Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak serik stor gas diserbu

Posted: 16 Jan 2013 01:05 PM PST

Kuala Lumpur: Tidak serik apabila pemilik sebuah stor yang dipercayai menjalankan kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen yang diserbu kira-kira empat tahun lalu masih beroperasi di lokasi sama.

Bukan itu saja, pemilik stor yang terletak berhampiran Stesen Komuter Segambut itu juga sudah diberikan notis merobohkan premis berkenaan daripada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dipercayai pemilik tanah berkenaan pada Ogos tahun lalu, namun tidak diendahkan.


Dalam serbuan jam 4.30 petang semalam, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan rakannya warga Myanmar berusia 28 tahun ditahan ketika sedang memindahkan gas domestik bersubsidi ke dalam tong gas industri.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Othman Nawang berkata, pihaknya melakukan risikan sejak dua minggu lalu bagi mengesan pergerakan sindiket berkenaan dan pihaknya percaya kedua-dua lelaki yang ditahan itu adalah pekerja.


"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejaki dalang atau pemilik stor ini selain mengenal pasti individu atau syarikat yang membekalkan gas industri domestik bersubsidi kepada mereka," katanya.


Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 602 tong gas domestik bersubsidi 14 kilogram dan 70 tong gas industri 50 kilogram setong yang bernilai lebih RM70,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Syak kontraktor cuai

Posted: 16 Jan 2013 01:02 PM PST

Shah Alam: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat laporan polis berhubung kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan sebuah rumah banglo yang runtuh di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7, Oktober tahun.

Laporan polis berkenaan dibuat Pengarah Penguat Kuasa CIDB, Abdul Razak Husin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 10 pagi, semalam.


Abdul Razak berkata, pihaknya mengemukakan laporan itu kerana mengesyaki kemungkinan berlaku kecuaian ketika kerja mengubah suai banglo berkenaan sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja, manakala lima lagi cedera.

Katanya, laporan itu juga dibuat kerana CIDB mengambil berat aspek keselamatan di tapak pembinaan dan tidak mahu pihak yang terbabit atau orang ramai mengambil ringan soal undang-undang dan keselamatan di tempat pembinaan. "Baru-baru ini kami sudah mendakwa Syarikat Sara Design Studio mengikut Seksyen 29 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 kerana menjalankan kerja pengubahsuaian tanpa memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah daripada CIDB mengikut Seksyen 25 Akta 520.


"Sepanjang 2012, pihak kami sudah mengambil tindakan disiplin terhadap kira-kira 60 kontraktor kerana tidak menjaga kebajikan pekerja seperti tidak membayar gaji," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Abdul Razak berkata, berdasarkan statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sebanyak 115 kes kemalangan di tapak pembinaan sudah disiasat sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 58 kes membabitkan kemalangan maut, manakala 12 kes menyebabkan pekerja hilang keupayaan kekal.


"Kami tidak mahu soal keselamatan dan undang-undang di tapak pembinaan dipandang remeh oleh semua pihak termasuk syarikat kontraktor," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berdasarkan laporan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

3 rakan penjenayah jatuh hotel diburu

Posted: 16 Jan 2013 12:52 PM PST

Kuala Lumpur: Tiga lelaki yang disyaki melakukan lebih 10 jenayah pecah rumah di sekitar Lembah Klang diburu selepas seorang rakan mereka yang berusia 46 tahun maut akibat terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di Sri Damansara, di sini kelmarin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, tiga rakan suspek yang berusia 30-an dipercayai turut berada di hotel berkenaan dapat meloloskan diri sebaik mengetahui pihak polis ke hotel itu.

Katanya, serbuan dilakukan hasil intipan dan laporan dibuat seorang guru wanita berusia 30 tahun selepas rumahnya di Taman Tayton View, Cheras dipecah masuk kumpulan itu, 31 Disember lalu.


"Hasil siasatan, polis membuat serbuan di sebuah hotel selepas mendapat maklumat kumpulan berkenaan menyembunyikan diri.


"Sebaik tiba di bilik suspek, polis memperkenalkan diri menyebabkan lelaki terbabit panik dan melarikan diri," katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian terjatuh dari tingkat tiga dan mengalami kecederaan parah.


Menurutnya, melihat kecederaan lelaki itu, polis menghubungi ambulans yang kemudian menghantarnya ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut, namun meninggal dunia.

"Kita kini memburu tiga lagi rakan suspek yang masih bebas," katanya kumpulan itu aktif melakukan jenayah pecah rumah.


Beliau berkata, kumpulan berkenaan sering berpindah dari sebuah hotel ke sebuah hotel lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Beri salam penumbuk

Posted: 16 Jan 2013 12:50 PM PST

Alor Setar: "Saya membuka pintu sebaik mendengar orang memberi salam. Secara tiba-tiba lelaki itu menarik kolar baju dan menolak saya hingga jatuh lalu menumbuk muka."

Begitu kata pesara kerajaan, Shaari Chan, 57, dari Lorong Cempaka, di sini, yang mendakwa dibelasah dua beranak dipercayai akibat dendam lama.

Akibat kejadian itu, mangsa bengkak di pipi dan mata kiri, selain luka di kepala dan lebam di dada.

Kejadian dipercayai berlaku jam 10 malam kelmarin ketika Shaari baru pulang dari menunaikan solat Isyak di masjid di Tongkang Yard, dekat sini, sebelum keluar semula beberapa minit kemudian kerana teringin makan nasi goreng.


Shaari berkata, dia keluar ke kedai makan dengan menunggang motosikal sebelum pulang untuk menikmati makanan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Merangkak keluar kereta terbalik

Posted: 16 Jan 2013 12:50 PM PST

Alor Gajah: Seorang lelaki parah apabila Proton Saga dipandu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 225.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Pedas-Linggi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi, kereta dipandu Sadiq Sahidan, 30-an, dari Johor ke Kuala Lumpur dipercayai terbabas merempuh besi penghadang jalan dan berpusing beberapa kali sebelum terbalik dengan keempat-empat tayarnya ke atas.


Difahamkan, kejadian disedari seorang pengguna jalan raya bersama dua anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang kebetulan melalui tempat kemalangan.

Menurut anggota JPAM dikenali sebagai Musliha, 20-an, dia bersama rakannya terkejut melihat sebuah kereta dengan tayarnya ke atas di laluan paling kiri dalam keadaan berasap.


"Apabila mendekati kenderaan berkenaan, saya melihat seorang lelaki sedang merangkak keluar dari keretanya yang remuk dengan mukanya berlumuran darah selain cedera pada kedua-dua belah kakinya.


"Saya dan rakan membantunya keluar," katanya.

Difahamkan kereta dipandu mangsa terseret 30 meter sebelum berpusing beberapa kali lalu terbalik.


Katanya, dia menghubungi pasukan perubatan untuk meminta bantuan.

"Tidak lama selepas itu, dua ambulans dari Hospital Tampin dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah tiba di tempat dan membawa mangsa ke hospital," katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Daerah Alor Gajah Staf Muda (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 6.05 pagi.


"Setiba di lokasi, mangsa sedang dirawat dua anggota JPAM yang kebetulan berada di tempat kejadian dan mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

No comments:

Post a Comment