Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


BWF selar Chong Wei

Posted: 18 Jan 2013 04:39 PM PST

Kuala Lumpur: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menempelak pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang menggesa badan induk badminton dunia itu, mengkaji semula kalendar kejohanan antarabangsa lantaran ramai pemain mengalami demam dan mudah mendapat kecederaan hingga menyebabkan pemain menarik diri daripada kejohanan seperti yang berlaku di Terbuka Malaysia yang rancak berlangsung pada masa ini.

BWF dalam kenyataan balas terhadap gesaan Chong Wei itu berkata, peraturan yang dibuat mesti diikuti semua pemain.

"Pada masa ini, BWF ada peraturan berkaitan isu ini dan hingga tiba masa yang kami rasa perlukan perubahan kami akan lakukan tapi sehingga itu, semua pemain hendaklah mengikut peraturan ditetapkan," kata Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund.

Katanya, badan induk badminton dunia itu sentiasa mengkaji peraturan sedia ada dan cuba bersikap adil kepada semua pihak berkepentingan dalam sukan ini.

Foto

Datuk Lee Chong Wei


"Apa yang ada lihat adalah jumlah hadiah kemenangan buat pemain meningkat saban tahun dan kami terus berusaha menaikkannya lagi.


"Wang kemenangan memainkan peranan untuk menarik penajaan dan bantuan kewangan bagi satu-satu kejohanan. Untuk memastikan lebih banyak bantuan kewangan diperoleh, penting bagi kami memastikan pemain menyertai setiap kejohanan hingga kami meletakkan syarat wajib.

"Kedua-dua faktor itu saling berkait dan kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah peraturan."

Beliau berkata, jumlah keseluruhan wang tunai ditawarkan bagi semua kejohanan Siri Super 2010 mencecah AS$2.65 juta (RM7.9 juta) dan ia meningkat pada 2011, kepada AS$4.5 juta (RM13.5 juta).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

KAFA adu isu anggota tentera kepada FAM

Posted: 18 Jan 2013 04:33 PM PST

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah mengemukakan isu kehadiran anggota tentera dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) kepada Pesuruhjaya Perlawanan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui kenyataan dalam laman facebooknya berkata, beliau belum bersedia mengulas lanjut perkara itu.


Namun beliau menantikan reaksi daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin terhadap isu itu.

"Saya ingin dengar komen Menteri Pertahanan dan Menteri Belia dan Sukan. Saya juga menanti reaksi Panglima ATM kerana namanya dikaitkan juga.


"Saya tidak dapat komen sebab tidak pernah jumpa kes macam ini," katanya. Semalam akhbar melaporkan, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menjelaskan kehadiran komando GGK berkenaan ditugaskan untuk bersedia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berikutan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.


Tunku Ismail turut mempertikaikan ketiadaan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawasi perlawanan itu.

Bagaimanapun, melalui tinjauan wartawan, Sultan Ibrahim tidak berada di stadium sebaliknya anggota komando GGK itu dilihat menaiki bas bersama pemain pasukan JDT.


Akhbar sebelum ini melaporkan penyokong Kelantan mempersoalkan tindakan PBNJ menempatkan anggota tentera yang lengkap bersenjata berkawal di pintu masuk padang ketika perlawanan Liga Super antara Kelantan dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, malam Selasa lalu.

Sementara itu, Setiausaha KAFA, Azman Ibrahim berkata, hanya polis yang boleh memberi penjelasan ketiadaan anggota FRU.


Katanya, beliau juga menganggap kehadiran anggota tentera itu sebagai 'patung' yang mengawal stadium.


"Saya tidak mahu komen kerana saya anggap anggota tentera yang ada pada malam perlawanan itu hanya sebagai patung yang dipasang bateri.


"Penjelasan untuk ketiadaan FRU perlu dapatkan daripada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Peluang rapat jurang mata

Posted: 18 Jan 2013 12:04 PM PST

Ketika pendahulu Liga Perdana, Manchester United hanya beraksi malam esok, juara bertahan Manchester City boleh merapatkan jurang kepada empat mata andai menundukkan Fulham, malam ini.

United dilihat terlalu unggul sejak akhir-akhir ini, meraih 31 mata daripada maksimum 33 untuk kekal mendahului tujuh mata di depan pasukan tangga kedua, City, yang pernah mensia-siakan pendahuluan 10 mata dalam tempoh sama.


Namun, esok United berkunjung ke Tottenham Hotspur, yang hanya kalah sekali dalam 10 perlawanan dan menang 3-2 di Old Trafford pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, September lalu.

Dengan pasukan tangga ketiga, Chelsea turut bersedia dengan tugas sukar menentang Arsenal di gelanggang sendiri, malam esok, City berharap minggu ini menjadi permulaan kebangkitan mereka dalam perebutan kejuaraan.


Ketika United dan Chelsea kedua-duanya beraksi pada pertengahan minggu, United mengatasi West Ham pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA dan Chelsea seri 2-2 dengan Southampton dalam liga, City mendapat faedah selepas berehat seminggu.


Anak buah Roberto Mancini mendapat suntikan semangat selepas rayuan kad merah kapten, Vincent Kompany yang diterima ketika menang 2-0 ke atas Arsenal hujung minggu lalu berjaya sekali gus membolehkannya beraksi menentang Fulham.

Sekalipun United tidak menunjukkan tanda-tanda merudum, pertahanan City, Pablo Zabaleta berkata, rakan sepasukannya belum putus harapan dan akan menggunakan inspirasi daripada cara mereka mengatasi anak buah Alex Ferguson dan merangkul kejuaraan liga musim lalu.


"Kami menentang pencabar, United yang amat bagus pada masa ini," katanya.

"Mereka mempunyai kelebihan tujuh mata tapi ia tidak terlalu banyak dalam liga ini. Masih jauh perjalanan perlu ditempuhi sebelum kejuaraan diputuskan dan masih ada ruang untuk bangkit.


"Kami harap United keciciran mata dalam berdepan beberapa perlawanan dan kami meneruskan rentak ini, meraih tiga mata sepanjang masa." Sementara itu, Liverpool yang menerima kunjungan Norwich City menyedari kemenangan ditambah kekalahan buat Spurs malam esok, akan membolehkan mereka berada enam mata daripada tempat ke Liga Juara-Juara.


Anak buah Brendan Rodgers kecundang 1-2 di tangan United hujung minggu lalu namun berita baik buat mereka adalah kembalinya penyerang Itali, Fabio Borini daripada kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Afrika Selatan wajib menang

Posted: 18 Jan 2013 12:00 PM PST

Hanya kemenangan menentang pasukan yang beraksi kali pertama, Kepulauan Cape Verde pada perlawanan pembukaan Piala Negara-Negara Afrika 2013, malam ini mampu menyelamatkan tuan rumah, Afrika Selatan daripada dikritik.

Dengan 90,000 penyokong meniup vuvuzela membanjiri Stadium Soccer City di Soweto, tuan rumah tampil dengan sasaran layak ke peringkat kalah mati dalam kumpulan yang turut dibarisi bekas juara, Maghribi dan Angola.


Persiapan pasukan Bafana Bafana itu tidak menggambarkan mereka berpotensi muncul juara namun mereka mengharapkan sokongan tidak berbelah bagi peminat sendiri untuk membangkitkan semangat seperti kali pertama menjulang trofi itu pada 1996.

Rentak dibina menerusi kejayaan pada perlawanan pembukaan pasti amat bernilai tapi kalah atau seri mampu mengancam impian pasukan kendalian Gordon Igesund itu.


Sejak muncul juara 17 tahun lalu, cabaran Afrika Selatan pada peringkat benua semakin merudum. Mereka tidak memenangi sebarang perlawanan sejak 2004 dan gagal layak ke pertandingan tahun lalu di Equatorial Guinea dan Gabon kerana kesilapan sendiri.


Pemain, jurulatih dan pegawai Afrika Selatan tidak memahami peraturan rekod pertemuan sesama sendiri dan bermain untuk seri di gelanggang sendiri menentang Sierra Leone, percaya satu mata sudah mencukupi.

Pemain Bafana menari dan menyanyi di sekitar stadium, yakin mereka berjaya namun akhirnya menyedari pasukan kerdil Niger menyingkirkan mereka.


Masanya sudah tiba buat tuan rumah Piala Dunia 2010 untuk mengembalikan maruah pasukan kebangsaan.

"Dengan sedikit tuah dan jika kami mula menjaringkan gol, saya yakin kami boleh menang," kata Igesund.


"Harapnya, semuanya berjalan lancar buat kami terutama dengan sokongan 90,000 penyokong di stadium.


"Ia bukan tugas mudah. Kami perlu menghormati pasukan dalam kumpulan ini. Ada beberapa pasukan yang amat bagus di sini tapi saya yakin kami mampu melaksanakannya." Pemain Afrika Selatan sudah mempamerkan komitmen mereka dengan melupakan sebarang hadiah wang bonus hinggalah berjaya mara ke peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Maghribi, Angola sasar layak kalah mati

Posted: 18 Jan 2013 12:00 PM PST

Johannesburg: Angola dan Maghribi cuba melupakan memori buruk Piala Negara-Negara Afrika apabila bertemu pada hari pembukaan kejohanan edisi 2013, awal pagi esok.

Kedua-dua negara tampil pada edisi terdahulu setahun lalu di Gabon dan Equatorial Guinea dengan sasaran melayakkan diri ke peringkat kalah mati.


Namun kedua-dua negara gagal dengan Angola disingkirkan menerusi perbezaan gol oleh Sudan manakala Maghribi hanya menang sekali ke atas Niger untuk menduduki tangga ketiga kumpulan di belakang Gabon dan Tunisia.

Ia satu tamparan hebat buat Angola yang digelar Black Antelopes selepas layak ke suku akhir dua kali berturut-turut selain mengesahkan kelemahan pasukan Maghribi yang digelar Atlan Lions selepas turut tersingkir awal pada edisi 2006 dan 2008.


Maghribi menjulang Piala Afrika 1976, kejohanan terakhir menyaksikan format liga mini digunakan untuk menentukan juara manakala Angola tidak pernah melepasi peringkat suku akhir.


Persepsi popular adalah Kumpulan A menjadi perebutan tiga pasukan antara Angola, Maghribi dan tuan rumah, Afrika Selatan yang menentang Kepulauan Cape Verde pada perlawanan pembukaan di Stadium Soccer City, malam ini.

Kemenangan buat Antelopes atau Lions akan meletakkan mereka dalam kedudukan selesa selepas hanya satu perlawanan untuk melepasi halangan pusingan pertama pada kejohanan 22 hari itu.


Harapan Maghribi terletak di bahu Younes Belhanda, perancang tengah kelab juara Perancis, Montpellier yang menduduki kelompok lima terbaik undian umum Pemain Terbaik Afrika 2012.

"Kami tidak patut gagal kali ini. Kami berhutang dengan rakyat Maghribi selepas apa yang berlaku pada kejohanan lalu," akui pemain tengah itu turut menganggotai skuad 2012. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Juve hilang 3 tonggak

Posted: 18 Jan 2013 11:58 AM PST

Milan: Kedudukan Juventus yang mendahului takhta liga Serie A bakal terancam hari ini apabila dijangka turun tanpa tiga tonggak utama bahagian tengah, termasuk Andrea Pirlo apabila melayan kunjungan pasukan yang semakin meningkat, Udinese.

Juara bertahan itu kini mengumpul 45 mata, tiga mata di depan Napoli yang kembali ke kedudukan kedua selepas Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) memberikan semula dua mata yang ditolak sebelum ini kerana disyaki mengatur perlawanan.


Lazio jatuh ke tangga ketiga dengan jumlah mata sama manakala Inter Milan di tempat keempat, 38 mata.

Bagaimanapun harapan Juve mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu turut sukar biarpun sebelum kehadiran Udinese dengan penyerangnya, Antonio Di Natale setakat ini sudah menjaringkan 14 gol apabila berkunjung ke Turin, hari ini.


Kecederaan pemain antarabangsa Itali, Pirlo (pangkal paha) dan pemain sayap Chile, Arturo Vidal (buku lali) menambah kegusaran jurulatih, Antonio Conte, apabila mereka tidak turun menjalani sesi latihan, kelmarin.


Claudio Marchisio tidak diturunkan minggu lalu ketika skuad itu seri 1-1 di Parma kerana kecederaan lutut dan nasibnya minggu ini juga belum pasti apabila perlu menjalani ujian kecergasan.

Conte belum mengesahkan sama ada trio itu dapat diturunkan. "Mereka akan terus dipantau," katanya.


Bagaimanapun laporan mendakwa kedua-dua pemain itu mungkin cergas untuk diturunkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Bayern yakin Guardiola serasi di Liga Jerman

Posted: 18 Jan 2013 11:58 AM PST

Berlin: Bayern Munich menjangkakan Pep Guardiola mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan di Jerman ketika pemain mengalu-alukan kepulangan bekas pengurus Barcelona itu ke kancah bola sepak utama.

Rabu lalu, kelab gergasi Bavaria itu mengumumkan Guardiola akan mengambil alih tugas Jupp Heynckes hujung musim ini sekali gus menamatkan spekulasi berbulan-bulan yang mengaitkannya dengan jawatan pengurus dari Amerika Selatan hingga ke Liga Perdana Inggeris.


Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge menafikan Guardiola berada di Munich semalam, memberitahu sidang akhbar kelmarin: "Beliau akan kekal di New York dan belajar bahasa Jerman secara intensif.

"Beliau tidak mahu campur tangan kerja Heynckes musim ini." Rummenigge berkata, beliau tidak ragu-ragu keupayaan Guardiola mendalami bahasa Jerman sebelum secara rasmi dilantik pada 1 Julai ini.


"Apabila beliau tiba, bahasa Jerman tidak menjadi masalah buatnya," kata Rummenigge yang menambah jurulatih itu kini fasih bertutur bahasa Inggeris.


Pemain Bayern, Manuel Neuer dan Philipp Lahm antara beberapa pemain yang menyambut baik pemilihan Guardiola dan kapten Jerman, Lahm berkata, keputusannya itu menggambarkan kualiti pasukan.

"Beliau seorang jurulatih muda yang memiliki masa depan cerah," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Maria singkir Venus

Posted: 18 Jan 2013 11:57 AM PST

Maria Sharapova (gambar) membenam Venus Williams untuk mengetuai barisan pemain pilihan wanita ke pusingan keempat kejohanan tenis Terbuka Australia, semalam.

Pilihan kedua dari Russia itu mengalahkan pemain veteran Amerika Syarikat, 6-1, 6-3 di Arena Rod Laver dan kini memenangi 36 daripada 40 permainan dilaluinya setakat ini pada kejohanan pembuka tirai Grand Slam ini.


Semua pemain ternama, Agnieszka Radwanska, Angelique Kerber dan Li Na tidak berdepan masalah dan meneruskan kemaraan.

Pilihan keempat, kelima dan keenam itu disertai Ana Ivanovic yang memenangi pertarungan dua bekas pemain nombor satu dunia apabila menundukkan rakan senegara dari Serbia, Jelena Jankovic.


Maria yang menjulang trofi di Melbourne Park pada 2008 dan kecundang pada final tahun lalu di tangan Victoria Azarenka, akan berdepan Kirsten Flipkens dari Belgium pada pusingan berikutnya.


Pemain nombor dua dunia itu beraksi cemerlang, muncul pemain pertama mencatat keputusan berganda 6-0, 6-0 dalam Grand Slam sejak 1985 pada dua perlawanan pertamanya.

Dia gagal mengulanginya buat kali ketiga pada pertemuan menentang Venus namun berjaya memberikan persembahan terbaik.


"Kami mengetahui permainan masing-masing," katanya. "Saya melakukan tugas dengan baik mengikut apa yang saya rancang hari ini." Ketika Maria kelihatan sukar ditundukkan, Agnieszka dari Poland pemain paling cemerlang tahun ini, memenangi perlawanan ke-12 berturut-turut tanpa kalah sebarang set bagi permulaan terbaik dalam satu musim.

Pemain nombor empat dunia itu terlalu unggul buat pemain Britain, Heather Watson dan menang 6-3, 6-1.


"Saya tidak pernah menang 12 perlawanan berturut-turut," katanya. "Ia kali pertama saya beraksi di Auckland dan Sydney dan ia permulaan yang bagus." Agnieszka yang memenangi kejohanan pemanas badan di Auckland dan Sydney kini bertemu pilihan ke-13, Ana yang mudah mengatasi Jelena 7-5, 6-3.


Pemain utama China, Li Na memastikan tempatnya ke pusingan keempat dengan menyingkirkan pemain Romania, Sorana Cirstea 6-4, 6-1 dan berdepan pilihan ke-18 dari Jerman, Julia Goerges. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Armstrong mohon maaf ambil dadah

Posted: 18 Jan 2013 11:56 AM PST

Los Angeles: Keaiban legenda berbasikal, Lance Armstrong yang tegas mempertahankan rekod akhirnya terdedah selepas mengaku kejayaan merangkul tujuh gelaran Tour de France didorong pengambilan pelbagai jenis dadah.

"Saya buat keputusan itu. Itulah kesilapan saya," kata Armstrong dalam satu siaran bual bicara dikendalikan Oprah Winfrey pada temubual pertama sejak rekod jersi kuning ditarik balik dan digantung daripada sukan itu seumur hidup tahun lalu.


"Saya berada di sini hari ini untuk mengakuinya dan memohon maaf berhubung perkara itu," kata Armstrong yang menyembunyikan sebarang emosi ketika diajukan soalan dengan menggambarkan tahun-tahunnya menipu, berbohong dan menyerang mereka yang berani meragui kemampuannya.

"Saya sifatkan situasi ini sebagai satu penipuan besar yang saya ulangi," katanya.


"Sudah pasti saya tidak sempurna," kata Armstrong yang pernah dihormati kerana kejayaannya bangkit melawan penyakit kanser dan berjaya pada peringkat terbesar dunia berbasikal yang kemudian menggunakan kemasyhurannya membantu orang lain melawan penyakit itu.


"Ia satu cerita sempurna," katanya. "Dan tidak benar." Temubual Oprah dimulakan dengan siri soalan pantas 'ya' atau 'tidak' yang menyaksikan Armstrong mengaku 'ya' bagi menjawab soalan penggunaan EPO, pemindahan darah, testosterone dan hormon pertumbuhan manusia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Promosi tiket F1

Posted: 18 Jan 2013 11:55 AM PST

Kuala Lumpur: Peminat Formula Satu (F1) boleh mendapatkan tiket Grand Prix (GP) F1 PETRONAS Malaysia 2013 akan datang di Stadium Nasional di Bukit Jalil hujung minggu ini sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, SIC akan membuka kaunter tiket di Tempat Letak Kereta Zon A sebagai sokongan kepada karnival itu dan Tourism Malaysia. "Kami bangga dikaitkan dengan karnival ini terutamanya perlumbaan F1 dijadikan satu daripada acara utama Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya. dalam kenyataan, semalam.


Perlumbaan GP F1 Petronas Malaysia 2013 dijadual 22 hingga 24 Mac.

Sebagai promoter dan penganjur perlumbaan itu, Razlan berkata, SIC juga menawarkan 'promosi Beli 1-Percuma 1' kepada pemegang KADS1M.


"Jika beli satu tiket, anda akan dapat satu tiket percuma. Ini merupakan peluang diberikan SIC kepada penuntut Malaysia." - BERNAMA Razlan berkata, SIC akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan rakan kongsinya yang lain dalam menjadikan acara itu sebagai aktiviti hiburan, pesta, membeli-belah dan perlumbaan permotoran gemilang untuk peminat terutamanya pelawat antarabangsa.


"Kami mengalu-alukan pemegang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan Kad Maybank untuk membeli tiket mereka pada karnival tiga hari itu," katanya.

Sebagai promoter dan penganjur perlumbaan itu, Razlan berkata, SIC juga menawarkan 'promosi Beli 1-Percuma 1' kepada pemegang KADS1M. "Setiap pemegang kad boleh membeli maksimum dua tiket. Promosi ini sah bagi tempat duduk Topaz, Citrine, Tower North dan Tower South. Apa yang perlu mereka lakukan ialah bawa bersama KADS1M dan kad pengenalan untuk menikmati promosi ini.


"Jika beli satu tiket, anda akan dapat satu tiket percuma. Ini merupakan peluang diberikan SIC kepada penuntut Malaysia." Meletakkan sasaran 90,000 penonton pada hari perlumbaan, beliau berkata, SIC juga menawarkan diskaun 25 peratus bagi tiket dalam promosi istimewa dengan kerjasama Maybank sempena edisi ke-15 perlumbaan pada tahun ini.

"Sah dari sekarang hingga 17 Mac dan terbuka kepada semua tempat duduk Main Grandstand, promosi istimewa itu ditawarkan kepada pemegang Maybank Visa dan kad kredit dan debit Mastercard," katanya.


Butiran lengkap susunan program pra-perlumbaan tahun ini akan diumum pada pelancaran rasmi GP F1 Petronas Malaysia 2013 di Esplanade KLCC, pada 29 Januari ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

No comments:

Post a Comment