Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tindakan berani Ramdan

Posted: 08 Jan 2013 01:07 PM PST

Kuala Lumpur: Juara baru Grand Prix Final Kebangsaan, Misbun Ramdan Misbun (gambar) meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjalani latihan bersama bapanya, Datuk Misbun Sidek di kelab Nusa Mahsuri.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai yang dihubungi mengesahkan hal itu dan berkata, Ramdan tidak menunjukkan tanda tidak puas hati sebelum menghantar surat untuk keluar.


"Kelmarin Ramdan menghantar surat keluar daripada BAM. Waktu itu saya dan Kenny Goh (Pengurus Besar) tiada di pejabat dan pada malamnya dia bertemu dengan jurulatih Hendrawan," kata Chin Chai.

"Dalam surat itu, dia menyatakan hasratnya untuk meninggalkan BAM atas alasan masalah peribadi." Justeru Chin Chai berkata, pihaknya tidak dapat menghalang Ramdan, apatah lagi selepas pemain itu tidak hadir menjalani latihan semalam.


"Saya anggap tindakan Ramdan berkuat kuasa serta-merta tapi kami akan bawa perkara ini ke mesyuarat Exco minggu depan untuk menentukan tindakan susulan." Sementara itu, jurulatihnya, Hendrawan mengaku Ramdan bertemunya pada malam selepas menghantar surat kepada BAM.


"Dia datang berjumpa saya memberitahu perkara itu dan menjelaskan mahu mengikuti ayahnya (Misbun). Lalu saya bertanya adakah saya ataupun sistem latihan menjadi masalah kepadanya tapi dia menjawab tiada masalah cuma mahu mengikut ayah," kata Hendrawan sambil menyatakan Ramdan berterima kasih kepadanya kerana menaikkan namanya hingga ke tahap sekarang.

Selain muncul juara GP Kebangsaan, Ramdan kini menduduki ranking ke-87 dunia.


Minggu lalu, ahli keluarga Sidek, iaitu Rahman menempelak BAM dengan menyatakan program badan induk itu terlalu perlahan untuk menaikkan tahap permainan pemain pelapis.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Orbit de Futsal tawar hadiah lumayan

Posted: 08 Jan 2013 12:55 PM PST

Kuala Lumpur: Orbit de Futsal akan mengadakan kejohanan terbuka bertemakan perpaduan dan semangat setiakawan sempena pembukaan gelanggang itu pada 27 Januari ini.

Pemiliknya, Nik Mohd Radzi berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan, RM6,000 dengan juara membawa pulang RM3,000 berserta piala, medal dan barangan sukan Figos.


Yuran penyertaan RM200 dikenakan bagi setiap pasukan dengan tarikh tutup penyertaan pada 25 Januari.

"Kejohanan ini bertujuan merapatkan hubungan dan mengucapkan terima kasih. Justeru, saya harap semua pasukan yang dahagakan pertandingan sempena tahun baru ini menyertai kejohanan itu sebagai pemanas badan untuk kejohanan lebih besar seperti Karnival Futsal Harian Metro dan Hidup Bola Milo," katanya.


Selepas sekian lama berkecimpung dalam sukan futsal sebagai pengadil dan pengarah teknikal, Nik Mohd Radzi akhirnya memiliki gelanggang futsal sendiri di Segambut, Kuala Lumpur.


Orbit de Futsal (sebelum ini Samba de Futsal) yang mula diambil alih pada 1 Disember lalu, mempunyai enam gelanggang dengan dua daripadanya bersaiz FIFA.

Selain beliau, Orbit de Futsal Segambut turut diterajui bekas pemain skuad Olimpik Barcelona 1992, Adnan Ibrahim.


Sehubungan itu, pasukan berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh menghubungi beliau menerusi 019-200 8844, Razif (019-695 4544), Nik A Farez (010-5393 767), Orbit de Futsal (013-911 8877) atau email orbitdefutsal@gmail.com.

Borang penyertaan boleh dimuat turun menerusi web www.kelate.net/kejohanan-futsal-terbuka-orbit-de-futsal-segambut/.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Libasan Biru Kampung Idaman tawar RM5,000

Posted: 08 Jan 2013 12:55 PM PST

Kuala Lumpur: Kira-kira 150 regu tanpa kelibat pemain negeri atau negara akan bersaing merebut ganjaran hampir RM5,000 pada kejohanan Libasan Biru Sepak Takraw Terbuka Selangor Piala Kampung Idaman, Klang dari 23 hingga 24 Februari.

Kejohanan bakat baru di Dewan Serba Guna dan Dewan PIBG, Kampung Idaman ini menawarkan RM2,000 buat regu juara, naib juara RM1,000 dan pasukan yang tewas separuh akhir, RM500 serta empat pasukan tewas suku akhir, RM100.


Penyertaan hanya terbuka kepada warganegara Malaysia dengan setiap regu cuma dibenarkan mendaftar seorang pemain yang pernah beraksi dalam Sukan Malaysia, Kejohanan Belia Kebangsaan dan Kejohanan Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK).

Hanya RM80 dikenakan sebagai yuran penyertaan bagi setiap regu yang perlu mempunyai tiga pemain dan satu simpanan tapi pemain negeri, Angkatan Tentera dan Polis serta negara yang berusia kurang 40 tahun, tidak dibenarkan menyertai kejohanan.


Libasan Biru anjuran Persatuan Belia Melayu Kampung Idaman (Pekidam) ini akan dijalankan dalam sistem kiraan baru permainan 15 mata dengan servis bergilir tiga kali berturut-turut. Kemenangan perlawanan ditentukan dalam tiga set dan berformat kalah mati. Mereka yang berminat diminta menghubungi Mohd Zubir Muhamad Shari, 019-3362642; Azzan Azizi (012-3012139) dan Azizan Johar (013-2294445) sebelum tarikh tutup penyertaan, 21 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Peluang cerah laksana impian

Posted: 08 Jan 2013 12:55 PM PST

Kuala Lumpur: Pelumba remaja, Jazeman Jaafar bakal melangkah ke kejuaraan berprestij, Formula Renault 3.5 (FR3.5) musim ini, kejuaraan yang bakal merealisasikan impiannya untuk menjadi pelumba Formula Satu (F1).

Pelumba berusia 20 tahun ini terus mendapat sokongan PETRONAS bagi menyertai siri FR3.5 dan sekali lagi akan bersama pasukan Carlin, pasukan sama yang melonjakkan karier perlumbaannya dalam saingan Formula 3 Britain (F3) sejak tiga tahun lalu.


"Saya begitu gembira selepas disahkan menyertai FR3.5 pada tahun ini dan sudah tidak sabar untuk berada di petak mula Kejuaraan Siri Dunia Renault ini. Selepas melalui musim hebat siri F3, berita ini cukup menakjubkan." "Saya berterima kasih kepada PETRONAS kerana meneruskan sokongan dan percaya terhadap kemampuan saya. Saya bangga dapat beraksi bersama jenama berprofil tinggi dalam dunia sukan global hari ini," kata Jazeman sewaktu membuat pengumuman penyertaan saingan FR3.5, semalam.

FR3.5 adalah kejuaraan utama Kejuaraan Siri Dunia Renault yang diiktiraf sebagai perlumbaan perantara sebelum pelumba melangkah ke F1, kejuaraan tertinggi dalam sukan pemotoran.


"Saya sudah menguji jentera FR3.5 baru-baru ini dan sukakan cabarannya. Ia lebih berkuasa dan lebih teknikal berbanding jentera F3 tapi masih banyak yang perlu saya pelajari. Saya juga perlu meningkatkan kecergasan memandangkan pengendalian jentera ini mementingkan keupayaan fizikal selain masa perlumbaan juga lebih lama." Carlin pernah melahirkan ramai pelumba bintang, termasuk Sebastian Vettel, Jaime Alguersuari dan Jean-Eric Vergne yang mencipta nama dalam kancah F1 dan dikenal pasti daripada perlumbaan FR3.5.


Jazeman turut beraksi di venue baru, termasuk litar terkenal dan menjadi ikon sukan pemotoran, Litar Monaco dan FR3.5 menjadi perlumbaan sokongan kepada Formula 1 Grand Prix Monaco.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Harimau Selatan longlai

Posted: 08 Jan 2013 12:54 PM PST

Kuala Lumpur: Pahang mencalar imej pasukan berbelanja besar musim ini, Johor Darul Takzim FC selepas mencipta kebangkitan dengan kemenangan 3-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darulmakmur malam tadi.

Ternyata reputasi hebat barisan serba bintang pasukan Harimau Selatan itu seakan tidak memberi sebarang makna biarpun mereka membariskan bintang Sepanyol, Daniel Guiza, kapten kebangsaan, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya untuk menggempur kubu Pahang.


Beraksi di depan penyokong sendiri, Pahang yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan Dollah Salleh hampir di depan selepas penyerang import dari Macedonia, Nikolce Kleckarovski menolak masuk bola ke gawang pasukan pelawat pada minit ke-10.

Namun jaringan itu tidak disahkan pengadil kerana dia terlebih dulu mengasari penjaga gol Darul Takzim, Muhammad Al-Hafiz Hamzah yang cuba menangkap bola hantaran jauh pemain Pahang.


Ketika pemain skuad Tok Gajah sibuk mempersoalkan keputusan pengadil itu, pasukan pelawat melancarkan serangan pantas menerusi Guiza yang melakukan hantaran dan berjaya ditanduk Safiq untuk menjadikan kedudukan 1-0.


Guiza yang membantu Sepanyol juara Euro 2008 sekali lagi menjadi penggerak serangan Darul Takzim apabila melorongkan bola kepada penyerang kebangsaan, Norshahrul yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Nasril Nourdin pada minit ke-26.

Ketinggalan 0-2, Pahang bangkit memburu gol dan usaha mereka berhasil apabila penyerang berusia 24 tahun, Mohd Fauzi Roslan meledak gol pada minit ke-50.


Terancam dengan kedudukan itu, skuad Harimau Selatan yang dibimbing bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad cuba menambah jaringan namun Safiq mensia-siakan peluang di depan gol selepas sepakannya melambung tinggi selepas mendapat umpanan Guiza pada minit ke-65.

Amukan Tok Gajah gagal dibendung pasukan pelawat apabila Fauzi bijak melepasi kawalan pertahanan dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan lencong ke penjuru gawang untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-72.


Tujuh minit sebelum perlawanan tamat, pemain baru Pahang, R Surendran yang beraksi bersama Selangor sebelum ini memastikan tiga mata penuh apabila menjaringkan gol kemenangan dengan menolak masuk bola di depan gol selepas mendapat hantaran silang Mohd Faizol Hussien dari sebelah kiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Selangor mula langkah kanan

Posted: 08 Jan 2013 12:53 PM PST

Shah Alam: Selangor memulakan langkah kanan pada perlawanan pertama saingan Liga Super apabila meraih tiga mata selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kedua-dua pasukan beraksi seimbang pada separuh masa pertama dengan Negeri Sembilan hampir di depan seawal minit ke-7, namun cubaan penyerang Emmanuel De Poras gagal menghasilkan gol. De Poras mempunyai peluang terbaik sekali lagi pada minit ke-23, tapi gagal melakukan rembatan selepas menerima hantaran cantik Eddy Helmi Manan.


Tersentak dengan asakan berterusan skuad bimbingan Divado Da Silva, Selangor menggandakan asakan dan cubaan terbaik Mahali Jasuli pada minit ke-30 berjaya dibaca penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

Gandingan De Poras serta Eddy Helmi sekali lagi hampir menjaringkan gol seminit sebelum tamat babak pertama, tetapi De Poras gagal melakukan penyudah dengan baik.


Aksi separuh masa kedua menyaksikan asakan awal dilakukan Negeri Sembilan, namun seperti babak pertama, mereka masih buntu mencari sentuhan penyudah.


Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim akhirnya memecah kebuntuan menerusi jaringan bekas pemain sayap Negeri Sembilan, S Kunanlan pada minit ke-68 selepas menerima hantaran cantik Mohd Amri Yahyah.

Beberapa cubaan menarik menerusi Mohd Amri serta awang import mereka, Francis Forkey Doe selepas itu bagaimanapun gagal untuk menambah gol.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Terengganu hampir terjerat di laman sendiri

Posted: 08 Jan 2013 12:53 PM PST

Kuala Terengganu: keghairahan Terengganu memburu kemenangan pertama di laman sendiri ketika bertemu Felda United hampir menjerat diri sebelum pemain tengah, Ismail Faruqi Ashari menjadi penyelamat tuan rumah apabila tendangan sudutnya terus menerjah jaring untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.

Telahan perlawanan yang pada mulanya dijangka tidak dihadiri ramai penonton kerana berlangsung pada sebelah petang nyata meleset kerana dihadiri hampir 10,000 penyokong untuk menyaksikan perlawanan terbabit. Sebelum itu, pada minit ke-52, penyerang lawan, Mohd Ghaddar melenyapkan sorakan penonton tuan rumah apabila bijak memperdaya tiga pertahanan Terengganu sebelum merembat ke kiri gawang, menewaskan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.


Perlawanan itu juga sedikit tegang dan hampir mencetuskan pergaduhan antara penyerang tuan rumah, Farderin Kadir dan pemain lawan, Mohd Nizam, bagaimanapun insiden itu dapat dileraikan pengadil perlawanan, Kamal Ahmad.

Ismail Faruqi kemudian menjadi penyelamat skuad Penyu apabila sepakan sudut melencong masuk, menewaskan penjaga gol Felda, Mohd Helmi Eliza Alias pada minit ke-57.


"Saya tidak puas hati dengan corak dipamer pemain yang gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk menang biarpun kami menguasai perlawanan dengan asakan bertubi-tubi.


"Walaupun ini perlawanan pertama, saya sudah mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki untuk pertemuan dengan Negeri Sembilan di tempat lawan, selepas ini," kata jurulatih Terengganu, E Elavarasan ketika ditemui selepas tamat perlawanan. Sementara itu, kem Felda United berpuas hati membawa pulang satu mata biarpun terlebih dulu menghasilkan jaringan.

Pengurus, Kamaruddin Mohamad berkata, matlamat pasukan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tercapai.


"Kami datang ke Kuala Terengganu tanpa harapan tinggi kerana Terengganu pasukan yang hebat dan sukar ditewaskan. Namun satu mata sudah cukup baik buat permulaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Bukan RM250,000 tapi RM318,500

Posted: 08 Jan 2013 12:53 PM PST

Kota Bharu: Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha diminta memberi penjelasan berhubung bayaran menggunakan bank draf berjumlah RM250,000 yang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), kelmarin.

Penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata, Norshahrul atau Mat Yo tidak menyatakan sama ada jumlah itu untuk bayaran perpindahan atau pampasan tebus kontrak yang masih berbaki 13 bulan bersama Kelantan sebelum berpindah ke Johor Darul Takzim.


"Kami ada menerima bank draf daripada Mat Yo berjumlah RM250,000, namun kami masih samar kerana dia tidak menyatakan bayaran itu untuk apa.

"Harus diingat, bayaran perpindahan dan pampasan tebus kontrak dua perkara berbeza dan saya harap Mat Yo dapat menjelaskan perkara ini," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bonus sempena kejayaan menjulang Piala Malaysia tahun lalu dan merangkul tiga kejuaraan di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Lundang, di sini semalam.


Dalam majlis itu, pemain dan pengurusan Kafa menerima habuan lebih RM500,000, tidak termasuk nilai ganjaran lot tanah kerana kejayaan musim lalu itu.


Sementara itu, Annuar tetap bertegas nilai pampasan tebus kontrak Mat Yo bukan berjumlah RM250,000 sebaliknya RM318,500 berdasarkan jumlah gaji dan elaun rumah selama 13 bulan baki kontrak. Katanya, mengambil contoh kes yang pernah dikendalikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pemain yang masih terikat kontrak dengan pasukan lama tapi berpindah ke pasukan baru, jumlah pampasan tebus kontrak berdasarkan kepada kedua-dua kontrak yang ditandatangani pemain.

"Jika hanya bayar RM250,000, untunglah kalau begitu. Kami juga boleh ambil pemain yang ada kontrak bernilai berjuta-juta tapi bayar RM250,000 seperti ditetapkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan terus bermain dengan pasukan baru. "Itu tidak betul dan tidak seharusnya berlaku. Mustahil bagi seorang pemain yang dinobat 'Pemain Paling Bernilai' tiga tahun berturut-turut hanya bernilai RM250,000." Menurutnya, Mat Yo juga belum mendapat sijil perpindahan daripada KAFA dan sepatutnya tidak boleh beraksi bersama pasukan baru.


Sementara itu, mengulas mengenai bonus, Annuar berkata, bonus yang diberi atas inisiatif mereka, termasuk sumbangan kerajaan negeri yang menghadiahkan pakej menunaikan umrah.

"Pemain yang sudah berpindah ke pasukan lain boleh menghantar tawaran untuk mengikuti rombongan menunaikan umrah dijangka pada 7 atau 20 Julai ini. Kepada pemain yang bukan beragama Islam pakej itu akan ditukar kepada wang tunai."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Hodak tagih anak buah lupakan kekalahan

Posted: 08 Jan 2013 12:52 PM PST

Kota Bharu: Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menuntut pemain melupakan seketika tiga kejuaraan yang dirangkul tahun lalu bagi mengelak tekanan ketika berdepan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Skuad The Red Warriors (TRW) yang sudah kehilangan satu trofi musim ini apabila tewas 3-4 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penentuan penalti Perlawanan Sumbangsih juga perlu menebus kekecewaan itu.


Hodak berkata, menyedari saingan hebat bakal dihadapi, jurulatih berpengalaman dari Crotia itu menuntut anak buahnya bermula daripada kosong dan melupakan kejayaan musim lalu bagi mengelak tekanan.

Bagaimanapun, perlawanan pertama di gelanggang sendiri bagi aksi pertama Liga Super musim ini memberi kelebihan kepada gergasi Pantai Timur itu untuk mempamer aksi cemerlang.


"Kami perlu bermula daripada kosong bagi mengelakkan tekanan. Pemain juga perlu menyedari tugas berat menanti pada setiap perlawanan dan perlu fokus.


"Kami memiliki kelebihan bermain di tempat sendiri pada perlawanan pertama dan ingin tebus kekecewaan selepas gagal merebut Piala Sumbangsih," katanya.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat bersedia untuk diturunkan selepas kecewa tidak dapat beraksi ketika menentang ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Jurulatih LionsXII akui berdepan ujian getir

Posted: 08 Jan 2013 12:52 PM PST

Kuala Lumpur: Jurulatih LionsXII, V Sundramoorthy mengaku pasukannya bakal berdepan ujian getir pada perlawanan pertama Liga Super apabila turun menentang pendatang baru, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Biarpun memiliki rekod baik pada penampilan pertama Liga Super musim lalu dengan menduduki tangga kedua, ketinggalan 10 mata di belakang juara Kelantan, pengendali pasukan dari Singapura itu tetap mengarahkan pemain supaya tidak mengambil mudah saingan kali ini.


"Saya percaya musim ini lebih sukar buat kami. Beberapa pasukan Liga Super mendapatkan pemain import yang bagus. T-Team menandatangani bekas pemain Liga Perdana Inggeris, George Boateng dan ini membuktikan saingan liga kali ini lebih mencabar," katanya dalam laporan Todayonline semalam.

Menurutnya, mereka mempertaruhkan 29 pemain dengan purata umur 21.8 tahun dan hanya 15 pemain daripada skuad musim lalu dikekalkan dengan sasaran untuk layak ke final Piala Malaysia atau Piala FA tahun ini.


"Kami memiliki pasukan yang kuat untuk bersaing dalam liga. Kami menetapkan sasaran realistik bagi pasukan muda ini. Kami berjaya menduduki kelompok lima pasukan terbaik musim lalu dan untuk musim kedua ini, kami mahu mengekalkan kedudukan itu.


"ATM mendapatkan bekas pemain antarabangsa Malaysia, Shukor Adan dan dia pemain yang bijak. Dengan Marlon Alex James dan Bruno Martelotto, mereka pasti lawan yang sukar bagi kami." LionsXII dilabel pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan berdasarkan pencapaian musim lalu malah mereka bakal tampil lebih hebat selepas sebilangan besar pemain mereka membantu Singapura menjulang Piala AFF 2012 menewaskan Thailand di pentas final 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

No comments:

Post a Comment