Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Saya rasa van bergegar'

Posted: 17 Jan 2013 01:12 PM PST

Bukit Beruntung: "Saya dengar dentuman kuat dari luar dan van dinaiki bergegar," kata mangsa kemalangan, Muhd Izz Sirhan Salahuddin, 12, menceritakan detik cemas kemalangan membabitkan van sekolah dengan sebuah lori 10 tan, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 2.15 petang di Jalan Bukit Beruntung ke Rawang berhampiran persimpangan lampu isyarat berdekatan Pusat Perniagaan Adenium dekat sini ketika dia bersama lima rakannya dalam perjalanan dari Taman Melur ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Sentosa Fasa 3 di sini.


Van sekolah dipandu pemuda berusia 20-an itu merempuh lori yang dipercayai membuat pusingan 'U' di persimpangan itu. Katanya, dua rakannya dikenali Meor Muhammad Nur Hakim Meor Muhammad Ridzwan dan Muhammad Danish Azhar berumur 11 tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dengan bantuan orang ramai.

"Ada rakan menjerit memanggil ibu dan ayah kerana terkejut.


"Saya cedera di kepala. Manakala tiga rakan lain berumur 11 tahun tidak cedera dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di sebuah klinik swasta," katanya yang ditemui Harian Metro, di sini, semalam.


Saksi kejadian, Muhd Fauzi Misnan, 44, berkata, ketika kejadian dia menjamu selera di sebuah restoran berhadapan tempat kejadian.

Katanya, dia bergegas ke lokasi apabila mendengar suara kanak-kanak meraung kesakitan dan mendapati mereka berlumuran darah di muka," katanya.


"Saya terharu dengan tindakan pantas orang ramai membantu menyelamatkan mangsa yang tersepit pada dinding van sekolah itu.

" Kasihan mendengar ada yang merintih dan menangis setelah terbabit dengan kemalangan itu," katanya yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Janin kekasih dalam kereta

Posted: 17 Jan 2013 01:00 PM PST

Petaling Jaya: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan pemeriksaan sebuah kereta dalam satu sekatan jalan berhampiran Pangsapuri Kayangan, Jalan PJS 10/24, di sini, terkejut apabila menemui satu bungkusan berisi janin, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, anggota berkenaan menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, janin itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan tuala kecil dipercayai untuk dibuang atau ditanam.

"Siasatan awal mendapati janin itu milik teman wanita kepada pemandu kereta terbabit yang mengalami keguguran biasa.


"Suspek berusia 26 tahun dan rakannya kini ditahan bagi membantu siasatan, malah teman wanitanya turut dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Perhebat banteras penipuan bida tender

Posted: 17 Jan 2013 01:00 PM PST

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan (MyCC) akan memperhebat usaha penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras aktiviti penipuan bida atau 'bid rigging' di kalangan syarikat yang bersaing untuk mendapatkan tender.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shila Dorai Raj berkata, ini memandangkan kegiatan itu memberi kesan buruk kepada ekonomi negara menyebabkan peningkatan harga barangan daripada sepatutnya.


Beliau berkata, ini sekali gus membebankan pembayar cukai apabila terpaksa membayar harga tinggi untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan.

"Amaran sudah banyak kali diberi, tapi seperti yang kita lihat dalam media, sektor swasta masih tidak faham implikasi (Akta Suruhanjaya Persaingan 2010) ini," katanya selepas majlis perasmian pejabat MyCC di sini, semalam.


Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.


Hadir sama, Pengerusi MyCC Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Shila berkata, penipuan bida bukanlah perkara baru memandangkan kebanyakan negara berdepan masalah sama.


"Contohnya syarikat A,B,C memasuki sesuatu tender projek tetapi A dan B berpakat untuk menawarkan sebut harga lebih tinggi menyebabkan C dengan sebut harga rendah meraih tender itu.

"Jika didakwa dan didapati bersalah, syarikat itu boleh dikenakan penalti antara 1 dan 10 peratus daripada keuntungannya mengikut Akta Suruhanjaya Persaingan 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Ajar isteri baru setahun dinikahi ambil syabu

Posted: 17 Jan 2013 12:52 PM PST

Kuantan: Gelaran suami setan mungkin layak diberi kepada seorang lelaki kerana mengajar isterinya yang baru setahun dikahwini cara mengambil dadah syabu dan mereka diberkas polis ketika sedang tidur di sebuah rumah di Jaya Gading di sini, pagi kelmarin.

Dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, pasangan berusia 28 dan 30 tahun itu diberkas selepas gagal melarikan diri kerana sepasukan anggota polis mengepung rumah itu.


Sumber berkata, ketika serbuan, sepasukan anggota polis mendapati pasangan terbabit sedang tidur dalam keadaan berbogel sebelum mengarahkan mereka memakai pakaian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam rumah, polis menemui bungkusan plastik mengandungi 70 biji pil kuda dan serbuk keputihan dipercayai dadah jenis heroin.


Katanya, polis percaya lelaki terbabit mendapat bekalan dadah dari negeri jiran untuk diedar kepada penagih dengan harga RM25 sebiji bagi pil kuda manakala heroin dijual mengikut sukatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Individu curi duit Lisa Surihani dicam

Posted: 17 Jan 2013 12:49 PM PST

Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penipuan membabitkan ibu dan pelakon, Lisa Surihani, 26, yang kehilangan wang RM50,000 selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berkata, pihaknya kini mengenal pasti individu yang terbabit mengeluarkan wang itu selepas membuat kad ATM baru tanpa pengetahuan mangsa.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro pada Isnin lalu melaporkan Lisa Surihani, 26, dan ibunya, Siti Amira Ahmad, 62, kerugian RM50,000 apabila wang dalam akaun bersama milik mereka hilang selepas kad ATM mereka ditukar. Kehilangan wang itu disedari Siti Amira ketika ingin mengeluarkan wang jam 10.30 pagi di mesin ATM di sebuah bank di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, dekat sini, 11 Januari lalu. Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan, Siti Amira mendapati wang dalam akaun bersama itu berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat pengeluaran wang. Menurutnya, apabila dirujuk kepada bank, dia diberitahu kad ATM miliknya tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya. "Berikutan itu, Siti Amira bersama Lisa Surihani membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari sama," katanya. Sumber itu berkata, rekod pengeluaran menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

No comments:

Post a Comment