Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Polis maut motor terbabas

Posted: 06 Jan 2013 02:31 PM PST

Petaling Jaya: Seorang anggota polis Balai Bukit Puchong, Subang Jaya, maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika melalui lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran pusat beli-belah Empire Gallery, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Konstabel Khairul Naim Mohd Saudi, 25, yang menunggang motosikal Yamaha CRS 800 seorang diri menghala ke ibu negara meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dijalankan sebelum jenazah diserahkan kepada warisnya.

Foto

ANGGOTA polis mengangkat jenazah mangsa.

Foto

JENAZAH Khairul Naim dibawa ke PPUM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Gangguan air Lembah Klang belum pulih sepenuhnya

Posted: 06 Jan 2013 02:26 PM PST

Kuala Lumpur: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang yang berlaku sejak 29 Disember lalu belum pulih sepenuhnya sehingga semalam.

Gangguan berkenaan menyebabkan banyak rutin harian penduduk sukar diteruskan kerana ketiadaan air yang menjadi asas kepada kehidupan.


Penduduk di Pandan Jaya, Ampang, Norlia Ali, 45, berkata, ketiadaan air yang berlaku menimbulkan kesusahan kepada penduduk untuk melakukan pelbagai aktiviti harian seperti membasuh dan memasak.

"Bila air tiada urusan harian seperti memasak dan membasuh tidak dapat dilakukan, saya terpaksa membeli makanan dari restoran dan hanya makan roti serta sukar untuk menjalani kehidupan seharian terutama ketika hendak menggunakan tandas.


"Kehidupan sangat sukar kerana air menjadi keperluan asas kita dan ketiadaan air menyebabkan kehidupan terganggu," katanya.


Peniaga makanan di kawasan sama, Muhammad Izzul Hakim, 23, berkata, ketiadaan air menyukarkannya menjalankan perniagaan.

"Ketiadaan air menyebabkan saya terpaksa membawa bekalan air dari rumah ke kedai yang digunakan untuk memasak dan membersihkan pinggan mangkuk," katanya. Pengusaha restoran di Taman Cahaya, Ampang, Anuar Nasir, 27, berkata, masalah ketiadaan air menyebabkan terpaksa memulakan operasi perniagaan lewat daripada biasa kerana dia terpaksa menguruskan bekalan air pada sebelah pagi.


"Masalah air memberikan kesukaran pada saya untuk menyediakan makanan pada waktu tengah hari kerana kebiasaan saya membuka restoran pada jam 12 tengah hari. Kadang kala saya terpaksa membuka kedai lewat kerana membuat persediaan untuk jualan disebabkan masalah air yang kami hadapi sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Pandu ke hospital lepas ditembak

Posted: 06 Jan 2013 02:26 PM PST

Petaling Jaya: Seorang ahli perniagaan yang ditembak dua lelaki sempat memandu sejauh kira-kira satu kilometer ke Hospital Pakar Damansara, di sini untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia dua jam kemudian akibat kecederaan parah di bahagian rusuk kanan.

Dalam kejadian di Damansara kira-kira jam 11 malam, Jumaat lalu itu, mangsa yang berusia 36 tahun memandu kereta BMW bersama teman wanitanya dalam perjalanan ke rumah saudaranya di SS20.


Mereka diekori dua lelaki dengan menaiki sebuah kereta sebelum tiba-tiba kereta mangsa dihalang dan salah seorang daripada lelaki itu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, selepas ditembak, mangsa yang cedera parah cuba memandu ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi meninggal dunia dua jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Lepas ambil usah bangun

Posted: 06 Jan 2013 02:24 PM PST

"Selepas masukkan ubat menerusi kemaluan, awak tak boleh bangun, kena baring saja, ubat seterusnya dan air kosong letak di sebelah supaya mudah dimakan."

Itu antara arahan yang dimaklumkan melalui SMS lelaki yang menjual pil gugur kepada wartawan Harian Metro mengenai kaedah pengambilan bahan itu bagi memastikan ia berkesan selepas digunakan.


Menerusi 12 SMS diterima, wartawan yang menyamar pembeli diterangkan mengenai diet yang perlu diikuti termasuk pantang larang serta aturan penjagaan memastikan pengguguran janin berlaku selain meminta supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Sebelum masukkan ubat, pastikan awak sudah buang air kecil dan tangan mesti bersih sebelum memegang ubat ini," katanya.


Turut diterangkan, setiap pelanggan diberikan dua pilihan untuk membeli pil terbabit dalam dos berbeza iaitu RM15 bagi setiap biji dengan pilihan pertama, 20 pil dijual pada harga RM310 termasuk kos penghantaran tambahan RM10.


Bagi pilihan kedua, setiap set mengandungi 20 ubat dijual dengan harga RM340 disertakan pakej ubat tambahan serta kos penghantaran pos dengan harga sama seperti pakej pertama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Rupanya ubat rawat ulser

Posted: 06 Jan 2013 02:24 PM PST

Semakan dibuat Harian Metro terhadap pil gugur janin yang dijual secara haram melalui Internet oleh seorang lelaki mendapati ia produk tulen, tetapi kegunaan sebenarnya bukan untuk menggugurkan kandungan sebaliknya ubat antiulser.

Pil itu didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk merawat penyakit ulser duodenum dan ulser gastrik.


Timbalan Pengarah (Pencegahan dan Kesedaran Pengguna) Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Mazlan Ismail yang diberikan pil itu untuk pengesahan berkata, pil itu diluluskan untuk jualan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, katanya, ramai pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan racun terkawal bagi tujuan mengaut untung tanpa mengira kesan buruk terhadap pengguna.


"Mereka menjual ubat berkenaan berdasarkan kesan negatif ke atas pengguna terutama berkait dengan aktiviti pengguguran janin secara haram berbanding fungsi asalnya," katanya.


Menjelaskan lebih lanjut mengenai kegunaan pil itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM, Datuk Eisah A Rahman berkata, ia untuk menghalang rembesan asid usus, namun ia mempunyai risiko kontraksi pada uterus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

No comments:

Post a Comment