Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei intai gelaran ke-10

Posted: 20 Jan 2013 07:47 AM PST

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei menyuarakan hasrat melengkapkan 10 gelaran Terbuka Malaysia tahun depan, selepas mencatat sejarah baru pemenang terbanyak kejohanan itu dengan sembilan gelaran semalam.

Pencapaian Chong Wei itu adalah yang terbaik mengatasi rekod Wong Peng Soon yang meraih gelaran kelapan pada 1952.


"Untuk meraih gelaran kesembilan bukan mudah, tekanan datang dalam diri sendiri," kata Chong Wei selepas menewaskan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-7, 21-8 dalam masa 32 minit di final di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pemain nombor satu dunia itu menjelaskan dia berjaya mengelak daripada tertekan selepas melihat tekanan itu hampir meragut impiannya pada separuh akhir menentang Jan O Jorgensen kelmarin.


"Hari ini saya memang berazam, walau apa Sony lakukan saya akan cuba kembalikan bulu tangkis.


"Saya melihat dia beraksi menentang Kenichi Tago semalam (kelmarin), saya faham apa yang perlu dilakukan untuk mengatasinya.

Foto

CHONG Wei (kanan) mengalahkan pemain Indonesia, Sony 21-7, 21-8 pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia, semalam.

"Selepas ini memang ada hasrat untuk gelaran ke-10 seperti kejuaraan GP Kebangsaan, tapi dua kejohanan ini jauh berbeza saingannya," kata Chong Wei yang akan menyertai Siri Super Perdana Seluruh England Mac ini.


"Seluruh England lebih penting buat saya selepas ini kerana saingan yang datang hadir dari semua pemain terbaik dunia termasuk Lin Dan, jadi dapat mempertahankan dua kejuaraan Korea dan Malaysia adalah baik buat saya," katanya yang mengakui isterinya Wong Mew Choo sedang mengandung.

"Kali pertama saya mengetahui keadaan isteri saya, memang saya gembira apa lagi usia saya bukan lagi muda," kata Chong Wei yang enggan menentukan masa depan anaknya nanti, sama ada menjadi pemain badminton atau kerjaya lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Sturridge, Suarez menjadi

Posted: 20 Jan 2013 07:37 AM PST

Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers memuji keserasian yang cepat dibina antara Luis Suarez dan Daniel Sturridge yang menyaksikan kedua-duanya menyumbang gol ketika membelasah Norwich City 5-0, kelmarin.

Sturridge, 23, tiba dari Chelsea dengan nilai perpindahan £12 juta (RM57.3 juta) awal bulan ini dan muncul pemain ketujuh sepanjang sejarah Liverpool meledak gol pada setiap tiga perlawanan pertamanya bersama kelab itu.


Pemain antarabangsa England itu turut menjadi watak penting kepada gol ke-20 Suarez sepanjang musim ini ketika kedua-duanya mempamerkan kombinasi menakjubkan.

Ketika Sturridge tiba, Rodgers berdepan persoalan bagaimana caranya beliau boleh menggandingkan pemain itu di barisan depan tetapi kini Suarez dilihat lebih bebas bergerak dengan Sturridge bertindak sebagai penyokong utama pemain Uruguay itu.


"Suarez banyak membantu kami sepanjang musim ini. Dia memberikan komitmen 100 peratus pada setiap perlawanan dan begitu serasi dengan Sturridge di barisan depan.


"Kami mencipta banyak gerakan di bahagian depan kerana kedua-dua pemain ini tidak beraksi dengan statik.

"Sturridge mempunyai kepantasan dan tenaga yang bagus, tapi dia juga seorang pemain yang bijak. Dia jelas mencetuskan rasa bimbang pasukan lawan.


"Bagi kami Suarez pula sangat luar biasa dan dia mendapat sokongan dari barisan pemain muda di bahagian serangan.

"Saya menyaksikan gandingan kedua-dua pemain ketika sesi latihan dan ia memang amat bagus," katanya.


Jordan Henderson (m26), Suarez (m36), Sturridge (m59), Steven Gerrard (m66) dan gol sendiri Ryan Bennett (m74) menyumbang kepada kemenangan besar Reds. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Peluang Cardiff ke Liga Perdana cerah

Posted: 20 Jan 2013 07:36 AM PST

London: Cardiff semakin mencerahkan peluang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris selepas selesa dengan kelebihan 10 mata di tangga teratas Liga Kejuaraan apabila menang 2-1 ke atas Blackpool, kelmarin.

Skuad kendalian Malky Mackay itu berada di landasan tepat untuk meraih tiket ke liga utama itu selepas jaringan pemain tengah Korea Selatan, Kim Bo Kyung dan Tommy Smith menyumbang kepada kemenangan kelab itu di Bloomfield Road.


Bo Kyung menjaringkan gol pertama pada minit ke-54 selepas menerima hantaran cantik Aron Gunnarsson.

Blackpool menyamakan kedudukan enam minit kemudian selepas Gary Taylor-Fletcher menanduk masuk hantaran silang Tiago Gomes.


Namun Smith menjaringkan gol kemenangan menerusi penyudah cantik berhampiran kotak penalti pada minit ke-64.


Hull pula mensia-siakan peluang untuk naik ke tangga kedua liga yang diraih Leicester selepas sekadar seri 1-1 dengan Peterborough di London Road.

Leicester naik ke tangga kedua selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Middlesbrough.


Meskipun Hull di depan pada minit ke-33 menerusi jaringan sendiri Joe Newell, Peterborough berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti yang disempurnakan Grant McCann 11 minit sebelum tamat.

"Ramai yang berasa kecewa apabila lawan berjaya menyamakan kedudukan pada saat akhir, tapi secara jujur saya rasa keputusan ini sudah cukup bagus," kata pengurus Hull, Steve Bruce. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Barca tewas jua

Posted: 20 Jan 2013 07:35 AM PST

Madrid: Jaringan pada masa kecederaan pemain gantian, Imanol Agirretxe menyaksikan Barcelona yang beraksi dengan 10 pemain kecundang 2-3 di Real Sociedad awal pagi semalam, kekalahan pertama mereka dalam La Liga musim ini.

Lionel Messi menyamai satu lagi rekod dengan menjaringkan gol dalam 10 perlawanan La Liga berturut-turut untuk meletakkan Barca di depan selepas enam minit manakala Pedro Rodriguez menggandakan pendahuluan.


Namun Chory Castro membalas satu gol sebelum rehat dan menjaringkan gol keduanya selepas 63 minit.

Selepas Gerard Pique dibuang padang apabila dilayangkan kad merah, Agirretxe meraih gol kemenangan pada minit ke-91.


"Saya patut mengucapkan tahniah kepada Real Sociedad dan saya tiada sebarang rungutan mengenai pemain saya. Percubaan kami terkena palang dua kali pada babak pertama dan mempunyai dua peluang lagi. Ia menjadi sukar buat kami dan mereka menjadikan kedudukan 2-1," kata jurulatih Barca, Tito Vilanova.


"Saya beritahu Gerard (Pique) selepas dia dilayangkan kad kuning, selepas satu lagi kekasaran pengadil mungkin mengarahkannya keluar padang dan itulah yang berlaku. Kami menguasai babak pertama dan sekalipun ia kelihatan sukar, kami tetap bermain dengan bagus. Pada kedudukan 2-0, ia mungkin berpihak kepada kami tapi kad merah itu mengubah segala-galanya." Jelas bagaikan tiada rekod yang tidak boleh dipecah Messi, yang turut menjaringkan gol dalam 10 perlawanan liga berturut-turut pada musim 2011-12, menjaringkan 18 gol dalam tempoh itu.

Namun kini dia sudah menjaringkan gol dalam 10 perlawanan terakhir Barca dan menyamai rekod dicipta Ronaldo, yang menjaringkan 12 gol dalam 10 perlawanan pada musim 1996-97 dan Mariano Martin, yang menyumbat 18 gol dalam 10 perlawanan antara 1942 dan 1943.


Messi kini menjaringkan 15 gol dalam 10 perlawanan dan 29 keseluruhan dalam liga musim ini, namun ia tidak bermakna kerana Barcelona tumpas.

Barcelona tampil pada perlawanan itu selepas mencipta rekod baru bagi permulaan La Liga dengan 18 kemenangan dan hanya satu seri menentang Real Madrid, meraih 55 daripada 57 mata maksimum.


Di sebalik kekalahan itu, Barca masih 11 mata di depan Atletico Madrid dan Real Madrid di tangga ketiga 18 mata di belakang mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Pogba jaring dua gol sensasi

Posted: 20 Jan 2013 07:33 AM PST

Milan: Pemain muda Perancis, Paul Pogba menjaringkan dua gol sensasi untuk mencetus kemenangan besar Juventus 4-0 ke atas Udinese sekali gus membantu juara Serie A itu mengukuhkan cengkaman di persada liga, awal pagi semalam.

Juve memulakan perlawanan ke-21 mereka dalam kempen musim ini dengan kelebihan tiga mata di depan Napoli dan Lazio namun kehilangan pemain tengah, Andrea Pirlo, Claudio Marchisio dan Arturo Vidal kerana kecederaan.


Selepas Lazio dipaksa berkongsi mata apabila seri 2-2 dengan Palermo, Juve menggunakan sepenuhnya kelebihan itu.

Juara bertahan itu kini mendahului lima mata di depan Lazio, yang berada di tangga kedua dengan 43 mata dan berharap Napoli, di tangga ketiga dengan 42 mata, berdepan masalah sama pada perlawanan di gelanggang lawan menentang Fiorentina awal pagi tadi.


Pogba, tampil secara percuma dari Manchester United hujung musim lalu, sudah menjaringkan dua gol menakjubkan awal musim ini.


Pemain berusia 19 tahun itu memecah kebuntuan pada hujung babak pertama yang hambar dengan melakukan rembatan dari jarak 30 meter yang terkena palang sebelum mengatasi Daniele Padelli di pintu gol Udinese.

Juventus bergelut untuk mengekalkan pendahuluan mereka pada babak awal separuh masa kedua apabila Udinese tidak bernasib baik gagal menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas.


Namun Pogba sekali lagi menjadi penyelamat, kali ini dengan rembatan kencang jarak jauh yang membolehkan Juve mendahului 2-0 sebelum Mirko Vucinic dan pemain gantian, Alessandro Matri melengkapkan penguasaan tuan rumah dengan dua gol lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

'Tiada perubahan besar'

Posted: 20 Jan 2013 07:33 AM PST

Berlin: Pep Guardiola tidak bercadang melakukan perubahan besar sebaik beliau mengambil alih Bayern Munich pada 1 Julai ini, menurut presiden kelab itu, Uli Hoeness.

Bekas pengurus Barcelona berusia 42 tahun itu akan menggantikan ketua jurulatih semasa, Jupp Heynckes dengan kontrak hingga 2016, namun tidak dijangka merombak skuad kelab gergasi Bavaria itu, kata Hoeness.


"Apa yang saya faham, beliau turut berasakan skuad kami tidak perlu dirombak secara besar-besaran, beliau mahu bekerja dengan skuad semasa, beliau sukakannya," kata Hoeness.

Guardiola, yang memenangi 14 kejuaraan dalam tempoh empat tahun bersama Barcelona, memantau Bayern secara intensif sejak Ogos lalu dan belajar bahasa Jerman sejak November, jelas Hoeness.


Hoeness berkata pada Julai 2011, kali pertama beliau mendengar daripada mulut Guardiola sendiri beliau mungkin berminat melatih Bayern, ketika satu kejohanan pramusim di Allianz Arena apabila Barcelona menang 2-0 ke atas Bayern.


Heynckes, yang berusia 68 tahun Mei ini, dimaklumkan September lalu kelab itu berbincang dengan Guardiola, kata Hoeness. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Afrika Selatan hambar

Posted: 20 Jan 2013 07:31 AM PST

Johannesburg: Jurulatih Afrika Selatan, Gordon Igesund berang dengan pemainnya yang gementar ketika seri tanpa jaringan dengan negara kerdil, Kepulauan Cape Verde pada perlawanan pembukaan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi semalam.

Igesund, jurulatih ketiga Afrika Selatan sejak pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan 2010, tidak dapat mencari alasan persembahan hambar anak buahnya di Soccer City.


"Tidak ramai pemain saya bertindak cemerlang pada babak pertama, yang saya rasakan membazirkan masa dan kami juga tidak sehebat mana pada babak kedua," katanya selepas perlawanan hambar yang disaksikan berjuta peminat menerusi televisyen di seluruh dunia.

"Ada jurang besar antara pemain tengah dan penyerang dan kami cuba menghantar bola dengan cepat kepada penyerang. Terlalu banyak bola tinggi dimainkan, sesuatu yang kami tidak mahu lakukan.


"Sesetengah pemain kaku sebaik wisel ditiup dan ramai yang gementar. Mungkin bagi sesetengah mereka perlawanan ini terlalu besar.


"Kini kami perlu berhabis-habisan bagi dua perlawanan berikutnya menentang Angola dan Maghribi. Sudah tentu kami mahu menang dan menjaringkan gol serta meraih semua tiga mata dan kami belum tersingkir lagi. Namun kami perlu meningkat.

"Pujian buat Cape Verde. Mereka bagus, pasukannya tersusun dan bermain seperti pasukan Eropah. Mereka bertahan dengan baik, memperlahankan rentak perlawanan pada babak kedua dan meraih mata yang mereka cari-cari." Sebaliknya jurulatih Cape Verde, Lucio Antunes gembira dengan keputusan itu yang dianggapnya meningkatkan maruah negaranya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Nigeria buru kemenangan

Posted: 20 Jan 2013 07:31 AM PST

Nelspruit, Afrika Selatan: Nigeria, dengan rekod 13 kali menduduki tangga tiga teratas, kembali tampil ke Piala Negara-Negara Afrika sesudah terlepas aksi tahun lalu dan akan memulakan kempen dengan menentang Burkina Faso, awal pagi esok.

Jurulatih Stephen Keshi (tengah) tahu bagaimana untuk menjuarai kejohanan sebenua itu selepas menjadi kapten ketika kali terakhir pasukan bergelar Super Eagles itu muncul juara di Tunis, 19 tahun lalu.


Mereka mengalahkan Zambia 2-1 pada perlawanan akhir dan akan berdepan Chipolopolo (Copper Bullets) sekali lagi pada perlawanan kedua Kumpulan C, Sabtu ini.

Keshi, yang mencipta nama sebagai pertahanan tengah, menghabiskan beberapa minggu terakhir memperkemaskan skuadnya di Portugal.


Namun keputusan perlawanan persahabatan tidak begitu menggalakkan apabila seri 1-1 menentang pasukan Catalunya yang ditunjangi pemain Barcelona, seri tanpa jaringan dengan Kepulauan Cape Verde, menang 1-0 ke atas kelab Belanda, Sparta Rotterdam dan membelasah sebuah kelab divisyen dua Portugis 5-0.


Keshi, yang gagal melepasi pusingan pertama ketika mengemudi Togo dan Mali, gembira dengan skuadnya.

"Adalah bagus melihat pemain bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Saingan seperti ini bagus buat saya.


"Tiada siapa terjamin tempat mereka dalam pasukan, mereka perlu berusaha merebutnya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Angola, Maghribi kongsi mata

Posted: 20 Jan 2013 07:30 AM PST

Johannesburg: Angola mensia-siakan peluang pada babak kedua menentang Maghribi yang memungkinkan mereka mencatat kejutan pada Piala Negara-Negara Afrika apabila dipaksa seri 0-0 pada pertembungan Kumpulan A di Soccer City, awal pagi semalam.

Ia keputusan tanpa jaringan kedua pada hari pembukaan kejohanan itu selepas tuan rumah Afrika Selatan dan Kepulauan Cape Verde turut gagal menjaringkan gol, menyukarkan ramalan pasukan mana akan mara dari kumpulan itu.


Namun, ia mungkin menjadi kelebihan sekiranya Angola menggunakan kesempatan pada babak kedua apabila pemain gantian, Guilherme Afonso dan kapten Manucho gagal menyempurnakan peluang diterima.

Afonso, yang dipanggil buat kali pertama pada saat-saat akhir sebelum pusingan akhir, pantas menyambar bola apabila penjaga gol Maghribi, Nadir Lamyaghri gagal menangkap kemas satu hantaran silang namun cubaannya sedikit tersasar hanya beberapa minit selepas masuk pada babak kedua.


Manucho, yang mengetuai jentera serangan Angola, mempunyai dua peluang lewat perlawanan yang dilihat mudah untuk dijaringkan tetapi gagal. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Pelapis negara menyerlah

Posted: 20 Jan 2013 07:29 AM PST

Kuala Pilah: Pelumba pelapis kebangsaan, mendominasi Cabaran Lumba Basikal Seri Menanti/MSN/PLBNS/Milo 2013, apabila menjuarai kategori Individu Lelaki dan Wanita Bawah 21 Tahun di Seri Menanti, semalam.

Mohd Ekbar Zamanhuri dari Negeri Sembilan muncul juara kategori individu lepas beramai-ramai selepas mencatat masa tiga jam 27 minit 17 saat untuk meninggalkan pencabar terdekat, Abdul Aziz Mohd Zahit dari Terengganu, kedua dan Muhammad Mustazlee Ishak dari Johor, ketiga.


Mohd Ekbar yang sekadar berada di tempat ketiga bagi acara kriterium di Seremban 2, kelmarin bangkit dengan persembahan lebih baik bagi jarak perlumbaan 135.3 kilometer itu.

Dia sedang membuat persiapan bagi menghadapi LTdL 2013, turut membantu pasukan Negeri Sembilan menjuarai kategori berpasukan yang menggandingkan Amirul Anuar Jefri, Abdul Rashid Ibrahim dan Ahmad Fahmi Farhan Ahmad Fuat yang mencatat masa 8:13.5s bagi jarak 6.2 km untuk meninggalkan pesaing terdekat dari Terengganu dan pelapis kebangsaan/MSN.


Mohd Ekbar berkata, dia tidak menyangka muncul juara kerana setiap pelumba memberikan saingan sengit namun sudah berazam untuk menjadikan kejohanan edisi kali ini sebagai miliknya.


"Ini kali kedua saya menyertai kejohanan ini selepas tahun lalu sekadar berada dalam kelompok 10 terbaik dan sememangnya mengharapkan kejayaan yang lebih baik kali ini.

"Saya amat berpuas hati dengan prestasi hari ini (semalam) walaupun catatan masa masih boleh ditingkatkan lagi. Tapi apa yang penting saya berjaya memenuhi impian dan kejayaan ini adalah buat ayah yang menyambut hari jadi ke-50 hari ini," katanya.


Sementara itu, juara ujian masa individu (ITT) kebangsaan 2012, Nurul Suhada Zainal membuktikan kehebatan mengungguli kategori Wanita Bawah 21 Tahun selepas mencatat masa 2.00:17s meninggalkan juara remaja kebangsaan, Lauretta Eva Adrian dari Sabah, kedua dan Aimi Iwasaki Muhammad Moritoshi dari Melaka, ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

No comments:

Post a Comment