Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cincin tersekat jari OKU

Posted: 21 Jan 2013 01:17 PM PST

Kuala Lumpur: Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) menahan sakit hampir dua jam selepas cincin yang baru dibeli dan dipakainya tidak dapat dikeluarkan dari jarinya dalam kejadian di Kuala Kubu Baru, di sini, kelmarin.

Cincin yang dipakai di jari tengah tangan kanan mangsa yang berusia 17 tahun itu menyebabkan jarinya bengkak hingga terpaksa dibawa ke hospital, jam 8.30 malam.


Bagaimanapun, cincin itu berjaya dibuka sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru.

Ketua Operasinya Omar Mohd Yatim berkata, sepasukan bomba bertungkus-lumus selama setengah jam untuk membuka cincin berkenaan menggunakan gergasi besi selepas mangsa dibius pihak hospital.


Katanya, cincin dipakai mangsa gagal dibuka keluarganya sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru.


"Kami dimaklumkan kejadian itu jam 8 malam dan empat anggota bomba bergegas ke hospital untuk membantu membuka cincin itu.

Foto

ANGGOTA bomba memotong cincin yang tersekat di jari mangsa.

"Kami menggunakan gergaji besi untuk memotong cincin itu yang memakan masa setengah jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

Ugut bakar diri, kedai

Posted: 21 Jan 2013 01:04 PM PST

Kajang: Cara baru menyamun. Seorang lelaki yang ingin menyamun sebuah kedai emas menyiram dirinya dengan petrol sebelum mengugut jurujual supaya menyerahkan barangan kemas dipamerkan jika tidak, dia akan membakar diri.

Taktik itu berkesan apabila lelaki terbabit melarikan pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM10,000 ketika menyamun sebuah kedai emas di Bandar Baru Bangi, di sini, jam 12 tengah hari kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wabab berkata, suspek datang ke kedai itu sebagai pelanggan kononnya mahu membeli barang kemas untuk dijadikan hadiah.

"Ketika itu, seorang jurujual menyapa suspek dan membantu membuat pilihan sambil mengeluarkan beberapa bekas barangan kemas dari ruang pameran.


"Mangsa tidak menyedari lelaki itu perompak kerana lagaknya seperti pelanggan yang berlakon seolah-olah sedang membuat pilihan dengan membelek beberapa rantai dan gelang," katanya.


Beliau berkata, 10 minit kemudian, suspek tiba-tiba mengeluarkan sebotol minyak petrol daripada beg sandang dibawanya sebelum menyiram dirinya dan sebahagian kaunter bayaran kedai berkenaan.

"Lelaki itu juga memegang pemetik api dan mengugut untuk membakar diri dan kedai itu sekiranya jurujual berkenaan tidak menyerahkan barangan kemas dipamerkan.


"Panik dengan tindakan suspek, jurujual berkenaan menurut arahan lelaki itu dengan memberi bekas barangan kemas yang dikeluarkan untuk ditunjukkan kepada suspek," katanya.

Katanya, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai itu yang baru beroperasi sebulan lalu bagi mengesan suspek.


Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini polis belum mengenal pasti identiti suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

'Polis' periksa air kencing cabul pelajar

Posted: 21 Jan 2013 01:01 PM PST

Serdang: Seorang lelaki yang kemaruk seks menyamar sebagai polis untuk mencabul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas membawa mangsa ke kawasan sunyi di Seri Kembangan, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa dihampiri seorang lelaki berusia 40-an yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum menuduh mangsa menghidu gam.


Lelaki terbabit kemudian mengarahkan mangsa mengikutnya ke balai polis berhampiran dengan menunggang motosikal. Mangsa hanya akur arahan lelaki terbabit.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan melepak di tepi sebuah restoran sebelum didatangi lelaki terbabit yang menuduh mangsa menghisap gam dan mengarahkan rakan mangsa pulang ke rumah.


Katanya, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarah mangsa mengikutnya.


"Mangsa dibawa ke satu kawasan sunyi sebelum dipaksa membuka baju dan seluar untuk tujuan pemeriksaan air kencing.

"Mangsa menolak permintaan itu, tetapi diugut dibawa ke lokap," katanya.


Sumber berkata, sebaik membuka baju dan seluar, lelaki terbabit mencabul dan meninggalkannya di tepi jalan. "Mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

Van terbalik tayar 'meletup'

Posted: 21 Jan 2013 12:59 PM PST

Rembau: "Saya bersyukur kerana tiada kenderaan lain menghentam dari belakang, jika tidak saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga," kata Mohd Riduan Jaafar, 32, mengenai kejadian van dinaiki dia sekeluarga terbalik di lorong kecemasan di Kilometer 237, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mereka enam sekeluarga dalam perjalanan menghantar adik perempuannya, Norsyahida, 19, mendaftar ke Kolej MCS di Banting, Selangor, pada jam 10 pagi semalam.


Menurut Mohd Riduan, ketika kejadian dia berada di tempat duduk penumpang hadapan dan mereka bertolak dari Kampung Melayu Pandan, Johor, jam 9 malam kelmarin.

Katanya, secara tiba-tiba tayar bahagian belakang meletup menyebabkan adiknya, Mohd Razif, 23, yang memandu di lorong tengah gagal mengawal stereng.


"Dalam keadaan mencemaskan itu, van terbalik dan terseret ke lorong kecemasan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Mohd Riduan berkata, dia cuba mengeluarkan ibu dan bapanya, Jaafar Hashim, 59, dan Zubaidah Padiran, 60, yang berada di tempat duduk tengah serta dua adik perempuannya, Norsyahida dan Rafidah, 27, di tempat duduk belakang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

Kenyataan tak tuju pada Rita

Posted: 21 Jan 2013 12:58 PM PST

Kuala Lumpur: "Kenyataan di Twitter itu bukan menghina atau dituju kepada Rita Rudaini tetapi ia untuk orang lain. Status itu juga tiada kena mengena dengannya," kata pelakon, Lisdawati Nazaruddin, 34.

Itu penjelasan diberikan Lisdawati berhubung kenyataan yang dipaparkannya di Twitter, semalam sejurus kesal dengan tindakan individu tertentu yang dikatakan memfitnah suaminya, Fauzi Nawawi, 40.


Status di Twitter yang berbunyi 'Hope hati2 dgn berita fitnah melibatkan Fauzi Nawawi . Anything direct to polis report bukan publisiti murahan or giler glamour' itu membuatkan ramai tertanya siapa yang dimaksudkan.

Menerusi maklum balas di beberapa blog dan halaman sosial menyaksikan ramai beranggapan kenyataan itu ditujukan khas buat Rita Rudaini berikutan konflik yang melanda antara mereka bertiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

No comments:

Post a Comment