Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


4 lelaki pecah rumah jiran tumpas

Posted: 22 Jan 2013 04:10 PM PST

Serdang: Penahanan empat anggota geng pecah rumah di Sri Kembangan, di sini, baru-baru ini turut membongkar kegiatan curi kereta dilakukan suspek sama.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, empat lelaki berusia 30 hingga 40-an itu ditahan selepas memecah masuk rumah jiran mereka di Flat Serdang Raya, Seksyen 1, di sini, 17 Januari lalu.


Menurutnya, hasil soal siasat, polis menahan dua lagi lelaki berusia 30-an bersama dua kereta yang dilaporkan dicuri di Kajang.

"Dalam kejadian pecah rumah itu, mangsa yang juga peniaga berusia 50-an membuat laporan kehilangan pelbagai barangan berharga seperti jam tangan dan duit syiling.


"Mangsa menyedari kehilangan barangan itu selepas pulang dari berniaga jam 3 pagi dan mendapati cermin tingkap rumahnya hilang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, semalam.


Katanya, bertindak atas maklumat mangsa, sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Seri Kembangan Cif Inspektor Chai Chee Boon menyerbu sebuah rumah berhampiran kediaman mangsa.

Foto

ABD Razak (tengah) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek.

"Dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki dan pemeriksaan lanjut dalam rumah didiami mereka menemui semula pelbagai barangan yang disyaki hasil daripada kegiatan terbabit termasuk cermin tingkap yang hilang itu. "Keempat-empat suspek dibawa ke balai untuk soal siasat sebelum mereka mendedahkan satu lagi kegiatan jenayah curi kereta.


"Hasil maklumat diberikan, polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kajang dan menahan dua lelaki bersama dua kereta Proton Waja dan Perodua Kelisa yang dilaporkan dicuri di Seri Kembangan, baru-baru ini," katanya.

Abd Razak berkata, semua suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, semalam, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan Seksyen 411 kanun sama kerana memiliki kenderaan curi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Pukauan Pak Arab

Posted: 22 Jan 2013 04:06 PM PST

Kuala Lumpur: Sekumpulan tiga pelancong Arab dikesan bergiat aktif menyamun butik atau kedai di ibu kota menggunakan pukau.

Modus operandi kumpulan terbabit yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 50-an ialah berpura-pura memasuki sesebuah premis terutama menjual cenderamata kepada pelancong sebelum berpura-pura membeli satu daripada barangan dijual itu. Dalam kejadian terbaru kelmarin di sebuah kompleks beli-belah di sini, seorang pemilik butik menjual cenderamata kerugian RM600 apabila wang hasil jualan itu dilarikan sekumpulan tiga pelancong Arab yang berpura-pura mahu membeli sesuatu sebelum memukau jurujual butik itu. Sumber berkata, kejadian terbabit berlaku jam 5 petang ketika jurujual berusia 25 tahun itu dan seorang rakannya menerima kunjungan tiga warga asing berkenaan yang berpura-pura berminat membeli cenderamata.


"Ketiga-tiga mereka berjalan berasingan dalam butik berkenaan bagi mengalih pandangan rakan mangsa. Seorang daripada mereka mengambil satu cenderamata dan diberikan kepada mangsa untuk dibeli bersama wang.

"Mangsa diekori dua lelaki terbabit untuk mengambil baki wang mereka. Kemudian mereka memberitahu mangsa untuk melihat wang kertas RM100 ketika mangsa mahu memulangkan semula baki wang mereka dengan alasan tidak pernah melihat wang itu," katanya. Bagaimanapun, mangsa seperti dipukau apabila membiarkan seorang daripada pelancong itu mengambil not berkenaan dari mesin juruwang sebelum beredar.


Sumber berkata, mangsa tersedar sebaik mereka beredar dan apabila melakukan pemeriksaan mendapati semua wang lebih RM600 dalam mesin juruwang itu hilang.


"Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada majikannya. Hasil pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati semua pelancong terbabit mengambil wang dari mesin juruwang berkenaan.

"Mangsa dan majikannya membuat laporan di bahagian kawalan keselamatan pusat beli-belah berkenaan dan balai polis berhampiran," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

URB cekup 3 penculik

Posted: 22 Jan 2013 04:05 PM PST

Kuala Lumpur: Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan tiga lelaki dan merampas wang tunai serta dua kereta Toyota Vios bernilai lebih RM100,000 dalam dua serbuan berasingan di Kepong, di sini.

Mereka ditahan di sebuah bank dan sebuah premis di Taman Fadason jam 9 pagi hasil maklumat pihak bank selepas mendapat aduan mangsa dipaksa mengeluarkan wang berjumlah RM13,000, 16 Januari lalu.


Mangsa yang berusia 30-an diugut bunuh dan diculik tiga lelaki terbabit yang berusia 30-an selama sehari bermula jam 11.30 malam 16 Januari lalu sebelum diselamatkan dua anggota URB pada jam 9 pagi keesokannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Sentul Deputi Superintendan Habibi Majinjin berkata, mangsa diculik tiga lelaki terbabit selepas disamun dalam kejadian berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju ketika berada dalam sebuah kereta Toyota Vios.


Katanya, tiga lelaki yang turut menaiki Toyota Vios itu berpura-pura bertanya arah jalan sebelum mangsa membuka pintu keretanya.


"Sebaik pintu dibuka, tiga lelaki yang bersenjatakan pisau dan parang merampas kunci kereta dan membawanya bersiar-siar di Genting Highlands menggunakan kereta mangsa.

"Mereka memaksa mangsa menyerahkan wang sebelum mangsa mengeluarkan RM1,000 di mesin juruwang automatik (ATM) di Genting Highlands," katanya dalam sidang media selepas rondaan URB di Taman Kepong, di sini, semalam.


Beliau berkata, tidak berpuas hati dengan hasil itu, tiga lelaki terbabit menutup mata mangsa dan membawanya ke sebuah rumah.

"Keesokannya, seorang daripada mereka membawa mangsa ke sebuah bank di Kepong untuk mengeluarkan RM13,000.


"Suspek menunggu di luar bank dan mangsa mengambil kesempatan mengadu kepada pegawai bank sebelum dua anggota URB datang menahan lelaki itu. Susulan itu, polis menahan dua rakan suspek di Taman Fadason," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Bukan kuasa tribunal

Posted: 22 Jan 2013 04:04 PM PST

Kuala Lumpur: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) tidak mempunyai kuasa mendengar permohonan orang awam yang mahu menuntut pampasan atau ganti rugi barangan atau perkhidmatan yang dibeli untuk tujuan pelaburan.

Jurucakap TTPM berkata, tribunal tiada masalah untuk mendengar tuntutan pengguna terhadap pembekal atau pengilang yang membabitkan nilai tidak lebih RM25,000.


"Asalkan, individu berkenaan membeli barangan itu untuk kegunaan peribadi, bukan tujuan perniagaan," katanya.

Dia mengulas dakwaan seorang wanita, Zuraini Yaacob, 44, bahawa aduannya berhubung emas yang dibeli melalui lelongan bank tidak dapat diselesaikan TTPM kerana pembeliannya melebihi RM5,000.


Jurucakap itu berkata, TTPM sudah mendengar kes Zuraini pada 1 Ogos 2011, tetapi presiden ketika itu memutuskan kes itu bukan di bawah bidang kuasa tribunal. "Oleh itu, kami menasihati Zuraini memfailkan tuntutan sivil di mahkamah. Dia juga boleh mendapatkan bantuan Biro Bantuan Guaman Kebangsaan cawangan Kuala Terengganu di talian 09-6220249.


"Pada masa sama, pengadu boleh memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti," katanya. Semalam, Harian Metro melaporkan Zuraini mendakwa membeli emas kualiti rendah ketika lelongan awam sebuah bank di Kuala Berang, Terengganu, sebelum mendapati ia tembaga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Sempat keluar kereta dimamah api

Posted: 22 Jan 2013 04:03 PM PST

Ipoh: Seorang lelaki warga emas bernasib baik apabila sempat keluar dari kereta dipandunya sebelum kenderaan itu musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Perpaduan berhampiran Bandar Baru Bercham, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, enjin kereta Mercedes Benz C200 itu tiba-tiba berasap dan mengeluarkan api.


Bagaimanapun, pemandunya terlebih dulu memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum bergegas keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.

Seorang saksi dikenali sebagai Chong, 23, berkata, dia terdengar letupan kecil di luar rumah sebelum bergegas keluar dan mendapati sebuah kereta dijilat api.


Menurutnya, dia bersama penduduk lain cuba membantu memadam kebakaran, namun dinasihatkan orang awam supaya tidak mendekati tempat kejadian kerana bimbang kenderaan itu meletup.


"Anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian bagi memadam kebakaran," katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

No comments:

Post a Comment