Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Karavan dalam hotel

Posted: 14 Jan 2013 01:18 PM PST

Berlin: Jika dulu peminat aktiviti perkhemahan banyak bergantung kepada cuaca, pembukaan taman karavan tertutup pertama di dunia kini memberi lebih banyak kemudahan untuk sesiapa yang berminat.

Pengalaman dalam hotel unik itu boleh dirasai sendiri di Berlin, apabila pelbagai jenis karavan klasik serta pondok kayu ditawarkan untuk pelanggan, termasuk di kalangan mereka yang cerewet.


Dikenali sebagai Huttenpalast (Istana Pondok) menampilkan semua ciri klasik yang ada pada sesebuah karavan, termasuk kawasan bersantai di luar dan lampu gantung di 'pokok' yang membantu penyewa bergerak di kawasan sekitar perkhemahan. Huttenpalast lahir daripada idea Silke Lorenzen dan pereka hiasan dalaman, Sarah Vollmer, yang ingin membina sebuah hotel yang mengekalkan suasana serta pengalaman asal seperti tapak perkhemahan.

Ia terletak di bekas kilang pencuci hampa gas dan ditukar Silke dan Sarah sebagai 'tapak perkhemahan' menggunakan karavan serta kabin kayu.


Kata Silke, walaupun mahu mengekalkan ciri asal bangunan itu, mereka juga mencipta suasana yang mesra bagi membolehkan penghuninya saling bertemu. Pada asalnya, kata Silke, mereka memikirkan bilik dengan konsep "bilik di dalam bilik" dengan menyediakan kabin kayu kecil di ruang tamu.


"Tetapi kami juga mahukan ruang luas bagi membolehkan ia dijadikan tempat pelbagai aktiviti.

"Kami memikirkan memasang roda di bawah kabin, tetapi kemudian tersedar bahawa memang ada kabin yang beroda, iaitu karavan," katanya. Tanpa membuang masa, kata Silke, mereka membeli tiga unit karavan.


Setiap kemudahan dalam karavan berkenaan ditanggalkan sebelum dihias semula dengan tema unik. Satu daripadanya kini bertukar menjadi seperti kepompong yang hiasan dalaman kayu.

Satu lagi karavan pula dihias dengan begitu cantik dan dilengkapi katil yang bersaiz besar. Seseorang yang ingin merasai pengalaman "perkhemahan bandar" itu dikenakan bayaran kira-kira RM250 satu malam. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Lebih 100 juta Galaxy dijual

Posted: 14 Jan 2013 12:53 PM PST

Seoul: Samsung Electronics Co semalam berkata, jualan global telefon pintar Galaxy S melepasi tahap 100 juta unit sejak model pertama dalam siri itu diperkenalkan lebih tiga tahun lalu.

Kenyataan syarikat itu menyebut, lebih 25 juta telefon pintar Galaxy S, 40 juta Galaxy SII dan 42 juta Galaxy S III terjual setakat ini. Samsung melancarkan model Galaxy S pertama pada akhir Mei 2010 dan bersaing dengan Apple yang kemudian mempengaruhi pasaran dengan iPhone. Namun, Samsung bertindak pantas merapatkan jurang dengan Apple.


Bulan lalu, firma penyelidikan IHS iSuppli berkata, Samsung mengatasi jualan telefon bimbit Nokia dan mengalahkan jualan telefon pintar Apple tahun lalu. Jualan iPhone pula mencapai 100 juta pada Mac 2011, hampir empat tahun selepas ia diperkenalkan pada 2007. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Cubaan seludup balak 'payung' tumpas

Posted: 14 Jan 2013 12:52 PM PST

Bangkok: Bangkok: Pihak berkuasa, semalam merampas sebilangan besar balak payung (rosewood Siam) bernilai lebih 20 juta baht (RM2 juta) dalam sebuah trak di daerah Pak Thing Chai, Nakhon Ratchasima.

Kayu ditebang secara haram itu ditemui dalam trak 10 roda yang ditinggalkan di jalan pintas Mittraparb dekat persimpangan Jor Hor-Pak Thong Chai, kata Timbalan Komander balai polis daerah 3, Mejar Jeneral Prasit Thamdee yang mengetuai siasatan. Rampasan itu dibuat selepas pihak berkuasa Divisyen Kawalan Jenayah Alam Sekitar dan Sumber Semula Jadi daerah 3 memperoleh maklumat bahawa sekumpulan sindiket penyeludup akan menghantar balak payung yang dibawa dalam trak 10 roda dengan nombor pendaftaran Surin ke kawasan Bang Na di Bangkok, sebelum ia diseludup keluar negara untuk dijual.


Polis membentuk satu pasukan mengawasi laluan itu dan menemui sebuah kenderaan mencurigakan di jalan pintas di timur laut wilayah Nakhon Ratchasima sebelum mengekorinya.

Dua lelaki dalam trak itu, pemandu dan seorang penumpang menyedari mereka diekori polis dan meninggalkan kenderaan itu sebelum melarikan diri.


Polis menemui lebih 300 meter balak payung di belakang trak itu dan siasatan lanjut masih dilakukan untuk menahan mereka yang terbabit. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Speaker ambil dadah dicekup

Posted: 14 Jan 2013 12:52 PM PST

Palembang: Speaker Dewan Perwakilan Daerah Sumatera Selatan (DPD) dari Partai Pelopor, Oktariza Yusuf dilaporkan ditahan Jumaat lalu kerana mengambil serbuk methamphetamine di rumah penginapan yang dikendalikannya.

Polis merampas suku gram serbuk meth, sebiji pil ecstasy, kertas aluminium dan pistol angin.


"Kami menahan suspek kira-kira jam 11 pagi kerana mengambil dadah di rumah penginapan itu," kata Ketua Polis Palembang, Komisioner Kanan Sabarudin Ginting. Oktariza, 50, mengakui mengambil dadah itu sejak 2002, tetapi menafikan dia ditahan polis ketika sedang mengambil bahan larangan itu.

"Saya tidak mengambil dadah, ia satu perangkap," katanya. Dia akan didakwa mengikut Akta 112 Undang-Undang Narkotik 2009 yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Ibu muda cekik bayi sampai mati

Posted: 14 Jan 2013 12:52 PM PST

Suphan Buri: Seorang ibu muda mencekik bayi perempuannya yang berusia dua bulan dan meninggalkan mayat mangsa dekat sebuah bangunan sebelum menyerah diri kepada polis, tengah malam semalam.

Pegawai polis bertugas di balai polis Uthong, di sini, Leftenan Muda Siam Suan-in berkata, wanita terbabit dikenali sebagai Angkana Klaharn, 20, menyerah diri pada jam 12.30 malam. Suspek yang kelihatan lemah, tertekan dan terganggu mengakui membunuh anak perempuannya dengan mencekik bayi malang itu.


Apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui bayi perempuan itu dibungkus dalam sehelai tuala. Bayi itu kemudian dikejarkan ke Hospital Thonburi Uthong, tetapi gagal diselamatkan.

Menurut Angkana, dia membawa anak perempuannya keluar dari rumah tanpa arah tujuan. Selepas tiba di stesen bas di daerah Uthong, dia melalui lorong sunyi dan mula mencekik bayinya tanpa sebab. Suspek memberitahu polis, dia memutuskan menyerah diri kerana dia takut perbuatannya terbongkar.


Polis membawa suspek ke hospital untuk mengesahkan sama ada dia benar-benar mengalami sakit mental sebelum tindakan lanjut diambil. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

3 pekerja maut ditimpa kren

Posted: 14 Jan 2013 12:51 PM PST

Tangerang: Tiga pekerja binaan maut selepas sebuah menara kren jatuh menimpa mereka di projek pembinaan Apartmen Green Lake View di Tangerang Selatan semalam.

"Tiga pekerja maut dan seorang lagi cedera," kata Ketua Detektif Jakarta Selatan, Adjutan Komisioner Kanan Hermawan sebagaimana dipetik daripada tempo.com.


Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Jalil, 45, Leman, 50, dan Yoto, 30, manakala pekerja yang cedera dikenali sebagai Wanto, 25.

Menurut saksi, Agung Kurniawan, 25, insiden itu berlaku kira-kira jam 4 petang. Empat pekerja itu sedang bekerja apabila menara kren berkenaan tiba-tiba bergegar lalu jatuh menghempap mereka. - tempo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Mengaku lesbian

Posted: 14 Jan 2013 12:51 PM PST

Beverly Hills: Aktres, Jodie Foster, mengesahkan khabar angin yang sudah sekian lama tersebar bahawa dia adalah lesbian.

Jodie mengaku demikian pada majlis anugerah Golden Globe semalam. Bagaimanapun, secara berjenaka, aktres itu berkata, dia tidak akan mengadakan sidang akhbar untuk membincangkan kehidupan peribadinya.


Jodie yang terkenal kerana menjalani kehidupan secara privasi, memeranjatkan penonton yang terdiri daripada selebriti ternama Hollywood ketika menerima anugerah pencapaian seumur hidup dengan mengumumkan bahawa dia kini solo.

"Secara serius, saya berharap anda tidak akan kecewa kerana tiada ucapan pengakuan mengenai diri saya sebagai lesbian kerana saya sudah melakukannya ribuan tahun lalu ketika Zaman Batu lagi," kata aktres itu.


Menurut Jodie, dia sentiasa berterus terang mengenai orientasi seksnya dengan rakan yang dipercayai dan anggota keluarga.


"Tetapi kini, saya diberitahu bahawa semua selebriti dijangka mendedahkan butir mengenai kehidupan peribadi mereka pada sidang akhbar. Tetapi, itu bukan saya," katanya.

Jodie, 50, kemudian bercakap mengenai bekas kekasihnya, Sidney Bernard, yang bersama-sama dua anak mereka turut menghadiri acara itu. "Terima kasih Sid (Bernard). Saya bangga dengan keluarga moden kita, anak kita yang menakjubkan," kata Jodie.


Dia dan Bernard berpisah baru-baru ini.

Sejak beberapa tahun lalu, Jodie diselar masyarakat lesbian kerana tidak mengaku secara terbuka bahawa dia adalah di antara mereka.


Aktres yang pernah memenangi dua anugerah Oscar menerusi filem 'The Silence of the Lambs' dan 'The Accused' berkata, dia menghargai privasinya kerana karier lakonannya pada usia awal, yang bermula ketika dia berumur tiga tahun.


"Jika anda sudah menjadi terkenal sejak bayi lagi, jika anda terpaksa bertarung untuk menjalani kehidupan yang dirasakan benar, ikhlas dan normal, maka anda juga mungkin akan menghargai privasi berbanding perkara lain," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Paderi dituduh seks dengan remaja 15 tahun

Posted: 14 Jan 2013 12:50 PM PST

Singapura: Seorang paderi semalam dituduh mengadakan seks dengan seorang gadis berusia 15 tahun.

Polis tidak mendedahkan butir lanjut tuduhan itu tetapi akhbar Straits Times mengenal pasti paderi itu sebagai lelaki berusia 45 tahun dan bapa tiga anak.


Namun, namanya tidak disiarkan kerana mahu melindungi identiti gadis berkenaan. Mereka didakwa mengadakan seks di sebuah taman awam dan seks oral di perkarangan gereja pada 2011, kata akhbar itu.

Menurut Undang-Undang Singapura, adalah satu kesalahan mengadakan seks dengan sesiapa yang berusia bawah 16 tahun, meskipun dengan persetujuan.


Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Minta tunda kes Berlusconi

Posted: 14 Jan 2013 12:50 PM PST

Milan: Penari kelab malam yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes seks bekas Presiden Silvio Berlusconi tiba di mahkamah untuk memberi keterangan semalam.

Bagaimanapun, peguam bekas Perdana Menteri Itali itu meminta perbicaraan ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya bulan depan.


Karima El Mahroug, 20, yang terkenal dengan gelaran 'Rubi Si Pencuri Hati' terpaksa berdepan jurugambar yang berebut-rebut untuk merakam wajahnya di mahkamah di tengah Milan, tempat Berlusconi dibicarakan atas tuduhan melanggan seorang pelacur bawah umur.

Karima yang tiba dengan berjaket hitam, but hitam dan skaf kelabu, tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak melahirkan bayi perempuan, setahun lalu. Bayi itu adalah hasil hubungan dengan teman lelakinya, pemilik sebuah kelab malam. Dia mengucup lelaki berkenaan setibanya di dalam kamar mahkamah.


Penari itu sepatutnya memberi keterangan Disember lalu tetapi gagal muncul dengan alasan bercuti di Mexico. Pendakwa raya menuduh tindakannya itu sebagai rancangan untuk melengahkan keputusan perbicaraan sensasi itu.


Niccolo Ghedini, antara peguam Berlusconi memberitahu mahkamah. bekas perdana menteri itu akan begitu sibuk untuk mengikuti kes berkenaan atau menghadiri perbicaraan kerana berkempen. Dia juga tidak mahu penentang Berlusconi mengeksploitasi perbicaraan itu sepanjang kempen pilihan raya.

Ghedini berkata, sebarang perkembangan dalam perbicaraan berkenaan akan mempunyai kesan di media dan pihak pembela mahu mengelak kemungkinan ia mempengaruhi kempen.


Hakim mengambil keputusan menangguhkan perbicaraan semalam untuk menimbang permohonan itu sambil Karima, wanita kelahiran Maghribi, duduk tersenyum di kamar mahkamah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

No comments:

Post a Comment