Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Terseliuh 10 kali sehari

Posted: 17 Jan 2013 08:50 AM PST

London: Menghidap sindrom Ehlers-Danlos, seorang wanita mengalami kesakitan dari semasa ke semasa pada bahunya hanya kerana pergerakan tubuh yang mudah.

Menurut Lauren Harry, pada hari tertentu sendinya boleh terseliuh sehingga 10 kali.


Antara lain, kata Lauren, 20, ia berlaku akibat bersin atau terhenjut di dalam kenderaan akibat brek mengejut.

Minggu lalu saja, katanya, dia pergi mendapatkan rawatan kecemasan di hospital sebanyak empat kali. Doktor percaya, Lauren menghidap sindrom Ehlers-Danlos yang menyebabkan kolagen wanita itu terlalu lemah memastikan anggota badannya berada di tempat yang betul. Lauren - dari Wrexham, Wales - berkata, dia sakit pada kakinya ketika berusia 11 tahun tetapi menyangka ia masalah biasa akibat proses tumbesaran.


"Ketika berusia 15 tahun, saya terjatuh menyebabkan bahu cedera. "Sejak itu, bahu dan sendi saya yang lain, termasuk lutut dan jari, sering terseliuh," katanya. Keadaan itu menyebabkan dia gagal menamatkan pendidikan peringkat AS.


Kata Lauren, setakat ini dia menjalani lima pembedahan berasingan di Hospital Wrightington Lancashire, untuk memberi kestabilan pada bahunya.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu masih berterusan. "Bahu saya terseliuh 10 kali sehari kerana saya terbatuk, bersin atau tersepak sesuatu," katanya.


Lauren yang kini bertugas sebagai kakitangan restoran makanan segera di Chester berkata, baru-baru ini semua jari tangannya terseliuh kerana membuka pintu tempatnya bekerja. Di rumah, kata Lauren, dia juga tidak boleh bergurau dengan adik-beradiknya tanpa mengalami kesakitan akibat terseliuh. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Kakitangan awam layari laman lucah dipecat

Posted: 17 Jan 2013 08:35 AM PST

Cardif: Berpuluh-puluh kakitangan awam kini menghadapi masalah selepas didapati melayari laman sesawang lucah ketika waktu bekerja, lapor media semalam.

Setakat ini, 55 kakitangan Pejabat Kerajaan Wales disahkan memuat turun gambar serta video lucah di meja masing-masing. Ekoran penemuan itu, pihak berkuasa mengenakan tindakan disiplin ke atas kakitangan terbabit, malah seorang daripada mereka - berjawatan pengurus kanan - diarah bersara kerana menikmati gambar lucah kanak-kanak pada 2008. Dua tahun kemudian, polis dipanggil apabila seorang kakitangan kerajaan didapati melihat gambar lucah ekstrem.


Media melaporkan, dia juga dipecat kerajaan. Justeru, kerajaan dicadangkan supaya mengharamkan capaian laman sesawang lucah itu dari pejabat kerana ia menghalang kakitangan awam untuk menjalankan tugas mereka. Peguam pekerja, Leanne Thomas, berkata lebih seorang daripada empat pekerja mengaku menonton kandungan lucah di Internet di tempat kerja. "Apabila ia membabitkan kandungan lucah, sesebuah pertubuhan itu seperti berada di atas bom jangka," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

20,000 pindah, empat maut

Posted: 17 Jan 2013 08:35 AM PST

Jakarta: Hujan monsun menyebabkan banjir besar melanda ibu negara Indonesia semalam membunuh sekurang-kurangnya empat orang. Ia juga mengakibatkan kira-kira 20,000 terpaksa berpindah dan melumpuhkan kebanyakan bahagian bandar raya itu.

Banjir sering melanda Jakarta pada musim hujan, tetapi limpahan air ekoran hujan ribut kali ini menjejaskan lebih banyak kawasan. Hanya beberapa tempat di bandar raya yang dihuni 14 juta penduduk itu tidak terjejas dengan paras air naik hingga dua meter di sesetengah kawasan. Jalan raya utama di sekitar daerah perniagaan ditenggelami air kira-kira 50 sentimeter, manakala air banjir turut menaiki Istana Presiden.


Pergerakan trafik terhenti apabila air banjir melanda kediaman, pejabat, sekolah dan jalan raya. Kebanyakan perniagaan tidak dibuka kerana kekurangan kakitangan. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa dilihat berdiri dalam air banjir hingga ke paras betis di Istana Presiden ketika menunggu kunjungan Presiden Argentina Christina Kirchner yang dalam lawatan ke negara itu. Pertemuan kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun masih diteruskan.

Hujan monsun, penerokaan hutan di kawasan bukit di selatan bandar raya itu, sistem perancangan tidak teratur, ratusan sungai dan saluran air turut menyumbang kepada bencana banjir yang mendedahkan infrastruktur kurang baik negara itu walaupun ia menunjukkan pertumbuhan ekonomi memberansangkan. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Filipina kuat kuasa akta kawal kelahiran

Posted: 17 Jan 2013 08:33 AM PST

Manila: Undang-undang mengawal kadar kelahiran dikuatkuasakan, semalam di negara ini selepas bertahun-tahun mendapat tentangan Gereja Katolik.

Bagaimanapun ia sudah terlambat bagi seorang suri rumah, Rosalie Cabenan yang telah melahirkan anak sebanyak 22 kali. Kelihatan lemah dengan wajah penuh kedutan, Rosalie, 48, menderita penyakit batu karang dan kerap keletihan kerana tubuhnya tidak mempunyai masa secukupnya untuk pulih daripada kehamilan yang berterusan.


"Kami hanya ingin tiga anak, tetapi mereka terus datang dan datang lagi," katanya kepada media minggu ini di kedaiman usangnya di Baseco, penempatan setinggan yang besar di Manila, di mana lebih 60,000 penduduk bersaing mendapatkan ruang kediaman.

"Saya selalu hamil dan tiada masa untuk menjaga diri sendiri kerana saya perlu bekerja membantu suami menyara keluarga. Saya sudah mencuba semuanya daripada pekerja dok, tukang cuci, penjaja ikan kepada penjual sayur," katanya. Rosalie mempunyai anak pertama ketika berusia 14 tahun. Ketika hampir mati melahirkan anak bongsunya, kini enam tahun, dia akhirnya tidak mempedulikan tuntutan Gereja Katolik agar tidak menggunakan ubat pencegah kehamilan.


Seorang penganut Katolik yang taat dan masih pergi ke upacara keagamaan dua kali seminggu, Rosalie bagaimanapun menyesal kerana mengikut prinsip gereja dengan tegas dan berkata, dia mengalu-alukan Undang-Undang Keibubapaan yang berkuat kuasa semalam.


"Saya beritahu wanita lain sekarang, tolong jangan jadi seperti saya. Saya ada ramai sangat anak dan kadangkala saya tidak tahu apa yang patut dilakukan dan hanya menangis apabila mereka bergaduh," katanya. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Guru selatan Thai tak abai pelajar

Posted: 17 Jan 2013 08:32 AM PST

Bangkok: Lebih 700 guru di selatan negara ini berikrar tidak mengabaikan pelajar mereka sempena sambutan Hari Guru di Narathiwat, semalam.

Acara itu diadakan di Sekolah Narasikkhalai di daerah Muang, di mana Timbalan Gabenor Narathiwat, Sittichai Sakda mempengerusikan majlis dan memberikan anugerah kepada guru yang menunjukkan prestasi cemerlang tahun lalu. Gurubesar Sekolah Ban Kae Na di Muang, Krisana Waratanawong mengetuai kumpulan guru membacakan ikrar berkenaan.


Mereka turut bersumpah bertugas di situ hingga akhir karier mereka sebagai memberikan penghormatan kepada dedikasi 157 guru yang meninggal dunia sejak pergolakan melanda semula di selatan negara itu pada Januari 2004.

Suasana senyap selama seminit turut ditujukan kepada guru yang terkorban itu.


Di Pattani, kegiatan Hari Guru diadakan di tiga lokasi iaitu Sekolah Benchamarachutit di daerah Muang, Hotel CS Pattani dan juga pejabat daerah Sai Buri.


Acara itu termasuk memperingati guru yang terbunuh dalam pergolakan serta pemberian anugerah kepada guru dengan prestasi luar biasa.

Pengerusi Persatuan Guru Wilayah Selatan, Boonsom Srithongprai menggesa kerajaan agar membuat susulan terhadap permohonan meminta bantuan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan Menteri Pendidikan Phongthep Thepkanchana. "Peningkatan elaun bulanan sebanyak 1,000 baht (RM100) yang dijanjikan kerajaan belum dilaksanakan," katanya.


"Pihak guru tidak tahu mengapa ia tertunda," katanya.

Menurutnya, bayaran pampasan kepada guru yang menghadapi risiko berdepan kumpulan pemisah belum dilaksanakan lagi secara material. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

2,000 pil dadah dalam dubur

Posted: 17 Jan 2013 08:32 AM PST

Bangkok: Polis semalam menahan seorang wanita menyembunyikan 2,000 pil methamphetamine di duburnya.

Polis Imigresen di lapangan terbang Don Mueang berkata, mereka bertindak ekoran maklumat diterima mengatakan suspek, Wanrunee Ayee, 20, cuba menyeludup dadah itu dari wilayah Chiang Rai ke Bangkok.


Sejurus tiba, suspek diarahkan menjalani pemeriksaan. Pihak berkuasa kemudian menemui dua pakej dadah yang diisi dalam kondom di dalam duburnya.

Wanrunee ditahan kerana cuba menyeludup 2,000 pil yaba bernilai lebih 600,000 baht (RM60,000) di jalanan.


Suspek kemudian mengakui mengambil pil itu di sempadan Thai-Myanmar dan dia perlu membawanya kepada seorang lelaki di akwasan Bon Kai di bandar raya ini. Suspek berkata, dia diupah sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 dan mendakwa ini kali pertama dia cuba menyeludup dadah. Dia didakwa kerana memiliki dadah dengan tujuan untuk pengedaran. Pihak berkuasa turut memburu beberapa suspek lain yang terlibat. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Bilik lepas marah

Posted: 17 Jan 2013 08:32 AM PST

Novi Sad (Serbia): Savo Duvnjak memerhatikan sekeliling bilik, mengangkat pemukul besbol dan memukul apa saja dilihatnya dari katil, meja, laci, kerusi sehingga tidak ada lagi yang tinggal untuk dimusnahkan.

Ia bukanlah perbuatan jenayah, sebaliknya Bilik Melepaskan Kemarahan.


"Sungguh lega," kata Duvnjak yang berpeluh dan tercungap-cungap sambil melihat kemusnahan dilakukannya.

"Saya sudah melepaskan segala tenaga negatif saya. Tahun lalu sungguh mencabar dan saya mahu mengakhirinya dengan melepaskan geram," kata pemuda berusia 18 tahun itu.


Sejak dibuka di bandar Novi Sad, utara Serbia pada Oktober lalu, bilik itu menarik banyak perhatian di negara Balkan berkenaan. Peperangan selama dua dekad, krisis politik, kesukaran ekonomi menyebabkan ramai penduduknya berdepan dengan tekanan.


Didorong oleh 'Bilik Melepaskan Kemarahan' yang serupa seperti di Dallas, Texas, bilik versi Serbia itu diasaskan dua remaja belasan tahun yang melihat bilik asal di Amerika Syarikat itu di Internet dan berpendapat ia boleh dijadikan sumber kewangan.

"Secara purata, kami mempunyai seorang pelanggan sehari, cukup untuk kami meneruskan perniagaan ini," kata Nikola Pausic, pemuda berusia 18 tahun yang menguruskan bilik berkenaan dengan seorang rakan.


Versi Dallas mengenakan bayaran RM225 bagi setiap sesi dan mempunyai pelbagai objek untuk dimusnahkan, termasuk komputer dan perabot pejabat. Bilik versi Serbia itu menggunakan garaj yang sudah diubah suai dan hanya menempatkan barang asas untuk dimusnahkan dan lebih murah.

Dengan mengenakan bayaran kira-kira RM18, pelanggan boleh memecahkan kerusi, meja, rak baju dan rak buku bersama-sama dengan barangan lain seperti bingkai gambar, tin kosong serta kontena plastik. Pelanggan disyaratkan memakai topi keledar, pelindung mata dan sarung tangan.


Selepas itu, mereka akan dihiburkan dengan muzik sebelum meninggalkan tempat itu untuk dibersihkan oleh pekerja sebelum menerima pelanggan lain.


"Puluhan pelanggan sudah datang ke sini terdiri daripada pelbagai peringkat umur.


"Ia juga popular di kalangan wanita," kata Pausic.


Menurutnya, pelanggan kebiasaannya memerlukan masa lima minit untuk memusnahkan segala-galanya di dalam bilik itu.


Meskipun ia cara mudah untuk melepaskan geram, pakar memberi amaran yang projek seperti ini tidak boleh menggantikan terapi menguruskan kemarahan yang sebenarnya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Rumah Putih kecam iklan pelobi senjata

Posted: 17 Jan 2013 08:30 AM PST

Washington: Rumah Putih semalam mengecam iklan melobi senjata yang menuduh Presiden Barack Obama hipokrit mengenai perlindungan Perkhidmatan Rahsia yang ditawarkan kepada anaknya.

Ia menyifatkan iklan berkenaan sebagai 'mengarut dan pengecut.' "Kebanyakan rakyat Amerika bersetuju anak presiden tidak sepatutnya dijadikan bahan dalam sengketa politik. Tetapi dengan tindakan untuk menjadikan keselamatan anak presiden sebagai subjek dalam serangan menerusi iklan adalah sesuatu yang mengarut dan pengecut," kata jurucakap White House, Jay Carney.


Dalam iklan video 35 saat disiarkan laman webnya, Persatuan Raifal Kebangsaan Amerika (NRA) menyelar Obama dengan menyifatkan beliau 'hipokrit elit' kerana bersetuju kepada Perkhidmatan Rahsia melindungi anaknya tetapi menolak cadangan meletakkan pengawal bersenjata di semua sekolah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

No comments:

Post a Comment