Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kuasa masih pada BAM

Posted: 19 Jan 2013 04:10 AM PST

Kuala Lumpur: Pemergian Misbun Ramdan Misbun (gambar) ke Nusa Mahsuri memberi petanda masa depan badminton kini mula dicorak kelab atau akademi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Adakah mereka mampu terus 'hidup' tanpa naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)? Arena Metro cuba mendapatkan penjelasan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai.

Soalan (S): Apa pandangan anda mengenai penubuhan banyak kelab ketika ini? Adakah ini satu saingan sihat?

Jawapan (J): Kegiatan kelab badminton sudah lama wujud dalam sistem badminton negara ini. BAM terdiri daripada persatuan negeri dan kelab bernaung di bawah negeri. Pada 1950-60 an, mereka memainkan peranan kerana banyak menyertai kejohanan.

Konsepnya masih sama sampai sekarang. Hakikatnya mereka bukan bersaing, tapi adalah 'cucu' BAM, memandangkan persatuan negeri umpama 'anak' kepada persatuan. Kami masih menjaga mereka dan apa yang berlaku amat bagus kerana membantu membangunkan badminton negara.

S: Adakah mereka masih memiliki ruang untuk bertanding seperti pemain kebangsaan lain? Adakah BAM yang mengaturkannya?

J: Semua kelab berdaftar dengan negeri dan jika mahu menyertai pertandingan antarabangsa, mereka perlu memohon kepada negeri untuk mendaftar menerusi BAM. Begitupun jika ada pertandingan yang perlukan kuota, BAM akan buat pemilihan untuk dapatkan pemain terbaik.

S: Justeru, ranking memainkan peranan untuk menyertai pertandingan?

J: Ya.

S:Bagaimana dengan program pendedahan di kelab terbabit?

J: Pemain dari kelab membuat latihan sendiri, mereka bayar kos untuk menyertai pertandingan.

S: Boleh jelaskan, kejohanan manakah yang boleh disertai pemain kelab.

J: Pertandingan yang boleh disertai pemain kelab adalah seperti Terbuka Malaysia, Kejohanan Super Series, GP Emas, Siri Antarabangsa seperti yang pernah disertai Hafiz Hashim, Zulfadli Zulkifli, Gan Teik Chai, Ong Soon Hock, Zakry Latif, Fairuzizuan Tazari dan mereka bertanding melalui kelab tetapi jika ingin menyertai pertandingan mereka perlu mendaftar kepada negeri yang kemudian memberi nama kepada BAM.

Begitupun untuk perlawanan seperti Sukan Asia, Olimpik, Piala Thomas dan Piala Dunia, mereka akan melalui proses pemilihan berdasarkan ranking. Ini adalah pertandingan berdasarkan kuota. Bila pertandingan ada kuota, kami akan buat pemilihan menerusi ranking, bila tak ada kuota kita masuk nama dan terpulang kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk memilih pemain berdasarkan ranking dunia, bukan kami pilih.

S: Tiada unsur berat sebelah dalam penyertaan?

J: Tiada double standard, semua terbuka dari dulu hingga kini, sama saja. Itu cuma salah faham orang saja.

S: Bagaimana anda lihat perkembangan pemain dari kelab sejak beberapa tahun lalu?

J: Bagi pemain kelab, kadang kala jika tak cukup wang, sukar untuk mereka berlatih dan menyertai kejohanan tapi ada juga kelab yang kaya, mereka mampu mendapatkan jurulatih baru, latihan komprehensif berikutan tahap kewangan yang baik. Sejauh mana mereka mampu pergi, bergantung kepada kewangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

'Bale tak sehebat Giggs'

Posted: 19 Jan 2013 04:07 AM PST

London: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya pemain sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Ryan Giggs, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan, malam ini.

Bale dianggap pewaris Giggs dalam pasukan Wales dan pemain sayap kiri itu sudah menjaringkan sembilan gol liga musim ini, termasuk aksi solo ketika menewaskan United, 3-2 di Old Trafford, September lalu.


Giggs sudah mengumpul tiga gelaran liga, dua Piala FA dan Piala Liga ketika seusia Bale dan Ferguson menegaskan, Giggs tiada tandingan pada awal penyertaannya di Liga Perdana Inggeris.

"Bale seorang pemain yang bagus. Begitupun apabila melihat Giggs pada usia 23 tahun, tidak ada pemain lebih baik daripadanya" kata Ferguson.


Giggs yang kini berusia 39 tahun tetap mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan Piala FA, Khamis lalu untuk membantu kelabnya menewaskan West Ham United hasil jaringan Wayne Rooney sebaik kembali daripada kecederaan sebelum penaltinya pada babak kedua, tersasar melepasi palang.


United gagal menyempurnakan lima penalti musim ini manakala Rooney, secara peribadi gagal melakukan sepakan itu sebanyak 10 kali sepanjang kariernya.

Robin van Persie dijangka kembali menyertai kesebelasan utama United berdepan Spurs dan keengganan Ferguson menyokong Rooney untuk terus melakukan sepakan penalti mungkin membuka peluang buat pemain Belanda itu.


"Saya belum putuskannya. Kami tidak mahu gagal dalam penalti. Ia peluang yang sering datang tapi saya tidak mahu membincangkannya," kata Ferguson.

Kedua-dua pasukan berjaya mengekalkan rekod kemenangan dalam enam perlawanan terakhir liga, biarpun United tidak pernah kalah di White Hart Lane sejak tewas 1-3 pada Mei 2001.


Sementara itu, Spurs akan memberi peluang sulung kepada pemain tengah, Scott Parker musim ini selepas pemain Brazil, Sandro diketepikan hingga akhir musim akibat kecederaan ligamen lutut.


Ketiadaan Emmanuel Adebayor yang kini menyarung jersi negaranya, Togo pada Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika memaksa pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas bergantung harap kepada Jermain Defoe sebagai penyerang.


Biarpun melihat pasukannya menyerlah di Old Trafford, Villas-Boas percaya United akan tampil berbeza malam ini.


"Prestasi mereka sungguh hebat. Sudah pasti ia perlawanan yang berbeza," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Wenger ambil kesempatan krisis Chelsea

Posted: 19 Jan 2013 04:07 AM PST

LONDON: Arsene Wenger optimis mampu mengeksploitasi hubungan tegang antara Rafael Benitez dan penyokong Chelsea ketika Gunners hadir ke Stamford Bridge, hari ini.

Pengurus Chelsea, Benitez sememangnya kini ikon yang dibenci di Bridge susulan kerjayanya bersama seteru utama, Liverpool dan belum berjaya menambat hati penyokong Chelsea sejak mengambil alih tugas jurulatih daripada Roberto Di Matteo, November lalu.


Hubungan tegang semakin keruh apabila Blues seri 2-2 dengan Southampton sekali gus terus mempamerkan aksi buruk di Stamford Bridge musim ini.

Setakat ini, Chelsea hanya menang satu daripada tujuh perlawanan di laman sendiri. Catatan paling memberangsangkan ialah ketika membelasah Aston Villa, 8-0. Namun, jurulatih dari Sepanyol itu kemudian terpaksa berdepan aib tewas di tangan QPR dan Swansea.


Bagaimanapun, Blues turut melakar enam kemenangan sejak dipimpin Benitez. Ia membuktikan tekanan di laman sendiri memberi kesan buruk pada prestasi skuad.


Lantaran itu, Wenger menganggap ini masa yang tepat untuk ke Bridge.

Arsenal ketinggalan enam mata di belakang Tottenham yang menjadi tuan rumah kepada Manchester United, hari ini dan lapan mata berbanding Chelsea yang menduduki tangga ketiga.


Kemenangan mampu memberi impak besar kepada skuad Wenger menempah tiket ke Liga Juara-Juara.

"Keyakinan penyokong setiap pasukan memainkan peranan besar. Namun, jangan pandang remeh kelemahan Chelsea dan tumpukan pada kekuatan kami.


"Arsenal ke sana untuk melakukan yang terbaik. Itu saja yang mampu dilakukan kerana kami tidak tahu sejauh mana kemampuan lawan," kata Wenger.


Namun, Benitez yakin mampu mengambil hati penyokong Chelsea menerusi kemenangan di laman sendiri.


Beliau menafikan tekanan di Bridge bukanlah penghalang kepada kejayaan pemain tapi hakikatnya menuding jari kepada masalah pertahanan Chelsea pada beberapa perlawanan.


"Senario ini bukan satu masalah buat pemain. Kami profesional dan hanya tumpukan pada perlawanan di padang. Jika menang, pastinya penyokong gembira," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

SSTMI Junior tekad bangkit

Posted: 19 Jan 2013 04:06 AM PST

Kuala Lumpur: Tewas tiga perlawanan berturut-turut dan menduduki tangga tercorot bukanlah satu permulaan baik bagi Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI Junior) pada saingan Divisyen Satu MHC-MILO-MSN Liga Hoki Remaja Malaysia.

Berbanding 'abang' mereka, SSTMI Thunderbolt yang gah memimpin saingan liga dengan mengumpul maksimum sembilan mata, SSTMI Junior perlu bangkit pada perlawanan keempat bertemu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), hari ini.


Peluang meraih tiga mata tetap cerah meskipun lawan dilabel antara pasukan pilihan namun selepas empat perlawanan, SSBJ juga dilihat tidak begitu hebat.

Pengurus pasukan, Amir Hamzah berkata, pengurusan tetap tidak akan berputus asa dan mengharap barisan muda mereka dapat mempamerkan aksi terbaik hari ini.


"Saya yakin setiap pemain pasti mahu memberikan aksi terbaik. Mereka perlu memanfaatkan peluang yang ada.


"Apapun, walaupun belum meraih sebarang kemenangan, ia adalah pengalaman berharga untuk pemain.

"Kami arif kekuatan SSBJ tapi kami juga tidak akan memberi laluan mudah kepada mereka," katanya.


Tiga perlawanan pertama dilalui SSTMI Junior cukup sukar apabila dibelasah SSTMI Thunderbolt, 0-6 sebelum tewas tipis kepada MBPJ 2-3 dan tewas 2-6 di tangan UniKL Young Guns.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Minat ubah Zulfahmi

Posted: 19 Jan 2013 04:06 AM PST

Kuala Lumpur: Kejayaan pelumba sensasi Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin muncul naib juara perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia pada 21 Oktober 2012 sebelum melakar satu lagi kejayaan membanggakan di GP Valencia, 11 November lalu, meletakkan nama Malaysia dalam sukan permotoran dunia.

Lantaran itu, pelumba muda berusia 21 tahun ini semakin diminati hingga perkembangannya dinantikan peminat sukan permotoran negara malah dijadikan idola oleh peminat cilik.


Bagi Harris Murshidi Amran, 10 dan adiknya Daniel Naim, 8, peluang bersantai bersama Zulfahmi menjadi pengalaman manis yang sukar dilupakan.

Keletah dua peminat cilik ini dengan soalan menarik, mesra dijawab Zulfahmi malah mereka turut 'berkelah' bersama, diajar cara menunggang motosikal serta bermain bola sepak.


Zulfahmi juga tidak segan menceritakan pengalaman hidup yang datang dari keluarga susah hingga kini bergelar bintang.


Soalan (S): Bila abang mula menunggang motosikal? Jawapan (J): Seawal usia tujuh tahun sudah mula belajar serta menunggang motosikal di kampung, Banting. Abang memang meminati motosikal sejak dari kecil serta sering menonton perlumbaan di televisyen.

S: Bila perlumbaan pertama abang? J: Yang pertama pada 2009 di Sepang. Abang mula membabitkan diri berlumba seawal usia 13 tahun. Awalnya, mula mencuba nasib pemilihan ke Cub Prix menerusi pasukan Aprilla Junior GP dan terpilih.


Bagaimanapun, abang hanya mampu menyertai dua perlumbaan saja kerana setiap perlumbaan membabitkan bayaran RM1,000. Tidak mahal sebenarnya tapi waktu itu kehidupan agak sukar. Kemudian terpaksa mengambil keputusan mendadak untuk berhenti saja dan waktu itu berusia 16 tahun.

S: Abang mengambil keputusan berhenti tetapi bagaimana pula boleh kembali dan kini berada di puncak? J: Pada usia 17 tahun abang tiba-tiba mendapat tawaran dari Modenas untuk berlumba di Cub Prix dan terus menerimanya dengan besar hati. Kemudian pada 2009 ada pemilihan Wild Card ke Moto GP Sepang dan syukur abang terpilih daripada 17 pelumba hebat yang bertanding. S: Hidup abang susah dulu, pernah bekerja untuk membantu menyara keluarga? J: Ya, hidup abang dulu memang susah. Mula kerja menjual surat khabar tepi jalan dan menerima bayaran RM5 setiap 2 jam setiap hari seawal usia 13 tahun. Kemudian abang pernah kerja di kedai 'mengecat' kereta, cuci kereta dan makanan segera hingga usia 17 tahun.


S: Bagaimana abang bahagikan masa bekerja dan bersekolah pada waktu itu? J: Jika sekolah pagi, abang akan bekerja di sebelah petang dan begitulah sebaliknya. Semuanya untuk membantu keluarga serta mencari pengalaman.


S: Pernah melancong? J: Kali pertama melancong bersama keluarga ketika usia 10 tahun ke Cameron Highlands. Selepas itu, amat beruntung kerana berpeluang menjejakkan kaki ke luar negara disebabkan perlumbaan.


S: Dalam banyak negara, mana yang abang tidak pernah pergi? J: Ireland S: Selain sukan motosikal, ada sukan lain yang diminati? J: Sukan berbasikal. Gemar menunggang basikal bukit di waktu lapang malah membeli basikal itu di Sepanyol.


S: Jika tidak berlumba lagi, apa rancangan masa depan abang? J: Menceburi bidang perniagaan dengan membuka kedai menjual motosikal atau bengkel. Mungkin mempunyai pasukan sendiri.


S: Di sekolah dulu abang meminati subjek apa dan pernah mewakili sekolah dalam sukan apa? J: Suka matematik dan sering dapat A dalam subjek itu. Mewakili sekolah dalam sukan ping pong.


S: Ada haiwan peliharaan? J: Ada. Sayangkan kucing dan ada enam ekor setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Mahu kawal aliran trafik

Posted: 19 Jan 2013 04:04 AM PST

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara, Anuar Manan ingin menjadi seorang anggota polis trafik.

Soalan: Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...


Jawapan: Anggota polis trafik.

S: Mengapa? J: Itu cita-cita saya sejak kecil. Bagi saya polis trafik memiliki kredibiliti tersendiri dan pengguna jalan raya hormat serta takut pada 'kuasa' pada pakaian seragam mereka. Lagipun, saya memang minat motosikal berkuasa tinggi dan anggota polis trafik berpeluang menunggang motosikal itu setiap hari.


S: Rasanya tidak salah jika teruskan cita-cita itu dan atlet, mengapa tidak teruskan? J: Memang boleh bergelar atlet dan pada masa sama menjawat tugas anggota polis trafik tapi saya perlu fokus untuk berjaya. Lantaran itu, saya pilih menjadi atlet berbasikal sepenuh masa.


S: Ada rasa terkilan? J: Tidak, sebab sudah pilih kerjaya atlet demi negara tapi tetap kagumi tugas anggota polis trafik hingga ke hari ini. Jika saya tonton televisyen dan lihat gejala mat rempit, perasaan geram itu ada kerana mereka tidak hormati undang-undang jalan raya. Lagipun tindakan mereka boleh membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain.

S: Apa kejohanan anda sertai selepas ini? J: Buat masa ini saya mempersiapkan diri menghadapi Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan depan. Saya akan ke Melbourne, Australia hari ini untuk latihan intensif selama empat minggu.


S: Dalam tempoh lima tahun, siapakah diri anda? J: Saya ingin jadi atlet berbasikal profesional yang lebih dikenali dalam negeri dan antarabangsa. Mungkin bergelar jurulatih atau pengurus pasukan dan dapat menyumbang pengalaman serta ilmu kepada muka baru. S: Selain berbasikal, mungkin anda meminati aktiviti lain? J: Saya suka memancing, cuma sekarang jarang berkesempatan ke laut atau sungai kerana sibuk dengan latihan serta kejohanan.

S: Mungkin ada idola tersendiri? J: Saya amat meminati jaguh dunia dari Amerika Syarikat, Lance Armstrong kerana kecekalan serta kehebatannya. Namun, saya juga mengagumi pelakon Rosyam Nor yang begitu berbakat.


S: Jika berpeluang jumpa Rosyam bagaimana? J: Pastinya terlalu gembira! Apatah lagi jika dapat lepak dan minum kopi bersamanya! Itu umpama impian jadi kenyataan tetapi siapalah saya. Saya sekadar raja berbasikal dan Rosyam pula pelakon terkenal.


S: Sebagai orang bujang mungkin ada ciri-ciri wanita idaman? J: Saya suka gadis bertudung dan bersuara lembut. Paling penting, memahami kerjaya saya sebagai atlet yang sibuk dengan jadual latihan serta kejohanan.


S: Mungkin sudah ada calon wanita idaman? J: Ada. Dia memiliki semua ciri-ciri yang saya sebutkan cuma menunggu masa sesuai untuk menjadikannya suri hidup.


S: Selain berbasikal mungkin anda ada kelebihan lain? J: Saya boleh masak, terutama makanan kegemaran seperti nasi goreng, ikan kembung masak singgang, budu dan sambal belacan. Bukan mendabik dada, tapi ramai rakan memuji nasi goreng hasil air tangan saya.


S: Jika orang tidak kenal anda pastinya mereka akan ingat...


J: Seorang yang sombong kerana riak wajah saya serius. Oleh itu, siapa saja yang mengenali saya jangan segan tegur kerana saya sebenarnya amat peramah dan mudah berkawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Pemain tak dipedulikan

Posted: 19 Jan 2013 04:03 AM PST

Kuala Lumpur: LAMBAKAN pemain badminton bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mungkin menyebabkan segelintir pemain 'bukan bintang' kurang diberi perhatian dan bertindak meninggalkan badan induk itu.

Dengan cara mewakili kelab, mereka lebih berpeluang mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.


Sekurang-kurangnya ia satu 'teori' yang boleh dirumus menurut pandangan Penasihat Nusa Mahsuri, Jalani Sidek.

Sebagai bapa saudara, sudah tentunya perhatiannya tidak terlepas daripada membincangkan tindakan Misbun Ramdan Misbun yang meninggalkan BAM untuk kembali ke pangkuan Nusa Mahsuri berlatih di bawah kendalian bapanya, Datuk Misbun Sidek.


Menurutnya, Ramdan diserapkan ke BAM bagi membolehkan dia menjadi rakan sepelatih Datuk Lee Chong Wei sekali gus menaikkan tahap permainannya sebagai bakat baru yang perlu dipupuk untuk masa depan.


Jalani berpendapat Ramdan mempunyai asas yang bagus dan langkah berikutnya adalah menyertai kejohanan yang mencukupi bagi membolehkan dia meningkatkan ranking.

"Tanpa ruang dan peluang membuatkan ada pemain BAM tidak mendapat perhatian dan akhirnya digugurkan atau bertindak keluar," katanya.


"Vountus Indra Mawan, misalnya adalah juara Sabah tapi pemain semuda itu tidak diberi perhatian dan tiada tempat untuk dituju. Mujur KLRC menyelamatkan kariernya dan tidak hairanlah mengapa dia berkata demikian sebaik menewaskan beregu BAM baru-baru ini.

"Kita tidak seharusnya mengetepikan mereka untuk menyertai kejohanan kerana satu masa dulu BAM umpama pejabat pos yang menguruskan pertandingan pemain.


"Begitupun ketika ini, BAM mempunyai pemain sendiri dan bertindak melindungi pemain mereka." Jika apa yang diperkatakan Vountus diambil kira, Jalani berkata, perkara pokok adalah pengukuhan struktur kejurulatihan yang sepatutnya tahu mengenai badminton dan berpandangan jauh.


Justeru menurutnya BAM harus memberi peluang kepada pemain muda menyertai lebih banyak kejohanan demi melahirkan pengganti Chong Wei yang kini terlalu menjadi tumpuan, hinggakan membayangi pemain muda yang sepatutnya dibimbing untuk mengikut jejak pemain itu. "Chong Wei Feng dan Liew Darren misalnya, belum mencapai tahap sepatutnya meskipun sudah lama di dalam BAM," kata pemenang pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992 bersama abangnya, Razif.


"Bagaimana untuk melahirkan jaguh sejati jika kita mempunyai limpahan pemain yang tidak berpeluang. Jika Chong Wei terus menjadi tumpuan, bila masa pemain lain boleh bertanding?" Menurutnya, sudah tiba masanya BAM melepaskan Chong Wei untuk memberi tumpuan kepada pemain baru memandangkan pemain itu sudah tahu bagaimana menguruskan kerjayanya.


"Yang harus ditumpukan sekarang adalah bagaimana caranya menjadi jaguh Olimpik seterusnya. Ia sepatutnya bermula sejak muda lagi. Saya menang Seluruh England pada usia 18 tahun, kita tidak boleh menunggu hingga 24 atau 25 tahun baru hendak menjadi juara." Maka atas landasan itulah, Jalani memandang positif apa yang dilakukan Ramdan, malah yakin anak muda itu punya rancangan tersendiri untuk menjadi jaguh badminton negara satu hari nanti. Apatah lagi dengan keputusan untuk berlatih di bawah Misbun yang terbukti berjaya melahirkan ramai pemain berwibawa.


"Dia tahu Bun (Misbun) tidak akan beri laluan mudah kepadanya. Bun seorang yang tegas. Dia perlu bersedia dan sudah tentulah dia tidak mahu bapanya dikeji kerana kegagalannya nanti. Dia berani dan sikap itulah yang penting untuk menjadi juara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

'Tolong percaya pada kelab'

Posted: 19 Jan 2013 04:02 AM PST

Kuala Lumpur: Perkembangan badminton menerusi penubuhan kelab sewajarnya dilihat dari segi positif dan jika kena caranya, ia mampu membekalkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa akan datang.

Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar tidak melihat penubuhan pelbagai kelab badminton di seluruh negara sebagai satu isu besar malah mahu badan induk badminton negara itu turut menyokong perjuangan mereka.


"Sudah tiba masanya BAM memberi tumpuan terhadap usaha menguruskan lebih banyak pertandingan, melahirkan lebih ramai jurulatih serta membantu kelab seperti ini," katanya.

Apa yang dimaksudkan beliau adalah menjadikan kelab badminton sebagai medan melahirkan ramai atlet berpotensi untuk masa depan, tanpa terlalu bergantung kepada pemain sedia ada dinaung BAM.


Malah menurut beliau, tidak salah jika pemain mahu meneruskan karier di kelab, mengambil contoh Misbun Ramdan Misbun yang mahu dilatih bapanya, Datuk Misbun Sidek, jika itu langkah terbaik untuk memajukan karier mereka.


"Mereka perlu beri galakan kepada kelab di peringkat negeri dan andai BAM perlukan atlet untuk wakili negara, pemilihan boleh dilakukan dan kemudian melaksanakan latihan pusat," katanya.

Apa yang membuat beliau kagum adalah kesungguhan pemilik kelab, ada di antaranya bekas atlet untuk membimbing bakat baru yang mungkin selama ini tidak mendapat perhatian badan induk itu.


"Ada kelab memiliki hingga 20 gelanggang, sedangkan BAM masih tidak mempunyai pusat latihan sendiri. Mungkin sudah tiba masanya memberi kepercayaan kepada kelab untuk melahirkan pemain masa depan tapi perlu mengikut standard ditetapkan BAM." Pada masa sama, beliau juga mengharapkan lebih ramai jurulatih tempatan dilahirkan.

"Sepatutnya, sebaik kita menang Piala Thomas, program melahirkan lebih ramai jurulatih patut ditumpukan. Kita memang mempunyai jurulatih tempatan tapi jika dapat melahirkan 10 jurulatih setahun, bayangkan jumlahnya dalam tempoh 20 tahun.


"Saya pernah merancang untuk menubuhkan akademi yang bertujuan melahirkan jurulatih tapi ia dimansuhkan pentadbiran terdahulu.


"Semua ini bagi saya memerlukan perancangan dan tanpa perancangan, masalah tidak dapat diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

No comments:

Post a Comment