Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nyaris maut dihempap batu

Posted: 21 Jan 2013 07:37 AM PST

St George (Utah): Seorang wanita warga emas nyaris maut apabila bongkah batu besar runtuh dan merempuh dinding bilik tidurnya, malam semalam.

Ketika kejadian, Wanda Lee Denhalter, 63, sedang tidur dan tidak sempat melakukan apa-apa untuk mengelak, tetapi dia masih bernasib baik kerana cuma tersepit di antara batu dan dinding rumahnya.


Menurut Wanda, batu sebesar empat meter dan setinggi tiga meter itu merempuh rumahnya kira-kira jam 3 pagi. Dia mengalami patah rahang, tulang dada dan luka besar pada kakinya.

Wanda juga bernasib baik kerana dalam keadaan tersepit itu, dia masih dapat mencapai telefon di rumahnya dan menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi mendapatkan bantuan. Jurucakap polis St George berkata, Wanda dikejarkan ke Pusat Perubatan Wilayah Dixie dan menjalani pembedahan hampir empat jam bagi merawat pelbagai kecederaannya. Sementara itu, suami Wanda, Scot Denhalter, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian.


"Menurut Wanda, dia terdengar bunyi yang kuat sejurus sebelum batu besar itu melanggar rumah kami," katanya. Bimbang dengan bunyi itu, kata Denhalter, Wanda beralih ke sebelah katil dan berdiam diri di situ.


Katanya, jika Wanda bangkit dan melihat apa yang berlaku, isterinya itu mungkin terbunuh. "Batu itu menyebabkan katil dan pelbagai perabot lain tercampak lebih satu meter," katanya.

Foto

BAHAGIAN luar rumah musnah dirempuh.

Dalam keadaan terdesak itu, kata Denhalter, Wanda berjaya bangkit dan menghubungi talian kecemasan 911. Sehingga semalam, belum diketahui punca batu itu runtuh, tetapi Denhalter menjangkakan, paip air yang pecah di pinggir tanah tinggi berhampiran rumahnya mungkin ada kaitan dengan insiden itu. Pasangan itu baru berpindah ke rumah berkenaan Disember lalu.


Ketika itu, kata Denhalter, dia menyatakan kebimbangannya terhadap bungkah batu yang ada di lereng berhampiran rumah mereka.

"Tetapi Wanda meyakinkan saya, batu itu tidak akan runtuh," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Bukan macam anjing biasa

Posted: 21 Jan 2013 07:28 AM PST

Atlanta: Seekor anjing kini mencetuskan sensasi di Internet selepas tuannya memuat naik gambar haiwan itu bersama pakaian unik.

Echo yang kini berusia tujuh tahun tidak keberatan apabila pemiliknya, Kristin Kittle, memasang pakaian yang 'mengubah' penampilannya berbanding anjing biasa. Selain labah-labah, Kristin juga memakaikan Echo pakaian berbentuk kala jengking, anjing laut, angkasawan dan penyelam skuba.


Kini menetap di Savannah, Kristin memulakan hobi memuat naik gambar Echo di Internet baru-baru ini. Katanya, dia mengambil masa berbulan-bulan sebelum dapat menyiapkan pakaian berkenaan. "Saya tidak sangka Echo akan menjadi terkenal," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Bonus tinggi lahir anak

Posted: 21 Jan 2013 07:27 AM PST

Singapura: Ibu bapa yang melahirkan anak di republik ini tidak lama lagi akan mendapat hadiah lumayan daripada kerajaan berikutan langkah memperbesarkan keluarga yang didedahkan semalam.

Mereka yang melahirkan bayi warga Singapura pada atau selepas 26 Ogos tahun lalu akan mendapat bonus wang tunai SG$6,000 (RM14,804), meningkat daripada $4,000 (RM9,870) sebelum ini. Syarat ini tertakluk untuk anak pertama dan kedua. Untuk anak ketiga dan keempat, hadiah wang tunai meningkat kepada $8,000 (RM19,741) daripada $6,000 (RM14,804).


Wang tunai itu diberikan secepat mungkin menerusi tiga kali pembayaran dalam setahun berbanding empat pembayaran dalam tempoh 18 bulan sebelum ini.

Bayi rakyat tempatan dilahirkan pada atau selepas 26 Ogos tahun lalu juga akan mendapat akaun Medisave dengan ganjaran $3,000 (RM7,403).


Ini bagi membantu perbelanjaan penjagaan kesihatan anak dan akan dibayar sebanyak dua kali pembayaran.


Separuh bayaran pertama akan dibayar apabila bayi itu didaftarkan kelahirannya dan bakinya akan dibayar pada tahun berikutnya dengan syarat bayi itu mendaftar dengan MediShield. Di bawah pakej yang diperbaiki itu, kerajaan akan turut melanjutkan peruntukan MediShield meliputi kacacatan baru yang didiagnosis dan keadaan kelahiran tidak cukup matang. Ia berkuat kuasa mulai 1 Mac depan. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Amah maut jatuh dari tingkat 30

Posted: 21 Jan 2013 07:25 AM PST

Singapura: Seorang pembantu rumah warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat 30 ketika membersihkan tingkap bilik tidur utama di Telok Blangah Heights, kata seorang ahli koroner dalam sidang di mahkamah, semalam.

Eci Eriyani, 23, bekerja di kediaman itu selama enam bulan apabila terjatuh 29 Mac tahun lalu.


Dalam siasatan, mahkamah diberitahu bahawa mangsa bersendirian bersama ibu mentua majikannya, Chiow Gek Inn, 79, ketika kejadian.

Setengah jam selepas waktu makan tengah hari, Chiow yang berada di ruang tamu mendengar jeritan Eriyani. Chiow mencarinya dan terdengar bunyi kuat. Dia ke balkoni dan mendapati Eriyani terbaring di bawah bangunan itu sebelum menghubungi polis. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Hakim dihadap ke tribunal

Posted: 21 Jan 2013 07:25 AM PST

Jakarta: Seorang hakim kanan Indonesia akan dihadapkan ke tribunal etika kerana mengatakan mangsa rogol berasa seronok dengan perbuatan itu, kata seorang pegawai kerajaan semalam selepas suruhanjaya kehakiman menyarankan penyingkirannya.

Suruhanjaya itu yang memantau tingkah laku dan profesionalisme hakim Jumaat lalu memutuskan bahawa komen hakim mahkamah tinggi, Daming Sunusi ketika sesi soal jawab untuk jawatan di mahkamah agung adalah "memalukan", kata jurucakap Asep Rahmat Fajar kepada media.


"Suruhanjaya menyoalnya minggu lalu. Kami menyimpulkan bahawa dia melanggar kod etika kehakiman menyalahi tingkah lalu sewajarnya seorang hakim," katanya. "Kami mengesyorkan hukuman yang berat bahawa dia patut disingkirkan daripada jawatannya sebagai hakim. Dia kini akan berdepan dengan tribunal etika, di mana dia mempunyai peluang untuk membela diri," kata Asep Rahmat sambil menambah tribunal akan diadakan secepat mungkin.

Daming membuat kenyataan itu dalam sesi soal jawab sama ada hukuman mati perlu diperkenalkan untuk perogol. Dia mengatakan bahawa hukuman itu tidak patut dikenakan kerana "mangsa rogol dan perogol sama-sama seronok dengan perbuatan itu", mencetuskan kemarahan di kalangan ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan yang menggesa dia segera dipecat daripada jawatannya. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Bapa sambut anak baru diberi cuti 7 hari

Posted: 21 Jan 2013 07:25 AM PST

Singapura: Penjawat awam lelaki mempunyai anak dilahirkan di republik ini mulai 1 Januari tahun ini akan mendapat cuti seminggu berbanding tiga hari sebelum ini, umum Divisyen Perkhidmatan Awam semalam.

Pegawai yang layak boleh menuntut cuti dalam tempoh 12 bulan mulai waktu bayi mereka dilahirkan.


Sebagai tambahan, pegawai itu turut layak berkongsi cuti bersalin seminggu isterinya jika wanita terbabit layak mendapat Cuti Bersalin Berbayar Kerajaan.

Ibu bapa mempunyai anak belajar di sekolah rendah berusia antara tujuh hingga 12 tahun memperolehi cuti dua hari menjaga anak.


Peningkatan cuti bapa, ibu bapa dan penjagaan anak untuk penjawat awam akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun ini.


Sejajar dengan pengumuman pakej Perkahwinan dan Keibubapaan diperbaiki Divisyen Bakat dan Populasi Nasional (NPTD) semalam, perkhidmatan awam dengan kakitangan seramai 77,000 orang melaksanakan cuti bapa, pertambahan cuti menjaga anak dan keibubapaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Terkandas akibat tak hirau amaran

Posted: 21 Jan 2013 07:24 AM PST

Manila: Kapal pembersih periuk api tentera laut Amerika Syarikat yang terkandas di kawasan terumbu karang Warisan Dunia di Filipina sejak minggu lalu tidak menghiraukan amaran agar mengelak daripada kawasan itu, kata seorang pegawai kerajaan semalam.

Komen daripada superintendan taman laut Tubbataha, Angelique Songco itu meningkatkan lagi kemarahan di negara berkenaan terhadap insiden itu walaupun tentera laut AS sudah meminta maaf, tetapi masih berdepan denda berat. Renjer taman itu memberi amaran kepada kapal USS Guardian melalui radio bahawa ia semakin menghampiri Terumbu Tubbataha Khamis lalu, tetapi kapten kapal terbabit menegaskan mereka sudah memaklumkan perjalanan kepada kedutaan AS, kata Angelique kepada wartawan.


Menurutnya, sejurus selepas amaran itu, kapal berukuran 68 meter itu terperangkap di sebahagian Terumbu Tubbataha, lokasi Warisan Dunia UNESCO di Laut Sulu, 130 kilometer di tenggara Pulau Palawan di barat negara itu.

Lokasi itu dilindungi undang-undang Filipina dan dibataskan untuk pelayaran kecuali penyelidikan atau pelancongan dengan kelulusan pejabat Angelique.


Angelique berkata, masih terlalu awal untuk mengenal pasti kerosakan karang di situ dan denda yang akan dikenakan kerana kapal itu masih terperangkap di terumbu terbabit dan dipukul ombak besar. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

5 sekeluarga ditembak mati

Posted: 21 Jan 2013 07:23 AM PST

Washington: Seorang remaja ditangkap dan didakwa membunuh lima orang, termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan menggunakan raifal ala tentera di New Mexico, Amerika Syarikat, semalam.

Polis berkata, mereka menemui mayat seorang lelaki dan wanita dewasa serta dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki, dipercayai murid sekolah rendah, dengan kesan tembakan apabila tiba di sebuah rumah di Albuquerque, Sabtu lalu.


Jurucakap Pejabat Syerif Wilayah Bernalillo, Aaron Williamson berkata, beberapa senjata turut ditemui di tempat kejadian, termasuk raifal ala tentera yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Menurut kenyataan polis, seorang remaja berusia belasan tahun ditangkap dan didakwa atas dua tuduhan membunuh serta tiga tuduhan 'penderaan kanak-kanak hingga menyebabkan kematian.' Usia dan identiti suspek serta mangsa tidak dinyatakan. Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas Presiden Barack Obama mengumumkan beberapa langkah bertujuan mengekang keganasan bersenjata selepas kejadian menembak di sebuah sekolah di Newtown, Connecticut, bulan lalu.


Cadangan itu termasuk mengharamkan raifal ala tentera dan membaiki kelemahan yang membolehkan orang ramai mengelak pemeriksaan latar belakang mereka.


Tragedi pembunuhan 20 murid sekolah dan enam orang dewasa di sekolah berkenaan pada bulan lalu itu telah mengukuhkan kumpulan prokawalan senjata api di Amerika Syarikat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Kem 'pendidikan semula' dihapus

Posted: 21 Jan 2013 07:22 AM PST

Beijing: Kem buruh 'pendidikan semula' yang mencetuskan kontroversi di China akan dihapuskan tahun ini.

Ia satu lagi isyarat bahawa kem berkenaan, tempat orang ramai boleh dihukum sehingga empat tahun oleh jawatankuasa polis untuk menjalani 'pendidikan semula' tanpa perbicaraan terbuka, akan berakhir.


Kira-kira 60,000 orang ditahan di kem berkenaan ketika ini, kebanyakannya menjalani hukuman dari enam bulan hingga setahun.

Penentang berkata, kem itu digunakan untuk 'mengunci mulut' pengkritik serta menyekat orang ramai daripada membuat aduan kepada pihak atasan mengenai salah laku pegawai.


Laporan mengenai kemungkinan sistem yang dikenali sebagai Iaojio itu akan dihapuskan muncul seketika awal bulan ini. Bagaimanapun, ia dipadam serta-merta dan digantikan dengan ramalan pembaharuan, bersama-sama dengan beberapa maklumat, tetapi tanpa jadual.


Timbalan Pengarah Persatuan Undang-Undang China, Chen Jiping dipetik oleh akhbar China Daily sebagai berkata, satu mesyuarat penting bersetuju untuk mengehadkan pelaksanaan sistem berkenaan sehingga ia dihapuskan oleh Parlimen. "Untuk menamatkan sistem Iaojio memerlukan kelulusan Parlimen yang bertanggungjawab meluluskan pelaksanaannya pada 1957. Pihak berkuasa perlu menggantikannya dengan hukuman terhadap mereka yang melakukan kesalahan kecil," kata akhbar itu.

Ketika ini, mereka yang dihukum menurut sistem berkenaan dipaksa melakukan kerja buruh di ladang atau di kilang, Kecaman terhadap sistem berkenaan meningkat kerana ia terdedah kepada salah guna kuasa.


Dalam satu kes yang mengejutkan negara itu, Tang Hui, ibu yang anaknya berusia 11 tahun diculik, dirogol dan dipaksa menjadi pelacur, dihukum 18 bulan di kem berkenaan selepas menuntut hukuman mati ke atas tujuh orang yang didapati bersalah dalam jenayah itu.

Wanita berusia 40 tahun itu turut menuduh dua anggota polis di bandar kediamannya di Yongzhou, wilayah Hunan, bersekongkol dalam kes berkenaan.


Dia bagaimanapun dibebaskan seminggu kemudian berikutan kemarahan orang ramai. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Anak kaku atas katil lepas dipukul

Posted: 21 Jan 2013 07:18 AM PST

Taipei: Ibu bapa seorang budak berusia 11 tahun ditangkap kerana dituduh memukul anak mereka hingga mati.

Pendakwa raya berkata, si bapa, Chien dan isteri ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kematian anak mereka.


Chien, 42, pekerja sebuah syarikat telekomunikasi, turut bekerja bersama isterinya di sebuah restoran pada hujung minggu.

Menurut laporan media tempatan, pasangan suami isteri itu berkata, anak mereka mempunyai tabiat mencuri wang dari restoran itu. Jumaat lalu, selepas mendapati berlaku satu lagi kecurian, mereka memukul si anak dengan rotan selepas budak itu enggan mendedahkan tempat dia menyembunyikan wang berkenaan.


Keesokannya, isteri Chien mendapati anaknya kaku di atas katil sebelum mereka membawanya ke hospital tetapi doktor gagal menyelamatkannya. Kakitangan perubatan yang menemui kecederaan pada anggota tubuh mangsa, melaporkan kes itu kepada polis.


Pendakwa raya berkata, satu bedah siasat akan dijalankan bagi mencari serta mengenal pasti punca yang menyebabkan kematian budak itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

No comments:

Post a Comment