Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Jawablah sendiri!'

Posted:

Kuala Lumpur: "Dia (Datuk K Rajagobal) sebagai ketua jurulatih perlu bersikap profesional. Kalau pihak media tanya soalan dia perlu jawab dan bukannya menyuruh orang lain memberikan jawapan. Dia sebagai ketua jurulatih sepatutnya lebih tahu kenapa Piya (Mohd Badhri Radzi) tidak dipanggil bermain dengan skuad kebangsaan dan bukannya orang lain," jelas bekas jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu.

Pendirian Karathu itu menggambarkan beliau tidak senang dengan kenyataan Rajagobal yang meminta pihak media mendapatkan penjelasan lanjut kepadanya dan seorang lagi bekas jurulatih The Red Warriors, B Sathianathan mengenai alasan kenapa Badhri tidak mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya kali ini.


Karathu yang pernah membimbing Kelantan memenangi Liga Super pada 2011 berkata, setiap jurulatih mempunyai pandangan tersendiri dan Rajagobal tidak perlu menyerahkan tugas kepada orang lain ketika diminta mengulas kedudukan seseorang pemain.

"Dia ketua jurulatih boleh beritahu pandangannya tentang Piya, jangan mahu 'cuci tangan'. Memang saya pernah melatih Piya tapi itu dua tahun dulu, mungkin sekarang prestasinya sudah berubah.


"Setiap jurulatih ada pandangan tersendiri dan dia sebagai ketua jurulatih juga berhak memberikan pandangan. Kalau mahu pilih 11 pemain untuk satu pasukan mungkin hanya tujuh pemain adalah pemain yang menjadi pilihan semua jurulatih dan selebihnya tidak sama. Kalau 10 jurulatih bagi pandangan yang sama pasti pasukan itu tidak menjadi," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Badhri, kapten Kelantan yang menjulang tiga gelaran musim lalu bersama skuad negeri tidak pernah mendapat perhatian Rajagobal sebelum ini. Persoalan ini kembali dibangkitkan apabila Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Safiq Rahim yang digantung perlawanan bagi aksi persahabatan menentang Iraq di Dubai esok dan berdepan Qatar di Doha dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015, 6 Februari ini.

Foto

M Karathu

Selain Safiq, pengendali negara itu turut mengeluh kerana kehilangan K Gurusamy dan Gary Steven Robbart di bahagian tengah namun tetap tidak menyenaraikan Badhri, 30.


Menurut Rajagobal dalam kenyataan yang disiarkan Arena Metro semalam, peminat boleh menyuarakan pendapat mengenai Badhri namun beliau lebih mengetahui mengenai pemain berdasarkan kesesuaian posisi dan taktikal pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Darby FC muncul juara berganda

Posted:

Ampang: Pasukan Darby FC muncul juara berganda Liga Super Futsal Yob4ever edisi keenam di Kompleks Sukan JPS, Ampang apabila merangkul gelaran liga dan juara keseluruhan menewaskan pasukan Netto FC, 3-1, baru-baru ini.

Kejohanan futsal tahunan antara ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Perak dijalankan secara empat penjuru dengan pasukan menggunakan nama jurulatih import yang pernah menerajui skuad Seladang.


Dua lagi pasukan yang menyertai kejohanan itu adalah Jang Jung FC dan Weigang FC.

Darby FC berjaya mengumpul 14 mata daripada enam perlawanan liga untuk muncul juara diikuti Netto FC, 11 mata.


Walaupun tewas, Netto FC turut berbangga atas kejayaan pemainnya, Fairus Ezzuan Rasaik yang memenangi anugerah penjaga gol terbaik manakala Nujumuddin Mohd Yaman sebagai penjaring terbanyak dengan enam gol.


Pemain terbaik kejohanan, Zulkifly Abdul Hamid dari pasukan Darby FC dianugerah Piala Ghazali Mazlan selepas menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir.

Penyampaian hadiah kejohanan disempurnakan pengasas Yob4ever, Mohd Hishamuddin Kasim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Pasukan Batu Permai ungguli jemputan B-12

Posted:

Melaka: Pasukan Batu Permai dari Kuala Lumpur muncul juara Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Jemputan Bawah 12 Tahun anjuran Malacca Club di Kampung Hailam, Tanjung Kling, baru-baru ini.

Skuad terbabit menang 1-0 ke atas Lanchang Tigers dari Jasin menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi sepenuh masa. Tempat ketiga dan keempat milik WCV FC dari Selangor dan PFKA Batu Caves. Semua pemenang membawa pulang piala dan medal pada kejohanan yang disertai lapan pasukan.


Saingan separuh akhir sebelum itu menyaksikan Batu Permai mengatasi PFKA 1-0 dan Lanchang Tigers menewaskan WCFC, 2-1.

Batu Permai turut unggul pada saingan B-10 selepas menewaskan Malacca Club, 1-0 di final yang turut menyaksikan kemahiran tinggi peserta ketika berusaha untuk memenangi perlawanan.


Tempat ketiga milik skuad dari Singapura, Akademi Bola Sepak Braveheart yang mengatasi PPM Kids dari Bachang Melaka, 2-1.


Pengerusi program, Tan Chin Yang berkata, program bertujuan mengeratkan hubungan pasukan dari Malaysia dan Singapura serta merancakkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

"Saingan kompetitif seperti ini mampu mengasah bakat pemain yang bakal menjadi tunjang pasukan negeri dan negara pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Kejohanan golf MSSD Kuantan medan cungkil bakat muda

Posted:

Kuantan: Dalam usaha melahirkan jaguh golf, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, Kuantan menganjurkan Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kuantan di Kelab Golf Diraja Pahang, Taman Gelora, Kuantan baru-baru ini.

Pada kejohanan julung kali dianjurkan itu, seramai 62 pemain berentap bagi meraih gelaran juara bagi kategori bawah 12, 15 dan 18 tahun yang berlangsung selama tiga hari itu.


Kejohanan itu medan terbaik untuk memilih pemain mewakili Kuantan pada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) di Pekan pada 5 hingga 7 Februari ini.

Penyelaras, Johari Idris berkata, kejohanan itu memberi peluang kepada pengembangan bakat baru selain mengiktiraf pencapaian atlet dalam sukan itu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


"Saya puji komitmen dan usaha SMK Alor Akar yang diterajui Pengetua, Mokhtar Abdullah bagi memastikan kejohanan tahunan itu berlangsung meriah terutama melahirkan pemain golf pelapis.


"Komitmen dan kerjasama ibu bapa juga perlu dihargai kerana membantu dan memberikan sokongan kepada anak mereka menceburi sukan ini," katanya.

Sementara itu, johan kategori Bawah 18 Tahun lelaki menjadi milik Azmeer Badrul Merzam manakala Putera Azim Shah ungguli kategori B-15 dan B-12 dimenangi Ying Hock Hong.


Tengku Uzma Batisya pula mengungguli kategori B-18 perempuan, B-15 dan 12 pula dimenangi Kristin Lau May Hui dan Syarah Shamin Rozali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

PAFA tiada kuasa

Posted:

Ipoh: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tiada kuasa dalam kerja pembaikan terhadap Stadium Perak.

Begitulah jelas Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengenai rungutan peminat Seladang berikutan kelewatan kerja-kerja meningkatkan pencahayaan di stadium itu yang hingga kini masih belum bermula.


"Saya perlu jelaskan, Stadium Perak bukan milik PAFA. Ia di bawah selenggaraan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Justeru PAFA tidak boleh berbuat apa-apa kecuali berharap MBI menyegerakan kerja di stadium agar dapat digunakan pada April," katanya.


Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri membuat penjelasan itu berikutan PAFA disalahkan peminat atas kelewatan yang berlaku termasuk menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.


Menurut Zainol selaku Exco bertanggungjawab, beliau berjaya mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja meningkatkan cahaya serta menaik taraf kemudahan asas di stadium itu.

"Apabila MBI memberitahu tiada dana, kerajaan negeri setuju membiayai kos melaksanakan kerja.


"Sepatutnya tidak ada masalah untuk memulakan kerja tapi hingga kini ia belum dimulakan.

"Mungkin ada prosedur dan peraturan kewangan yang perlu dipatuhi bagi mengelak berlaku tohmahan dan dakwaan terhadap pemberian tender kepada kontraktor.


"Apapun saya harap peminat bersabar. Seperti mereka PAFA juga mahu perlawanan Liga M diadakan semula di Stadium Perak dengan segera." Berikutan penutupan stadium selama tiga bulan, semua lima perlawanan pusingan pertama Perak di tempat sendiri diadakan di Stadium TLDM, Lumut.


Namun dengan kelewatan kerja membaiki stadium itu kemungkinan Perak terpaksa terus menjadikan stadium di dalam pangkalan tentera laut itu sebagai gelanggangnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Selangor, Tentera selesai cara baik

Posted:

Shah Alam: Ketegangan yang melanda Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan insiden pergaduhan pemain semakin reda apabila kedua-duanya dilihat ingin mencari jalan penyelesaian terbaik.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya membuat pertimbangan sewajarnya dan melihat daripada beberapa sudut kesannya andai ia dipanjangkan kepada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).


"Setakat ini saya boleh sahkan, FAS belum membuat sebarang aduan berhubung insiden itu. Kami mahu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan perkara ini. Malah saya sudah mengadakan perjumpaan dengan jurulatih dan pemain terbabit hari ini (semalam) untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Insiden pergaduhan membabitkan pemain kedua-dua pasukan berlaku sejurus tamat penentuan sepakan penalti perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.


Sementara itu pengendali ATM, B Sathianathan yang juga pengurus pasukan berkata, beliau sudah menyerahkan dokumen kepada pengurusan persatuan bagi menjelaskan insiden terbabit.


"Kini terpulang kepada mereka untuk memanjangkan kepada FAM atau sebaliknya. Malah saya ingin tegaskan andai ada pemain ATM yang bersalah kami sedia mengambil tindakan," katanya yang turut berharap perkara terbabit tidak diperbesar-besarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Shakir harap cepat pulih bantu Jang

Posted:

Seremban: Kecederaan tumit menyebabkan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Md Ali tidak dapat membantu pasukan itu mengharungi cabaran saingan Liga Super yang kian berliku apabila skuad itu menghuni tangga terbawah carta liga.

Walaupun semangatnya begitu membara, dia terpaksa akur dan berharap cepat pulih untuk berada dalam kesebelasan utama melakar kemenangan.


"Kedudukan pasukan memberi tekanan kepada rakan kerana belum mencapai kemenangan selepas lima perlawanan. Situasi ini juga membuatkan penyokong hilang keyakinan terhadap kekuatan pasukan musim ini.

"Kecederaan yang saya alami memerlukan masa untuk pulih, namun saya harap dapat diturunkan pada perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 16 Februari ini," katanya.


Penyerang berusia 23 tahun itu mengaku Negeri Sembilan perlu bangkit mencapai kemenangan pada perlawanan akan datang bagi mengelak terus berada dalam zon bahaya yang memungkinkan sasaran memburu kejuaraan tersasar.


Katanya, dia meyakini kemampuan skuad Hoben Jang Hoben dan nasib belum menyebelahi mereka apabila tiga kekalahan yang dialami di tangan Selangor, Pahang dan Perak itu dengan perbezaan satu gol.

Menurutnya, ia menunjukkan kekuatan pasukan masih setanding pasukan lain namun kegagalan barisan depan memanfaatkan peluang jaringan membuatkan usaha memburu kemenangan tidak kesampaian.


"Saya harap dapat bergandingan dengan Emanuel Matias De Porras bagi memantapkan barisan depan dan yakin kemenangan boleh dicatat pada perlawanan akan datang.

"Saya juga percaya De Porras sudah pasti mendapat semangat baru untuk meledak lebih banyak gol selepas mempamerkan persembahan bertenaga pada aksi Piala FA lalu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Piya persoal keputusan Raja

Posted:

Kota Bharu: "Apa masalah Datuk K Rajagobal dengan saya. Kenapa dia tak nak panggil saya menyertai skuad kebangsaan?" kata kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi atau Piya.

Itu reaksi balasnya kepada kenyataan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal, semalam yang dianggap menghinanya.


Pemain tengah Kelantan itu ingin tahu apakah corak permainannya di posisi tengah tidak menepati cita rasa pengendali berusia 57 tahun itu.

Menurut Piya, aksi pertamanya menyarung jersi kebangsaan ketika mewakili Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea di Kuala Lumpur pada 2011.


Skuad itu dikendalikan jurulatih Ong Kim Swee dan tidak harus dijadikan penilaian sebenar kemampuannya.


"Saya tak kisah bila-bila masapun saya sedia menerima panggilan untuk beraksi dalam skuad kebangsaan.

"Namun kenyataan jurulatih itu seolah-olah saya tidak layak berada dalam skuad kebangsaan." Akhbar kelmarin melaporkan, Piya tidak mendapat tempat dalam skuad kebangsaan meskipun ramai tonggak utama digugurkan akibat kecederaan.


Namun, Rajagobal enggan memanggil Piya bagi mengisi kekosongan posisi tengah menggantikan Safiq Rahim.

Piya mengaku pelik dengan kenyataan Rajagobal yang turut meminta pemberita bertanya kepada dua bekas jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu dan B Sathianathan.


"Saya akan tanya mereka apa sebenarnya yang pelik dalam diri saya.


"Terus terang saya tak tahu apa sebenarnya masalah Rajagobal dengan saya.


"Sebagai pemain bola sepak, saya punya tugas untuk bersama pasukan Kelantan dan sekiranya dipanggil beraksi dalam skuad kebangsaan, saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Khyril Muhymeen kini jadi taruhan

Posted:

Sepang: Kelincahan penyerang Mohd Khyril Muhymeen Zambri kini menjadi taruhan jurulatih, Datuk K Rajagobal berdepan Iraq pada aksi persahabatan antarabangsa di Dubai esok sebelum turun dalam misi sebenar menentang Qatar di Doha dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015 pada 6 Februari ini.

Selepas kehilangan dua tonggak utama, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, Khyril Muhymeen yang sebelum ini hanya memainkan 'watak kecil' dalam pasukan kini memikul tanggung jawab besar untuk menjana serangan Harimau Malaya.


Pemain Kedah berusia 25 tahun itu kini menjadi satu-satunya penyerang daripada skuad AFF 2012 selepas Safee dan Norshahrul terpaksa diketepikan Rajagobal akibat kecederaan manakala Ahmad Hazwan Bakri tidak dipanggil menyertai skuad seramai 24 pemain kali ini.

Selain Khyril Muhymeen, tiga lagi penyerang adalah Mohd Amri Yahyah, Abd Hadi Yahya dan Fauzi Roslan.


"Sebagai penyerang utama memang akan ada rasa tekanan tapi ia juga bergantung kepada bagaimana pasukan ini akan bermain dan komitmen atas padang. Kalau diberikan peluang oleh jurulatih untuk bermain dalam kesebelasan utama, saya akan beri yang terbaik.


"Kini hanya saya seorang penyerang daripada skuad AFF yang masih ada dalam skuad ini, sebelum ini kami banyak berharap kepada Mat Yo (Norshahrul) dan Safee untuk bergerak ke depan. Saya harap kali ini Amri juga dapat menyerlah," katanya sebelum berlepas ke Dubai semalam.

Khyril Muhymeen hanya meledak satu gol di Piala AFF tahun lalu ketika membantu Malaysia menewaskan Laos 4-1 selepas masuk sebagai pemain gantian.


Selepas tiga hari menjalani latihan pusat, dia yang turut menganggotai skuad juara Piala AFF 2010 mengaku tidak berdepan masalah untuk bergandingan bersama penyerang berusia 32 tahun, Amri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Tugas berat Paulus

Posted:

Kuala Lumpur: Tugas besar menanti jurulatih baru dari Indonesia, Paulus Firman untuk menajamkan kembali gandingan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Paulus, 44, pernah melatih bukan hanya beregu wanita iaitu tugasan terakhir dalam kem Indonesia, malah beregu campuran, perseorangan lelaki dan wanita republik itu.


Namun satu-satu tugas yang belum pernah dilakukannya adalah membimbing beregu lelaki.

"Melatih beregu wanita berbeza sama sekali," kata Paulus mengaku tugasannya itu tidak mudah ketika melawat kem latihan pasukan negara di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.


Khidmat beliau diikat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula 1 Februari 2013 hingga 31 Januari 2015.


Paulus sudah berbincang dengan Tan Kim Her dan diberi tugas membimbing tiga gandingan, Kien Keat-Boon Heong, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Lutfi Zaim Abdul Khalid-Tan Wee Gleen.

"Saya berterima kasih kepada BAM kerana mempercayai saya, bergabung dengan barisan jurulatih sedia ada memperkuatkan beregu Malaysia dan saya anggap ini adalah cabaran baru.


"Kalau dilihat pada tanggungjawab saya, memang ada tekanan untuk membawa gandingan utama Kien Keat-Boon Heong memburu kejuaraan tapi saya percaya pada kerja sepasukan.

"Buat masa ini saya tidak boleh meletakkan sasaran kerana perlu bertemu mereka terlebih dulu, berbincang mengenai keperluan dan kekurangan mereka sebelum membuat kesimpulan.


"Mungkin gandingan ini memerlukan lebih kekuatan fizikal atau juga mereka tekanan setiap kali turun ke gelanggang, saya perlu kaji satu persatu." Sasaran besar ke atas Kien Keat-Boon Heong tahun ini adalah mara ke final Kejohanan Dunia.


"Masih ada enam bulan untuk saya siapkan mereka. Saya tidak boleh membuat sebarang andaian sebelum mereka menyertai beberapa kejohanan menjelang Kejohanan Dunia itu," katanya yang mengaku mendapatkan pandangan bekas ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky dan jurulatih perseorangan Hendrawan sebelum bersetuju menyertai BAM.


"Ya memang saya mendapatkan nasihat mereka dan perkara paling penting adalah fokus kepada kerja sepenuhnya sambil berkerjasama dengan semua orang, semoga mendapat hasil yang baik." Paulus pernah menjadi jurulatih kelab Wira Tangkis di Pulau Pinang pada penghujung 1995 hingga Disember 1996 sebelum kembali ke Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) pada 1997.


Beliau pernah bergandingan dengan Mulyo Handoyo melatih Taufik Hidayat sebelum memenangi pingat emas Olimpik Athens 2004.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

No comments:

Post a Comment