Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Si kudung dapat lesen memandu

Posted: 13 Jan 2013 02:12 PM PST

Lancashire: Seorang wira perang yang hilang kedua-dua kaki dan tangan kanannya akibat satu letupan bom di Afghanistan meraikan kejayaan selepas lulus ujian memandu dalam cubaan kali pertama.

Dave Watson, 26, berdepan dengan kematian apabila terpijak jerangkap samar ketika meronda.


Bagaimanapun, minggu ini, bekas askar itu menanggalkan plat 'L' nya setelah lulus ujian itu dengan melakukan hanya tiga kesalahan kecil.

Watson dari Walton-le-Dale, Lancashire, menjalani 38 latihan praktikal dalam masa tiga bulan dengan kereta Range Rover Sport diubahsuai dan kini memiliki lesen memandu penuh.


"Saya boleh ke mana-mana saya ingini dan saya boleh lebih berdikari," katanya.


Kereta yang diubahsuai itu mempunyai kotak istimewa pada tempat duduk pemandu, tempat Watson meletakkan tangan kanannya.

Foto

WATSON lulus dengan sekali ujian saja.

Dia menolak untuk membrek dan menarik ke belakang untuk menggerakkan keretanya. Terdapat juga hendal kecil pada roda kemudi yang turut mempunyai butang penunjuk, pengelap cermin depan dan lampu.


Watson yang ketika ini menanti untuk menjalani satu lagi pembedahan, perlu mempunyai orang di sebelahnya ketika memandu. Tetapi, selepas pembedahan terakhir itu, dia boleh memandu bersendirian.

Menurutnya, dia mengambil masa yang singkat untuk mahir memandu dalam keadaan cacat.


"Saya adalah antara mereka. Saya tidak bagus dengan duduk di situ dan membaca tetapi saya boleh melakukan secara praktikal. "Saya terus keluar sebaik kembali daripada menjalani ujian dan menyelesaikan hal berkait dengan Insurans. Saya memandu ke rumah nenek saya, membawa adik saya, rakannya dan kemudian ke rumah seorang rakan untuk menziarahnya sebelum dia berlepas ke Australia," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

6 suspek rogol ditahan

Posted: 13 Jan 2013 02:03 PM PST

New Delhi: Polis semalam berkata, mereka menahan enam suspek dalam satu kejadian rogol penumpang sebuah bas terbaru di India, empat minggu selepas tragedi membunuh mahasiswa perubatan yang menggemparkan negara itu berlaku.

Pegawai polis tempatan, Raj Jeet Singih berkata, kejadian malang itu berlaku apabila mangsa yang berusia 29 tahun dan bersendirian ketika menaiki bas berkenaan untuk pulang ke kampungnya di Punjab pada malam Jumaat lalu.


Kata Raj, pemandu bas berkenaan enggan berhenti di kampung mangsa walaupun wanita terbabit merayu berkali-kali supaya diturunkan segera di situ.

"Sebaliknya wanita itu dibawa ke satu tempat sunyi yang jauh daripada orang ramai.


"Di situ, pemandu dan konduktor bas membawa mangsa ke sebuah bangunan dan ada lima lelaki lain menunggu," katanya.


Menurut Raj, mangsa dirogol bergilir-gilir sepanjang malam berkenaan.

"Pada keesokan paginya, mangsa ditinggalkan di tepi jalan di kampungnya," katanya. Polis masih memburu seorang lagi suspek. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Henti tekan media: TJA

Posted: 13 Jan 2013 02:02 PM PST

Bangkok: Wartawan Thai menggesa tentera negara itu tidak memberi tekanan kepada media selepas kumpulan tentera beruniform membuat bantahan di luar sebuah stesen televisyen yang memberi komen berunsur kritikan terhadap ketua tentera.

Persatuan Wartawan Thai (TJA) yang terdiri daripada beberapa wakil syarikat akhbar negara itu menyuarakan kebimbangan, semalam selepas 30 anggota tentera mengadakan protes dua hari menuntut media membuat permohonan maaf.


"TJA menggesa tentera berhenti campur tangan dalam sebarang hal ehwal media. Jika media tidak dapat bertugas dengan bebas rakyat tidak akan memperoleh maklumat dan fakta lengkap," kata persatuan. Tentera Thailand yang mempunyai sejarah sering campur tangan dalam politik negara itu, termasuk beberapa siri rampasan kuasa, mengarahkan anggota tentera terbabit agar menghentikan bantahan mereka. "Ketua tentera memberitahu kita perlu memaafkan dan bukannya mewujudkan lebih banyak konflik," kata jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd kepada media.

Bagaimanapun, dia menolak dakwaan campur tangan tentera terhadap media.


"Mereka tidak melakukan apa-apa kecuali menyuarakan pendapat mereka. Mereka tidak mencederakan sesiapa pun atau menutup pintu masuk ke ibu pejabat stesen televisyen itu," katanya.


Bantahan itu sebagai menentang stesen teleyisyen satelit Asia yang dahulunya pro-tentera dan dimiliki pengasas pejuang kebangsaan gerakan 'Baju Kuning', Sondhi Limthongkul. Kumpulan yang dikaitkan dengan Baju Kuning - seteru gerakan 'Baju Merah' dan perdana menteri digulingkan Thaksin Shinawatra, yang juga abang kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra - berulang kali menyeru tentera memperkukuhkan penguasaan mereka. Ketua Tentera, Prayuth Chan-O-Cha dilaporkan telah menyelia tindakan tegas tentera terhadap penyokong Baju Merah di pusat bandar raya Bangkok pada April dan Mei 2010 yang menyebabkan lebih 90 orang terkorban.

Bagaimanapun, sejak itu dia menyuarakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan kerajaan Yingluck yang disokong Baju Merah. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

100 lukisan lesap dari muzium

Posted: 13 Jan 2013 02:02 PM PST

Jakarta: Lebih 100 lukisan dipamerkan di Muzium H Widayat di Magelang, Jawa Tengah, semalam dilaporkan hilang.

Penjaga muzium itu, Iskandar berkata, terdapat enam orang bertemu dengannya pada Khamis lalu dan seorang daripada mereka mendakwa pemegang saham muzium itu meminta kunci bangunan daripadanya.


"Disebabkan dia mengatakan bahawa dia pemegang saham muzium, saya menyerahkan kunci kepadanya. Dia meminta saya tinggal di rumah saja," katanya.

"Saya dimaklumkan pengawal bahawa 104 lukisan hilang jam 3 pagi," katanya. Pengarah muzium, Fajar Purnomo Sidi berkata, dia disoal siasat polis mengenai insiden itu. Dia mengesyaki pencuri itu ialah seorang daripada 11 anak pelukis yang sudah meninggal dunia itu.


Pada pertengahan 2010, seorang anak lelaki Widayat mencuri lukisan bapanya selepas penemuan semula tiga lukisan - Sakura, Bis Kota dan Andong - di pusat lelongan. Muzium H Widayat yang menempatkan 1,000 lukisan Widayat dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada April 1994 oleh bekas Menteri Pendidikan Wardiman Djojonegoro. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Maut jatuh kelab malam

Posted: 13 Jan 2013 02:01 PM PST

Singapura: Seorang rakyat Thai yang pengsan selepas terjatuh di kelab malam Zouk pada malam tahun baru meninggal dunia Khamis lalu.

Keluarganya mengesahkan Anan Tunsuwan, 26, atau nama gelarannya sebagai Aum, sebelum ini menjalani pembedahan penukaran jantina dan mereka melayannya sebagai seorang anak perempuan.


Dia dikatakan mengalami kerosakan otak ekoran kekurangan oksigen berada dalam keadaan koma selama 10 hari.

Ia satu keputusan yang sukar dibuat bagi ibunya, Pringpoul Tongchub, 42, untuk menghentikan mesin bantuan pernafasan yang digunakan dalam rawatannya. Aum yang bernafas secara normal apabila mesin itu dihentikan pada jam 12.30 tengah hari Rabu lalu kemudian meninggal dunia jam 4.20 pagi keesokan hari selepas pernafasan terhenti.


Ketika ditanya mengenai keputusannya Pringpoul dengan linangan air mata memberitahu melalui penterjemah: "Saya tidak mahu dia terus menderita," katanya.


Rakan Aum yang juga seorang pemandu teksi dan hanya ingin dikenali sebagai Leow, 40, berkata, doktor memberitahu ibu dan ibu saudara Aum mengenai keceraan dialami anaknya Jumaat lalu.

"Doktor memberikan ahli keluarga Aum dua pilihan. Membiarkan dia terus dibantu mesin pernafasan atau mengeluarkan tiub dan membiarkan dia bernafas secara normal." Keluarganya diberikan tempoh beberapa hari membuat keputusan sebelum memutuskan melepaskan Aum pergi," katanya.


Ujian imbasan mengesahkan kebimbangan doktor - Aum mengalami kerosakan teruk di otak. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Pemilik Taman Udara Pattaya maut

Posted: 13 Jan 2013 02:01 PM PST

Pattaya: Pemilik Taman Udara Pattaya, meninggal dunia lewat malam semalam di sebuah hospital, di sini, selepas pesawat dinaiki terhempas di tambon Huay Yai, daerah Bang Lamung, Chon Buri, kata polis.

Ketua balai polis Huay Yai, Kolonel Kampol Leelaprapakorn berkata, mangsa nahas dikenal pasti sebagai Navaporn Savetwong, aka Sia Tang, 55, pemilik Taman Udara Pattaya, lapangan udara persendirian di Bang Lamung.


Menurutnya, Savetwong ingin menguji pesawat barunya yang dibeli dari England dua minggu lalu. Dia terbang dari taman udara itu jam 6 petang. 15 minit berlepas, pesawat itu hilang kawalan dan terhempas di ladang ubi di tambon Huay Yai.

Savetwong yang parah dimasukkan ke Hospital Bangkok Pattaya sebelum disahkan meninggal dunia. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Pramugari wanita Arab

Posted: 13 Jan 2013 02:00 PM PST

Jeddah: Ketua Pegawai Eksekutif Nasair, Sulaiman Al-Hamdan berkata, beliau berminat untuk mengambil wanita Arab Saudi bekerja sebagai kru kabin syarikat penerbangan itu dengan syarat, kerajaan negara itu meluluskannya.

Kenyataan ketua syarikat penerbangan kos rendah Saudi itu yang dibuat dalam wawancara dengan sebuah majalah Amerika Syarikat, Supply Chain, mendapat reaksi yang pelbagai.


"Kami tinggal dalam masyarakat yang tertutup yang wanitanya tidak dibenarkan meninggalkan negara tanpa kebenaran daripada penjaga lelaki. Kerana itu, adalah mustahil untuk mereka bekerja dalam pesawat.

"Secara peribadi, saya tidak menentangnya. Tetapi anda perlu ingat bahawa masyarakat Saudi begitu tertutup. Tidak mungkin ini akan berlaku," kata Saleh Makki, 53, yang bekerja sebagai pegawai pemasaran.


Pereka dalaman, Layla Jihad, 47, percaya masyarakat Saudi menentang apa saja yang baru dan inovatif. "Masyarakat kami tidak menerima apa saja yang mereka tidak biasa. Mereka akan bangkit menentangnya.


"Saya menanti untuk melihat wanita negara saya bekerja dalam semua sektor dan memegang apa juga jawatan kerana jika anda mempercayai mereka, anda perlu memberikan kebebasan kepada mereka untuk memilih kerjaya masing-masing," katanya.

Dalam wawancara itu, Sulaiman ditanya mengenai kemungkinan syarikat penerbangan di negara Teluk mengambil wanita Saudi bekerja sebagai kru kabin. Beliau menjawab: "Secara peribadi, saya akan mengambil mereka bekerja hanya sekiranya terdapat dikri yang jelas daripada pihak berkuasa. Saya tidak melihat sebarang alasan untuk tidak mengambil mereka bekerja.


"Nasair beroperasi menurut undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan di Arab Saudi, menghormati tradisi dan privasi masyarakat dan akan kekal mematuhinya. - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Gabenor mahu projek siap ikut jadual

Posted: 13 Jan 2013 02:00 PM PST

Makkah: Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal semalam menggesa semua pihak yang terbabit dalam pelaksanaan projek pembangunan bandar suci ini, termasuk kontraktor, menyiapkan kerja mereka mengikut jadual.

"Anda perlu bekerja dengan semangat satu pasukan dengan menyelaraskan aktiviti berkait dengan rekaan dan pelaksanaan bagi menyiapkan projek ini mengikut masa yang ditetapkan," kata gabenor berkenaan kepada pegawai kerajaan.


Khaled berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa eksekutif projek itu.

Raja Abdullah meletakkan batu asas projek yang dinamakan sempena namanya itu pada 2011 yang bertujuan meluaskan Masjidil Haram. Ia akan meningkatkan kapasitinya kepada 2.5 juta jemaah dan dijangka menelan belanja SR80 bilion.


Pada mesyuarat berkenaan, wakil syarikat perunding, Parsons, memberi keterangan mengenai projek berkenaan, termasuk jalan baru bagi memudahkan trafik di bandar Makkah, pembinaan tempat parkir kereta dan sistem kereta api metro yang akan menghubungkan Landasan Mashair dan Haramain.


Projek berkenaan juga akan membabitkan pembinaan lebih banyak jejambat dan sejumlah persimpangan dengan jalan utama, akan mengurangkan kesesakan di bandar suci itu. - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Kedai gunting ditegah tawar sauna

Posted: 13 Jan 2013 01:59 PM PST

Jeddah: Tukang gunting di Jeddah berkata, mereka mungkin mengalami kerugian besar ekoran pengharaman pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap perkhidmatan sauna dan mandi wap.

Beberapa pengusaha kedai gunting berkata, perkhidmatan itu memberikan keuntungan besar kepada mereka.


Bagaimanapun, kata pengusaha terbabit, larangan PBT Jeddah mungkin menyebabkan keuntungan bulanan perniagaan mereka merudum sehingga 80 peratus. Tinjauan mendapati, kebanyakan kedai gunting di Jeddah bergantung kepada perkhidmatan sauna dan mandi wap untuk menampung kos bulanan bisnes masing-masing. Seorang daripada mereka berkata, setiap kedai gunting perlu memperoleh sekurang-kurangnya SR400 (RM322) sebulan untuk membayar gaji pekerja, sewa kedai, bil elektrik serta kos lain. "Di sesetengah kedai, mereka perlukan sekurang-kurangnya SR5,000 (RM4,000) untuk semua kos bulanan," katanya. Pengusaha kedai gunting itu berkata, bayaran diterima daripada upah memotong rambut dan bercukur tidak mencukupi untuk menampung kos yang ada. "Pelanggan cuma membayar SR20 (RM16) untuk memotong rambut dan SR10 (RM8) untuk bercukur.

"Dalam keadaan begitu, paling banyak saya dapat sebulan ialah SR100 (RM80) sehari," katanya. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Jumpa tinggalan sejarah zaman purba

Posted: 13 Jan 2013 01:59 PM PST

Muscat: Kubur lama yang ditemui Polis Diraja Oman ketika membina pos pemeriksaan baru di sempadan negara itu di Aswad membawa kepada bukti sejarah terhadap petempatan purba sekitar 2000 SM.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Antikuiti Kementerian Warisan Dan Kebudayaan, Sultan al-Bakri berkata, pos kawalan polis berkenaan akan tetap dibina di tapak asal.


"Kubur purba itu pula akan dilindungi sepanjang projek berkenaan dijalankan," katanya. Sultan berkata, sekumpulan pakar arkeologi mengkaji kubur berkenaan selepas dimaklumkan polis mengenai penemuan kawasan tersebut di situ.

"Pasukan penyelidik menemui kawasan petempatan dan kubur purba yang wujud pada era Wadi Souq antara 1900 dan 1100 SM," katanya. Ketika ini, kata Sultan, kawasan seluas tiga kilometer persegi itu dikaji pihak penyelidik.


"Fasa seterusnya ialah mengkaji jika wujud lagi tapak purba yang lain di sekitar kawasan Aswad," katanya. - SG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

No comments:

Post a Comment