Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dihenyak 10 lelaki

Posted: 14 Jan 2013 02:34 PM PST

Klang: Entah di mana silapnya, seorang lelaki 'ditinju' tanpa belas kasihan oleh 10 lelaki bersenjatakan kayu, besi dan batang paip dalam kejadian di Kampung Nelayan, di sini, malam kelmarin.

Akibatnya, dia terpaksa menanggung kesakitan kerana mengalami lebam dan luka di beberapa bahagian badan.


Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 23, berkata, ketika kejadian dia sedang bersembang dengan sepupu di hadapan rumah bapa saudaranya.

Katanya, tiba-tiba dua kereta berhenti di hadapannya sebelum 10 lelaki bersenjatakan kayu dan batang paip meluru ke arahnya.


Menurutnya, tanpa sempat berbuat apa-apa, lelaki terbabit terus memukul, menendang dan menumbuknya bertubi-tubi.


"Saya cuba mempertahankan diri, tapi tiba-tiba saya nampak seorang daripada lelaki itu mengambil besi kunci motosikal dan memukul saya," katanya.

Foto

BELAKANG mangsa calar akibat dihenyak menggunakan senjata.

"Akhirnya saya terpaksa membiarkan diri dibelasah kerana khuatir akan dicederakan lebih teruk," katanya kepada Harian Metro.


Beliau berkata, selepas beberapa minit membelasahnya, semua lelaki itu meninggalkannya yang sedang menahan kesakitan.

Namun, sebelum melarikan diri, mereka sempat menterbalikkan motosikal, merosakkan pintu dan tingkap rumah bapa saudaranya itu.


Amir berkata, dia bernasib baik kerana sepupunya berjaya menyelamatkan diri dengan menyorok di dalam rumah jiran.


Beliau berkata, sehingga kini, dia masih bingung dengan kejadian yang berlaku kerana dia tidak mempunyai musuh atau masalah dengan orang lain.


Katanya, selepas kejadian, dia bimbang untuk keluar rumah.


Pemilik rumah yang mahu dikenali sebagai Din, 67, berkata, dia bimbang kejadian itu pertama kali berlaku sejak tinggal di rumah 43 tahun lalu.


Katanya, dia sendiri tidak mempunyai musuh dengan sesiapa, malah hubungannya rapat dengan penduduk kampung.


"Saya syak kumpulan itu tersalah rumah dan menyerang anak saudara saya kerana dia juga tidak ada musuh.


"Namun, saya bersyukur kerana mereka tidak merosakkan rumah dan kecederaan yang dialami anak saudara saya juga tidak serius," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Wanita serah RM5,000 dipukau dua lelaki

Posted: 14 Jan 2013 02:31 PM PST

Gombak: Seorang wanita kerugian lebih RM5,000 selepas dipercayai dipukau dua lelaki tidak dikenali sebelum dikurung lebih 24 jam dalam sebuah rumah, di sini.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 40 tahun pergi ke pasar di Desa Jaya, di sini, untuk membeli barangan keperluan sebelum dua lelaki yang menaiki sebuah kereta berhenti dan menghampirinya seolah-olah ingin bertanya sesuatu, kira-kira jam 7 pagi, Jumaat lalu. Sumber berkata, ketika lelaki itu menghampirinya, mangsa seperti dipukau dan hanya menurut arahan lelaki itu untuk masuk ke dalam kereta.


"Kedua-dua lelaki terbabit membawa mangsa ke sebuah rumah. Mereka turut mengambil beg tangan mangsa sebelum membawa mangsa ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang tunai," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya mengikut arahan lelaki itu dengan mengeluarkan wang tunai RM5,000 melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM).


Menurutnya, sebaik selesai mengambil wang itu, mangsa dibawa ke rumah berkenaan dan ditinggalkan semalaman.


"Keesokannya mangsa dibawa semula ke pasar di Desa Jaya kira-kira jam 10 pagi sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan. "Sebaik kedua-dua lelaki itu meninggalkannya, mangsa seolah-olah tersedar dan terus memeriksa beg tangannya sebelum mendapati sejumlah wang hilang," katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya, di sini, kerana yakin ditipu dan dipukau kedua-dua lelaki terbabit.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Bekas staf ADUN dicekup kes tipu

Posted: 14 Jan 2013 02:31 PM PST

Subang Jaya: Seorang bekas kakitangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini, diberkas polis kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan lebih 20 mangsa membabitkan kerugian lebih RM30,000.

Wanita berusia 41 tahun itu, ditahan sepasukan polis di Desa Mentari, Petaling Jaya, dekat sini, lewat petang semalam berdasarkan beberapa laporan polis yang dibuat mangsanya kelmarin.


Difahamkan, setakat ini, suspek dipercayai sudah menipu seramai 22 orang dengan setiap seorang mengalami kerugian sebanyak RM1,500.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek.


Katanya, siasatan awal mendapati wanita terbabit pernah bekerja dengan Adun Subang Jaya.


"Pengadu dalam kes ini adalah ADUN Subang Jaya, Hannah Teoh. Beliau melaporkan terdapat 22 individu yang didaftarkan untuk menerima sumbangan bantuan Skim Mesra Usia Emas (RM1,500 setiap seorang) tidak menerima sumbangan berkenaan.

"Selepas disiasat, suspek didapati mengemukakan surat wakil yang mempunyai tandatangan milik penerima sumbangan yang dipercayai dipalsukan untuk mengambil sumbangan berjumlah RM33,000 berkenaan," katanya.


Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya di mahkamah hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

'Saya sakit tulang belakang'

Posted: 14 Jan 2013 02:30 PM PST

Akibat mengamalkan pengambilan suntikan vitamin C dengan Suzy selama empat minggu sejak awal November lalu, seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini menahan kesakitan pada pinggang dan tulang belakang.

Penuntut yang yang hanya dikenali sebagai Fara, 25, berkata, dia kini tidak lagi mengambil suntikan itu berikutan tidak mahu berdepan risiko lebih teruk.


Fara mengakui keinginannya untuk mendapatkan kulit lebih cerah serta kelihatan cantik membuatkan dia tidak berfikir panjang untuk mengambil suntikan itu apatah lagi harga ditawarkan hanya RM50 untuk sebotol vitamin C bagi sekali suntikan.

Dengan perkhidmatan secara 'pintu ke pintu' ditawarkan Suzy, ia memudahkannya kerana boleh mendapatkan suntikan berkenaan pada bila-bila masa tanpa perlu bersusah-payah ke klinik atau pusat kecantikan lain.


"Apabila tiba waktu untuk suntik, saya hanya perlu hubungi Suzy melalui telefon dan dia segera datang ke tempat yang saya tentukan tidak kira di rumah, kolej, kedai makan, malah dalam kereta sekalipun.


"Tapi selepas kali keempat melakukan suntikan ini, saya mulai sedar dan meragui kesannya kerana ia tidak pun menunjukkan perubahan pada kulit selepas empat minggu sebaliknya menyebabkan pinggang dan tulang belakang saya kerap sakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Derita terlantar 31 tahun berakhir

Posted: 14 Jan 2013 02:29 PM PST

Georgetown: Selepas 31 tahun terlantar di katil, seorang wanita akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta, di sini, Sabtu lalu.

Wanita terbabit, Merlyn Anne Jeremiah, 46, dimasukkan ke hospital berkenaan ketika usianya 15 tahun selepas menjalani pembedahan di kaki pada 1982 menyebabkannya mula tidak sedarkan diri selepas itu.


Sepanjang terlantar, wanita terbabit hanya sesekali membuka mata, tetapi anggota badannya tidak bergerak dan keluarga banyak memberi dorongan untuk meneruskan hidup.

Menurut bapa mangsa yang hanya mahu dikenali James, Merlyn anak bongsu daripada lima beradik dan lebih dikenali sebagai 'Buddy' di kalangan rakan.


"Dia seorang anak yang ceria, nakal, tetapi sangat aktif dalam aktiviti sukan ketika masih bersekolah di Sekolah Convent Pulau Tikus dengan mengambil bahagian dalam acara lumba jalan kaki, lompat jauh dan lompat tinggi.


"Kami sekeluarga reda dengan pemergian Merlyn," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

No comments:

Post a Comment