Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Shahidan undang padah

Posted: 15 Jan 2013 12:46 PM PST

Kuala Lumpur: Kelantangan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menuntut transformasi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin mengundang padah.

Dengan 'kuasa' yang ada pada Artikel 88 peraturan badan induk bola sepak tanah air itu, kenyataan Shahidan itu biarpun dilihat sekadar pendapat oleh sesetengah pihak mungkin bakal diteliti sekiranya sekretariat FAM menghantar laporan kepada Jawatankuasa Tatatertib.


Dalam kenyataan disuarakan Shahidan menerusi laporan Arena Metro semalam, bekas Menteri Besar Perlis itu menuntut transformasi jika FAM mahu mendapat sokongan daripada semua pihak. Antara transformasi yang dimaksudkannya adalah supaya FAM mencari jalan membantu pasukan yang mengalami masalah kewangan supaya dapat bersaing dalam Liga Malaysia.

Selain itu beliau juga membidas sikap segelintir individu dalam FAM yang tidak berani menyatakan pendirian biarpun tidak berpuas hati kerana mahu menjaga kepentingan peribadi.


Berdasarkan Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.


Berpandukan peraturan itu, beberapa individu sudah menjadi mangsa termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu kerana didakwa mengkritik prestasi skuad kebangsaan.

Sebelum itu, Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama badan induk kebangsaan itu yang dihukum gantung pada 1991 disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.


Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kesediaan untuk mengkaji Artikel 88 sekiranya pindaan perlu dilakukan terhadap peraturan itu namun hingga kini belum ada sebarang perkembangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Selangor benam Penyu

Posted: 15 Jan 2013 12:41 PM PST

Kuala Terengganu: Terengganu terpaksa berputih mata apabila lemas di depan penyokong sendiri selepas tewas 1-2 kepada Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang semalam.

Lebih buruk, perlawanan terpaksa dihentikan hampir 10 minit ketika berbaki tiga minit apabila penonton yang tidak puas hati dengan mutu pengadilan penjaga garisan, Mohd Fazli Ishak bertindak membaling botol minuman dan serpihan batu simen ke arahnya.


Sebaik perlawanan disambung semula, pengadil Mohd Zohri Tajuddin sekali lagi memberhentikan perlawanan apabila penonton terus mengamuk dengan membaling botol minuman ke arah Mohd Fazli namun dapat dikawal anggota keselamatan.

Sebelum itu, pelawat yang turut diperkuatkan bekas penyerang Terengganu, Francis Forkey Doe membuka jaringan pada minit keenam menerusi S Kunanlan sebelum Mohd Amri Yahyah menambah derita tuan rumah menerusi gol dari luar kotak penalti pada minit ke-16.


Tuan rumah yang belum mencatat sebarang kemenangan memperoleh gol menerusi penyerang import, Effa Owona yang merembat deras dari dalam kotak penalti menewaskan bekas penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli seminit kemudian.


"Kami akui bahagian tengah pasukan agak longgar pada babak pertama yang membolehkan lawan menjaringkan dua gol.

"Selain itu, pertahanan juga melakukan kesilapan mudah membiarkan lawan berlegar dalam kawasan sendiri terutama pada babak awal perlawanan di samping ketumpulan penyudah," kata jurulatih Terengganu, E Elavarasan.


Sementara itu, pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim puas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun mencatat kemenangan tipis.

"Berdepan kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah memang agak sukar buat pemain tapi akhirnya mereka berjaya berjaya menyerap tekanan untuk menang.


"Momentum kemenangan ini diharap dapat dikekalkan apabila kami berdepan Pahang di Stadium Shah Alam, Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Pasukan lima bintang ditambat

Posted: 15 Jan 2013 12:40 PM PST

Kota Bharu: Pertembungan dua pasukan 'lima bintang', Kelantan dan Johor Darul Takzim yang turut dianggap pertemuan Clash of The Titans di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi hanya berkesudahan seri 1-1.

Kelantan selaku tuan rumah mendahului pada minit ke-37 selepas rembatan penyerang, Mohd Norfarhan Muhammad dari luar kotak penalti merobek gawang lawan sebelum gol penyamaan Johor Darul Takzim diperoleh menerusi Daniel Guiza pada minit ke-63 menerusi sepakan percuma.


Bagaimanapun, ada insiden kurang menyenangkan apabila penyokong membaling mercun ke padang hingga perlawanan terpaksa ditangguhkan seketika.

Pada masa sama pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan mencetus kontroversi apabila menamatkan perlawanan lebih awal kerana sepatutnya ada lagi beberapa minit waktu kecederaan hingga membuatkan pemain terpinga-pinga.


Bermula babak pertama, kedua-dua pasukan beraksi garang dan 'Pemain Paling Bernilai 2012', Norshahrul Idlan Talaha yang amat dinanti-nantikan penyokong The Red Warriors (TRW) paling mendapat perhatian apabila disorak setiap kali menyentuh bola.


Seawal minit keenam keadaan sudah menjadi tegang apabila berlaku pertengkaran antara pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Ab Halim dengan penyerang Johor Darul Takzim, Safee Sali hingga terpaksa dileraikan Suhaimi.

Pelawat memperoleh peluang keemasan pada minit ke-15 apabila Safee melakukan sepakan gunting selepas menerima umpanan pemain import, Simone Del Nero namun percubaan itu ditepis penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.


Tempo perlawanan bertambah rancak hingga pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin dilayang kad kuning kerana mengasari pemain sayap pelawat, Nurul Azwan Roya sekali gus memberikan sepakan percuma.

Pada minit ke- 37, Stadium Sultan Muhammad IV yang dipenuhi kira-kira 30,000 penyokong bergema meraikan gol pertama dijaringkan penyerang, Mohd Norfarhan Muhammad menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.


Bermula babak kedua, Johor Darul Takzim memasukkan pemain import, Daniel Guiza bagi menggantikan Nurul Azwan Roya.


Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-56 menerusi tandukan Safee yang menerima hantaran lintang Guiza namun cubaannya tepat ke arah Khairul Fahmi.


Pasukan kendalian Bojan Hodak semakin bersemangat mengasak kubu lawan dan penyerang, Indraputra Mahyuddin hampir menjaringkan gol kedua Kelantan apabila percubaannya yang menuju penjuru kanan ditepis penjaga gol.


Bagaimanapun, pasukan pelawat dikendalikan Fandi Ahmad berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi sepakan percuma Guiza yang menewaskan Khairul Fahmi.


Tersentak dengan jaringan penyamaan pelawat, Kelantan bangkit menggandakan asakan untuk melakukan beberapa percubaan namun gagal mencipta jaringan sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

ATM raih tiga mata

Posted: 15 Jan 2013 12:40 PM PST

Seremban: Juara Piala Sumbangsih, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melebarkan penguasaan mereka apabila melakar kemenangan bergaya ke atas T-Team, 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Turun tanpa kelibat Hairuddin Omar atau Hai-O, B Sathianathan menyandarkan harapan kepada dua penyerang import itu, Marlon Alex James dan Bruno Martelotto untuk menembusi benteng lawan manakala Rezal Zambery Yahya yang bertindak selaku kapten pasukan, dianggap sebagai perancang utama bahagian tengah.


Begitupun T-Team yang menang ke atas juara tiga piala tahun lalu pada perlawanan kedua, Kelantan, berjaya mengimbangi keghairahan tuan rumah untuk mendapatkan gol awal dan mereka hampir berjaya menembusi benteng lawan, namun percubaan Ahmad Syamim Yahya dari luar kotak pada minit ke-16, sekadar terkena tiang.

Usaha Marlon untuk meletakkan nama sebagai penjaring tersekat apabila beberapa kali dia terperangkap ofsaid namun berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-22 tetapi percubaan terus berjaya dinafikan penjaga gol pelawat, Mohd Amirul Abu Seman.


Bersambung babak kedua, Impian Tentera menjaringkan gol berhasil apabila Shukor Adan menanduk kemas bola sepakan percuma Rezal Zambery, untuk gol pertama pada minit ke-47.


Venice Elphi hampir melebarkan lagi jurang selepas dia melepasi halangan bahagian pertahanan pelawat namun percubaan leretnya pada minit ke-53, ditangkap kemas Mohd Amirul dan tiga minit kemudian percubaannya sekali lagi gagal melepasi penjaga gawang T-Team itu Hasrat Tentera menambah jaringan berhasil apabila Rezal Zambery melakukan sepakan terus dari jarak kira-kira 30 meter.

Marlon akhirnya mencatat nama sebagai penjaring apabila menolak kemas hantaran Mohd Fitri Omar pada minit ke-87. selepas bijak memperdayakan pertahanan lawan, untuk gol ketiga ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

'Saya bukan nak bergaduh'

Posted: 15 Jan 2013 12:39 PM PST

Seremban: "Saya cuma mahu dia minta maaf dan bukannya bergaduh," kata ketua jurulatih T-Team, Peter Butler yang mahu meneruskan niatnya melapor penghinaan dibuat Bojan Hodak ke atas mendiang ibunya ketika perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Jurulatih bangsa Inggeris itu hairan kenapa susah sangat buat pengendali Kelantan warga Croatia itu memohon maaf kepadanya, sedangkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim sudah meminta maaf bagi pihak persatuan.


"Saya tidak punya sedikit masalahpun dengan KAFA dan terharu kerana pengurusan The Red Warriors itu ikhlas memohon maaf walaupun mereka tidak bersalah.

"Cuma saya geram dan sedih kerana orang yang menghambur kata-kata kesat ke atas mendiang ibu saya yang sudah lama meninggal dunia akibat penderitaan penyakit kanser masih terlalu sombong untuk mengaku kesalahannya," katanya sebelum T-Team bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.


Kelmarin, Hodak berkata, beliau tidak mahu memikirkan perbalahan mulut dengan Butler kerana mempunyai banyak perkara penting untuk difikirkan menjelang pertemuan menentang Johor Darul Takzim.


Hodak juga sedia bersemuka dengan Butler jika pengendali The Titans itu tidak puas hati dan mahu menyelesaikannya seperti lelaki.

Namun, tegas Butler, beliau tidak perlu bersemuka dengan Hodak dan akan melaporkan perkara itu kepada FAM dalam masa terdekat memandangkan pengendali Kelantan berusia 42 tahun itu tidak mahu memohon maaf kepadanya.


"Hodak bukan saja hina saya dan keluarga, malah turut memaki pengadil keempat perlawanan dengan kata-kata kesat. Mungkin pengadil itu tidak faham kata-kata keji Hodak dalam bahasa Croatia namun dua penolong jurulatih saya, Sebastian (Knapic) dan Dado (Kondic) adalah warga Croatia.

"Mereka tahu apa yang dikatakan Hodak itu," katanya.


Knapic, jurulatih kecergasan mengaku malu mendengar kata-kata 'kotor' Hodak kepada Butler dan pengadil perlawanan keempat pada separuh masa pertama perlawanan yang berkesudahan T-Team menang 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

FAM harus laksana rombakan: Kay Kim

Posted: 15 Jan 2013 12:37 PM PST

Kuala Lumpur: "Saya tak peduli siapa yang memegang jawatan dalam jawatankuasa FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tapi selagi pasukan kebangsaan gagal memperlihatkan prestasi baik, sesuatu harus dilakukan dalam persatuan itu," kata Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Kenyataan disuarakan pengkritik bola sepak tanah air itu jelas menyambut baik gesaan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim untuk melihat transformasi dalam FAM seperti disiarkan Arena Metro semalam.


Selain menuntut perubahan, Shahidan juga membidas segelintir individu dalam FAM yang tidak berani menyuarakan pendapat biarpun tidak puas hati dengan pengurusan persatuan itu.

Menurut Kay Kim, beliau tidak mengenali mereka yang berada dalam FAM tapi mereka yang terbabit perlu benar-benar faham mengenai bola sepak.


"Saya tak kenal mereka tapi mereka perlu sedar adakah mereka benar-benar faham mengenai bola sepak. Kalau sekadar menjadi penonton tidak cukup kerana kita kena buat analisis kerana dulu kita buat seperti itu.


"Sejauh mana berjaya menguruskan FAM bergantung kepada pencapaian skuad kebangsaan dan liga tempatan. Memang kita tidak boleh menang setiap kejohanan tapi dulu pada 1970-an, Korea Selatan pun tidak boleh menandingi kita apatah lagi di peringkat Asia Tenggara. Tapi sekarang di peringkat Asia Tenggara pun kita kalah," katanya.

Sebelum ini ada desakan segelintir penyokong Harimau Malaya yang menuntut perubahan pucuk pimpinan FAM termasuk meminta Presiden, Sultan Ahmad Shah mengundur diri selepas 28 tahun memegang jawatan itu.


Desakan itu yang bermula sejak 2009 semakin kuat disuarakan selepas Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012.

Bagaimanapun Sultan Ahmad Shah sudah menyatakan pendiriannya untuk terus kekal menerajui FAM selagi khidmatnya diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Teka-teki status PFAM

Posted: 15 Jan 2013 12:37 PM PST

Kuala Lumpur: Persoalan ke mana hilangnya Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sukar dijawab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas mendapat sokongan daripada badan induk bola sepak tanah air itu sebaik ditubuhkan pada September 2009, PFAM kini menyepi.


Ketika kekalutan isu kebajikan dan perpindahan pemain melanda kancah bola sepak negara, badan yang dibentuk untuk membela nasib pemain itu hanya berdiam diri.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, PFAM sudah lama tidak berhubung dengan FAM dan mereka tidak tahu sama ada persatuan itu masih wujud ataupun sudah berkubur meskipun mereka bernaung di bawah Persekutuan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPro).


"Persatuan itu tidak berfungsi, mereka ada beberapa kali datang ke FAM pada awal penubuhan namun selepas itu sudah tidak ada lagi. Persatuan itu penting untuk menjaga kebajikan pemain tapi mereka seperti tidak menjalankan tugas mengikut objektif penubuhan.


"Mereka didaftar di bawah FIFPro dan mendapat sedikit peruntukan daripada FIFPro. Malah pemain yang ingin mendaftar juga perlu membayar yuran pendaftaran. Saya datang pada majlis pelancaran kerana penubuhannya selari dengan kehendak FIFPro tapi persatuan itu sekarang nampak sudah berkubur," katanya.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan luahan kekecewaan bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah mengenai kegagalan PFAM memperjuangkan hak pemain tempatan.


Ini berikutan timbul pelbagai permasalahan tahun lalu antaranya isu pembayaran gaji tertunggak, kes disiplin membabitkan dua pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ri dan Mohd Muslim Ahmad serta kontroversi perpindahan penyerang Norshahrul Idlan Talaha dari Kelantan ke Johor Darul Takzim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Idam lihat calon pengganti

Posted: 15 Jan 2013 12:37 PM PST

Ini kali kedua saya menulis di Harian Metro, apa khabar pembaca yang meminati sukan badminton dan sentiasa mengikuti perkembangan saya selama ini?

Selepas menjuarai Terbuka Korea, aksi di gelanggang sendiri iaitu Terbuka Malaysia yang bermula semalam, sentiasa saya nanti-nantikan kerana mahu pastikan rekod juara paling banyak menjadi milik saya.


Saya beraksi dalam sembilan final dan menang lapan daripadanya dan tahun ini menyediakan peluang terbaik untuk muncul juara buat kali kesembilan.

Satu lagi keistimewaan kejohanan ini, saya rasa ia pertandingan paling penting dan besar selepas Kejohanan Dunia dan Seluruh England, kejohanan berstatus Siri Super paling menarik dan paling mahal.


Malah tahun depan, kejohanan ini akan dinaikkan taraf kepada Siri Super Premier, tentunya ia menjadi lebih bagus, lebih ramai pemain ternama dunia yang diwajibkan datang, saya pasti 2014 akan menjadi tahun yang menarik.


Meskipun tanpa ramai pemain terbaik dunia dan pemain China, kejohanan ini bukannya menjadi semakin mudah buat saya kerana setiap pemain yang hadir membawa satu misi iaitu menewaskan saya di depan penonton sendiri.

Saya mahu melihat calon pengganti sama ada Liew Daren, Chong Wei Feng mahupun Mohd Arif Latif menonjol di kejohanan ini meskipun jika mereka tidak mara ke final.


Bagi saya, untuk mencapai kejayaan besar di masa depan, seseorang pemain perlu membuktikan kemampuan diri di bumi sendiri terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Pemain buangan langkah kanan

Posted: 15 Jan 2013 12:35 PM PST

Kuala Lumpur: Dua pemain buangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mohd Razif Abdul Latif-Vountus Indra Mawan yang didakwa bekas jurulatih Tan Kim Her dan majikan lamanya gagal menghasilkan keputusan memberangsangkan serta tidak mempunyai kemahiran tinggi, membuktikan mereka lebih baik daripada gandingan badan induk badminton negara itu.

Ibarat detik pembalasan, gandingan itu melangkah ke undian utama dengan bergaya apabila menundukkan gandingan Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Teo Kok Siang 21-18, 21-15 dalam masa 27 minit, pada perlawanan kedua kelayakan semalam.


"Saya amat gembira hari ini (semalam) kerana selepas disingkir BAM, kami buktikan masih boleh hidup di luar," kata Razif yang pertama kali bergandingan dengan Vountus dan hanya sekali berlatih Ahad lalu ketika menguji gelanggang.

"Kami tidak bagus dan tidak ada kemahiran tapi boleh menewaskan pemain BAM." Razif meninggalkan BAM pada Oktober 2010 manakala Vountus disingkir September tahun lalu meskipun gandingannya Lutfi dikekalkan dengan alasan memiliki kemahiran lebih baik.


"Apa yang berlaku hari ini (semalam) menunjukkan betapa pentingnya jurulatih yang baik. Kami berjaya kerana dibimbing seorang legenda yang tahu kekuatan kami dan bijak mengatur strategi," kata Vountus mengenai insan yang mencadangkannya supaya bergandingan dengan Razif di saat akhir, Razif Sidek.


"Saya tidak pasti adakah kami akan terus bersama, semuanya bergantung kepada perancangan jurulatih Razif. Malah kami memerlukan penaja untuk menaja kami di setiap kejohanan disertai.

"Saya kasihan melihat Lutfi dan Kok Siang kerana mereka memiliki pelbagai kelebihan di BAM tapi tidak mampu untuk menang." Kemenangan itu membolehkan Razif-Vountus berdepan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Kebangkitan Ramdan dua tahun lagi: Rahman

Posted: 15 Jan 2013 12:33 PM PST

Kuala Lumpur: Rahman Sidek meletakkan sasaran dua tahun untuk anak saudaranya, Misbun Ramdan Misbun berada dalam kelompok terbaik dunia.

Rahman yang melatih Ramdan buat sementara sebelum Datuk Misbun Sidek mengambil alih pada masa yang belum ditetapkan berkata, anak didiknya itu membuktikan dirinya cukup berbakat kerana hanya mengambil masa singkat di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk muncul juara kebangsaan.


"Dalam masa dua tahun bersama BAM, dia sudah mengatasi pemain yang lebih lama bermain sepenuh masa, itu menunjukkan bakat dan kesungguhannya untuk berjaya lebih tinggi," kata Rahman.

"Kami di Nusa Mahsuri mempunyai pengalaman melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Rashid Sidek, Roslin dan Muhd Hafiz Hashim.


"Sekarang semua terpulang kepada Ramdan, apa yang dia mahu dan tahap yang ingin dikecapinya." Bagaimanapun ketika ditanya mengenai perancangan Nusa Mahsuri untuk menaikkan prestasi Ramdan, Rahman nyata belum ada jawapan dengan hanya mengulangi tempoh dua tahun dilihat paling sesuai untuk melihat anak saudaranya berada di tahap terbaik dunia.


Ramdan, juara kebangsaan 2012 mencipta kontroversi apabila meninggalkan BAM minggu lalu, tewas kepada pemain China, Chen Yuekun pada perlawanan pertama pusingan kelayakan semalam.

Anak legenda badminton negara, Misbun itu tewas 15-21, 16-21 dan jelas gugup beraksi pada penampilan pertama di kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia, semalam.


"Saya memang gugup beraksi buat kali pertama di kejohanan sebesar ini apa lagi di depan penonton sendiri hingga membuatkan permainan saya tidak menjadi," kata Ramdan yang mensasarkan untuk berada di kelompok 50 terbaik dunia pertengahan tahun ini.

Pada masa ini, dia berada di ranking ke-87 dunia selepas menduduki posisi ke-67 dunia tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

No comments:

Post a Comment