Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tahu masuk tak tahu keluar

Posted: 13 Jan 2013 02:59 PM PST

Petaling Jaya: Seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah di Blok 3, Apartmen Lagoon Perdana, Bandar Sunway, di sini, dengan menyusup di celah pintu jeriji besi akhirnya terperangkap semalaman dalam kediaman itu, kelmarin.

Pengerusi Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) apartmen itu Mohd Zuki Mohd Akhir berkata, suspek dipercayai gagal keluar dari rumah itu kerana tidak berjaya mengumpil pintu jeriji besi berikutan khayal di bawah pengaruh dadah.


Menurutnya, ini menyebabkan lelaki terbabit berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada anggota polis unit peronda (MPV) dari Balai Polis Sunway yang tiba selepas dihubungi.

"Kejadian disedari ejen hartanah rumah berkenaan yang mendapati pintu jeriji besi diumpil manakala pintu kediaman terbuka pada jam 4 petang sehari sebelum lelaki terbabit ditahan.


"Ejen itu menghubungi pemilik rumah sebelum mereka memeriksa kediaman itu kira-kira jam 11 pagi, kelmarin," katanya.


Mohd Zuki berkata, ketika memeriksa rumah berkenaan mereka terkejut mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada dalam kediaman itu.

Foto

MOHD Zuki menunjukkan cara suspek memecah masuk dengan menyusup melalui celah pintu jeriji besi.

"Lelaki terbabit disyaki memecah masuk rumah berkenaan yang disewakan kepada orang lain berikutan penyewanya pulang ke kampung.


"Kami segera menghubungi polis sebelum pihak berkuasa itu tiba kira-kira 10 minit kemudian," katanya.

Mohd Zuki berkata, pemeriksaan lanjut dalam rumah itu mendapati satu televisyen hilang dan dipercayai dilarikan lelaki terbabit pada kali pertama dia memecah masuk.


"Ini mungkin cubaan kali kedua untuk memecah masuk dan kali ini lelaki terbabit gagal keluar menyebabkan dia tertangkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Wanita hilang sabar anak dinoda, dipukul

Posted: 13 Jan 2013 02:57 PM PST

Kuala Lumpur: Selepas lebih dua tahun mendiamkan diri terhadap tindakan teman lelaki anaknya memukul dan merogol mangsa, seorang ibu akhirnya tampil membuat laporan polis selepas lelaki itu melarikan anaknya.

Sumber polis berkata, mangsa yang berumur 19 tahun itu dikatakan sudah menjalin hubungan cinta dengan suspek berusia 27 tahun sejak awal tahun lalu.


"Pada mulanya ibu mangsa merestui hubungan cinta itu, namun selepas beberapa bulan suspek sering memukul mangsa hingga cedera.

"Bagaimanapun, wanita itu tidak membuat laporan polis kerana suspek memohon maaf dan berjanji berubah.


"Biarpun suspek pernah merogol mangsa, namun wanita itu masih bersabar selepas suspek menyatakan kesanggupannya untuk bertanggungjawab," katanya.


Bagaimanapun, katanya, pada 16 Disember lalu, wanita itu hilang sabar apabila suspek melarikan anak perempuannya sebelum mangsa ditemui di sebuah rumah di Skudai, Johor pada 10 Januari lalu.

Sumber itu berkata, ibu berkenaan membuat laporan polis selepas anaknya memberitahu dia dikurung suspek sepanjang tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Pertahan suami takut dicerai

Posted: 13 Jan 2013 02:55 PM PST

Kuala Lumpur: Perasaan malu kerana takut dicerai atau tinggalkan mungkin menjadi punca sesetengah wanita sanggup mempertahankan rumah tangga meskipun mengetahui suaminya berperangai keji.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr Osman Che Bakar berkata, situasi seumpama itu menimbulkan konflik dalam diri seseorang sehingga dia terpaksa setia dengan suaminya.


"Contohnya, wanita mungkin takut dicerai kerana terpaksa memegang status janda. Dia berfikir apa yang akan diterangkan kepada ahli keluarga, rakan dan teman sekerjanya.

"Disebabkan itu, walaupun sudah terlanjur bersuamikan lelaki kasanova dan mempunyai tingkah laku buruk, wanita itu menelan kepahitan hidup berumah tangga," katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau mengulas paparan muka depan Harian Metro, kelmarin yang mendedahkan nasib seorang peguam wanita berusia 34 tahun bersuamikan lelaki kasanova.


Laporan 3 Talak Setahun antara lain memaparkan penderitaan wanita dikenali sebagai Musliha, 34, yang tiga kali diceraikan walaupun baru setahun berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Pelajar derita ketumbuhan ovari diarah berhenti sekolah

Posted: 13 Jan 2013 02:54 PM PST

Kuantan: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan, di sini, yang menderita penyakit ketumbuhan ovari, bukan saja berdepan pandangan serong masyarakat terhadap keadaan perutnya yang membesar, malah berdepan kemungkinan terpaksa berhenti sekolah.

Pelajar terbabit, Widdad Shairi, 17, berkata, selain disangka hamil anak luar nikah berikutan perutnya seperti orang mengandung, dia juga diminta pihak pengurusan sekolah supaya berhenti sekolah kerana gagal hadir sejak sesi persekolahan bermula awal Januari lalu.


"Saya lebih risau mengenai pembelajaran kerana tidak pernah ke sekolah sejak sesi persekolahan bermula, lebih-lebih lagi saya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.

"Disebabkan masalah itu juga, ada guru yang menyuruh saya berhenti sekolah dan menyambung semula pada tahun depan," kata Widdad ketika ditemui di rumahnya di Balok Pine, di sini, semalam.


Mengenai penyakit dihidapinya, Widdad berkata, dia mula mengesan ketumbuhan itu pada November tahun lalu selepas berasa sakit pada bahagian kiri perut sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik swasta pada 10 Januari lalu.


"Pada mulanya doktor memberitahu saya mengalami masalah hati dan limpa selain menyarankan saya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, tetapi terkejut apabila saya disahkan mengalami ketumbuhan ovari.

"Saya dijangka akan menjalani pembedahan pada 25 Januari ini dan esok (hari ini), saya sekali lagi akan membuat pemeriksaan doktor di HTAA termasuk melakukan imbasan tomogafi berkomputer (CT Scan) dan Sinar-X," katanya.


Ibu Widdad, Rohani Osman, 43, berkata, dia terkilan apabila pihak pengurusan sekolah menyuruh anaknya mengisi borang berhenti sekolah dan menyambung semula pembelajaran pada tahun depan.

"Saya terkejut dengan saranan guru itu dan menganggap tindakan terbabit tidak patut kerana anak saya boleh kembali ke sekolah selepas dia berjaya menjalani pembedahan dan kesihatannya pulih," katanya. Terdahulu, Widdad menerima sumbangan wang tunai daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (Bakkiss) serta Kumpulan Baca Yasin Balok Pine, semalam.


Sumbangan itu disampaikan Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Upah lima samseng belasah kekasih anak

Posted: 13 Jan 2013 02:53 PM PST

Temerloh: Akibat berang apabila mengetahui anak gadisnya yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah memadu kasih dengan teman lelakinya, seorang bapa dipercayai mengupah lima samseng untuk membelasah teman lelaki gadis itu sehingga mangsa parah dalam kejadian di Jalan Industri, Mentakab, dekat sini, pagi kelmarin.

Akibat kejadian pada jam 11 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun yang juga pemandu jengkaut ditahan di Wad Kenanga, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), dekat sini, akibat retak tulang leher, retak tulang rahang mulut selain patah tangan kanan.


Sebelum kejadian, mangsa yang berada di rumahnya di Kampung Belenggu, Jalan Industri Temerloh-Mentakab bersama teman wanitanya berusia 20 tahun berbual sebelum didatangi lima lelaki terbabit.

Bagaimanapun, tanpa memperkenalkan diri, lima lelaki terbabit memaksa mangsa bersama teman wanitanya mengikut mereka ke satu lokasi kerana seseorang individu menunggu.


Mangsa yang terpinga-pinga dikawal lima lelaki itu sebelum bertemu bapa teman wanitanya sebelum kelima-lima lelaki terbabit diarah membelasah mangsa.


Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, selepas melihat mangsa lemah, lima lelaki terbabit membawa mangsa ke belakang bangunan sebuah kafe siber sebelum diikat dan dibelasah suspek termasuk seorang daripada mereka menggunakan rantai basikal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

No comments:

Post a Comment