Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Impian tercapai

Posted: 20 Jan 2013 11:35 AM PST

Sepang: "Ini baru pertama kali saya menjejakkan kaki ke luar negara. Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memberi peluang kepada anak FELDA memperoleh ilmu berguna di London," kata pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Universiti LimKokWing Nurhidayah Mat Disa, 24, seorang daripada 99 anak FELDA yang mengikuti Program Generasi Global LimKokWing di London.

Nurhidayah yang berasal dari FELDA Besout di Sungkai, Perak berkata, dia tidak menyangka impian untuk menjejakkan kaki ke luar negara tercapai apabila terpilih mengikuti kursus empat bulan di Universiti LimkokWing London.


"Sebelum ini, saya tidak memiliki pasport dan tidak terfikir berpeluang menaiki pesawat ke luar negara. Impian itu menjadi kenyataan apabila terpilih mengikuti kursus pengajian di London pada September tahun lalu.

"Banyak faedah yang diperoleh melalui kursus ini seperti menjadikan diri lebih yakin dan berani selain meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris.

"Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada Universiti Limkokwing, FELDA dan Perdana Menteri kerana memberi peluang ini kepada anak FELDA," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.


Seramai 65 daripada 99 anak FELDA yang juga pelajar Universiti LimKokWing pulang ke tanah air selepas tamat mengikuti Program Generasi Global Limkokwing di cawangan universiti itu di London.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Tragedi mak andam

Posted: 20 Jan 2013 11:32 AM PST

Rembau Seorang mak andam melalui detik menakutkan apabila kereta dipandunya terbabas ke laluan bertentangan lalu menjunam masuk dalam gaung sedalam tiga meter sebelum terbakar di Jalan Kundur-Linggi, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 5 petang, berlaku ketika mangsa, Yanti Ahmad, 40, yang memandu seorang diri dalam perjalanan dari Putrajaya ke Cheng, Melaka menuju rumah pelanggan untuk menyolek pengantin.


Menurutnya, sebaik selesai kerja mengandam pengantin di Putrajaya, dia yang memandu Proton Gen.2 bergegas pula ke Melaka untuk memenuhi tempahan berikutnya.

"Mungkin saya letih. Hanya beberapa saat saya pejamkan mata, kereta sudah masuk ke laluan bertentangan. Saya cuba mengawal stereng bagi mengelakkan kereta masuk dalam gaung, tetapi gagal.


"Alhamdulillah saya tidak cedera, cuma bengkak di tangan dan badan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Yanti berkata, dalam keadaan panik itu, dia mencapai telefon dan menghubungi suaminya, Mohd Arif Abu Samah, 40, memaklumkan mengenai kejadian lalu meminta suaminya mendapatkan bantuan.

Menurutnya, dia cuba keluar menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai dan ketika itu dia tidak nampak api, tetapi sebaik keluar dari gaung itu saksi memberitahu enjin keretanya hangus terbakar.


Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rembau, Mohd Yusoff Samad berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, pasukannya dengan enam anggota dan satu jentera bergegas ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Nyaris maut kayu getah hempap kereta

Posted: 20 Jan 2013 11:29 AM PST

Jempol Dua: Dua warga emas nyaris maut apabila kereta Proton Iswara dinaiki dihempap timbunan kayu getah yang jatuh dari lori di Kilometer 3, Jalan Bahau-Kemayan berhampiran Taman Megah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 60-an itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Raja Alias Dua dan Empat selepas minum bersama di pekan Bahau, di sini.


Pemandu kereta Proton Iswara itu, Samad Elias, 60-an, berkata, setibanya di selekoh tajam dia nampak lori membawa kayu getah dari laluan bertentangan.

"Setiba di selekoh itu, saya nampak lori yang dipenuhi kayu getah dan dipercayai terlebih muatan itu dalam keadaan tidak stabil.


"Sebaik berselisih, timbunan kayu getah dari lori itu jatuh menimpa kereta kami.


"Kejadian berlaku dengan cepat dan saya tidak sempat mengelak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana dia dan rakannya terselamat dan hanya cedera ringan. Pemandu lori terbabit terus melaporkan kejadian di balai polis berhampiran.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Kos KL Gangster 2 naik RM1 juta

Posted: 20 Jan 2013 11:28 AM PST

Kuala Lumpur: Filem KL Gangster 2 yang menjalani penggambaran pada penghujung dua tahun lalu mencatat kos produksi RM4 juta.

Produser Skop Production Sdn Bhd Datuk Yusof Haslam berkata, pertambahan kos sebanyak RM1 juta berbanding kos asal, RM3 juta berlaku atas faktor penggambaran lebih banyak adegan aksi termasuk kerja pasca produksi yang dijalankan di Bangkok, Thailand.


"Untuk mendapatkan kualiti yang bagus, pertambahan kos perlu dilakukan. Bagi saya, peningkatan kos tinggi untuk filem ini bukan masalah asalkan hasil kerjanya memberi kepuasan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, proses pasca produksi membabitkan suntingan akhir masih dijalankan di Bangkok dan filem kelapan arahan anaknya, Syamsul dijangka siap sepenuhnya pertengahan Februari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

'Pengguguran' Uji Rashid disalah tafsir

Posted: 20 Jan 2013 11:27 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas dua minggu isu 'pengguguran' penyanyi, Uji Rashid dari Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) menjadi topik hangat, TV3 akhirnya tampil membuat kenyataan menerusi program hiburan sensasi, Melodi, semalam.

Ketua Pegawai Operasi Media Prima TV Networks Ahmad Izham Omar dalam kenyataannya berkata, pihak TV3 langsung tidak berniat untuk menghiris hati atau menghina penyanyi veteran itu apabila menggantikannya dengan penyanyi Aizat Amdan bagi menyanyikan lagu Terukir Di Bintang ciptaan Yuna.


"Tidak dinafikan, peranan TV3 sebagai penganjur adalah untuk memberi pendapat dari segi penilaian teknikal, selain apa yang perlu diperbaiki untuk mendapat persembahan terbaik.

"Kami akur pada pilihan peserta dan pihak Yuna membuat keputusan untuk memilih Aizat. Namun, perkara itu sudah disalah tafsir dan dikatakan TV3 yang gugurkan Uji.


"Itu keputusan yang diambil bersama. Dalam penilaian semasa sesi latihan, saya tak nafikan kami ada memberi cadangan dan ia adalah proses biasa bagi memastikan yang terbaik untuk artis, peserta dan penonton AJL. Apa yang penting, kami memandang serius keadaan kesihatan Uji," katanya.


Ahmad Izham turut menjelaskan berita pengguguran Uji itu disampaikan sendiri kepadanya dalam bilik mesyuarat yang hanya dihadiri orang yang berkenaan saja.

Dalam pada itu, Pengarah Muzik AJL Datuk Ramli MS turut menafikan laporan akhbar (bukan terbitan NSTP) dan blog yang mendakwa Uji disingkir, sebaliknya beliau hanya diganti.


"Mereka menggunakan ayat 'disingkirkan' tanpa usul periksa dan ia salah. Uji bukan disingkirikan, sebaliknya diganti. Sebagai Pengarah Muzik AJL27 saya bertanggungjawab atas soal bunyi dan ketika sesi latihan, wujud masalah teknikal dari segi tahap bunyi suara Uji.

"Kita faham keadaan dia yang baru keluar hospital dan tidak sihat. Bunyi yang keluar itu rasanya yang paling kuat daripada Uji, malangnya ia tidak cukup," katanya.


Sementara itu, Yuna diwakili pengurusnya, Nor Zaina Wardah Mohd Ariff atau Wawa memaklumkan perkara ini sudah selesai apabila dia dan TV3 sudah pun bertemu dengan dengan Uji sekali gus meminta maaf.


"Masalah kesihatan Uji memberi kesan kepada vokalnya dan kami bimbang beliau tidak dapat membuat persembahan yang terbaik pada malam AJL 27. Namun tidak dinafikan pada mulanya, Yuna tidak mahu menggantikan Uji dengan penyanyi lain kerana percaya beliau boleh lakukan.


"Namun, selepas melihat prestasi Uji menerusi beberapa sesi latihan dan didapati ia tidak menepati piawaian serta mendapat maklum balas daripada mereka yang lebih arif dalam muzik. "Saya bagi pihak Yuna ingin meminta maaf jika Uji tersinggung. Tak pernah terlintas pun nak memalukan beliau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

No comments:

Post a Comment