Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tenggelam hujan 2 jam

Posted:

Hujan lebat selama dua jam yang melanda ibu negara, petang semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air selain berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk.

Antara kawasan terjejas ialah Pantai Dalam yang dinaiki air sedalam 0.6 meter menyebabkan beberapa kenderaan terkandas. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hamid Daud berkata, sejam selepas hujan lebat, kawasan berkenaan dinaiki air tetapi tiada laporan kemalangan jiwa.


"Banjir kilat berlaku ekoran hujan lebat bermula jam 3 petang sebelum beransur surut dua jam kemudian," katanya ketika dihubungi. Katanya, banjir kilat itu menyebabkan beberapa kenderaan terkandas dan berlaku kesesakan lalu lintas. Sementara itu, di Kampung Sungai Pechala pula, lebih 10 rumah ditenggelami air sedalam hampir satu meter kira-kira jam 5 petang selain berlaku kejadian pokok tumbang dan runtuhan tebing. Seorang penduduk, Masri Idris, 30-an berkata, kejadian itu adalah kali pertama membabitkan kerosakan harta benda. Katanya, air yang naik secara tiba-tiba menyebabkan dia dan penduduk lain tidak sempat menyelamatkan barang elektrik dan perabot di dalam rumah. "Ketika itu saya masih di pejabat, anak saya menelefon memberitahu rumah kami dinaiki air," katanya. Menurutnya, banjir kilat dan angin kencang juga menyebabkan beberapa pokok tumbang sehingga menutup laluan selain runtuhan tebing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

200 keluarga diarah pindah

Posted:

Shah Alam: Hujan lebat sejak petang menyebabkan lebih 200 keluarga terutama sekitar Taman Indah, Kampung Baru Hicom dan Kampung Kebun Bunga, di sini diarahkan berpindah, malam tadi.

Keadaan dilaporkan bertambah buruk apabila tebing sungai di Kampung Baru Hicom dilaporkan pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan penempatan dan kerja memindahkan penduduk masih dilakukan.


Setakat ini, penduduk yang paling teruk terjejas adalah mereka yang tinggal berhampiran Sungai Klang apabila rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Bendahari BN Kota Raja, Datuk Rosli Mohd Amin berkata, usaha menyelamat kini membabitkan pasukan polis, bomba, Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan seluruh jentera UMNO serta BN Kota Raja.


"Semua pihak kini membantu mengikut kemampuan masing-masing dan saya dimaklumkan berlaku limpahan pada tebing sungai di satu daripada tiga kampung berkenaan," katanya.


Sementara itu, pekerja HICOM Wan Masri Wan Ismail, 39, berkata, ribut yang diikuti hujan lebat hampir tiga jam sejak jam 7 malam menyebabkan air naik dengan cepat di kawasan rumahnya dekat Kota Kemuning.

Katanya, sehingga jam 10 malam tadi, paras air kelihatan semakin naik meskipun hujan mulai reda.


"Penduduk terkejut dengan situasi ini kerana jarang berlaku banjir sebegini rupa. Memang sebelum ini, taman kami pernah dinaiki air tetapi hanya separas tidak sampai 0.5 meter.

"Lebih kasihan, penduduk yang mempunyai anak kecil yang tinggal berhampiran sungai. Mereka terpaksa mencari kawasan tinggi memandangkan air mencecah paras pinggang," katanya.


Beliau berkata, penduduk di perumahan itu termasuk di pangsapuri mengalami nasib sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

SALUN UNTUK BERMANJA

Posted:

Ia dilabel sebagai kedai gunting rambut atau salun, namun anehnya sebahagian besar pelanggan bukan ke situ untuk menggunting rambut, sebaliknya kerana ingin menikmati pakej belaian manja daripada wanita separuh umur yang sebahagiannya layak digelar nenek.

Dengan bayaran serendah RM10 untuk pakej selama 30 minit, deretan kedai di Jalan Mustafa Al Bakri, di sini, amat popular dalam kalangan lelaki.


Ini kerana pakej disediakan itu termasuk boleh memeluk dan baring di atas riba 'tukang gunting' wanita berpakaian seksi biarpun berusia 40-an dan 50-an, selain diurut seluruh tubuh di atas sofa khas.

Tinjauan Harian Metro di satu daripada premis itu mendapati di ruang depan disediakan kerusi untuk menggunting rambut yang sudah usang, namun ia jarang digunakan.


Ini kerana kebanyakan pelanggan yang melanggan pakej belaian manja dibawa ke bahagian belakang premis yang dilengkapi sofa empuk, selain bar mini menjual minuman.


Bagi Presiden Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kesejahteraan Insan Negeri Perak (Wawasan) Fauzi Muda, aktiviti tidak sihat salun belaian manja itu wajar segera dihentikan kerana ia satu kerja maksiat dan boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

"Nyata mereka bukan menjalankan perniagaan menggunting rambut, tetapi lebih kepada khidmat berorientasikan seks, biarpun bukan 100 peratus khidmat pelacuran. "Memandangkan kegiatan ini sudah lama berlaku, tindakan drastik perlu segera dilakukan untuk menghentikannya. Jika tidak kesan negatifnya kepada masyarakat pasti menjadi lebih buruk," katanya.


Menurutnya, ketika ini sebahagian besar pelanggan membabitkan golongan dewasa, namun ada kemungkinan pada masa akan datang, remaja termasuk pelajar sekolah turut bertumpu ke salun belaian manja itu.

"Ini kerana caj dikenakan murah iaitu RM10 dan saya percaya faktor ini menyebabkan kegiatan tidak bermoral terbabit amat laris," katanya.


Seorang pekerja restoran berhampiran deretan salun terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Harun, 40, berkata, kegiatan maksiat di situ seolah-olah sudah menjadi mercu tanda di jalan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.


Menurutnya, apa yang ditawarkan pekerja wanita yang sebahagiannya layak digelar nenek itu bukan kepakaran menggunting rambut, tetapi lebih kepada khidmat belaian kasih sayang untuk lelaki yang kemaruk.


"Mungkin pelanggan terdiri daripada lelaki sepi atau tidak mendapat kasih sayang daripada pasangan masing-masing. Mereka biasanya datang jam 12 tengah hari hingga 7 malam.


"Di dalam salun, pelanggan dilayan bagai raja kerana mereka boleh baring di atas riba wanita separuh usia itu sambil dibelai.


"Malah, pelanggan bebas merasai kehangatan pelukan dan urutan manja daripada wanita terbabit tanpa membabitkan hubungan seks," katanya.


Seorang pelanggan salun yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 35, berkata, dia sering ke situ kerana khidmat disediakan disifatkannya lain daripada lain. "Di sini, saya dilayan bagai raja. Mereka (pekerja kedai gunting) ini pandai mengambil hati, bijak berkomunikasi dan memanjakan lelaki. "Walaupun tua, tapi mereka ini banyak pengalaman. Ringkas kata, mereka tahu apa yang lelaki mahukan," katanya yang belum berkahwin.


Ditanya sama ada dia berasa jijik berdamping wanita warga emas terbabit, Wan hanya tersenyum dan mendakwa ia 'terapi minda' untuk menghilangkan tekanan kerja.


"Saya dapat tahu ada pelanggan yang berantakan rumah tangga selepas isteri mereka mengetahui hubungan mereka dengan wanita kedai gunting ini.


"Malah, saya pernah melihat ada wanita datang menyerang pekerja kedai gunting ini yang didakwa menjadi punca suami mengabaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Bimbang pelajar terjebak

Posted:

Ipoh: Kewujudan beberapa kedai gunting rambut yang menawarkan perkhidmatan 'manja-manja' kepada lelaki tempatan termasuk pelajar sekolah di bandar raya ini dibimbangi akan menggalakkan aktiviti seks.

Aktiviti yang tidak jauh bezanya dengan kerjaya pelacuran itu dikhuatiri akan menyebabkan golongan pelajar sekolah terjerumus ke dalam ketagihan seks hingga menjejaskan tumpuan pada pelajaran.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan berharap ia mampu dihalang daripada merosakkan minda belia serta remaja.

"Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi yang terbabit dapat memantau aktiviti tidak bermoral ini lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan pelajar.


"Ibu bapa, keluarga dan guru di setiap sekolah perlu mengambil berat berhubung isu ini yang boleh memberikan kesan negatif kepada pelajar," katanya.


Beliau berkata, semua pihak perlu memberi perhatian kepada perkara ini bukan hanya kerana ia membabitkan pelajar sekolah, malah lelaki yang sudah berumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

'Peluk, sayang-sayang, semua ada'

Posted:

Ipoh: "Mau manja, mau peluk, mau sayang-sayang, semua ada di sini!" pujuk wanita warga emas dikenali sebagai Rina, 58, yang juga tukang gunting rambut di premis di Jalan Theatre, di sini.

Wartawan Harian Metro yang melakukan penyamaran mendapati sekurang-kurangnya lima salun di kawasan itu menawarkan perkhidmatan sampingan iaitu belaian dan urutan manja dengan harga sama iaitu RM20 bagi sesi sejam atau RM10 bagi sesi selama setengah jam.


Kebanyakan kedai gunting terbabit cuba mengaburi aktiviti sebenar apabila menggunakan cermin gelap pada pintu hadapan premis selain meletakkan bangku menggunting rambut usang. Sebaik memasuki kedai terbabit, wartawan segera disapa penuh mesra oleh pekerja terbabit yang bertanya sama ada wartawan mahu menggunting rambut atau terus ke ruang sofa disediakan untuk dilayan manja persis 'raja'.

Kelihatan beberapa pekerja dalam kedai itu mengalu-alukan kedatangan wartawan memandangkan saingan daripada beberapa kedai lain yang turut menawarkan perkhidmatan geli-geli itu.


Seorang pekerja yang berusia lewat 40-an melayan penuh mesra sambil memegang tangan dan bertanya sama ada mahu dibelai atau menggunting rambut.


Ketika wartawan melangkah masuk ke kedai terbabit, beberapa pekerja asyik melayan pelanggan.

Ketika itu, kelihatan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk dan bergurau senda dengan pekerja di kedai itu.


Sambil minum, pelanggan turut merangkul tubuh pekerja wanita yang berada dalam premis perniagaan itu.

Berikut adalah perbualan wartawan dengan seorang pekerja wanita tempatan dikenali sebagai Lina yang sudah bekerja lebih tiga tahun di premis terbabit. LINA: Hai, you (awak) mau gunting rambut, cuci rambut dan cuci telinga ke? Atau mau manja-manja? WARTAWAN: Saya mahu gunting dan cuci rambut saja.


LINA: Boleh duduk. You tak mahu manja sama urutkah? Murah saja, RM20 satu jam? WARTAWAN: (mengambil tempat duduk yang disediakan) Saya mahu gunting rambut dulu. Manja banyak sedapkah? LINA: Mestilah sedap, sekejap saja. Boleh pilih setengah jam atau satu jam? Manja dekat sofa belakang kasi you relaks dan rehat.


WARTAWAN: Ok la kalau macam tu.


LINA: Nasib baik you datang awal boleh relaks sikit. Biasa tengah hari macam ini orang ramai datang.


WARTAWAN: Ohhh ya ke? Orang datang buat apa? LINA: Macam-macam la, ada mau manja.. ada suka peluk dan ada yang gunting rambut dan ada yang lepak minum-minum saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

No comments:

Post a Comment