Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Caj parkir diselaras

Posted: 15 Jan 2013 03:04 PM PST

Kuala Lumpur: Warga kota yang sebelum ini terpaksa menanggung kos meletak kereta yang tinggi kini boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) menyelaraskan caj letak kereta mengikut zon dengan nilai siling tertentu bermula semalam.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, langkah itu berikutan pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengguna terhadap segelintir operator persendirian yang tidak bertanggungjawab mengenakan caj terlalu tinggi tanpa kawalan hingga membebankan mereka.


"Justeru, kita menetapkan kadar siling caj bayaran letak kereta mengikut jam yang dibenarkan di kawasan perancangan pusat bandar adalah RM3 hingga RM6 (dalam bangunan); RM3-RM5 (kawasan lapang); RM4-RM8 (hotel) dan RM3-RM6 (lain-lain tempat atau kategori). Bagi setiap jam berikutnya caj dibenarkan antara RM1-RM2 untuk semua kategori.

"Bagi kawasan perancangan luar pusat bandar bagi jam pertama adalah RM1 hingga RM4 (dalam bangunan); RM1-RM3 (kawasan lapang); RM3-RM5 (hotel) dan 50 sen-RM2 (lain-lain tempat atau kategori). "Manakala penggunaan letak kereta di bawah 15 minit adalah percuma untuk semua kategori," katanya pada Majlis Pengumuman Garis Panduan Kadar Caj Tempat Letak Kereta Persendirian bagi Kuala Lumpur dan Perasmian Tempat Letak Kereta Wanita dan Sistem Panduan Tempat Letak Kereta KLCC di sini, semalam.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KWPKB, Datuk Hasim Ismail; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib; Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Properties Holdings, Hashim Wahir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nor. Bagi operator letak kereta yang melaksanakan kadar rata di kawasan perancangan pusat bandar caj siling adalah antara RM5 hingga RM10 tertakluk kepada bayaran maksimum tidak melebihi RM20 sehari. Bagi kawasan di luar perancangan pusat bandar kadar rata yang dibenarkan RM1-RM5 tertakluk kepada bayaran maksimum tidak melebihi RM15 sehari.


Manakala bagi penunggang motosikal, caj dikenakan adalah sekali masuk dengan caj siling antara RM1-RM2.

Foto

RAJA Nong Chik (tiga dari kiri) merasmikan petak letak kereta wanita.

Sementara itu, Nong Chik berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan syarat agar setiap bangunan komersial perlu menyediakan sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada keseluruhan tempat letak kereta yang dikhaskan untuk wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

DBKL lantik IKRAM selidik kawasan cerun

Posted: 15 Jan 2013 03:02 PM PST

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) melakukan kerja penyelidikan di semua kawasan cerun di ibu negara bagi mengelak kejadian tanah runtuh berulang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, penyelidikan peta cerun berisiko dan berbahaya itu sebagai langkah keselamatan dan IKRAM diminta memberi perhatian khusus kepada beberapa cerun yang berisiko. "Menerusi penyelidikan ini, IKRAM dapat mengenal pasti kawasan cerun yang memerlukan kerja penyelenggaraan dan ia dijangka siap pertengahan tahun depan," katanya selepas taklimat bersama penduduk terjejas tanah runtuh di Bukit Setiawangsa, di sini, semalam. Katanya, DBKL sedang mempertimbangkan untuk meletakkan nombor siri di setiap kawasan cerun seperti dilaksanakan kerajaan Hong Kong bagi tujuan penyeliaan dan pemantauan. "Bagaimanapun, DBKL perlu membuat perbincangan lanjut dengan Jabatan Mineral dan Geosains terlebih dahulu sebelum melaksanakannya," katanya. Selain itu, Ahmad Phesal berkata, dia bersama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan permintaan penduduk menghantar memorandum kepada Kabinat mengenai tuntutan ganti rugi, baru-baru ini. "DBKL dan pemaju perlu meneliti jumlah tuntutan ganti rugi penduduk terjejas bagi memastikan ia setimpal dengan kerugian yang dialami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Cari waris Preet

Posted: 15 Jan 2013 03:01 PM PST

Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal dari Taman Bukit Mewah, Kajang mencari waris bayi perempuan berusia lapan bulan yang dijaganya sejak bayi itu berusia tiga hari selepas didakwa ditinggalkan ibunya, dikenali sebagai Maria De La Rosa tahun lalu.

Nasib Kor@Naseeb Kaur Kehar Sing, 46, berkata, pada pada 24 April tahun lalu, dia ke Hospital Serdang untuk menjalani rawatan kesihatan.


"Saya didatangi kakitangan hospital yang memaklumkan terdapat seorang bayi yang ditinggalkan ibunya dan masih tidak dituntut ahli keluarga yang lain.

"Saya meminta untuk dibawa berjumpa bayi tersebut sebelum bersetuju menjaganya, apatah lagi saya tidak mempunyai anak hasil perkahwinan dengan mendiang suami," katanya.


Menurutnya, sehingga kini tiada pihak menuntut bayi tersebut yang dipanggil Preet.


"Saya sangat sayangkan bayi ini dan sanggup membesarkannya seperti anak sendiri. Oleh itu, saya mahu menjadikannya sebagai anak angkat secara sah bagi memudahkan semua urusan terutamanya dalam aspek pendidikan," katanya.

Bagaimanapun, Nasib Kor berharap agar ibu bayi ini menghubunginya di talian 016-2903435 bagi memudahkan urusan dokumentasi termasuklah pendaftaran kelahiran bayi tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Hanya kebetulan

Posted: 15 Jan 2013 03:00 PM PST

Kuala Lumpur: "Jika penjenayah anggap dengan memakai tangkal mereka menjadi kebal dan boleh terlepas daripada ditahan polis, bagi saya ia kepercayaan karut," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin.

Menurutnya, memang ada kumpulan ataupun individu yang terbabit dalam jenayah menggunakan tangkal ketika melakukan jenayah berat seperti rompakan dan samun, namun mereka akhirnya tumpas juga di tangan polis.


"Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua," katanya.

Beliau berkata, mungkin keberkesanan tangkal yang dipakai penjenayah adalah secara kebetulan, namun polis sudah banyak menumpaskan banyak kumpulan penjenayah termasuk ada yang ditembak mati.


Menurutnya, bagi polis, perancangan teliti dan kepakaran unit khas yang ditubuhkan untuk menyiasat dengan segera menjadi kunci utama kejayaan polis menangani kes jenayah berat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Gali kubur adik tuntut keadilan

Posted: 15 Jan 2013 02:59 PM PST

Nilai: "Kami syak adik saya dibunuh, bukan meninggal dunia akibat kemalangan seperti didakwa sebelum ini. Kami cuma mahu menuntut keadilan bagi pihak arwah dan membela kematiannya," kata Azizah Abdullah, 45, yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jijan Tengah, di sini, semalam, selepas penggalian semula kubur adiknya, Fazil, 37, berikutan kematiannya dipercayai ada unsur jenayah.

Proses penggalian kubur berkenaan mengambil masa kira-kira sejam bermula jam 2.50 petang.


Menurut Azizah, adiknya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya pada 24 Disember lalu, kira-kira jam 4.10 petang selepas terbabit kemalangan sehari sebelumnya di Jalan Kampung Lembah Paya, Salak, Sepang, Selangor.

Katanya mereka tidak tahu dengan mendalam bagaimana kemalangan itu berlaku, namun ada saudara melihat kesan tetakan pada tangan kiri dan tikaman pada dada kiri selain kesan lebam di beberapa bahagian badan termasuk muka ketika memandikan jenazah.


"Jenazahnya dibawa balik tanpa dibedah siasat dan dikebumikan pada 25 Disember, kira-kira jam 8 malam," katanya. "Hanya selepas itu kami membuat laporan polis kerana mahu bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya," katanya.


Penggalian semula dilakukan ahli keluarga dan penduduk kampung dengan dipantau Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia dan Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Nor Azamir Alias selepas mendapat kebenaran Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Ahmad Fairuz Mohd Puzi melalui surat bertarikh 11 Januari lalu.

Mayat Fazil dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.


Mengulas lanjut Azizah mendakwa lelaki menaiki kereta kancil yang merempuh adiknya membuat laporan mangsa tiba-tiba terjatuh di atas bonet depan keretanya.

"Kami yakin ada kejadian lain berlaku sebelum Fazil dilanggar kereta itu dan mahu polis menyiasatnya," katanya.


Menurut Azizah, adiknya bekas anggota tentera dan ketika dalam perkhidmatan di Kem Kemunting, Taiping, Perak arwah aktif bertinju dan pernah memenangi beberapa pingat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yusoff Awang, mengesahkan penggalian semula itu mengikut prosedur melalui kebenaran mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

No comments:

Post a Comment