Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bengkel buruk sorok diesel diserbu

Posted:

Pantai Remis: Sebuah bengkel buruk berkunci yang seolah-olah ditinggalkan, sebenarnya dijadikan markas sindiket tempatan menyembunyikan beratus liter diesel bersubsidi yang dicuri.

Bengkel di Jalan Pelantar, di sini, dikesan sengaja dibiarkan usang pada bahagian luar bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan siasatan ke lokasi berkenaan jam 3 petang, kelmarin.


Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Manjung Omar Ismail berkata, pihaknya berjaya mengesan kegiatan itu selepas menerima maklumat daripada beberapa orang awam sebelum menghantar sepasukan penguat kuasa menyerbu premis.

Beliau berkata, ketika serbuan dibuat, pihaknya menjumpai empat tangki yang digunakan bagi menyimpan diesel terbabit.


Katanya, minyak diesel terbabit dipercayai minyak diesel bersubsidi yang dikhaskan kepada nelayan.


"Hasil serbuan, kami merampas 33,299 liter minyak diesel bernilai RM58,760.

"Kami turut menyita lapan unit pam dipercayai digunakan mengepam minyak sebelum memindahkannya ke lori pengangkut," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Katanya, hasil pemeriksaan dalam premis terbabit turut menemui tiga daripada empat bekas dipenuhi minyak diesel, manakala sebuah lagi kosong dipercayai sudah dibawa keluar.

Omar berkata, pihaknya percaya bekalan diesel itu diperolehi daripada nelayan dan sumber tidak sah.


"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

No comments:

Post a Comment