Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Contohi semangat Chong Wei

Posted: 21 Jan 2013 08:09 AM PST

Kuala Lumpur: Terbuka Malaysia baru dua hari berlalu namun skrip yang tertulis pada 2013 tetap sama seperti sejak dua tahun lalu, apabila hanya Datuk Lee Chong Wei (gambar) menjadi pemain tunggal negara yang terus gah di bumi sendiri.

Kelmarin, bukan sekadar merakam sejarah buat Chong Wei meraih gelaran kesembilan, melepasi rekod gelaran terbanyak milik Wong Peng Soon, lapan kejuaraan tapi lebih penting, kemenangannya itu setidak-tidaknya mengekalkan reputasi Malaysia sebagai penganjur bermaruah.


Pertama kali Chong Wei meraih gelaran Terbuka Malaysia pada 2004, ketika itu Malaysia meraih dua kejuaraan, termasuk beregu lelaki yang dimenangi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dengan kedua-dua pemain itu kini bergelar jurulatih.

Begitu juga dengan juara perseorangan wanita, Zhang Ning, beregu wanita Yang Wei-Zhang Jiewen dan beregu campuran Zhang Jun- Gao Ling (China).


Chong Wei sekali lagi menutup kegagalan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghasilkan pemain berkualiti yang boleh digolongkan barisan terbaik dunia, sebagaimana yang sering ditutur Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh: "Kami tidak mahu hanya melahirkan pemain bertaraf dunia tapi menghasilkan pemain yang boleh menewaskan pemain terbaik dunia".


Kejayaan dicapai Chong Wei itu bukan mudah kerana bakatnya menyinar ketika nama besar seperti Chen Hong (China), Peter Gade Christensen (Denmark) dan Taufik Hidayat (Indonesia) berada di puncak sekitar 2004-2006.

Malah ketika namanya meniti ke puncak, Lin Dan sering membayanginya dengan merangkul setiap gelaran kejohanan utama, namun pemain China itu gagal memecah monopoli anak kelahiran Pulau Pinang ini.


Berdasarkan rekod, Chong Wei menewaskan pemain berbeza di setiap final sejak 2008.

Dia menewaskan pemain Korea Lee Hyun Il (2008), Park Sung Hwan (2009), Boonsak Ponsana (2010), Chen Long (2011), Kenichi Tago (2012) dan Sony Dwi Kuncoro (2013).


Justeru, sudah tiba masanya bagi pemain lain dalam pasukan kebangsaan menjadikan keazaman Chong Wei itu sebagai contoh terbaik untuk menempa kejayaan.


Merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia pada usia memasuki era 31 tahun bukan mudah, namun dia masih menetapkan impian untuk melengkapkan kejuaraan ke-10 tahun depan.


Jika dilihat berdasarkan undian Terbuka Malaysia, tiga pemain negara termasuk Chong Wei diletakkan selaku pilihan utama, satu petanda kita memiliki tiga pemain yang memiliki ranking terbaik dunia dalam kejohanan Siri Super kedua selepas Korea bagi 2013.


Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pilihan utama dalam acara beregu lelaki dan campuran, namun keazaman mereka tidak sama seperti Chong Wei yang menetapkan mahu mengekalkan gelaran sekali gus muncul juara.


Sebaliknya Kien Keat-Boon Heong dan Peng Soon-Liu Ying memilih untuk berkata: "Tengoklah, kami akan melepasi satu-satu perlawanan, kami tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri untuk berjaya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Real tenang seketika

Posted: 21 Jan 2013 07:57 AM PST

Madrid: Real Madrid melupakan persembahan suram pada babak pertama musim ini apabila membelasah Valencia dalam 45 minit pertama untuk menang 5-0 dan mengendurkan tekanan buat jurulatih, Jose Mourinho.

Cristiano Ronaldo dan Angel Di Maria kedua-duanya menyumbang dua gol dan Gonzalo Higuain turut mencetak gol ketika mereka mendominasi babak pertama.


Namun masih ada peluang tipis buat mereka mempertahankan kejuaraan ketika mereka ketinggalan 15 mata berbanding Barcelona selepas kelab Catalan itu kecundang 2-3 di tangan Real Sociedad, kelmarin.

Mereka juga tujuh mata di belakang jiran setempat, Atletico Madrid yang menundukkan Levante 2-0, awal pagi semalam.


"Selagi ada peluang meraih mata, kami tidak boleh putus asa tapi sasaran bukan sekadar mahu menjuarai liga tapi memperbaiki persembahan," kata penolong jurulatih Real Madrid, Aitor Karanka.


"Kami cuba mempamerkan aksi lebih baik dan kini berada di landasan tepat. Pertemuan menentang Valencia bukti kami boleh melakukannya." Real tiba di Mestalla selepas mengalahkan Valencia, 2-0 pada suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol pertengahan minggu lalu.

Atletico menyamai rentetan rekod kemenangan di gelanggang sendiri dalam La Liga pada musim penuh bermakna buat kelab itu menerusi kemenangan ke atas Levante.


Gol Adrian Lopez dan Jorge Resurrecion 'Koke' menyaksikan Atletico menang 12 perlawanan liga berturut-turut di Calderon dan menyamai rekod kelab antara musim 1939-40 dan 1940-41.

Namun kemenangan itu dibayangi kecederaan paha dialami penjaring 18 gol, Radamel Falcao yang mungkin memaksa penyerang Colombia itu diketepikan selama tiga minggu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Sneijder sertai Galatasaray

Posted: 21 Jan 2013 07:56 AM PST

Istanbul: Bintang tengah Belanda, Wesley Sneijder sah menyertai kelab Turki, Galatasaray selepas gagal mencapai persetujuan dengan Inter Milan mengenai kontrak permainan.

Sneijder bersetuju dengan perjanjian itu dalam satu temubual siaran langsung di laman web Galatasaray (www.galatasaray.org) dan berharap melakukan kemunculan sulung pada pertembungan jiran setempat menentang Besiktas minggu depan.


"Pasti menarik dan suasananya mengagumkan, saya tidak sabar ke sana dan bermain perlawanan pertama," kata pemain berusia 28 tahun itu.

"Saya akan membuatkan peminat Galatasaray berasa amat bangga dan gembira. Saya tidak sabar bertemu mereka." Sneijder muncul antara pemain terbaik dunia pada musim 2009-10 dan walaupun gagal mengekalkan kedudukan itu, keputusannya untuk berhijrah keluar dari lima liga terbaik Eropah pasti mengejutkan pengkritiknya.


Seorang pakar sepakan percuma, Sneijder menyertai Inter pada 2009 selepas dua musim bersama Real Madrid dan membantu mereka memenangi Serie A, Liga Juara-Juara dan Piala Itali dalam musim pertamanya bersama skuad kendalian Jose Mourinho.


Dia turut membantu Belanda layak ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Napoli, Lazio kongsi mata

Posted: 21 Jan 2013 07:55 AM PST

Milan: Pertahanan Fiorentina, Facundo Roncaglia, dibantu kesilapan penjaga gol Napoli, Morgan De Sanctis, menjaringkan gol dari dalam kawasannya sendiri ketika seri 1-1 pada perlawanan Serie A, kelmarin.

Penyerang Uruguay, Edinson Cavani menyamakan kedudukan buat Napoli dengan gol ke-100 Serie A dan ke-17 musim ini untuk membolehkan pasukannya berkongsi mata dengan pasukan tangga kedua, Lazio.


Napoli dan Lazio kedua-duanya meraih 43 mata daripada 21 perlawanan, lima mata di belakang Juventus yang membenam Udinese, 4-0.

Giampaolo Pazzini menjaringkan dua gol sekali gus membantu AC Milan menang 2-1 ke atas Bologna manakala kelab tercorot, Siena menamatkan rentetan enam kekalahan berturut-turut dengan mengalahkan Sampdoria, 1-0.


Pasukan tangga keempat, Inter seri 1-1 dengan AS Roma apabila penyerang Argentina, Rodrigo Palacio menyumbat gol pada masa kecederaan babak pertama untuk memadamkan penalti kontroversi disempurnakan Francesco Totti buat tuan rumah, Keputusan itu bermakna Milan melonjak mengatasi Roma di tangga keenam dengan 34 mata, dua mata di belakang Fiorentina dan lima berbanding Inter.


Siena kekal di tangga tercorot dengan 14 mata di sebalik kemenangan mereka namun kini hanya dua mata di belakang Palermo dan tiga berbanding Genoa selepas tandukan penyerang Albania, Erjon Bogdani pada minit ke-71 memastikan tiga mata ke atas Sampdoria.

Genoa kecundang 0-2 di laman sendiri kepada Catania dengan pemain Argentina, Gonzalo Bergessio menjaringkan gol selepas empat minit dan rakan senegaranya, Pablo Barrientos menambah satu lagi pada minit ke-86. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Hayunan Sareha tepat

Posted: 21 Jan 2013 07:55 AM PST

Kuantan: Faktor usia bukan penghalang Sareha Ahmad, 54, untuk beraksi cemerlang sebelum dinobat juara Kejohanan Boling Premium Lanes 2012 di Kuantan, kelmarin.

Selaku juara, Sareha membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM300 bagi kategori wanita manakala naib juara dimenangi Nik Normaizura Nik Abdullah yang juga juara bertahan, diikuti Sarimah Hashim, ketiga.


Sareha berkata, kemenangan itu amat bermakna bagi dirinya dan mengaku berasa gementara sebelum pertandingan bermula kerana terpaksa bersaing dengan lawan lebih berpengalaman.

Katanya, dia puas hati dengan pencapaiannya selain tidak menyangka berjaya merampas piala pusingan.


"Kemenangan ini akan dikongsi bersama keluarga termasuk bakal cucu kedua yang akan lahir beberapa bulan lagi.


"Saya mahu terus bermain bowling hingga 2016 sebelum bersara selain terus meningkatkan latihan termasuk membaiki kelemahan," katanya.

Juara kategori lelaki milik Helmy Mohamad yang meraih RM500 diikuti Abd Rahim Salleh, kedua (RM300) dan Muhammad Faizrol, ketiga (RM200).


Helmy berkata, dia terpaksa berusaha keras selepas mendapati beberapa pemain handalan termasuk bekas pemain kebangsaan turut serta.

"Saya bersyukur kerana usaha dan kerja keras sepanjang kejohanan membuahkan hasil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Bola keranjang erat perpaduan bangsa

Posted: 21 Jan 2013 07:55 AM PST

Kuala Lumpur: MISI perpaduan Kelab Sukan SportsUnite tidak pernah terhenti dan yang terbaru, mereka menganjurkan Karnival Bola Keranjang Perpaduan 3 lawan 3 Lelaki Bawah 14,16 dan 18 tahun dengan tema U R MY BRO berlangsung di Kompleks Sukan Tan Sri Tee Hock Seng, Cheras, pada 3 Februari.

Terbuka kepada 20 pasukan dan penyertaan mengikut prinsip 'siapa cepat dia dapat', program itu turut mendapat kerjasama MVP Marketing, Milo, Revie dan Molten sebagai bola rasmi kejohanan. Yuran penyertaan RM15 sepasukan dan setiap pemain akan menerima baju T percuma.


Empat pasukan terbaik setiap kategori akan menerima pingat dan barangan penaja dengan pasukan perlu disertai pemain sekurang kurangnya dari dua kaum berbeza setiap kali turun ke gelanggang.

Maklumat kejohanan, hubungi Wong Wing Wai di talian 03 90757050 atau 012 3585911.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Amaran Samalaju Hornbill

Posted: 21 Jan 2013 07:54 AM PST

Bintulu: Samalaju Hornbill melaungkan keyakinan untuk menjadi pesaing hebat Liga Naim Bintulu dan Liga Juara-Juara Sarawak tahun ini.

Persediaan pasukan dilakukan dengan baik apabila mereka mencipta kemenangan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, baru-baru ini termasuk menundukkan dua pasukan elit dari Mukah, SAZA United dan pilihan Bahagian Mukah.


Pengurus pasukan, Dollah anak Subat berkata, sebagai juara Piala Datuk Seri Tiong Edisi Kedua tahun lalu, Samalaju Hornbill kini sedia beraksi pada peringkat lebih tinggi kancah bola sepak Sarawak.

Katanya, keyakinan itu disandarkan pada kemampuan anak buahnya mencipta kemenangan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang bertujuan mengasah ketajaman dan menimba pengalaman pada pertemuan dengan pasukan terkuat bahagian lain.


"Tujuan kami mengadakan perlawanan persahabatan di Mukah bagi memantapkan pasukan sebagai persediaan menghadapi Liga Naim Bintulu dan Liga Juara-Juara Sarawak.


"Kami juga mahu menguji pemain muda dan berpengalaman di Bintulu," katanya.

Dollah berkata, Samalaju Hornbill memiliki 13 pemain bawah 21 tahun dan sembilan senior yang membabitkan bekas pemain negeri seperti Irwandy Jampaka, Joseph Sia, Mohd Sameon Mat Zaid, Doreen Untong dan Roslan Dris.


"Kami juga diperkuat kehadiran bekas pemain Persela FC, Mohd Khusairi serta bekas pemain Piala Presiden Kedah, Mohd Nabil Ahmad Hifni."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Amri ingin rai hari 'sempurna'

Posted: 21 Jan 2013 07:52 AM PST

Kuala Lumpur: Ada sesuatu yang pasti cukup istimewa bagi penyerang Selangor, Amri Yahyah yang setakat ini cemerlang menjadi peledak utama Red Giants andai sekali lagi dapat menjaringkan gol apabila bertemu Perak di Stadium TLDM Lumut malam ini.

Ini kerana, dia baru saja meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-32 semalam sekali gus membakar semangatnya untuk terus menyumbang gol buat Selangor dan meneruskan rentak kemenangan juara Piala Malaysia 32 kali itu.


Setakat ini, persembahan Amri nyata tidak mengecewakan pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim apabila berjaya menyumbat satu gol ketika Selangor menewaskan Terengganu sebelum terus cemerlang menyumbang dua gol ketika menamatkan rekod tanpa kalah Pahang, Sabtu lalu.

"Mungkin ia (sentuhan jaringan) rezeki anak kedua saya, Airish Regina. Sudah pasti saya akan cuba untuk terus menjaringkan gol untuk pasukan pada perlawanan bertemu Perak nanti," katanya yang baru menerima cahaya mata kedua itu pada 19 Disember tahun lalu.


Bagaimanapun, Amri menegaskan dia pasti tidak dapat menghadirkan gol untuk Selangor seandainya rakan sepasukannya yang lain tidak memberikan kerjasama.


Amri juga mengakui gandingannya bersama penyerang import, Francis Forkey Doe masih belum benar-benar serasi selepas mengharungi empat perlawanan.

"Kami baru melalui empat perlawanan, jadi persefahaman itu sudah tentu belum lagi baik. Banyak yang perlu diperbaiki dan saya sendiri perlukan sedikit masa lagi untuk benar-benar memahami corak permainannya," katanya.


"Apa pun kami yakin mampu meneruskan rentak kemenangan ini supaya memastikan Selangor terus bersaing di kelompok teratas liga."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Ujian getir Seladang

Posted: 21 Jan 2013 07:51 AM PST

Ipoh: Jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap pertemuan dengan Selangor malam ini sebagai ujian getir buat anak buahnya kerana berdepan pasukan sedang membara semangatnya.

"Jika ada pasukan yang perlu dihormati dalam Liga Super 2013, Selangor antara calon yang berada dalam senarai saya.


"Mereka mempunyai pilihan pemain yang baik daripada gabungan pemain kebangsaan skuad Harimau Muda," katanya.

Malah Azraai juga menghormati kemampuan awang import gergasi merah itu, Francis Forkey Doe walaupun setakat ini belum menyumbang sebarang gol buat Selangor.


Justeru, Azraai mengingatkan pemain Seladang supaya berhati-hati melayani pelawat yang mempunyai kekuatan seimbang di setiap bahagian itu.


"Kami perlu awasi serta tidak membenarkan lawan menjaringkan gol di awal permainan yang akan menjejas semangat pasukan. Ketika ini Selangor berada di puncak selepas aksi memberangsangkan," katanya.

Namun pada masa sama, jurulatih itu berkata, Perak juga tidak akan mensia-siakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri dan anak buahnya bertekad menyekat anak buah Irfan Bakti Abu Salim.


Azraai yakin berkat kejayaan ke atas Negeri Sembilan, Sabtu lalu semangat pasukan Yob juga berkobar-kobar untuk menghadapi pertemuan yang memang dinantikan Seladang.

Begitupun katanya sedikit rombakan terpaksa dilakukan berikutan penggantungan Mohd Hisyamuddin Sha'ari untuk kali kedua selepas mengutip dua kad kuning di Paroi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

'Saya sokong TMJ, FAM'

Posted: 21 Jan 2013 07:50 AM PST

Kangar: "Saya sokong tindakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang bukan saja berani, malah menunjukkan keprihatinan terhadap pemain.

"Malah saya juga menyokong FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang membenarkan enam laras senapang dibawa masuk ke stadium (Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan), minggu lalu," kata Datuk Seri Shahidan Kassim, semalam.


Shahidan berkata, bukan itu saja, sepatutnya Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sepatutnya membawa 600 laras senapang berikutan bilangan penonton yang hadir ke stadium itu.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis berkata, jumlah senjata dibawa itu sebenarnya kecil berbanding kehadiran penonton pada perlawanan itu.


"Saya sokong tindakan TMJ kerana beliau berani berbuat demikian, demi pemain dan penyokongnya, malah ia juga dibenarkan FAM.


"Harapan saya, FAM tidak mengambil tindakan ke atas kenyataan saya ini kerana menyokong tindakan yang mereka lakukan," katanya. Menurutnya, beliau juga berharap Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tidak risau dengan apa berlaku kerana ia hanya enam pucuk senapang yang dibawa ketika perlawanan itu.

"Apa yang kita akan lakukan jika pemain dibaling botol oleh penyokong lawan? Pasti kita marah dan TMJ hanya melakukan apa yang patut, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Johor.


"Penonton yang hadir juga melebihi 30 ribu, KAFA tidak perlu risau kerana ia hanya enam laras senapang," katanya mengenai tindakan PBNJ membawa tentera lengkap bersenjata daripada Rejimen Ke-21 Gerup Gerak Khas (GGK) dari Kem Iskandar Mersing, Johor ke perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

No comments:

Post a Comment