Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nike siasat isu gaji minimum

Posted: 15 Jan 2013 02:13 PM PST

Jakarta: Pengeluar barangan sukan Amerika Syarikat, Nike, semalam berkata, syarikat itu sedang menyiasat dakwaan aktivis buruh mengenai cubaan pengilang di Indonesia mengelak membayar gaji minimum kepada pekerjanya.

Pengarah Komunikasi Korporat Global Nike, Greg Rossiter berkata, syarikat itu memberi perhatian serius terhadap dakwaan berkenaan.


"Kod amalan Nike sangat jelas.

"Kami mahukan pekerja yang menghasilkan barangan Nike diberi bayaran sekurang-kurangnya pada tahap gaji minimum ditetapkan undang-undang negara serta kemudahan lain," katanya. Ekoran protes besar-besaran, kerajaan menetapkan gaji minimum di Jakarta meningkat kepada 2.2 juta rupiah (RM687) sebulan mulai 1 Januari lalu.


Kadar gaji minimum di bandar lain turut dinaikkan mengikut kadar berbeza. Gaji minimum ditentukan di peringkat wilayah dan daerah, tetapi pihak berkuasa memberi pengecualian kepada kilang yang gagal mematuhi kenaikan itu. Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan Pendidikan Untuk Keadilan (EFJ) AS, Jim Keady berkata, sekurang-kurangnya enam syarikat pembekal Indonesia memohon untuk pengecualian itu. Selepas EFJ melawat Sukabumi, pembekal Nike dilaporkan memperoleh pengecualian itu daripada pihak berkuasa tempatan dan mereka hanya diarah membayar gaji minimum RM343 sebulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

'Tiada guna kami hidup'

Posted: 15 Jan 2013 01:09 PM PST

Brussels: Pasangan kembar yang pekak mengambil keputusan membunuh diri selepas kecewa mengetahui bakal menjadi buta, kata ahli keluarga mereka, semalam.

Kembar berusia 45 tahun itu dikenali sebagai Marc dan Eddy Verbessem tinggal bersama sejak kecil dan tidak mampu berkomunikasi dengan dunia luar. Abang mereka, Dirk Verbessem berkata, Marc dan Eddy terlalu takut jika tidak lagi boleh melihat antara satu sama lain serta gagal berdikari.


"Mereka tidak sanggup menghadapi kemungkinan itu," katanya.

Menurut Dirk, 46, Marc dan Eddy sentiasa membantu antara satu sama lain termasuk memasak dan membersih rumah.


Namun, katanya, jika mereka buta tidak lama lagi, keadaan akan menjadi sangat berbeza dan mereka tidak lagi boleh berdikari. "Kadang-kadang saya terfikir jika mereka mempunyai isteri dan anak, mungkin mereka tidak membunuh diri," katanya. Kembar dari Putte dekat bandar Mechelen itu berkata, mereka bakal mengalami buta kerana glaukoma akibat faktor genetik.


Doktor yang merawat mereka, David Dufour berkata, pasangan kembar itu juga mengalami pelbagai masalah kesihatan kronik. Bekerja sebagai tukang kasut, Marc dan Eddy berkomunikasi melalui bahasa isyarat khas yang hanya difahami mereka serta ahli keluarga terdekat. Apabila memohon kepada pihak berkuasa untuk menamatkan riwayat masing-masing secara 'sah' mereka mengemukakan sokongan daripada Dufour. Bagaimanapun, mereka mengambil masa dua tahun mencari institusi perubatan yang sedia melakukan prosedur itu.

Kata Dirk, beberapa ahli keluarga cuba memujuk Mark dan Eddy membatalkan niat mereka.


"Namun, akhirnya hujah dikemukakan meyakinkan kami membiarkan pilihan mereka" katanya. Amalan membunuh diri di institusi perubatan dibenarkan di Belgium jika pihak terbabit mampu membuktikan mereka mengalami penderitaan serius. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Wanita gergasi meninggal dunia

Posted: 15 Jan 2013 01:05 PM PST

Lansing (Michigan): Seorang wanita yang mengalami penyakit ganjil yang menyebabkan dia membesar luar biasa, meninggal dunia pada usia 34 tahun, lapor media semalam.

Tanya Angus, dari Las Vegas, menghabiskan masa sejak 12 tahun lalu untuk mencari penawar kepada masalah badannya yang tidak berhenti membesar.


Ketika berusia 21 tahun, Tanya cuma setinggi 1.76 meter dan beratnya 59 kilogram. Dalam keadaan begitu, Tanya mampu menunggang kuda, belajar menari dan memiliki teman lelaki.

Namun, kewujudan tumor di sekeliling kelenjar pituitari di otak wanita itu menyebabkan hormon tumbesarannya terus dihasilkan secara besar-besaran.


Kes Tanya dianggap paling ekstrem berlaku setakat ini apabila tubuhnya membesar sehingga 2.1 meter dan seberat lebih 181 kilogram. Dia dipecat daripada tugasnya sebagai penyelia di pasar raya Walmart di Michigan apabila masalah badannya menjadi semakin serius. Tanya juga ditinggalkan kekasih apabila dia disalah anggap sebagai lelaki oleh keluarga teman lelakinya. Namun, Tanya tidak pernah berputus asa mencari penawar. Ogos tahun lalu, doktor mendapati hormon tumbesarannya mula menurun menjadi normal untuk kali pertama. Dia juga pernah menjalani tiga pembedahan untuk membuang tumor berkenaan, tetapi gagal kerana badannya masih kekal membsar. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

349 askar AS bunuh diri

Posted: 15 Jan 2013 01:01 PM PST

Washington: Jumlah kematian akibat bunuh diri di kalangan tentera Amerika Syarikat (AS) mencatat rekod baru tahun lalu dengan 349 anggota bertindak demikian.

Jumlah itu adalah lebih tinggi daripada angka kematian akibat pertempuran di Afghanistan pada 2012 yang menyaksikan 310 askar AS maut, menurut kiraan oleh badan bebas, icasualties.org.


Bilangan kes bunuh diri di kalangan anggota tentera itu meningkat berbanding 301 orang yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Pemimpin tentera dan pegawai awam berusaha untuk mengekang masalah berkenaan, termasuk melancarkan pelbagai program bagi menangani perbuatan itu.


Bagaimanapun, setakat ini tidak jelas mengapa kadar bunuh diri meningkat walaupun sebahagian mereka yang bertindak demikian tidak pernah berdepan dengan pertempuran.


Bagaimanapun, pegawai berkata, kadar bunuh diri di kalangan tentera itu adalah rendah berbanding orang awam.

Kadar bunuh diri orang awam bagi lelaki berusia 17 hingga 60 tahun ialah 25 bagi setiap 100,000 orang pada 2010 sementara kadar di kalangan anggota tentera ialah 17.5 bagi setiap 100,000.


Pegawai dan ahli politik menyifatkannya perbuatan bunuh diri sebagai epidemik dan mendakwa ia berpunca daripada tekanan akibat peperangan lebih daripada satu dekad hingga mencetuskan masalah kesihatan mental serta meningkatkan penyalahgunaan arak dan dadah di samping melonjakkan kadar perceraian, Tentera Darat mencatatkan jumlah tertinggi perbuatan bunuh diri dengan 182 orang. Pasukan Marin menyaksikan penambahan 50 peratus dengan 48 anggotanya bertindak demikian sementara Tentera Udara, 59, peningkatan sebanyak 16 peratus dan Tentera Laut, 60, naik 15 peratus. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Murid dirogol dekat ofis pengetua

Posted: 15 Jan 2013 01:01 PM PST

Panaji: Seorang murid tujuh tahun dirogol di sebuah tandas sekolah di Goa, menyebabkan tunjuk perasaan besar-besaran dan penangkapan pengetuanya.

Kejadian yang dilapor berlaku di bandar raya Vasco Da Gama kelmarin turut menyebabkan gerakan besar-besaran dilancarkan untuk mengesan suspek yang dipercayai berusia awal 20-an.


"Murid itu dirogol dalam tandas sekolah ketika waktu rehat," kata anggota polis yang enggan namanya disiarkan.

Menurutnya, tandas itu terletak bersebelahan dengan pejabat pengetua Sekolah Menengah Deepvihar yang turut mempunyai bahagian sekolah rendah.


Ribuan penduduk mengepung sekolah berkenaan malam kelmarin, mendesak penangkapan pengetua terbabit dan suspek. Pengetua itu, yang namanya tidak didedahkan bagi melindungi identiti murid berkenaan, ditahan atas dakwaan cuai ketika menjalankan tugas. Penangkapan itu dilakukan selepas kejadian rogol beramai-ramai terhadap seorang pelajar dalam sebuah bas di New Delhi Disember lalu. Kejadian itu mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh India kerana membantah kes serangan seks yang semakin menjadi-jadi.


Lima lelaki dan seorang remaja dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol dan membunuh pelajar berusia 23 tahun itu yang mati 13 hari kemudian di sebuah hospital di Singapura.

Di Goa juga, seorang polis ditangkap semalam atas tuduhan memeras wang daripada pelacur sebagai ganti untuk melindungi mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Thai digesa haram bisnes gading

Posted: 15 Jan 2013 12:59 PM PST

Bangkok: Sebuah kumpulan perlindungan haiwan, semalam mendesak Thailand mengharamkan semua perniagaan gading gajah.

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), peningkatan dalam permintaan gading mendorong kepada pertambahan dalam pembunuhan haiwan itu di Afrika.


Menurut WWF, sejumlah besar gading dari Afrika dibawa masuk secara haram ke Thailand, tempat ia diukir untuk dijadikan patung Buddha, gelang dan barang kemas yang kemudian dijual kepada pelancong di negara `Gajah Putih' itu atau kemudian diseludup ke tempat lain.

Meskipun ia satu kesalahan dari segi undang-undang untuk menjual gading Afrika di Thailand, gading gajah tempatan boleh diniagakan secara sah.


"Ramai pelancong akan terkejut apabila mengetahui barang kemas yang dipamerkan bersebelahan dengan sutera di kedai di Thailand datang daripada gajah yang dibunuh di Afrika. "Adalah satu kesalahan untuk membawanya pulang dan ia sepatutnya tidak lagi dijual di Thailand," kata Elisabeth McLellan, pengurus Program Spesies Global WWF. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Sami mabuk 'curi' bas awam di depot

Posted: 15 Jan 2013 12:59 PM PST

Bangkok: Seorang sami mabuk dilapor memandu sebuah bas awam dari sebuah depot di wilayah Samut Perakan, awal pagi semalam.

Polis berkata, bas itu kemudian ditemui ditinggalkan kira-kira lima kilometer dari depot berkenaan, tetapi sami terbabit menghilangkan diri.


Pemandu sebenar bas itu, Kamolsak Maneechansuk, 40, mengekori bas itu dengan motosikalnya. Menurutnya, dia membiarkan enjin kenderaan itu hidup ketika turun untuk mengambil sesuatu tanpa menyangka ia akan dicuri. Apabila kembali, bas itu sudah tidak ada di tempatnya dan diberitahu oleh pekerja lain seorang sami yang kelihatan mabuk, memandunya.

Polis kemudian menemui sami terbabit, Phra Yotpetch Khunwanchum, 37, di kawasan berhampiran tempat bas itu ditinggalkan. Dia hanya berpakaian bahagian bawah jubahnya dan masih mabuk ketika disoal sebelum polis membawanya ke balai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Tak beretika, tak bermoral

Posted: 15 Jan 2013 12:58 PM PST

Bangkok: Sebahagian besar guru di Thailand menganggap politik negara itu membosankan, tidak beretika serta amat tidak bermoral.

Berdasarkan laporan kajian dijalankan Universiti Suan Dusit Rajabhat itu, 1,004 guru di seluruh negara diminta memberikan pandangan mengenai subjek "Guru Dan Politik Thailand.


Pegawai penyelidik universiti itu berkata, kajian dijalankan antara 10 hingga 14 Januari.

Ditanya mengenai situasi politik semasa negara itu, 44.26 peratus responden menganggap ia membosankan dan ahli politik pula sibuk berbalah setiap hari. Hampir 36 peratus responden berpendapat, ahli politik juga asyik berlumba mendapatkan kuasa, mencari kepentingan sendiri, pilih kasih serta terbabit dalam rasuah.


Keputusan kajian juga menunjukkan 20.06 peratus responden berkata, ahli politik negara itu tidak beretika dan ia merosakkan imej Thailand. Mengenai kepuasan kepada politik ketika ini, 40.39 peratus berkata, mereka berpuas hati kerana lebih banyak peluang pembelajaran, sokongan, selain dasar menguntungkan sistem pembelajaran. Sementara itu, 31.05 peratus mengakui gembira kerajaan meletakkan kepentingan lterhadap kualiti hidup golongan bawahan.


Sebanyak 28.56 peratus pula berpendapat mereka gembira kerana lebih banyak peluang dibuka untuk orang awam terbabit dalam politik. Ditanya apa yang paling dibimbangkan dalam politik ketika ini, 47.06 peratus memberi jawapan rasuah, 32.51 peratus perpecahan sosial dan perpecahan akibat politik dan 20.43 peratus lagi tingkah laku tidak wajar serta cara buruk ahli politik berhujah. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Lari lepas mengaku bunuh isteri

Posted: 15 Jan 2013 12:57 PM PST

Chanthaburi: Seorang pekerja pembinaan membuat pengakuan kepada ibunya bahawa dia membunuh isterinya sebelum melarikan diri, kata polis semalam.

Polis berkata, mayat isteri suspek ditemui dalam keadaan berbogel di atas katil di rumah mereka.


Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 50 tahun mempunyai kesan lebam di muka dan leher, manakala kepalanya berdarah. "Di sisi katil ada sebotol ubat dan beberapa pil yang disita untuk dijadikan bahan bukti," katanya. Polis percaya suspek menghentak kepala mangsa ke lantai berkali-kali, selain menumbuk dan mencekiknya.

Sementara itu, rakan suspek berkata, pasangan terbabit sering bertengkar.


Katanya, suspek selalu mengasari isterinya terutama apabila dia sedang mabuk. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Pejuang Moro berunding dengan Abu Sayyaf

Posted: 15 Jan 2013 12:57 PM PST

Manila: Pejuang Islam yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 1996 berkata, mereka menghantar wakil untuk berunding dengan kumpulan Abu Sayyaf bagi mendapatkan pembebasan tebusan warga asing serta tempatan di Pulau Jolo.

Komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Khabir Malik berkata, kira-kira 10 komander pertubuhan itu dihantar ke kawasan hutan tempat persembunyian Abu Sayyaf bagi meyakinkan kumpulan militan terbabit supaya membebaskan tahanan mereka. "Misi itu diberi tempoh tiga hari untuk berunding," katanya. Menurut Khabir, dia bersama beratus-ratus pejuang bersenjata menunggu perkembangan terbaru di bandar Patikul di wilayah Sulu itu. Bagaimanapun, Khabir enggan menyatakan apa tindakan MNLF jika militan Abu Sayyaf enggan membebaskan tebusan itu.


Maklumat polis menyatakan, antara tebusan yang ditahan Abu Sayyaf ialah seorang wartawan Jordan dan dua peminat burung warga Eropah. Menurut Khabir, MNLF mengambil inisiatif mengadakan rundingan selepas pemimpin kanannya berunding untuk membantu kerajaan, tentera dan polis membersihkan Sulu daripada imej buruk. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

No comments:

Post a Comment