Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kereta, bayi dikebas pencuri

Posted:

Seorang bapa hanya mampu menjerit apabila pencuri melarikan keretanya bersama bayi baru berusia tujuh minggu, semalam.

Tom Moulsdale, 24, baru saja keluar dari kereta berkenaan untuk menghantar barang di rumah rakannya apabila seorang pencuri datang dan melarikan kenderaan berkenaan.


Sebaik saja pencuri terbabit memecut kereta Subaru Impreza itu, Moulsdale berlari dan menjerit sekuat hati kerana anaknya ada di dalam kenderaan itu. Kata Moulsdale, dia sempat membuka pintu penumpang kereta itu dan cuba menyelamatkan anaknya, Leo, tetapi penjenayah terbabit tidak mengendahkannya.

"Dia memecut kereta itu dan saya terseret seketika," katanya. Sebaik saja menerima aduan mengenai kecurian itu, polis melancarkan gerakan mengesan Leo serta kereta Moulsdale.


Kira-kira 15 minit kemudian, polis menemui kereta Moulsdale ditinggalkan di luar sebuah pub lima kilometer dari tempat kejadian.


Jurucakap polis berkata, mereka dihubungi seseorang yang memaklumkan mengenai kereta dan seorang bayi ditinggalkan berhampiran sebuah pub. "Leo diserahkan kepada Moulsdale dan pasangannya, Louise Waine, tidak lama kemudian," katanya. Sementara itu, Moulsdale berkata, kejadian itu pengalaman paling menakutkan pernah berlaku dalam hidupnya.

Louise, 24, berkata, dia tidak boleh bernafas dengan baik sebaik saja tunangnya, Moulsdale, memberitahu mengenai insiden itu. "Saya cuma mahukan Leo semula dan membayangkan bagaimana jika kami tidak lagi dapat melihatnya," katanya. Sejurus selepas diberitahu polis bahawa kereta dan Leo ditemui, Louise berkata, dia amat lega. "Saya juga bersyukur kerana sepanjang kejadian itu, Leo tidur dan tidak dicederakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Kereta, suami isteri terjunam ke sungai

Posted:

London: Seorang lelaki terbunuh, semalam ketika isterinya bertungkus-lumus menyelamatkan keadaan apabila kereta kedua-dua mereka terbabas dan terjunam dalam sungai berais, lapor media semalam.

David dan Ruth Cox memandu kereta masing-masing untuk menghantar anak mereka ke dua sekolah berbeza apabila keadaan jalan yang licin menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal.


Saksi berkata, kedua-dua kereta itu terjunam hanya berselang beberapa minit. Ruth, 39, dan dua anaknya, Ioan, 9, serta Tess, 11, berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tebing, tetapi Cox tidak dapat berbuat apa-apa kerana pengsan di tempat memandu. Menurut saksi, Ioan berlari kira-kira satu setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.

"Orang ramai dan Ruth cuba menarik Cox keluar tetapi mereka hanya dapat membawanya ke tebing 40 minit kemudian," katanya. Saksi berkata, Cox, 42, diberikan bantuan pernafasan tetapi ia gagal menyelamatkan nyawa lelaki terbabit.


"Saya tak dapat bayangkan apa perasaan Ruth ketika ini, tetapi dia melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan suaminya," katanya. Sementara itu, beberapa pihak berkata, masalah talian telefon bimbit di kawasan itu menyebabkan pasukan penyelamat hanya tiba 30 minit selepas insiden berlaku.


Saksi berkata, mereka dapat melihat kedua-dua kereta keluarga itu - Toyota Aygo dan Toyota Rav4 - terbalik sepenuhnya dalam sungai berkenaan hampir satu kilometer dari rumah mereka di Blackwell Mill, Buxton. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Bakar janin dekat parkir

Posted:

Satu janin manusia terbakar ditemui dekat parkir kosong di daerah Samut Prakan, semalam.

Polis berkata, janin berlumuran darah itu mempunyai tali pusat yang masih terlekat.


Menurut pakar forensik, janin lelaki berusia lima hingga enam bulan itu belum rentung sepenuhnya.

Polis mengesyaki ibu janin itu menggugurkan kandungan sebelum membakarnya. Janin itu dibawa ke Institut Forensik dan Perubatan untuk siasatan lanjut.


Penduduk, Thongsuk Vejabhumi yang tinggal di kondominium berhampiran dengan tempat janin ditemui berkata, dia melihat dua lelaki dan seorang wanita tiba dengan motosikal sebelum membakar sesuatu. Mereka berdiri dan melihat api membakar bahan dibakar seketika sebelum beredar. Bimbang api menyambar bangunan berdekatan, Thongsuk dan jirannya pergi untuk memadamkan api itu sebelum mendapati bahan dibakar ialah janin bayi. Mereka kemudian menghubungi pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Hakim persenda mangsa rogol mungkin dipecat

Posted:

Jakarta: Seorang calon hakim Mahkamah Agung Indonesia yang menyarankan kepada panel soal jawab bahawa mangsa rogol seronok dengan perbuatan itu tidak dipilih untuk jawatan dipohon dan mungkin kehilangan pekerjaannya sebagai hakim.

Anggota Suruhanjaya Kehakiman, badan perundangan tertinggi di negara itu semalam berkata, dia mengesyorkan hakim Muhammad Daming Sunusi dipecat. Timbalan Pengerusi suruhanjaya itu, Imam Anshori Saleh berkata Daming perlu disingkirkan kerana kenyataan rogol dikeluarkannya melanggar kod etika kehakiman. Daming memberitahu panel pemilihan Parlimen pada 14 Januari lalu, "memandangkan penyerang dan mangsa rogol 'mungkin menikmati perbuatan itu, kita perlu berfikir masak-masak untuk mengenakan hukuman mati" atas kesalahan merogol. Dia meminta maaf selepas kenyataannya itu mencetuskan kemarahan ramai dan berkata, ia hanya satu jenaka. Seramai lapan hakim baru diluluskan Dewan Suruhanjaya III Rabu lalu. Daming tidak memperoleh sebarang undian.


Mahkamah Agung mempunyai 14 hari untuk memutuskan nasib Daming. Dia kini menjawat jawatan Ketua Mahkamah Tinggi Sumatera Selatan.

Anggota Dewan Suruhanjaya III dilaporkan mentertawakan Daming ketika dia membuat kenyataan itu, tetapi komennya mencetuskan kemarahan rakyat di Indonesia, negara Islam dengan penduduk seramai 240 juta. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Lelaki bakar keluarga jalani ujian

Posted:

Palu: Seorang lelaki, Ferdy, 26, yang didakwa membakar ibu bapa dan adik perempuannya di Palu, Sulawesi Tengah akan menjalani beberapa siri ujian termasuk ujian psikologi dan penyaringan dadah selepas ditahan polis, Selasa lalu.

Bapa Ferdy, Wandi Sugianto yang juga seorang ahli perniagaan ternama di bandar itu mati akibat melecur teruk Rabu lalu manakala ibunya, Sherli dan adik perempuannya, Nely masih dirawat di Hospital Budi Agung.


Polis mengesyaki Ferdy berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah berkenaan.

"Kami akan melakukan ujian air kencing terhadapnya," kata Ketua Polis Palu, Adjutan Komisioner Ahmad Ramadhan.


Ferdy didakwa melakukan jenayah itu pada jam 5 pagi ketika semua ahli keluarganya sedang tidur. Dilaporkan bahawa ibu bapanya tidak mengizinkan dia berkahwin dengan seorang pembantu kedai yang bekerja dengan mereka. - tempo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Wanita dikurung di rumah mayat

Posted:

Seorang wanita China ditahan di sebuah rumah mayat terbiar selama tiga tahun selepas mengadu kepada pihak atasan mengenai layanan buruk diterima suaminya, lapor media semalam.

Chen Qingxia dilaporkan berada di rumah mayat terbiar itu dengan dikawal pekerja pembersihan.


Global Times melaporkan, nasib malang Chen bermula pada 2003 apabila suaminya dihukum menjalani proses "pembelajaran semula melalui kerja berat" selepas lelaki terbabit cuba melarikan diri dari pusat kuarantin ketika Heilongjiang dilanda wabak SARS. Selepas dibebaskan, tubuh suami Chen didapati lebam, manakala kesihatan mentalnya merosot.

Global Times melaporkan, Chen pergi ke Beijing untuk mengadu kepada pihak atas terhadap layanan diterima suaminya.


Tidak seperti diharapkan, Chen sebaliknya diperintah memasuki kem "pembelajaran semula" selama 18 bulan.


"Selepas tamat hukuman, Chen diperintah ditahan di rumah mayat," lapor akhbar berkenaan. Pengalaman itu menyebabkan Chen kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, manakala kesihatan mentalnya juga bermasalah. "Suami Chen disahkan menghidap skizofrenia dan akhirnya dihantar ke hospital mental," lapor Global Times. Akhbar itu mendakwa, pemimpin tempatan berjanji membayar pampasan kepada pasangan suami isteri itu. Amalan menghukum seseorang yang membuat aduan kepada pegawai kerajaan dikritik beberapa bulan lalu dan media melaporkan, ia akan dimansuhkan tahun ini. Seseorang yang dihukum melalui sistem itu boleh ditahan atas arahan polis sehingga empat tahun tanpa peluang dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Skandal seks: 10 lagi pegawai dipecat

Posted:

Beijing: Skandal seks membabitkan pegawai kerajaan yang menerima habuan daripada pemaju untuk mendapatkan projek terus didedahkan semalam apabila media rasmi China mengumumkan, 10 lagi individu dipecat.

Menurut Xinhua, Jawatankuasa Antirasuah Chongqing menganggap pemaju yang terbabit dalam aktiviti menyediakan wanita untuk ditiduri pegawai kerajaan di bandar itu sebagai "sayap penjenayah." Badan itu berpendapat, pemaju terbabit "mengupah wanita untuk menggoda pegawai kerajaan tempatan" supaya mengadakan hubungan seks dan aksi itu dirakam untuk dijadikan bahan mengugut mereka.


Kali pertama kes berprofil tinggi itu dibongkar pada November tahun lalu apabila klip video seks Lei Zhengfu, 50-an, tersebar di Internet.

Lei dipecat daripada jawatannya sebagai Ketua Parti Komunis China Chongqing.


Xinhua melaporkan, 10 lagi pegawai peringkat daerah Chongqing serta kakitangan syarikat milik kerajaan yang dipaparkan dalam klip video lain kini telah diambil tindakan serta telah dipecat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Pembekal Apple ambil buruh bawah umur

Posted:

San Francisco: Audit dalaman Apple Inc terhadap suasana bekerja syarikat pembekal utamanya tahun lalu menunjukkan wujud beberapa kes buruh bawah umur diamalkan, selain berlaku diskriminasi dan masalah gaji.

Pengeluar iPhone dan iPad itu semalam berkata, 393 audit dijalankan - meningkat 72 peratus berbanding 2011 - dan mengkaji semula aktiviti pembekal yang menggaji 1.5 juta buruh untuk menghasilkan gajet mereka.


Apple Inc sangat bergantung kepada rakannya di Asia, seperti Foxconn Technology Group di Taiwan untuk memasang sebahagian besar iPhone dan iPad.

Sejak beberapa tahun lalu, syarikat itu didakwa mencatat keuntungan di sebalik layanan buruk dan gaji rendah buruh pembekal mereka di China. Pada 2010, beberapa kes bunuh diri di kilang Foxconn telah membongkar amalan waktu kerja panjang yang dialami pekerja migran, selain gaji kecil dan kemudahan asrama yang sesak. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Amaran perang Korea Utara

Posted:

Korea Utara mengancam untuk menyerang Korea Selatan jika Seoul menyertai sekatan baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ancaman itu dibuat ketika Washington mengumumkan lebih banyak sekatan ekonominya ke atas Pyongyang berikutan pelancaran roket oleh Korea Utara bulan lalu.


Dalam kecaman terhadap negara jirannya buat hari ketiga berturut-turut, Korea Utara semalam berkata: "'Sekatan' bererti perang dan perisytiharan perang terhadap kami." Negara itu baru-baru ini berkata, ia akan memulau semua dialog yang bertujuan menamatkan program nuklearnya dan berikrar untuk melancarkan lebih banyak roket dan ujian nuklear selepas Majlis Keselamatan mengecamnya kerana melancarkan roket jarak jauh Disember lalu.

"Jika kumpulan boneka yang khianat menyertai secara langsung sekatan PBB, Korea Utara akan bertindak balas dengan keras terhadapnya," kata Jawatankuasa Penyatuan Semula Secara Aman Korea Pyongyang.


Ia merujuk 'kumpulan boneka' itu kepada Korea Selatan.


Selasa lalu, Majlis Keselamatan PBB secara sebulat suara mengecam pelancaran roket itu dan mengambil langkah meluaskan sekatan badan dunia itu.

Khamis lalu, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi terhadap dua pegawai bank Korea Utara dan sebuah syarikat Hong Kong yang didakwa menyokong program senjata berbahaya Pyongyang.


Syarikat berkenaan, Leader (Hong Kong) International Trading Ltd, disenaraihitamkan oleh PBB Rabu lalu.

Seoul sebelum ini berkata, ia akan melihat sama ada wujud sekatan lanjut yang boleh dilaksanakannya bersama-sama Amerika Syarikat.


Bagaimanapun, tumpuannya kini ialah untuk mengikut ketetapan Majlis Keselamatan. Menurut ketetapan itu, majlis berkenaan kesal pencabulan Korea Utara terhadap ketetapan sebelum ini yang mengharamkan Pyongyang melancarkan peluru berpandu dan ujian nuklear serta mengimport bahan dan teknologi untuk program berkenaan.


Ia bagaimanapun tidak menguatkuasakan sekatan baru ke atas Pyongyang. Rabu lalu, Korea Utara berkata, ia akan melancarkan lebih banyak serangan roket dan ujian nuklear. Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta berkata, kenyataan itu mencetuskan kebimbangan.


"Kami amat bimbang dengan tindakan provokasi berterusan Korea Utara. Tetapi kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menangani provokasi itu," kata Panetta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Tentera wanita AS boleh ke medan perang

Posted:

Washington: Pentagon semalam menarik balik perintah melarang anggota tentera wanita negara itu daripada berkhidmat di barisan depan medan perang.

Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Martin Dempsey menandatangani perintah penarikan balik larangan yang sudah sekian lama dikuatkuasakan pada sidang akhbar di Pentagon. Ia dianggap sebagai langkah bersejarah ke arah persamaan jantina dalam pasukan tentera Amerika dan diambil selepas negara itu terbabit dalam peperangan sepanjang 11 tahun lalu yang menyaksikan semakin ramai anggota wanita turut terlibat di medan tempur.


"Mereka menjalankan tugas, mereka cedera dan mereka terbunuh. Sudah tiba masanya untuk mengiktiraf bahawa ia adalah realiti. Dalam peperangan selama lebih 10 tahun, mereka mempamerkan keberanian, kemahiran dan patriotisme," kata Panetta.

Menurutnya, 152 wanita beruniform negara itu terbunuh dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan.


Langkah baru itu menghapuskan satu lagi sekatan sosial dalam perkhidmatan tentera Amerika, dua tahun selepas Pentagon menarik larangan terhadap golongan gay dan lesbian daripada berkhidmat secara terbuka dalam pasukan itu.


Keputusan menarik balik larangan berkenaan, sekali gus menambah jawatan untuk wanita dalam pasukan tentera dibuat ketika Panetta bersiap sedia meninggalkan Pentagon selepas 18 tahun memegang jawatan Setiausaha Pertahanan.

Beliau dijangka digantikan oleh Senator Chuck Hagel.


Dalam pada itu, Presiden Barack Obama menyokong penuh dasar baru itu dengan menyifatkannya sebagai langkah bersejarah.

"Hari ini, setiap rakyat Amerika boleh berbangga bahawa tentera kita akan bertambah kuat dengan kaum ibu, isteri, kakak, adik perempuan dan anak memainkan peranan lebih besar untuk melindungi negara yang kita cinta," kata Obama. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

No comments:

Post a Comment