Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tangan bionik pertama Britain

Posted: 23 Jan 2013 01:47 PM PST

London: Apabila Chris Taylor kehilangan tangan akibat kemalangan jet ski empat tahun lalu, dia membayangkan kerjayanya sebagai jurutera bakal berakhir.

Namun, kini dia mampu memanjat tangga, memegang tali, malah menyiapkan pemasangan wayar yang kompleks selepas dia diberikan tangan bionik generasi baru.


Taylor juga boleh berbangga kerana dia menjadi manusia pertama di Britain memiliki tangan palsu unik digelar Tangan Michaelangelo yang dilengkapi jari elektronik. Dengan tangan baru itu, Taylor mampu menggerakkan semua lima jarinya menggunakan otot di tangan kanannya.

Alat berharga £47,000 (RM226,800) itu mempunyai elektrod yang mengesan pergerakan pada otot dan mencetuskan isyarat yang dihantar ke tangan.


Kini, Taylor boleh memegang objek pelbagai saiz dengan kukuh, selain melakukan tugasan mudah domestik yang selama ini dipandang remeh sesetengah individu seperti memasang butang atau mengambil set kunci.


Dia kehilangan tangan kanannya selepas terjatuh dari jet ski dalam kemalangan ngeri di Torquay, Devon, pada 2009.

Foto

TANGAN bionik dibeli Taylor membolehkannya melakukan kerja harian seperti menseterika pakaian.

Foto

TAYLOR menunjukkan bahagian dalam tangan bionik yang membolehkan dia melakukan pelbagai aktiviti dengan lebih berkesan.

Tayloy sedang memegang seutas tali panjang yang menarik anak lelakinya ketika ombak besar melanda jet ski berkenaan.


Ketika Taylor tercampak ke air, tali itu terbelit dan mencengkam tangannya sehingga putus. Sejak itu, dia mencuba beberapa tangan palsu disediakan hospital sebelum menemui Tangan Michaelangelo yang dibangunkan di Amerika Syarikat dan Jerman.

Taylor dirujuk kepada klinik swasta, Dorset Orthopaedic, yang kemudian menguruskan pemerolehan tangan berkenaan.


Ia dikenali sebagai Tangan Michaelangelo kerana mengambil nama pelukis terkenal Itali yang digelar sebagai "Tangan Tuhan." Bapa kepada empat anak berasal dari Ivybridge itu berkata, dia menemui Tangan Michaelangelo selepas melayari Internet bagi mencari alternatif kepada tangan palsu disediakan hospital. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Tiga ditembak dalam pergaduhan di kolej

Posted: 23 Jan 2013 01:41 PM PST

Chicago: Tiga orang cedera ditembak, semalam selepas mereka terbabit dalam pergaduhan di sebuah kolej di Texas yang mengingatkan orang ramai kepada insiden menggemparkan di Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut.

Pergaduhan tercetus sejurus selepas sesi persekolahan berakhir di sebuah bangunan menempatkan sebuah kafeteria dan perpustakaan Kolej Lone Star, dekat Houston.


Jurucakap polis berkata, seorang pekerja penyelenggaraan terkena peluru sesat manakala seorang seorang wanita yang menyaksikan insiden itu dikejarkan ke hospital akibat diserang sakit jantung. Saksi berkata, seorang daripada lelaki yang bergaduh itu ditembak dan dibawa ke hospital menaiki pengusung dengan tangan bergari, Seorang lagi yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan melarikan diri, memaksa pihak berkuasa menutup kawasan kolej itu untuk mengesannya. Polis berkata, suspek ditahan selepas dia pergi ke hospital mendapatkan rawatan. Pengarah Kolej Lone Star, Jed Young, berkata dua penuntut di situ terbabit dalam pergaduhan dan tembak-menembak. Sementara itu, sumber berkata, Jody Neal, 24, cedera parah ditembak tiga kali di tangan, perut dan kaki.

"Dia sedang duduk dalam kelas ketika seorang lelaki datang dan menembaknya," katanya.


Polis bagaimanapun enggan memberi komen sama ada kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan samseng. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

SBY gagal hapus kemiskinan

Posted: 23 Jan 2013 01:41 PM PST

Jakarta: Pertumbuhan luar biasa ekonomi Indonesia gagal diterjemah menjadi langkah pembasmian kemiskinan dan merapatkan jurang antara golongan berada dengan bawahan, kata Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Menurut Susilo, beliau menyatakan beberapa kali bahawa sesebuah negara yang menikmati pertumbuhan tinggi ekonomi perlu membayar 'harganya' dengan perbezaan taraf kehidupan.


"Apabila kita bercakap mengenai perbezaan sosial, kita bercakap mengenai ketidakadilan dan tanpa kita sedari, jurang kaya dan miskin terus membesar," katanya dalam mesyuarat Kabinet, semalam. Agenda utama mesyuarat Jawatankuasa Ekonomi Negara itu menyampaikan cadangan pelaksanaan program membasmi kemiskinan kepada kerajaan. Indonesia menikmati pertumbuhan ekonomi positif ketika ekonomi dunia dilanda krisis menyebabkan negara Eropah mengalami kesan negatif. Dengan mencatat pertumbuhan 6.3 peratus, Indonesia menjadi satu daripada tiga negara mempamerkan peningkatan ekonomi tertinggi di dunia tahun lalu di samping China dan India. Berdasarkan belanjawan 2013, pertumbuhan ekonomi Indonesia akan mencapai 6.8 peratus tahun ini. Walaupun Susilo berkali-kali menyatakan mengenai kejayaan Indonesia itu di banyak forum antarabangsa, tetapi pengkritik mendakwa kerajaan gagal mengagihkan manfaat itu kepada golongan miskin. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Aktivis hina Raja Thai dijel 10 tahun

Posted: 23 Jan 2013 01:39 PM PST

Bangkok: Seorang aktivis berpengaruh dan pengarang majalah dihukum penjara 10 tahun, semalam selepas menghina raja Thailand dalam tindakan dianggap kumpulan hak asasi manusia sebagai tekanan terbaru terhadap kebebasan bersuara di negara itu.

Somyot Pruksakasemsuk disabitkan kesalahan menerbitkan dua rencana memberi gambaran buruk kepada sistem beraja Thailand dalam majalahnya.


Hukuman itu dikenakan walaupun kumpulan hak asasi manusia berkali-kali menggesa kerajaan membebaskan Somyot yang dipenjara sejak 2011.

Ia mengukuhkan amalan melindungi institusi beraja di negara itu yang dikritik sesetengah pihak kerana sering digunakan ahli politik. Rencana dipertikaikan itu diterbitkan dalam majalah Voice Of Taksin menggunakan nama samaran.


Hakim mendapati kedua-dua rencana itu mengandungi tuduhan terhadap keluarga bangsawan Thailand.


Sebagai pengarang veteran, kata hakim, Somyot sedar kandungan rencana itu, tetapi dia tetap menerbitkannya. Mahkamah mengarahkan Somyot dipenjara lima tahun bagi setiap rencana. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Guru mati ditembak di kafeteria

Posted: 23 Jan 2013 01:39 PM PST

Narathiwat: Seorang guru ditembak mati ketika mengawasi anak muridnya menikmati makan tengah hari di kafeteria sekolah di daerah Bacho, semalam.

Pegawai bertugas di Balai Polis Bacho, Paradorn Kotetas berkata, guru terbabit merupakan mangsa pembunuhan ke-158 di selatan Thailand sejak wilayah itu dilanda krisis pada 2004.


Paradorn berkata, guru Sekolah Ban Tanyong itu ditembak kira-kira jam 12.20 tengah hari. Katanya, Chonlathee Charoenchol, 51, ditemui terbaring dengan berlumuran darah berhampiran pintu masuk kafeteria sekolah berkenaan.

"Chonlathee ditembak sebanyak dua kali di kepala dipercayai menggunakan peluru 9 milimeter," katanya. Sementara itu, saksi berkata, Chonlathee dan guru lain sedang mengawasi 292 murid di sekolah berkenaan ketika makan tengah hari.


Sekumpulan empat lelaki bersenjata tiba di situ menaiki dua motosikal dan seorang daripada mereka berpura-pura sebagai bapa kepada murid di situ dan menghampiri Chonlathee.


Lelaki terbabit mengeluarkan senjata sebelum mula menembak mangsa sebelum dia dan rakannya melarikan diri menaiki kereta Nissan mangsa. Polis mengesahkan Chonlathee mati di tempat kejadian. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Gadis dirogol, didera polis punca rusuhan

Posted: 23 Jan 2013 01:39 PM PST

Sumbawa: Kegiatan harian di bandar Sumbawa Besar di sini, kembali normal selepas, sehari selepas rusuhan meletus hingga memusnahkan dua pasar mini, dua kediaman, sebuah hotel dan sebuah tempat beribadah.

Keganasan di wilayah Nusa Tenggara Barat itu turut menyebabkan kira-kira 2,216 penduduk keturunan Bali hilang tempat tinggal.


"Keadaan kembali normal. Penduduk sudah mula menjalankan kegiatan harian mereka seperti biasa," kata jurucakap polis Nusa Tenggara Barat, Sukarman Husein.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, 816 anggota polis dikerah untuk menguasai kawasan terjejas dan menghalang keganasan merebak.


Rusuhan dilapor berlaku berikutan kematian Aryati, 30, yang didakwa dirogol dan didera oleh teman lelakinya, Gede Eka Suarjana, anggota polis berusia 21 tahun yang berkhidmat dengan pasukan polis Sumbawa.


Sementara itu, polis berkata, Aryati terbunuh dalam kemalangan jalan raya ketika membonceng motosikal bersama Suarjana.

Selasa lalu, anggota keluarga Aryati dan beberapa pelajar Universiti Samawa mengadakan perhimpunan di Balai Polis Sumbawa, meminta pihak berkuasa menjelaskan punca kematiannya.


Tidak puas hati dengan penjelasan polis, mereka bertindak untuk merusuh.

Sukarman menggesa penduduk supaya tidak mudah terpengaruh dan membiarkan polis menyiasat kejadian itu menurut undang-undang. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Mengamuk isteri tolak bersetubuh

Posted: 23 Jan 2013 01:38 PM PST

Jakarta: Ketika nafsu berahinya sedang memuncak pada malam minggu lalu, seorang suami yang hanya dikenali dengan initial R mengajak isterinya, dikenali sebagai ND, melakukan hubungan kelamin di rumahnya di wilayah Pesanggrahan, selatan Jakarta.

Bagaimanapun, ND menolak permintaan suaminya itu kerana pada masa itu masih ada anaknya yang belum tidur, menyebabkan wanita itu khuatir anaknya yang masih kecil akan mengetahui aksi intim mereka berdua.


R bukannya memahami dan bersabar, malah dia tiba-tiba berang serta naik marah dengan cepatnya lalu terus membelasah ND, menghantuk kepala isterinya itu ke dinding rumah, menendang dan bahkan mengancam akan membunuh teman hidupnya itu.

ND yang berjaya meloloskan diri selepas diperlakukan dengan kejam oleh suaminya sendiri sehingga cedera dan kesakitan kemudian pergi melaporkan kekerasan dalam rumah tangga (KDRT) yang dilakukan R kepada pihak berkuasa.


Ketua Perhubungan Awam Polis Resort Jakarta Selatan, Pesuruhjaya Polis Aswin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai tindakan KDRT dilakukan oleh R terhadap ND.


"Mangsa, ND sudah membuat laporan aduan penganiayaan yang dialkukan suaminya kepada pihak polis, dan kami sedang melakukan siasatan ke atas kes itu," kata Aswin di Pejabat Polis Jakarta Selatan, semalam.

Ancaman hukuman bagi kes KDRT di Indonesia adalah cukup berat. Sekiranya terdapat bukti R melakukan kekerasan terhadap isterinya dan pemeriksaan mendapati ND mengalami luka, R boleh dikenakan hukuman penjara selama beberapa tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Maut ketika cuba lerai pergaduhan

Posted: 23 Jan 2013 01:37 PM PST

Manila: Seorang anggota polis ditembak mati ketika cuba mententeramkan jirannya yang bergaduh di Conception Uno, Bandar Marikina, semalam.

Conrado Las Pinas, 36, pegawai di Bahagian Operasi Khas Antidadah di Balai Polis Pasig, mati di tempat kejadian selepas ditembak berulang kali.


Sehubungan itu, polis menangkap Abdul Bare Adiong Salik, 37, sejurus selepas kejadian sementara polis melancarkan gerakan memburu tiga rakannya.

Penyiasat berkata, kejadian berlaku ketika Las Pinas dan rakannya, Allan Rotaria pulang ke rumah selepas minum bersama. Dalam perjalanan pulang, Rotaria menemui Abdul Bare sebelum pertengkaran sengit berlaku.


Mereka cuba ditenteramkan oleh Las Pinas. Bagaimanapun, seorang rakan Abdul Bare mendekatinya dari belakang lalu menembaknya. Apabila anggota polis itu tersembam ke tanah, ketiga-tiga suspek melarikan diri.


Menurut polis, walaupun dia tidak diapa-apakan, Rotaria masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian tersebut. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

PAN cadang cuti bersalin selama 9 bulan

Posted: 23 Jan 2013 01:36 PM PST

Jakarta: Anggota Parlimen dari Parti Amanat Nasional (PAN) semalam mencadangkan cuti bersalin sembilan bulan kepada pekerja wanita untuk memberikan mereka masa yang panjang bagi menyusukan bayi masing-masing.

Ketua wakil Parlimen PAN, Tjatur Sapto Edy berkata, pihaknya mengadakan perbincangan mengenai cuti bersalin itu dengan Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI di Jakarta semalam dan yakin klausa mengenainya akan dimasukkan dalam rancangan kajian semula Undang-Undang Buruh 2003.


Tjatur berkata, wanita hamil memerlukan tempoh tiga bulan sebelum bersalin untuk membuat persediaan yang diperlukan dan enam bulan lagi untuk menyusukan bayi mereka. Ketika ini, Undang-Undang Buruh Indonesia menetapkan cuti tiga bulan saja untuk pekerja wanita yang melahirkan anak.

Pesuruhjaya KPAI, Lathifah, menghargai cadangan PAN untuk melanjutkan cuti bersalin itu sebagai cara untuk membolehkan negara mempunyai generasi berkualiti pada masa depan. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

No comments:

Post a Comment