Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Siput hidup dalam hidangan

Posted:

Aberdeen: Seorang wanita terkejut menemui seekor siput masih hidup dalam hidangan makan malamnya di sebuah hospital.

Angel Crawford, 20, menemui siput itu ketika makan kentang putar beberapa hari selepas melahirkan anak di Hospital Bersalin Aberdeen, November lalu.


Kejadian itu menyebabkan model dan ahli muzik berkenaan tidak lagi mahu makan makanan hospital.

Ketika menceritakan peristiwa itu semalam, Angel berkata: "Mulanya saya tidak menyedarinya. Tetapi selepas makan satu atau dua sudu penuh, saya ternampak siput berkenaan. Saya berhenti makan dan berkata, "Ia kelihatan seperti siput." Saya melihat dengan lebih dekat dan saya mengulangi beberapa kali perkataan "Oh Tuhan, apa benda itu." Kemudian tunang saya, Gavin melihatnya lalu berkata, "Ia sudah pasti siput," Angel yang kini was-was mengenai kualiti makanan hospital mengaku pengalaman itu menyebabkan dia tidak lagi ingin makan di hospital.


"Apabila anda sudah berdepan dengan emosi selepas melahirkan anak dan bimbang mengenai keadaan anak anda, ia bukan pengalaman baik untuk dilalui." Angel yang berasal dari Aberdeen, Scotland, menghubungi Richard Carey, Ketua Eksekutif NHS Grampian, satu daripada 14 lembaga kesihatan serantau Perkhidmatan Kesihatan Scotland, untuk mengadu kejadian itu.


Dia menerima permohonan maaf, kelmarin dan tawaran melawat dapur lembaga berkenaan.

Seorang jurucakap NHS Grampian berkata: "Kami terkejut selepas mengetahui kehadiran 'benda asing' dalam makanan itu dan kami akan berkongsi hasil siasatan pihak pembekal dengan Angel." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Beg tangan hilang 7 tahun ditemui semula

Posted:

London: Seorang ibu menemui begnya semula selepas ia dicuri tujuh tahun lalu. Lebih menarik lagi, Parveen Ashraf terkejut mendapati wangnya sebanyak £250 (RM1,250) masih ada di dalam beg berkenaan.

Selepas beg itu dicuri dalam satu rompakan terhadap rumahnya di Werrington, Peterborough pada 2006, Parveen membatalkan semua kad kreditnya dan tidak menaruh harapan untuk menemui beg itu semula.


Dalam kejadian berkenaan, rumah Parveen, 47, dimasuki pencuri menerusi pintu dapur. Antara barang dilarikan ialah basikal anaknya dan beg tangan jenis Fiorelli.

Parveen tidak percaya apabila seorang jirannya mengetuk pintu dengan membawa beg itu selepas ditemui pekerja ketika membersihkan semak 10 meter dari rumahnya.


Beberapa gambar keluarga yang amat berharga bagi Parveen masih berada di dalam beg itu bersama-sama lesen memandu dan alamatnya yang membolehkan pekerja terbabit mengesan Parveen.


"Beg ini hanya berada 10 meter dari rumah saya sepanjang masa. Saya terkejut memperolehinya semula. Seronok kerana mengetahui masih ada orang jujur di dunia ini. Satu keajaiban memperolehinya semula. Tetapi, menemui wang itu semula adalah satu bonus.

"Saya yakin pencuri itu mengambil not £20 (RM100) kemudian mencampakkan beg sebelum melarikan diri dengan basikal anak saya. Dia tidak sedar wang £250 terlipat di dalam buku cek saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Klinik gugur bayi diserbu

Posted:

Bangkok: Polis menyerbu sebuah klinik yang menjalankan kegiatan pengguguran secara haram dan turut menahan tiga suspek di daerah Bang Sue, semalam.

Serbuan itu dilakukan atas maklumat diterima bahawa terdapat sebuah kilinik yang beroperasi menjalankan kegiatan pengguguran di kawasan Phahon Yothin. Menurut Timbalan Ketua Polis Bang Sue, Leftenan Amnart Harn-Chana, anggotanya mengarahkan pekerja klinik itu membuka pintu selepas mereka enggan memberi kerjasama lebih 40 minit.


Ketika serbuan, polis menemui seorang wanita berusia 21 tahun yang hamil tujuh bulan di klinik itu. Dia kemudian dihantar ke hospital Ratchawithee.

Berdasarkan siasatan, klinik itu mempunyai lesen yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Awam lima tahun lalu dan mula menjalankan kegiatan pengguguran haram sejak setahun lalu.


Khidmat pengguguran disediakan untuk wanita yang hamil enam hingga tujuh bulan dengan bayaran 30,000 baht (RM3,000).


Polis berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan bekerja di kilinik itu, tetapi doktor di situ tidak tahu-menahu bahawa kliniknya digunakan untuk kegiatan pengguguran. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Media Indonesia digesa kurang iklan rokok

Posted:

Jakarta: Menteri Kesihatan Nafsiah Mboi menggesa media massa mempertingkatkan peranan dalam usaha memerangi tabiat merokok menerusi pengurangan iklan rokok.

Bercakap ketika forum pengarang di Jakarta semalam, Nafsiah berkata, media patut menghalang pengambilan rokok khususnya di kalangan golongan muda dengan mengehadkan iklan berkaitan dengannya.


"Iklan rokok, termasuk dalam media massa mempengaruhi orang ramai untuk merokok. Demi generasi depan, kami menggesa anda membataskan iklan rokok," katanya.

Akta kerajaan No109/2012 memperketat undang-undang terhadap iklan rokok di semua medium media massa. Syarikat rokok contohnya, masih boleh mengiklankan produk mereka di luar, tetapi sepanduk atau sebarang medium untuk mengiklankan rokok tidak boleh melebihi 72 meter persegi.


Stesen televisyen boleh menyiarkan iklan rokok hanya selepas jam 9.30 malam dan sebelum jam 5 pagi. Untuk media cetak, syarikat rokok tidak dibenarkan menyiarkan iklan rokok di muka depan akhbar. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Penjual kad kredit tipu 10 bank dicekup

Posted:

Bangkok: Polis menahan seorang bekas jurujual kad kredit, semalam atas dakwaan menipu 10 institusi kewangan menggunakan 16 kad kredit palsu yang diperoleh atas nama orang lain.

Teerasat Nokampol, 57, mempunyai waran tangkap tertangguh di wilayah Samut Prakan dan Nakhon Pathom kerana mencuri identiti, memalsukan kad kredit dan menggunakan memalsukan palsu.


Dia didakwa menipu pelanggan mengatakan dia pegawai pinjaman yang bekerja di pelbagai bank. Dia memperoleh maklumat peribadi mangsa melalui borang permohonan yang diisi mereka. Dia menggunakan maklumat dan tanda tangan mereka untuk memohon kad kredit yang kemudian digunakan untuk mengeluarkan wang tunai, membeli emas dan produk lain.

Bank Ayutthaya memaklumkan polis bahawa seorang penjenayan mendakwa menjadi jurujual kad kredit untuk bank itu yang seterusnya membawa kepada penangkapan suspek.


Bank terbabit ditipu sebanyak tiga juta baht (RM300,000) menerusi penggunaan 16 kad kredit.


Terdapat 10 institusi kewangan yang menjadi mangsa penipuan suspek.

Nokampol mengakui telah melakukan jenayah terbabit sejak 2009. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

'Minyak USS Guardian akan dipindah'

Posted:

Manila: Tentera laut Amerika Syarikat, semalam berkata, ia perlu mengalihkan beribu-ribu liter minyak daripada kapal pembersih periuk apinya yang terkandas di terumbu karang warisan dunia di Filipina, memberi amaran kerosakan dialaminya amat sukar untuk ditunda.

Kapal USS Guardian berukuran 68 meter itu yang terkandas di Terumbu Tubbataha sejak seminggu lalu perlu dialihkan ke dalam kapal lain, proses yang memerlukan masa dua minggu lagi, kata Laksamana Muda Thomas Carney.


"Pilihan yang kami amat harapkan iaitu menarik kapal itu beralih dari terumbu itu tidak ada," katanya yang mengetuai kumpulan logistik tentera laut AS di Pasifik Barat. "Ia mengalami kerosakan teruk dan air mula masuk ke dalam kapal sekarang," katanya.

Menurutnya, Guardian telah menyenaraikan isu paling utama yang perlu dilakukan pada masa ini ialah mengalihkan 57,000 liter bahan api. "Keutamaan paling penting ialah untuk membawa keluar minyak terbabit secepat mungkin," katanya kepada wartawan.


Carney menyifatkan operasi menyelamat adalah "proses rumit yang sangat diperlukan" membabitkan sekurang-kurangnya dua lagi kapal tentera laut AS yang mengambil tempoh dua minggu lagi untuk selesai. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Dalang kahwin palsu dicekup

Posted:

Bangkok: Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand menahan dua lelaki Nigeria yang didakwa menipu 20 juta baht (RM2 juta) daripada sejumlah wanita tempatan dalam satu komplot perkahwinan.

Jabatan itu berkata, Benjamin Olakune Owewole, 44, dan Oladapo Awooyele, 35, menipu mangsa dengan mendakwa mereka anggota pasukan Marin Amerika Syarikat yang berkhidmat di Afghanistan.


Mereka berjanji mengahwini mangsa selepas menamatkan proses persaraan awal dan meminta mangsa memasukkan wang bagi membantu membayar wang pemprosesan persaraan itu.

Seorang wanita bagaimanapun sangsi dengan dakwaan lelaki berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa.


Kedua-dua warga Nigeria itu ditangkap bersama-sama wang berjumlah kira-kira 11 juta baht (RM1.1 juta).


Menurut jabatan itu, sekurang-kurangnya 400 wanita di seluruh dunia menjadi mangsa lelaki berkenaan. Mangsa mereka di Thailand dikatakan ditipu sebanyak 20 juta baht.

Ketua DSI, Tharit Pengdit berkata, suspek mendekati mangsa, biasanya wanita tanpa suami yang berusia 40 tahun atau lebih tua, kebanyakannya balu atau janda, menerusi laman sembang di Internet dan Facebook.


Mereka mengada-adakan cerita dengan seorang rakan memainkan peranan berbeza, seperti anggota keluarga sakit, pegawai atasan atau rakan sekerja yang akan menelefon mangsa. Mangsa ditipu dengan pujukan memasukkan wang ke dalam akaun mangsa di Malaysia, Singapura dan Taiwan.

Biro Hal Ehwal Luar dan Jenayah Antarabangsa yang bekerjasama dengan Bahagian Jenayah Pemerasan dan Teknologi menahan kedua-dua suspek di sebuah pusat beli-belah di wilayah Nonthaburi.


Di bilik hotel mereka di Bangkok, penyiasat menemui wang tunai AS$370,000 (RM1.1 juta), komputer dan telefon bimbit digunakan dalam komplot itu. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Seorang lagi tebusan warga Filipina maut

Posted:

Manila: Seorang lagi warga Filipina, semalam disahkan terbunuh dalam krisis tebusan di sebuah kompleks loji gas di pedalaman Algeria minggu lalu.

Jurucakap Jabatan Luar, Raul Hernadez memberitahu sidang akhbar di Manila, mayat mangsa, rakyat negara itu yang ketujuh mati dalam kejadian berkenaan, dikenal pasti majikannya.


Pihak berkuasa Manila sebelum ini berkata, enam rakyatnya maut dan 12 terselamat.

"Kebanyakan mereka mati akibat kecederaan selepas ditembak dan kerana kesan letupan," kata Hernandez tanpa mendedahkan nama mangsa.


Dua lagi rakyat Filipina masih hilang sementara empat yang lain dirawat di sebuah hospital di Algeria selepas cederax sama ada ketika serbuan atau selepas operasi menyelamat.


Pihak berkuasa Algeria berkata, 37 warga asing dari lapan negara dan seorang rakyat tempatan terbunuh dalam kejadian berakhir Sabtu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Tentera budak masih wujud di Myanmar

Posted:

Washington: Tentera kanak-kanak masih diambil berkhidmat di Myanmar meskipun negara itu baru-baru ini melaksanakan pembaharuan politik.

Kerajaan Myanmar bersetuju pada Jun lalu terhadap rancangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menamatkan penggunaan tentera kanak-kanak, pencabulan terhadap hak asasi manusia yang masih wujud di negara itu.


Tentera Kanak-Kanak Antarabangsa, kumpulan aktivis yang menentang penggunaan kanak-kanak dalam pasukan tentera, melakukan tiga misi penyelidikan di negara itu dan Thailand tahun lalu dan berkata, tentera Myanmar setakat ini sudah membebaskan 42 kanak-kanak dan mungkin akan menamatkan perkhidmatan lebih ramai lagi kanak-kanak.

Bagaimanapun, menurut kumpulan berpangkalan di London itu, tentera, pengawal sempadan dan kumpulan pemberontak masih menggunakan khidmat kanak-kanak.


"Pegawai tentera dan ejen pengambilan tidak rasmi masih meneruskan cara paksaan mendapatkan rekrut baru. Kanak-kanak juga direkrut orang awam dan polis menemui mereka ketika dalam perjalanan ke sekolah atau di kawasan sesak di bandar," kata kumpulan itu dalam satu laporan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

No comments:

Post a Comment