Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


12 jam tergantung cari kambing

Posted:

Selayang: Seorang gembala kambing nyaris maut selepas tergelincir ketika mencari ternakannya di kawasan bukit berhampiran kuil Batu Caves, di sini, dan tergantung pada akar kayu lebih 12 jam pada waktu malam sebelum ditemui orang ramai, pagi semalam.

Lelaki berusia 40-an itu dikatakan mendaki bukit berkenaan lewat petang kelmarin untuk mencari kambingnya tetapi terjatuh dari tebing bukit setinggi 25 meter, namun bernasib baik apabila kaki kirinya tersangkut pada akar kayu sebelum ditemui jam 8 pagi semalam.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Selayang menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam dan menghantar pasukan bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Sepasukan tujuh pegawai dan anggota bomba tiba ke lokasi kejadian 13 minit selepas mendapat maklumat. Sebaik tiba, lelaki terbabit didapati tersangkut serta tergantung di akar pokok dengan kepalanya ke bawah.


"Bomba mengambil masa hampir sejam bagi menyelamat dan menurunkan mangsa sebelum ambulans membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, berdasarkan laporan awal, lelaki terbabit dipercayai tergelincir dari bukit berkenaan ketika mencari kambingnya, lewat petang kelmarin.

Foto

Gembala kambing yang tergantung pada akar kayu di tebing bukit.

"Kejadian tak disedari sesiapa dan mangsa dipercayai tergantung di tebing bukit itu lebih 12 jam sebelum ditemui orang ramai yang berada di kuil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Sembur cat sebelum samun

Posted:

Shah Alam: Samun terancang. Itu yang berlaku dalam kejadian samun sebuah mesin deposit tunai (CDM) di stesen minyak di Seksyen 28, di sini, semalam, sehingga mengakibatkan wang tunai yang dianggarkan RM190,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, suspek yang dipercayai lebih daripada seorang itu melakukan persediaan rapi apabila menyembur cat pada semua kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu sebelum memecah masuk.


  Katanya, polis menerima laporan pada jam 7.20 pagi dan suspek dipercayai turut mahu melarikan tiga mesin juruwang automatik (ATM) yang berada di dalam stesen minyak berkenaan, namun gagal berbuat demikian.

"Kita percaya mereka melakukan tinjauan di stesen minyak ini beberapa kali sebelum menyamun dan menyasarkan tiga mesin ATM dan sebuah mesin CDM.


 "Namun hasil siasatan awal mendapati mereka hanya berjaya melarikan wang di sebuah mesin CDM dan kami mendapati semua CCTV yang ada di stesen ini disembur dengan cat," katanya di sini, semalam.


  Zahedi berkata, suspek tidak membawa senjata dan masuk ke dalam premis berkenaan melalui pintu belakang selepas memotong mangga.

  Katanya, stesen itu beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam dan kejadian itu disedari pekerja yang tiba di stesen untuk memulakan kerja.


  Menurutnya, kes disiasat mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Duka Tahun Baru Cina

Posted:

Port Dickson: "Menyedihkan kerana kejadian ini berlaku beberapa minggu sebelum Tahun Baru Cina," kata Koh Eng Hong, 70, bapa mentua kepada Tan Ping Wee, 48, rakyat Malaysia yang disahkan terbunuh dalam krisis tebusan di Algeria, baru-baru ini.

Menurutnya, menantunya baru bekerja di Algeria enam bulan lalu dan kali terakhir pulang ke tanah air pada Disember tahun lalu.


"Saya kini hanya memikirkan nasib anak, Koh Siow Mun yang bekerja sebagai kerani dan cucu lelaki saya berusia 16 tahun. Kami bercadang mahu menuntut ganti rugi kepada kerajaan Algeria berikutan tidak menjaga keselamatan pekerja asing di negara itu.

"Buat masa ini kami tidak melakukan persediaan untuk upacara pengebumian sehingga mendapat tarikh mayat menantu saya dibawa pulang ke tanah air,'' katanya.


Sementara itu, isteri mangsa, Siow Mun, 40-an, berkata, dia diberitahu mengenai berita sedih itu oleh Wisma Putra, malam kelmarin.


"Saya sudah diberitahu mengenai berita sedih itu, tetapi saya tidak mahu ditemubual," katanya.

Dia yang enggan berjumpa media turut meminta semua pihak memahami situasi dihadapinya berikutan banyak urusan perlu diselesaikan, termasuk membawa pulang mayat suaminya ke Port Dickson.


"Saya runsing, tolong jangan ganggu saya," katanya.

Tinjauan Metro Ahad ke rumah wanita itu di Taman Bukit Samudera, di sini, semalam mendapati kediaman dua tingkat berkenaan sunyi dan hanya beberapa ahli keluarga ada di dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Lagi rakyat kita disah terbunuh

Posted:

Kuala Lumpur: Seorang lagi rakyat Malaysia yang hilang selepas serangan kumpulan militan di lapangan kemudahan gas In Amenas, Algeria pada 16 Januari lalu, disahkan terbunuh dalam insiden berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, mayat Tan Ping Wee dikenal pasti pasukan forensik melalui rekod pergigian serta pengesahan tatu oleh keluarga mendiang.


Katanya, sejurus selepas pengesahan diterima Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Wisma Putra terus memaklumkan berita berkenaan kepada ahli keluarganya.

"Kerajaan Malaysia merakam ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga mendiang. Kedutaan Malaysia serta syarikat JGC kini menguruskan proses membawa pulang mayatnya.


"Mayat mangsa akan segera dibawa pulang ke tanah air bersama mayat rakan sekerjanya, Chong Chung Ngen yang dikenal pasti terlebih dulu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Dalam insiden serangan itu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas, timur Algeria, menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.

Dua daripadanya disahkan terkorban dan tiga lagi selamat iaitu Patrick Purait Awang, Lau Seek Chiang dan Ravi Kuppusamy.


Lau dan Ravi pulang ke Malaysia pada Rabu lalu, manakala Patrick secara sukarela berada di Algiers untuk membantu Kedutaan Malaysia mengenal pasti mayat rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Operasi kesan lokasi William jatuh

Posted:

Subang Jaya: Polis dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memeriksa kawasan sekitar Kampung Bukit Lanchong, tidak jauh dari Putra Heights, semalam, bagi mengesan lokasi kemungkinan William Yau Zhen Zhong, 6, dipercayai terjatuh.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, operasi dilakukan bagi mencari petunjuk lokasi mangsa dipercayai terjatuh, terutama di longkang besar dan sungai.


"Ini berdasarkan andaian awal serta situasi semasa pada hari Zhen Zhong dilaporkan hilang secara tiba-tiba dari depan sebuah kedai elektrik di Putra Heights pada 16 Januari lalu. Setakat ini polis percaya mangsa terjatuh ke dalam Sungai Klang.

"Berikutan itu, polis dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik serta JPS menjalankan operasi khas mencari kawasan sebenar mangsa terjatuh di Kampung Bukit Lanchong tidak jauh dari Putra Heights," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, polis turut berusaha mendapatkan maklumat penduduk kampung sama ada pernah ternampak mangsa berada di kawasan terbabit sepanjang kanak-kanak itu dilaporkan hilang.


Kelmarin, ibu bapa mangsa mengesahkan mayat yang ditemui tersangkut pada bot di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, jam 6.30 petang, Khamis lalu, adalah anak mereka berdasarkan seluar pendek dan seluar dalam yang dipakai, selain tiga kesan parut pada dahi dan belakang kepala mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

No comments:

Post a Comment