anak buah Datuk K Rajagobal dalam dua peringkat separuh akhir manakala Singapura menentang Filipina bagi merebut dua tiket ke final.


"Berdepan Thailand adalah satu perlawanan berlainan. Kita pernah bermain dengan mereka dalam perlawanan persahabatan. Jadi pada saya, kita perlu membaiki setiap kelemahan yang ada sebelum perlawanan," kata penjaring terbanyak negara dalam Piala AFF dengan lapan gol.

Malaysia dalam satu aksi persahabatan di Bangkok pada awal bulan lalu kecundang 0-2 menerusi jaringan Prayat Bunya pada minit ke-26 dan rembatan kencang Arthit Sunthornphit dari luar kotak penalti minit ke-80 bagi menewaskan penjaga gawang, Mohd Farizal Marlias pada perlawanan itu.


Thailand membuktikan mereka pencabar utama untuk merampas kejuaraan kali ini apabila muncul juara Kumpulan A dengan meraih mata maksimum dalam tiga perlawanan dengan meledak sembilan gol, paling banyak berbanding pasukan lain dan hanya melepaskan dua gol.


"Memang diakui jentera serangan dan pertahanan mereka bagus namun kami perlu menggunakan tempoh yang ada sebaik mungkin," katanya yang baru meledak satu gol.

Safee yang banyak dikritik kerana kegagalannya menyerlah, hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Laos.


Selaku peledak hebat yang beraksi dalam Liga ISL dengan kelab Pelita Jaya dia diharap mempamerkan ketajamannya membolosi gawang lawan.

Namun dia agak tumpul dan kerap melepaskan peluang keemasan di gawang lawan. Begitu juga halnya bagi Norshahrul Idlan Talaha.


"Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik nanti dan berharap gol kedua akan menyusul berdepan Thailand nanti.


"Saya harap penyokong bersabar dan tetap memberikan sokongan padu kepada skuad negara," katanya. Mengenai Indonesia, Safee berasakan juara edisi 2010 itu lebih bagus dan berpengalaman berbanding pemain yang tampil bersaing kali ini.


"Saya rasa mereka akan lebih hebat jika mempunyai pemain Liga Super Indonesia (ISL). Saya harap konflik yang berlaku dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Hampiri Mueller

Posted: 02 Dec 2012 08:16 AM PST

MADRID: Lionel Messi semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman milik Gerd Mueller ketika Barcelona membelasah Athletic Bilbao 5-1 awal pagi semalam untuk mencipta rekod baru permulaan terbaik dalam saingan La Liga dan kekal 11 mata mengatasi Real Madrid.

Real yang juga juara bertahan mengetepikan musuh setempat, Atletico 2-0 dengan Cristiano Ronaldo meledak jaringan bagi meneruskan harapan mempertahankan gelaran.


Barca kini mengumpul 13 kemenangan dan sekali seri dalam 14 aksi terakhir untuk memecahkan rekod sebelum ini dalam liga Sepanyol yang dilakukan Real Madrid pada musim 1991-92.

"Ia sesuatu yang membanggakan namun saya lebih gembira dengan persembahan pemain dan ketika mendahului 5-1 kami terus memberi tekanan dan cuba menjaringkan lebih banyak gol," kata jurulatih Barca, Tito Vilanova. "Masih ada perkara yang kami boleh perbaiki dan kami boleh berusaha lebih keras lagi." Gerard Pique meletakkan skuad Catalan itu mendahului selepas 22 minit diikuti jaringan pertama Messi yang menewaskan pemain pertahanan Fernando Amorebieta di garisan gol sebelum Adriano Correia meledak jaringan ketiga sebelum tamat babak pertama.


Cesc Fabregas kemudian menambah jaringan diikuti jaringan sagu hati Ibai Gomez sebelum Messi meledak sekali lagi.


Messi kini kekurangan satu gol berbanding rekod Mueller yang menjaringkan 85 gol dalam kalendar setahun yang dilakukan pemain itu ketika bersama Bayern Munich dan Jerman pada 1972.

Atletico Madrid, yang berada pada prestasi baik ketika ini untuk menghuni tempat kedua, berasakan ia detik terbaik untuk menewaskan Real Madrid sejak kemenangan terakhir pada Oktober 1999 namun mereka jarang mengancam apabila gagal menenangkan diri dalam perlawanan mencabar itu.


Ronaldo tenang dan mempamerkan dia berada di tahap tersendiri walaupun tanpa sebarang gol dalam tiga perlawanan dengan meledak jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-15 dari jarak 30 meter yang menggegar penjuru gawang. Pemain itu sekali lagi melakukan larian ke dalam kotak penalti selepas 53 minit dan melakukan hantaran kepada Mesut Ozil untuk melakukan sepakan voli dari jarak 15 meter bagi gol kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Beckham julang kejayaan LA Galaxy

Posted: 02 Dec 2012 08:16 AM PST

CARSON (Amerika Syarikat): David Beckham meninggalkan Major League Soccer dengan kejayaan selepas Los Angeles Galaxy mempertahankan kejuaraan dengan mengatasi Houston Dynamo 3-1 pada perlawanan akhir Piala MLS, semalam.

LA bagaimanapun terpaksa bangkit selepas Calen Carr meletakkan Houston di depan seminit sebelum rehat namun Galaxy menguasai babak kedua.


Pertahanan Omar Gonzalez menanduk masuk gol penyamaan selepas sejam sebelum Landon Donovan menyempurnakan sepakan penalti lima minit kemudian untuk membolehkan Galaxy mendahului.

Penyerang Robbie Keane, yang kecewa selepas dua jaringannya tidak disahkan, melengkapkan gol ketiga pada masa kecederaan selepas dia menjaringkan gol menerusi penalti sesudah dijatuhkan penjaga gol Houston, Tally Hall.


Perlawanan itu adalah penampilan kompetitif terakhir bekas kapten England, Beckham buat Galaxy selepas enam musim dan dia menerima tepukan gemuruh penyokong ketika digantikan pada saat akhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Juventus masih gah

Posted: 02 Dec 2012 08:15 AM PST

TURIN: Claudio Marchisio dan Sebastian Giovinco menjaringkan gol pada babak kedua untuk membolehkan Juventus menewaskan Torino 3-0 yang beraksi dengan 10 pemain bagi melengkapkan kemenangan ke-60 dalam pertarungan jiran setempat "Derby della Mole", awal pagi semalam.

Juventus mendominasi permainan, namun selain persembahan mantap pemain tengah Perancis, Paul Pogba, persembahan Juve pada separuh masa pertama kurang menyengat, termasuk kegagalan Andrea Pirlo menyempurnakan sepakan penalti.


Skuad kendalian Antonio Conte menebusnya pada babak kedua menerusi jaringan Giovinco pada minit ke-67 selain dua jaringan Marchisio pada minit ke-57 dan 84 selepas pertahanan Torino, Kamel Glik dibuang padang.

Kemenangan ke-11 Juventus dalam 14 perlawanan menjadikan mereka kini mempunyai kelebihan lima mata ke atas Napoli.


Seminggu selepas mengalami kekalahan kedua musim ini di AC Milan dan empat hari sebelum perlawanan getir Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donestk, Marchisio berkata: "Adalah bagus untuk kembali mencatat kemenangan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Brazil bukan pilihan

Posted: 02 Dec 2012 08:15 AM PST

SAO PAULO: Tuan rumah Brazil akan berdepan Jepun pada perlawanan pembukaan Piala Konfederasi pada 15 Jun tahun depan di Brasilia selepas undian kejohanan itu di Sao Paulo, kelmarin.

Selepas perlawanan menentang juara Asia itu, Brazil yang dibimbing Luiz Felipe Scolari yang dilantik semula minggu lalu, akan menentang juara Concacaf, Mexico dan kemudian juara dunia empat kali, Itali, naib juara Euro 2012, bagi melengkapkan jadual peringkat kumpulan.


Juara dunia, Sepanyol berada dalam Kumpulan B di samping juara dunia dua kali, Uruguay, juara Oceania, Tahiti dan pasukan yang menjuarai Piala Negara-Negara Afrika awal tahun depan.

Scolari, yang membimbing Brazil memenangi Piala Dunia 2002, kembali memegang kerusi panas itu Khamis lalu dan menegaskan pasukannya bukanlah pilihan namun membuat sasaran besar.


"Kami diundi dalam kumpulan yang kuat. Saya tidak fikir Brazil adalah pasukan pilihan dan saya tidak fikir Sepanyol satu-satunya pasukan pilihan utama.


"Matlamat kami jelas iaitu untuk memenangi Piala Dunia dan Piala Konfederasi, itulah sasaran kami," kata Scolari.

Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, menegaskan tiada siapa sepatutnya memandang rendah cabaran Brazil. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Janji kepada penyokong

Posted: 02 Dec 2012 08:14 AM PST

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memberitahu peminat kelab itu beliau akan mengembalikan semula keceriaan ke kelab itu selepas Swansea menundukkan mereka 2-0 di Stadium Emirates, kelmarin.

Kekalahan Sabtu lalu mencetus protes di luar stadium itu oleh beratus-ratus penyokong yang marah dengan tindakan ahli lembaga pengarah kelab sering menjual pemain bintang kepada kelab pencabar Liga Juara-Juara.


Arsenal turut diejek selepas wisel penamat, keputusan yang menyaksikan mereka merudum ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris, tiga anak tangga di belakang Swansea, namun Wenger yakin beliau boleh mengemudi kelab itu mengatasi masalah semasa.

"Saya memegang jawatan ini untuk mengubah keadaan dan saya yakin kerana kami mempunyai pemain berkualiti dengan semangat dalam pasukan, jadi ini adalah masanya untuk bersatu hati," katanya.


"Ketika ini kami konsisten jika beraksi di gelanggang lawan, keputusan kami positif, tapi di laman sendiri kami tidak mempamerkan persembahan sejak awal musim seperti yang anda harapkan daripada kami dan itulah sebabnya kami perlu mencari jalan penyelesaian.


"Ketika ini, kami bermain bagaikan menggunakan brek tangan di laman sendiri dan ia tidak bagus. Mungkin ada masalah psikologi juga yang menjadi salah satu punca persembahan kami merosot.

"Sudah tentu ia menyakitkan tapi saya tidak begitu bimbang mengenai kedudukan ketika ini, walaupun tangga ke-10 bukanlah tempat yang mahu kami huni." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


City perlu lebih garang

Posted: 02 Dec 2012 08:14 AM PST

MANCHESTER: Roberto Mancini mengakui Manchester City perlu lebih garang selepas penyandang juara itu seri 1-1 dengan Everton menjelang pertembungan cukup getir berdepan musuh tradisi, Manchester United hujung minggu ini.

Mancini akan bersama anak buahnya ke Jerman pada pertengahan minggu ini bagi perlawanan terakhir kumpulan Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund yang mana kemenangan masih belum menjamin mereka mengelakkan daripada tersingkir awal dalam kejohanan elit Eropah itu.


Namun Mancini dan barisan pemainnya sudah memberikan fokus lebih awal bagi pertarungan jiran setempat Manchester yang pertama musim ini dengan pendahulu Liga Perdana, United akan berkunjung ke Eastlands Ahad ini mendahului tiga mata ke atas pasukan di tangga kedua, City.

Mancini menerima hakikat City tidak berada pada prestasi terbaik dan ia terbukti sekali lagi apabila Everton hampir mencipta kejutan namun Carlos Tevez menjadi penyelamat dengan gol penyamaan menerusi sepakan penalti yang dibantah oleh pengurus Toffees, David Moyes.


"Kami bermain dengan baik menentang Chelsea tapi kami tidak menang, kami juga beraksi cemerlang pada babak kedua di Wigan. Kami berada pada prestasi baik ketika ini," kata Mancini.


"Tapi kami masih belum berada di tahap 100 peratus kerana penyerang kami gagal menjaringkan gol seperti yang mereka lakukan musim lalu." Mancini masih belum dapat menyelesaikan masalah itu musim ini. Beliau memiliki empat penyerang terbaik yang kini seperti hilang naluri pemusnah di depan gawang. Prestasi mereka tidak seperti ketika mengejutkan United dengan kemenangan bergaya 6-1 di Old Trafford musim lalu.

Penyerang City, Tevez, Edin Dzeko, Sergio Aguero dan Mario Balotelli gagal menyaingi kehebatan pemain tengah Everton, Marouane Fellaini yang menghasilkan gol kelapan musim ini dengan jaringan pembukaan pasukan pelawat di minit ke-33.


Fellaini kemudian menghadiahkan sepakan penalti kepada City apabila menjatuhkan Dzeko pada minit ke-43 dan Tevez tenang menyempurnakan sepakan itu dengan memperdayakan penjaga gol, Tim Howard. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Tugas Benitez bertambah sukar

Posted: 02 Dec 2012 08:14 AM PST

LONDON: Rafael Benitez mengakui tugas untuk menyelamatkan Chelsea kini menjadi lebih sukar daripada apa yang beliau jangkakan selepas menyaksikan pasukannya kecundang 1-3 di tangan West Ham, kelmarin.

Selepas lebih seminggu bertugas bersama kelab baru itu, Benitez sekadar meraih dua keputusan seri tanpa jaringan dan satu keputusan yang menyebabkan misi mereka memburu gelaran juara Liga Perdana terjejas teruk.


Keputusan itu semakin membakar segelintir penyokong yang tidak berpuas hati dengan pemecatan Roberto Di Matteo dan menentang pelantikan Benitez. Sentimen kemarahan itu jelas ditunjukkan oleh penyokong ketika berkunjung ke Upton Park.

Kini fokus Benitez terarah kepada pertemuan dengan Nordsjaelland dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini yang cukup penting buat Chelsea merakam kemenangan jika mahu menghidupkan peluang mara ke peringkat kalah mati di kejohanan yang mereka menangi musim lalu.


Untuk merealisasikan misi menentang kelab dari Denmark itu, pengurus sementara itu harus menyuntik semangat pemain yang direntap West Ham dalam aksi kelmarin.


Ketika ditanya adakah beliau berasakan tugasnya kini lebih mencabar berbanding ketika beliau menerima tawaran menggantikan Di Matteo, beliau berkata: "Boleh jadi. Saingan sudah memasuki pertengahan musim dan kedudukan kami tidak bagus. Kami akan berusaha untuk memperbaikinya tapi ia memerlukan masa." Kesukaran itu mencetuskan persoalan mengenai masa depan Benitez meskipun baru saja memikul tugas itu.

Namun beliau berkata: "Fokus saya sekarang adalah memantapkan pasukan. Jika kami melakukannya dan mula memenangi perlawanan, kami boleh mengubah keadaan. Paling penting buat saya adalah memantapkan pasukan. Saya tidak fikir perkara lain." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


‘Perlu lebih kukuh’

Posted: 02 Dec 2012 08:14 AM PST

READING (England): Alex Ferguson menegaskan Manchester United tidak boleh terus ketinggalan dalam perlawanan jika mereka mahu merampas kembali kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

United ketinggalan tujuh kali dalam perlawanan musim ini sebelum mencatat kemenangan dengan kebangkitan terbaru mereka menang 4-3 ke atas Reading di gelanggang lawan, awal pagi semalam.


Namun pengurus Manchester United itu sedar mereka tidak boleh terus terselamat dengan benteng pertahanan dilihat terlalu longgar dan dibolosi sebanyak 15 gol dalam liga musim ini.

Dengan pertembungan jiran setempat Manchester di Stadium Etihad semakin menghampiri, Ferguson sedar pasukannya tidak boleh mengulangi persembahan buruk di benteng pertahanan.


"Saya fikir ia satu rekod jaringan menentang Reading dalam Liga Perdana sebaik babak pertama tamat," katanya.


"Ia sesuatu yang sukar dipercayai. Pertahanan kami bertindak buruk pada babak pertama. Ia persembahan terburuk kami musim ini, memang pasti yang terburuk.

"Kami perlu mengatasinya. Kami menerima padahnya tapi mujurlah ada gol yang menyelamatkan kami sepanjang masa.


"Pada babak pertama, saya berkata kepada diri sendiri betapa ini satu keajaiban jika kami menang berdasarkan corak kami bertahan. Saya bangga kami berjaya memenanginya.

"Ia bukannya persoalan mengenai karakter. Tapi jika anda melakukan kesilapan ketika bertahan, ia bermakna anda perlu bangkit setiap minggu. Inilah yang berlaku sekali lagi." Hal Robson-Kanu (m8), Adam Le Fondre (m19) dan Sean Morrison (m23) meletakkan Reading di depan sebelum United membalas menerusi Anderson (m13), Wayne Rooney (m16-penalti dan 30) dan Robin van Persie (m34). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


Villas-Boas pertahan Bale

Posted: 02 Dec 2012 08:13 AM PST

LONDON: Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas bingkas mempertahankan Gareth Bale selepas pemain sayap itu dilayangkan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan diri ketika pasukannya menang 3-0 ke atas Fulham.

Bale dihantui dakwaan dia sering cuba sengaja menjatuhkan diri untuk mendapat sepakan percuma atau penalti dan pemain antarabangsa Wales itu kembali mencuri tumpuan selepas lagak terbarunya di Craven Cottage, kelmarin.


Pemain berusia 23 tahun itu menerima kad kuning menentang Liverpool pada pertengahan minggu dan sekali lagi menerima kad sama menentang Fulham apabila pengadil, Chris Foy menghukumnya kerana menjatuhkan diri berikutan cabaran pemain tengah Cottagers, Steve Sidwell.

Namun, ulang tayang membuktikan ada sentuhan oleh Sidwell dan Villas-Boas pantas mendakwa kad kuning itu tidak adil buat Bale.


"Gareth terlalu pantas jadi ia amat sukar (buat pengadil) untuk mengadili keadaan itu," kata Villas-Boas.


"Dia mengalami kecederaan di buku lali sebelum ini dan kadang kala dia mahu menjaganya daripada lebih teruk lagi.

"Dia mungkin berada pada situasi yang menyebabkan pengadil berasakan dia sengaja melayangkan badan dan dia mengalami situasi ini dalam dua perlawanan terakhir." Lebih teruk buat Bale, bekas pemain Southampton itu dikeluarkan kerana kecederaan hamstring dan terpaksa diketepikan selama dua minggu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03


No comments:

Post a Comment