Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kemarau berterusan

Posted: 22 Jan 2013 02:54 PM PST

Kuala Lumpur: Kemarau pingat emas sepak takraw negara di Sukan SEA sejak 2005 dilihat bakal berterusan apabila Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak yakin dengan kemampuan skuad elit A melakukannya di Myanmar, hujung tahun ini.

Malah Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail meminta peminat tempatan tidak meletakkan sebarang harapan kerana sukan dwitahunan peringkat Asia Tenggara itu bukan lagi menjadi sasaran mereka kerana matlamat utama lebih menjurus kepada pentas lebih besar iaitu Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.


Situasi terbabit turut didorong rasa tidak puas hatinya dengan perkembangan dipamerkan barisan pemain elit A yang dikendalikan ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan selepas menyertai beberapa pertandingan antarabangsa sebelum ini.

"Saya memang tidak puas hati. Saya lihat mereka beraksi di Thailand baru-baru ini. Walaupun terpaksa beraksi sebelah malam, apa yang dipamerkan pemain berstatus kebangsaan itu agak mengecewakan kerana saya mengharapkan permainan mereka lebih bermutu," katanya selepas menyaksikan demonstrasi sukan 'chinlone yang bakal dipertandingkan di Myanmar.


Malah Ahmad turut mengingatkan pemain skuad elit A tidak berasa selesa dan selamat dengan kedudukan mereka untuk menyarung jersi negara di pentas antarabangsa selepas ini berikutan peningkatan dipamer barisan pemain skuad elit B, pasukan yang ditubuhkan kira-kira sebulan lalu.


"Bagi saya, kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan. Sesiapa yang gagal akan digugurkan dan digantikan dengan pemain baru," katanya yang mensasarkan sekurang-kurangnya satu perak diraih di Myanmar dengan skuad negara menyertai acara regu, berpasukan regu, beregu dan berpasukan regu.

Foto

PEMAIN negara berlatih untuk hadapi pertandingan.

Mengulas kontrak Jamaluddin yang bakal berakhir hujung April, Ahmad menyerahkan perkara terbabit kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pemilihan PSM untuk membuat keputusan sebelum membentangkannya kepada pucuk pimpinan persatuan.


"Jawatankuasa terbabit perlu menyatakan justifikasi sekiranya mahu menyambung kontrak (Jamaluddin), begitu juga sebaliknya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

GER'S FC pamer belang

Posted: 22 Jan 2013 02:46 PM PST

Seremban: Pengalaman menyertai beberapa kejohanan tempatan dimanfaatkan sebaiknya GER'S FC untuk menewaskan Bueh FC, 3-2 pada perlawanan akhir dan muncul juara Kejohanan Futsal Kolej UNITI 2013 di Arena Alam Megah Lukut, Port Dickson Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pasukan juara dari Kuala Lumpur itu membawa pulang wang tunai RM1,000 dan hamper manakala Bueh FC dari Melaka meraih RM600 dan hamper.


Tempat ketiga milik pasukan dari Seremban, NHR Dobi FC yang menewaskan Saiyor FC dari Kuala Pilah menerusi penentuan penalti 3-2 selepas terikat 2-2 pada aksi sebenar untuk meraih RM400 manakala Saiyor FC, RM300.

Pengurus yang juga jurulatih GER'S FC, Jaafar Aziz berkata, kemenangan itu satu lagi kejayaan pasukannya selepas memenangi Kejohanan Futsal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2012, November lalu dan meraih trofi serta hadiah RM3,000.


Beliau bagaimanapun hanya mensasarkan mara ke separuh akhir tapi semangat dan kesungguhan pemain membantu mereka muncul juara kejohanan itu.


GER'S FC diundi dalam Kumpulan K bersama Poli PD, Bad Boys dan KKNS dan muncul juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah.

"Ini satu pencapaian membanggakan hasil persiapan rapi dan pengalaman menyertai beberapa kejohanan sepanjang tahun lalu," katanya.


Menurutnya, dibandingkan beberapa pasukan lain, GER'S FC boleh dianggap baru dalam arena futsal kerana baru ditubuhkan pada pertengahan 2011 dan bergerak aktif pada Oktober 2011 dengan menyertai beberapa kejohanan terutama di sekitar ibu negara dengan matlamat menyertai Liga Futsal Kebangsaan pada masa akan datang.

Sebanyak 48 pasukan menyertai kejohanan anjuran Kelab Kaunseling Kolej UNITI di Pasir Panjang Port Dickson itu.


Hadiah disampaikan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kemanusiaan Kolej UNITI, Ahmad Nasron Mohamed Din.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Tiga kereta Chevrolet nanti pemenang

Posted: 22 Jan 2013 02:46 PM PST

Kuala Lumpur: Mister Potato dengan kerjasama gergasi bola sepak dunia, Manchester United buat julung kalinya menawarkan tiga kereta jenama Chevrolet untuk dimenangi pemenang peraduan Snack & Win Mister Potato.

Ketua Pengarah Eksekutif Mamee-Double Decker, Datuk Wira Pang Tee Cgew berkata, tawaran itu seiring dengan kemunculan Chevrolet sebagai rakan automotif rasmi United.


Katanya, pihaknya menawarkan tiga Chevrolet iaitu Captiva, Sonic dan Cruze yang disertakan dengan autograf pemain Manchester Untied sebagai hadiah utama bagi peraduan ini selain hadiah berjumlah RM450,000 menanti pemenang dan wang tunai mingguan berjumlah RM136,000 sepanjang 12 minggu.

"Sebagai rakan snek rasmi United, kami mampu menawarkan pengalaman eksklusif di samping mendekati peminat.


"Rangkaian kereta ini adalah antara ganjaran paling hebat pernah ditawarkan dalam usaha menawarkan hadiah yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit," katanya.


Mengikat kontrak kerjasama selama tiga tahun bermula 2011 hingga 2014, Mister Potato bermula dengan Ultimate Manchester United Experience pada 2011 yang menyaksikan peminat bertuah berpeluang bertemu secara peribadi dengan pemain kesayangan mereka. Mister Potato kemudian mengorak langkah menawarkan kemeriahan berparti di Old Trafford dan peluang menyaksikan secara langsung perlawanan kelab itu di samping berhibur dengan persembahan kumpulan rock dari Indonesia, Nidji pada 28 Februari.

Bagi yang berminat menyertai pertandingan ini, anda hanya perlu membeli pek peraduan Mister Potato dan menjawab beberapa soalan mudah untuk mendapatkan mata ganjaran. Sepuluh mata ganjaran juga boleh diperoleh dengan mengunjungi bilik pameran sah Chevrolet untuk pandu uji.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Sedarlah wahai Kim Her!

Posted: 22 Jan 2013 02:44 PM PST

Kuala Lumpur: Tan Kim Her mesti segera sedar daripada lamunan dan memastikan pemain beregu lelaki mula merangkul kejuaraan di pentas antarabangsa, terutama gandingan 'super elit', Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Selepas tiga tahun berada dalam senarai kejurulatihan kebangsaan di bawah payung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kim Her belum menghasilkan gelaran juara untuk gandingan nombor satu negara itu.


Malah selepas menyingkirkan pakar beregu dari Indonesia, Rexy Mainaky tahun lalu, Kim Her yang kini bergelar ketua jurulatih beregu belum berjaya memastikan Kien Keat-Boon Heong menjadi juara, apatah lagi mengangkat taraf permainan pemain muda agar naik lebih cepat meskipun pelbagai formula digunakannya, termasuk menukar jurulatih.

Tiga jurulatih, Rexy, Rosman Razak dan Pang Cheh Chang pernah menjadi bahan uji kaji dan mungkin juga pelindung kegagalan formulanya.


Justeru, selepas tiga tahun, timbul persoalan sama ada Kim Her akan terus memainkan peranan sebagai ketua jurulatih tanpa ditetapkan sebarang sasaran, namun BAM berkata, pihaknya sudah menetapkan Indeks Penanda Aras (KPI) buat jurulatih dan pemain di bawah payung mereka.


"Tahun ini memang kami tetapkan Kim Her memastikan pemain beregu, terutama Kien Keat-Boon Heong meraih gelaran selain pemain muda mendapat keputusan membanggakan lebih cepat," kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

"Setakat ini, kami puas hati dengan pencapaian Kien Keat-Boon Heong yang sentiasa melangkah ke separuh akhir di setiap kejohanan, namun selepas ini kami tetapkan mereka untuk muncul juara.


"Sebagai ketua jurulatih, prestasi Kim Her juga akan dipantau berdasarkan pencapaian jurulatih lain dan juga pemain di bawah kendaliannya di pentas antarabangsa." Malah Kenny berkata, setiap pemain juga akan dinilai mengikut sistem mata yang dipantau Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T).

Pada masa ini, enam beregu lelaki berada di bawah Kim Her, membabitkan Kien Keat-Boon Heong, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Goh V Shem-Lim Khim Wah, Nelson Heg-Teo Ee Yi, Ow Yao Han-Chooi Kah Ming dan Mohd Lutfi Zaim-Teo Kok Siang.


Ketika prestasi Kien Keat-Boon Heong dikatakan meningkat tanpa sebarang gelaran, gandingan lain pula gagal menyerlah apabila hanya sekali-sekala melakukan kejutan, namun tidak mampu melangkah ke final.


Mungkin kehadiran jurulatih baru, Paulus Firman dari Indonesia akan mengubah senario badminton beregu negara selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

'Mew Choo amat memahami'

Posted: 22 Jan 2013 02:44 PM PST

Salam pertemuan buat peminat badminton semua. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan badminton, pasti tahu yang saya baru saja menang gelaran kedua musim 2013 di Terbuka Malaysia hujung minggu lalu.

Mungkin ada yang menganggap kemenangan itu cukup mudah buat saya tapi sebenarnya saya tetap berdepan tekanan kerana menetapkan misi memenangi kejuaraan kali kesembilan tapi semuanya dapat diatasi hasil sokongan isteri tersayang, Wong Mew Choo.


Sejak bergelar suami, kehidupan saya sebagai pemain bertaraf dunia sememangnya mempunyai perubahan kerana perlu mengimbangi masa untuk keluarga, latihan dan komitmen lain.

Tapi itu bukan masalah kerana isteri saya juga bekas atlet, dia amat memahami kesibukan saya. Tapi saya tidak pernah mengambil peluang mengabaikannya dan keluarga.


Sebenarnya saya langsung tidak mengubah jadual atau mengehadkan tempoh latihan kerana sebagai atlet yang berada di tahap tertinggi, disiplin dalam latihan amat penting, mujur saya dapat isteri yang amat memahami.


Dia langsung tidak pernah merungut, malah memahami saya yang sering meletakkan sasaran tinggi di setiap kejohanan disertai.

Saya, seperti atlet lain terpaksa berdepan mentaliti rakyat Malaysia yang menganggap atlet berkahwin akan mula mengalami kemerosotan prestasi, tanggapan yang saya anggap karut.


Isteri saya sering menjadi pendorong sewaktu saya tertekan, dialah tempat mengadu dan pendengar setia, berbeza dengan sebelum ini saya berkongsi dengan rakan lain.

Bersama isteri, perkara yang bersifat peribadi saya kongsi bersamanya membuatkan saya lebih selesa dan minda lebih bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan.


Malah, saya meminta nasihat daripadanya jika mengalami kekusutan dan saya lebih senang mengatur pergerakan sama ada untuk ke latihan mahupun ke kejohanan di luar negara kerana dia yang melakukan segala-galanya untuk saya.


Tapi dalam memastikan prestasi saya sentiasa di tahap terbaik dan masa bersama keluarga secukupnya, saya kini kurangkan masa bersama kawan-kawan.


Jika dulu pulang dari latihan, saya keluar bersama kawan-kawan, sekarang saya akan pulang ke rumah berjumpa isteri dulu. Tapi saya akan cari masa yang sesuai untuk diluangkan bersama kawan-kawan.


Mew Choo amat sporting kerana dalam hubungan kami, kepercayaan menjadi asas hubungan.


Sebagai sumber inspirasi, saya tiada masalah untuk membawa isteri ke kejohanan yang saya sertai, itupun jika dia sukakan tempat yang akan saya kunjungi, sekurang-kurangnya kehadirannya boleh memberi kekuatan kepada saya dan meredakan tekanan.


Saya rasa konflik antara berkeluarga dan bersukan tidak wujud selagi ia bersandarkan kepada kepercayaan, cuma sebagai atlet dan juga suami isteri, kami tidak boleh fikirkan yang bukan-bukan, barulah kejayaan datang seiringan.


Jumpa lagi dalam coretan saya minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Selangor tempang di Lumut

Posted: 22 Jan 2013 02:42 PM PST

Ipoh: Perak gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Selangor yang beraksi dengan 10 pemain dalam aksi Liga Super di Stadium TLDM Lumut malam tadi.

Rentak di awal permainan agak perlahan apabila bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang dengan jentera kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang.


Perak berpeluang mendahului permainan pada minit ke-27 apabila penyerang, Abd Hadi Yahya berjaya menyepak masuk bola lambungan Mohd Failee Mohamad Ghazli namun jaringan itu tidak disahkan pengadil, Zulkifli Ahmad kerana didakwa ofsaid.

Keputusan Zulkifli sekali lagi mengundang kontroversi apabila melayangkan kad kuning kedua kepada Mohd Amri Yahyah pada minit ke-41 atas kesalahan membantah keputusan pengadil.


Kelebihan itu pantas diambil skuad Seladang dengan menggandakan asakan kali ini menerusi rembatan Abd Hadi namun penjaga gol pasukan pelawat, Norazlan Razali pantas menepis keluar bola untuk mengekalkan kedudukan 0-0 menuju rehat.


Bersambung babak kedua, Perak yang dibimbing Mohd Azraai Khor Abdullah lebih mendominasi permainan namun itu tidak dapat menyekat Selangor meraih gol pertama menerusi rembatan jarak jauh Francis Forkey Doe pada minit ke-65 menerjah ke gawang.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila kesilapan kapten Selangor, Mohd Asraruddin Putra Omar menarik Failee dalam kotak penalti mengundang padah apabila Zulkifli menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.


Abd Hadi yang ditugaskan mengambil sepakan itu tenang menewaskan Norazlan bagi menghasilkan gol pertamanya bersama pasukan baru sekali gus mengikat kedudukan 1-1.

Insiden tegang sekali lagi tercetus apabila jaringan Khairul Asyraf Shaizah pada minit ke-81 dibatalkan kerana ofsaid ketika menerima hantaran Hadi di depan pintu gol Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

JDT tamat kemarau kemenangan

Posted: 22 Jan 2013 02:42 PM PST

Shah Alam: Selepas sekadar seri pada dua perlawanan terakhir, Johor Darul Takzim (JDT) akhirnya menamatkan kemarau kemenangan apabila menewaskan PKNS FC 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dibarisi ramai pemain berstatus bintang, skuad kendalian Fandi Ahmad itu bagaimanapun dilihat bergelut pada awal permainan.


Sebaliknya PKNS lebih banyak menguasai babak pertama dengan tonggak import mereka, Patrick Ronaldinho hampir meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-15, tetapi sepakan percuma yang diambilnya terus tepat ke arah penjaga gol Johor, Mohd Zamir Selamat.

Tiga minit selepas itu, Johor memperoleh gol pertama mereka dengan Daniel Guiza sekali lagi beraksi cemerlang apabila membuat hantaran cantik dari sebelah kanan ke dalam kotak penalti sebelum penyerang negara, Safee Sali menanduk masuk ke gawang tuan rumah.


Safee sekali lagi hampir menambah gol kedua tetapi sepakan gunting dilakukannya dalam kotak penalti pada minit ke-38 sekadar melepasi palang gol PKNS.


Guiza memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-45, tetapi sepakan percuma yang diambilnya terus tepat ke arah penjaga gol PKNS, Mohd Remezey Che Ros.

Bersambung babak kedua, Johor terus garang, kali ini tandukan Safee di depan gawang gol berjaya ditampan Remezey dan rembatan Guiza pula selepas itu sekadar singgah di tepi tiang gol.


Safee sekali lagi hampir menambah gol kedua pada minit ke-51, tetapi rembatan kencangnya dari jarak jauh dapat dibaca Remezey.

Harimau Selatan akhirnya memperoleh gol kedua menerusi rembatan kencang Ahmad Ezrie Shafizie pada minit ke-61.


Johor terus mengasak dan memperoleh beberapa peluang, terutama menerusi Safee tetapi dia gagal melakukan tindakan penyudah dengan baik.


Guiza akhirnya meledak gol pertamanya pada perlawanan itu dan ketiga buat Johor apabila melakukan gerakan solo sebelum merembat ke gawang lawan pada minit ke-87.


Mohd Faiz Mohd Isa meraih gol sagu hati tuan rumah pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

ATM lebar rekod kemenangan

Posted: 22 Jan 2013 02:41 PM PST

Seremban: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempamerkan kehebatan mereka apabila melebarkan lagi rekod kemenangannya selepas berjaya menewaskan FELDA United FC, 2-0 dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Sekalipun skuad bimbingan B Sathianathan diasak pelawat pada awal permainan menerusi barisan depan gandingan Mohd Ghaddar dan Shahrizal Saad yang mencipta beberapa peluang, benteng ATM dibarisi Mohd Shukor Adan, Irwan Fadly Idrus, K Reuben dan Nor Fadly Alias, menidakkan percubaan mereka.


Dalam keghairahan FELDA United mencari gol, ATM melakukan serangan balas dan usaha itu membuahkan hasil apabila ayam tambatan, Marlon Alex James menanduk masuk hantaran Shukor Adan, menewaskan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Alias, pada minit ke-14.

Anak buah K Devan meningkatkan asakan dan berpeluang menyamakan kedudukan pada minit k-39 tapi Ghaddar yang berjaya melepasi benteng ATM, gagal menolak bola kemas dan Mohd Farizal Harun mudah menangkap kemas bola.


Ketinggalan 0-1, FELDA United memperkemaskan barisan sebaik babak kedua bersambung tapi percubaan Shahrizal terkena tiang.


ATM yang turun dengan misi meraih tiga mata melebarkan kelebihan apabila Shukor menjaringkan gol kedua pada minit ke-55 selepas tonggak berpengalaman itu menyambut hantaran James hasil sepakan sudut Hairuddin Omar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

'Shahidan tetap akan dibicara'

Posted: 22 Jan 2013 02:41 PM PST

Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Taufek Abd Razak (gambar) mengesahkan kes kontroversi membabitkan kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim bakal dibicarakan apabila surat pertuduhan akan dihantar kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu, minggu ini.

Menurut Taufek, sekretariat FAM kini dalam penilaian terakhir mengenai pertuduhan dikemukakan ke atas Shahidan yang dikatakan melanggar Artikel 88 Peraturan 2010-2014 FAM.


"Tarikh perbicaraan kes ini belum diputuskan lagi kerana surat pertuduhan belum dikeluarkan sekretariat. Tapi saya difahamkan surat pertuduhan itu akan dihantar minggu ini atau awal minggu depan," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Shahidan mungkin dikenakan tindakan tatatertib berikutan kenyataannya yang menuntut transformasi dalam FAM bagi memastikan badan induk tanah air itu mendapat sokongan ramai pihak.


Transformasi yang dituntut bekas Menteri Besar Perlis itu turut menjurus kepada kesediaan FAM membantu pasukan yang mempunyai masalah kewangan.


Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.

"Artikel 88 termaktub sebagai satu peraturan di bawah Statut FAM. Ia tidak menghalang seseorang membuat kenyataan, cuma mereka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dulu. Tapi, melalui Kod Tatatertib 4.5.8, walaupun seseorang itu mendapat kebenaran, beliau tidak boleh membuat kenyataan sesuka hati seperti mengkritik atau menghina FAM.


"Dalam kes Datuk Seri Shahidan Kassim ini, kami akan tengok sama ada beliau mendapat kebenaran atau sebaliknya," katanya.

Shahidan dalam reaksi balas terhadap kes itu baru-baru ini menyuarakan sudah bersedia mengadap Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya dipanggil berbuat demikian.


Untuk rekod, sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pernah menjadi mangsa Artikel 88 apabila digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu atas kesalahan mengkritik prestasi skuad kebangsaan.


Sebelum itu, Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama badan induk kebangsaan itu yang dihukum pada 1991, disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Butler belum serah aduan kepada FAM

Posted: 22 Jan 2013 02:40 PM PST

Kuala Lumpur: Jurulatih T-Team, Peter James Butler tampak cuba 'mencuri perhatian' lagi apabila beliau sebenarnya masih belum membuat sebarang tindakan berhubung dakwaan jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menghina mendiang ibunya.

Ketika pengendali kelahiran England itu mengaku sudah menghantar surat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat lalu, badan induk bola sepak tanah air itu mengesahkan hingga semalam belum menerima aduan itu.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya tidak akan bertindak selagi Butler tidak menghantar aduan rasmi.

"Sehingga hari ini (semalam), Butler masih belum mengemukakan aduan rasmi mengenai perkara itu. FAM tidak akan bertindak selagi tiada laporan rasmi daripada pihaknya. FAM tidak akan menilai isu itu untuk diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib pada minggu depan," katanya.


Dalam laporan Arena Metro, Jumaat lalu, Butler menyatakan, sudah menghantar surat aduan rasmi kepada FAM selepas Hodak dikatakan enggan memohon maaf.


Beliau menuntut FAM membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap Hodak yang didakwa menghina mendiang ibunya ketika perlawanan Liga Super antara T-Team dan Kelantan di Kuala Terengganu 12 Januari lalu.

Berdasarkan dakwaan Butler itu, Hodak membuat kenyataan menghina dalam bahasa Croatia namun kenyataan itu difahami dua penolong jurulatih T-Team, Sebastian Knapic dan Dado Kondic yang juga kelahiran Croatia.


Menurut Azzuddin, tiada sebarang tempoh untuk Butler mengemukakan aduan selepas ini, namun beliau berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa campur tangan FAM.

"Jika tidak mahu menghantar laporan kepada FAM, Butler boleh menyelesaikan perkara ini di peringkat persatuan," katanya.


Sementara itu, beliau turut memaklumkan FAM akan menentukan nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada minggu depan akibat tindakan liar penyokong mereka dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini.


Penyokong Kelantan didakwa membaling mercun dan botol ketika menentang Johor Darul Takzim manakala peminat Terengganu bersikap liar dengan membaling botol sewaktu bertemu Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

No comments:

Post a Comment