Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Seperti digilis lori

Posted:

Gara-gara bermain bola salji, seorang pelajar tarian kini terpaksa menggunakan kerusi roda dan berhenti satu atau dua tahun daripada menari.

Nasib tidak baik menimpanya apabila pelvisnya patah selepas dirempuh bola salji gergasi yang menyebabkan dia tersepit pada tembok.


Nicole Wignall, 16, menghabiskan masa hampir empat jam bersama tujuh rakan lain untuk membuat bola salji selebar lebih satu meter dan tinggi lebih satu meter. Mereka kemudian menolaknya ke puncak sebuah bukit berhampiran kediaman mereka di Blackburn.

Tetapi, ketika Nicole berbual dengan seorang rakan di luar rumahnya, bola itu dilepaskan secara tidak sengaja.


"Saya melihatnya, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Saya tidak boleh bergerak. Saya menjerit lalu terperangkap antara bola salji itu dengan tembok. Rakan saya mengalihkan bola salji itu dan mengangkat saya masuk ke rumah. "Saya sangka saya akan mati atau lumpuh," kata Nicole.


Pelvisnya patah di empat bahagian di depan dan retak di belakang. Dia dijangka terpaksa menggunakan kerusi roda selama lapan minggu sebelum boleh berjalan semula dengan menggunakan tongkat dan mengambil masa satu atau dua tahun sebelum boleh menari semula.

"Sungguh mengecewakan. Pelvis saya berkecai, patah di empat bahagian di depan dan retak di belakang. Doktor berkata, saya seolah-olah menunggang motosikal dan dirempuh oleh lori. Saya boleh lumpuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Pakaian Jennifer Lawrence terlondeh

Posted:

Los Angeles: Tidak diragui ia adalah malam kemuncak karier lakonannya. Bagaimanapun, kegembiraan itu hampir bertukar menjadi kejadian yang memalukan bagi Jennifer Lawrence pada majlis Anugerah Screen Actors Guild, semalam.

Di depan hadirin yang terdiri daripada bintang ternama, pelakon jelita berusia 22 tahun itu hampir kehilangan pakaiannya ketika berjalan untuk menerima hadiahnya.


Dia menderita akibat menghidap pneumonia dan bersaing dengan beberapa pelakon ternama Hollywood untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik. Bagaimanapun, Jennifer masih berani untuk memilih pakaian luar biasa untuk majlis berkenaan.

Apabila namanya diumumkan untuk mengiktiraf peranannya dalam filem Silver Linings Playbook, bencana menimpanya.


Sambil berdiri dan memeluk mereka di sekelilingnya, bintang Hunger Games itu tidak menyedari ada orang yang meletakkan kaki kerusi mereka pada gaun Christian Diornya yang mahal itu.


Aktres itu cuba berlari naik ke pentas, menyebabkan pakaiannya terlondeh, sehingga mendedahkan seluruh pahanya.

Pelakon siri Breaking Bad terkejut apabila berpaling ke belakang ketika Jennifer menyedari dia berdepan dengan masalah berhampiran meja mereka.


Rakan pelakon, Nicole Kidman dan Marion Cottilard juga terkejut dengan kejadian itu. Reaksi mereka dirakam oleh kamera, khususnya Cottilard, aktres Perancis, sehingga matanya terbeliak. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Penagih dadah meningkat

Posted:

Penggunaan dadah di bandar ini yang terkenal sebagai bandar pendidikan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu di kalangan usahawan, kakitangan sektor swasta dan pelajar, menurut pejabat Badan Narkotika Nasional (BNN) di bandar itu.

"Jika tiada langkah diambil, menjelang 2015, 3.37 peratus jumlah populasi wilayah itu atau kira-kira 109,675 orang akan menjadi penagih dadah," kata Ketua pejabat BNN Yogyakarta, Budi Harso kepada media, semalam. Budi berkata, kaji selidik BNN membabitkan individu berusia 10 hingga 59 tahun menunjukkan bilangan pengguna dadah di wilayah itu meningkat kepada 69,000 pada 2011 berbanding 68,000 pada 2008. Daripada jumlah itu, usahawan, kakitangan sektor swasta dan pelajar universiti didapati pengguna tetap. "Usahawan dan kakitangan sektor swasta mungkin meneruskan tabiat itu yang diamalkan sejak di kolej," katanya. Dia menyalahkan fenomena perubahan gaya hidup di kalangan orang muda di wilayah itu yang menjadi tempat penduduk dari seluruh negara bercampur gaul.


Budi juga mengaitkan keadaan itu berlaku ekoran fakta bahawa Yogyakarta adalah destinasi pelancongan popular. Data daripada polis Yogyakarta menunjukkan bahawa bilangan pelajar universiti menggunakan dadah meningkat daripada 51 pada 2010 kepada 52 pada 2011 dan 58 pada 2012.

Bilangan kes dadah di kalangan usahawan dan kakitangan sektor swasta turut meningkat daripada 186 pada 2010 kepada 195 pada 2011 walaupun bilangan itu jatuh kepada 120 tahun lalu. Di kalangan pekerja kolar biru, bilangan itu kecil dengan 32 kes pada 2010 dan 25 kes pada 2011 dan tahun lalu. Dadah paling popular ialah ganja. "Ganja adalah pilihan kegemaran kerana ditanam sendiri memudahkan ia diperoleh," katanya sambil menambah kebanyakan ganja datang dari Sumatera. Dia juga berkata, menjadi ikutan di kalangan orang muda di wilayah itu yang menggunakan sedatif yang tidak dikategorikan sebagai dadah. Mereka memperoleh sedatif ini secara sah melalui preskripsi ubat-ubatan.


"Doktor patut melakukan pemeriksaan terperinci sebelum memberikan sedatif kepada pesakit mereka," katanya.


Budi turut menyarankan menyekat rangkaian pengedaran dadah dan meningkatkan kesedaran ramai terhadap kesan negatif dadah akan membantu mengawal penggunaan dadah dalam masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

20 peratus murid Thai dijangka hidap obesiti

Posted:

Bangkok: Kira-kira seorang daripada lima murid prasekolah Thai dan seorang daripada 10 kanak-kanak sekolah mungkin menderita obesiti menjelang 2015 kerana mereka tidak mendapat nutrisi yang sewajarnya, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan, Theerapol Topanthanont semalam.

Dr Topanthanont berkata, kanak-kanak Thai hanya memakan kira-kira satu setengah sudu besar sayur-sayuran secara purata, berbanding 12 sudu besar yang patut diambil. Ramai kanak-kanak juga kekurangan iodin dan zat besi yang mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan. Dia memberi amaran bahawa individu yang obes berdepan risiko tinggi terdedah kepada penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung. Jabatan Kesihatan bekerjasama dengan sembilan wilayah utama dalam membentuk program bagi memperbaiki tabiat pemakanan kanak-kanak sebelum usia persekolahan dan remaja ketika alam persekolahan. Dr Topanthanont berkata, jabatan itu menggesa agensi daerah agar memperbaiki kualiti makanan di sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak dengan meningkatkan perbelanjaan untuk makan tengah hari daripada 13 baht (RM1.30) kepada 15 baht (RM1.50) hingga 20 baht (RM2) bagi setiap pelajar.


Jabatan itu juga menggalakkan orang ramai agar mengambil bahagian dalam penerbitan media mengenai komunikasi nutrisi. Sukarelawan tempatan dan media memainkan peranan penting dalam mendidik orang ramai mengenai pemakanan dan nutrisi bersesuaian. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Abu Sayyaf enggan bebas tebusan

Posted:

Manila: Kumpulan pemberontak Islam berkata, kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan al-Qaeda enggan membebaskan dua tebusan warga asing selepas dua minggu rundingan dilakukan Barisan Pembebasan Nasional Moro.

Bagaimanapun, Abu Sayyaf tidak akan mengambil tindakan drastik yang akan membahayakan tebusan berkenaan.


Komander Barisan Pembebasan Nasional Moro, Khabir Malik semalam berkata, dia bertemu dengan militan Abu Sayyaf, Jul-Asman Sawadjaan hujung minggu lalu bagi menuntut pembebasan wartawan Jordan dan tebusan warga asing serta tempatan lain yang ditahan di hutan bandar Patikul di selatan wilayah Sulu, tetapi mereka masih enggan dan tidak menyatakan hasrat bila mereka akan membebaskan tawanan itu.- Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Lapan mayat ditemui dalam telaga

Posted:

Sekurang-kurangnya lapan mayat dikeluarkan dari sebuah telaga di utara Mexico semalam, tidak jauh dari tempat 20 pemuzik dilaporkan hilang minggu lalu. Menurut sumber Agensi Siasatan Negeri Nuevo Leon, mereka masih meneruskan pemeriksaan telaga yang terletak di kawasan lapang di bandar Mina, Monterrey. "Jumlah mayat mungkin meningkat," katanya.

Bagaimanapun, setakat ini sumber terbabit tidak dapat mengesahkan sama ada mayat berkenaan anggota kumpulan muzik Kombo Kolombia yang disedari kehilangan mereka Jumaat lalu.


Kumpulan muzik terbabit dilaporkan hilang selepas membuat persembahan tertutup di sebuah bar di bandar sebelah Mina, Hidalgo. Pihak berkuasa menjalankan gerakan mencari mereka selama dua hari sebelum menemui mayat dalam telaga berkenaan. Beberapa penduduk yang tinggal berhampiran bar tempat Kombo Kolombia mengadakan persembahan di Hidalgo mendakwa terdengar bunyi tembakan kira-kira jam 4 pagi, Sabtu lalu, diikuti bunyi kenderaan dipandu laju.

Sumber pihak berkuasa berkata, bunyi tembakan memang sering didengar di kawasan berkenaan dan penyiasat menemui sejumlah kelongsong peluru tidak jauh dari bar terbabit. Saudara-mara membuat aduan rasmi mengenai kehilangan anggota kumpulan Kombo Kolombia itu Sabtu lalu selepas gagal menghubungi mereka melalui telefon bimbit masing-masing. Beberapa waris pemuzik itu turut mengunjungi bar berkenaan dan mendapati kenderaan mereka masih ditinggalkan di situ. Sejak tiga tahun lalu, Kombo Kolombia memainkan muzik gaya Colombia dikenali sebagai vallenato yang popular di Nuevo Leon.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Perogol tuntut gambar lucah

Posted:

Seoul: Seorang banduan yang dipenjara atas kesalahan merogol menyaman pihak berkuasa bagi mendapatkan semula ratusan gambar lucah dirampas dari bilik tahanannya, kata pihak berkuasa semalam.

Banduan berusia 46 tahun itu mengemukakan saman selepas 200 gambar lucah diambil pihak berkuasa ketika dia dipindahkan ke penjara lain.


Jurucakap penjara berkata, walaupun penghuni di situ dibenarkan memiliki majalah dewasa, gambar dirampas daripada banduan terbabit 'melampau'. "Jika dibenarkan, ia bercanggah dengan matlamat pemulihan di penjara, selain jumlahnya yang banyak serta tahap kelucahan juga melampau," katanya. Dalam samannya, banduan itu mendakwa haknya dirampas walaupun bahan itu diperlukan ketika dia dipenjara.

Mahkamah dijadual mendengar permohonan itu Mac ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Pengeluar kereta Jepun catat jualan tertinggi

Posted:

Tokyo: Tiga pengeluar utama kereta Jepun - Toyota, Nissan dan Honda - semalam mencatatkan rekod jualan tertinggi pada 2012.

Kejayaan itu menunjukkan tiga syarikat terbabit berjaya memulihkan penurunan jualan dan pengeluaran ekoran bencana gempa bumi dan tsunami pada 2011.


Ia juga menjadi bukti produk syarikat terbabit mendapat permintaan tinggi di pasaran Asia dan Amerika Syarikat (AS) ketika Eropah dilanda beban hutang banyak serta sentimen warga China yang memboikot produk Jepun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Rancangan radio kontroversi ditamat

Posted:

Sydney: Rancangan radio yang menjadi kontroversi selepas deejaynya menyamar ahli keluarga diraja Britain dan menyebabkan seorang jururawat membunuh diri ditamatkan siarannya, kata rangkaian Austereo semalam.

Menurut stesen berkenaan, mereka melancarkan program baru, The Bumb, mulai semalam dan bakal menggantikan rancangan Hot 30 itu.


Dua deejay Hot 30 itu diketepikan Austereo selepas membuat panggilan ke hospital yang merawat isteri Putera William Kate Middleton di London dengan menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Tiada letupan di loji Fordow

Posted:

Dubai: Iran semalam menafikan laporan mengenai letupan di satu daripada kawasan pengayaan uraniumnya.

Pihak berkuasa negara itu menyifatkan laporan itu sebagai propaganda Barat untuk mempengaruhi rundingan nuklear akan datang.


Reuters semalam berkata, ia gagal mengesahkan laporan Jumaat lalu mengenai letupan di kubu bawah tanah Fordow berhampiran bandar Qom. Beberapa media Israel dan Barat mendakwa letupan itu menyebabkan kerosakan besar.

"Laporan palsu mengenai letupan di Fordow ialah propaganda Barat yang dilakukan untuk mempengaruhi proses dan keputusan rundingan nuklear yang akan datang," kata Timbalan Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Saeed Shamseddin Bar Broudi.


Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan dan Hal Ehwal Luar Alaeddin Boroujerdi turut menafikan sekeras-kerasnya berita letupan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

No comments:

Post a Comment