Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rajagobal akui posisi serangan meruncing

Posted:

Jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal mengakui berdepan masalah kecederaan pemain paling buruk sejak membimbing skuad itu pada 2009 dengan masalah di posisi serangan dilihat paling meruncing.

Selepas kehilangan Mohd Safee Sali yang mengalami kecederaan buku lali dan situasi penyerang 'kembarnya' Norshahrul Idlan Talaha pula masih 50-50 kerana masalah hamstring, pengendali itu terus mendapat perkhabaran buruk apabila Shahrizal Saad yang dipanggil menggantikan Safee semalam terpaksa pulang semula kerana cedera pangkal paha.


Situasi itu menyaksikan Harimau Malaya kini hanya mempunyai tiga pemain yang benar-benar cergas, Khyril Muhymeen Zambri, Fauzi Roslan dan Mohd Amri Yahyah bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada Khamis ini di Dubai sebelum berdepan Qatar di Doha bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 pada 6 Februari.

Kini pilihan terakhir yang ada bagi Rajagobal adalah memanggil penyerang Perak, Abd Hadi Yahya.


"Jika tidak silap saya, inilah keadaan paling teruk yang alami sejak membimbing skuad negara. "Semalam (kelmarin) saya panggil Shahrizal tapi dia cedera, saya mahu panggil Baddrol Bakhtiar dalam senarai menunggu, dia juga cedera. Saya tiada pilihan, saya harap Hadi akan bersama pasukan.


"Situasi kecederaan pemain kali ini lebih teruk berbanding ketika Sukan Asia (Guangzhou 2010). Kali ini membabitkan ramai pemain utama dan ini mengganggu persiapan kita. "Saya bukan mahu memberikan alasan tapi inilah realiti yang kita perlu hadapi di mana kita akan menghadapi lawan dalam tahap berbeza dengan barisan pemain yang kita ada sekarang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Selain bahagian serangan, masalah kecederaan pemain juga teruk menyerang di bahagian tengah Harimau Malaya dengan beberapa pemain seperti S Kunanlan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbart dan K Gurusamy terpaksa disisihkan ketika kapten Safiq Rahim tidak dipanggil kerana menjalani penggantungan perlawanan.


Ketika ditanya adakah masalah kecederaan pemain skuad kebangsaan ini disebabkan jadual liga tempatan yang padat, Rajagobal berkata: "Saya fikir anda sepatutnya tahu, saya tidak mahu memberi penjelasan...mungkin. Semua orang perlu bertanggung jawab, ini bukan situasi yang mudah.

Sejak Liga M bermula awal bulan ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermain tujuh perlawanan dalam 21 hari manakala pasukan lain mengharungi enam perlawanan dalam tempoh 18 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Chelsea nyaris malu

Posted:

Juara bertahan, Chelsea memerlukan gol penyamaan pada minit ke-83 sumbangan Fernando Torres untuk mencatat keputusan seri 2-2 bertemu pasukan Divisyen Tiga, Brentford semalam sekali gus mengelak malu tersingkir pada pusingan keempat Piala FA.

Jaringan penalti daripada Harry Forrester menyaksikan juara Liga Juara-Juara itu bakal tersingkir, namun Torres menjadi penyelamat dengan gol pada lewat permainan untuk menafikan kemenangan tuan rumah.


John Terry melakukan penampilan pertama bersama Chelsea sejak November lalu selepas bebas daripada kecederaan tetapi aksi pertamanya menyaksikan penjaga gol, Ross Turnbull terpaksa bekerja keras di benteng akhir.

Brentford, yang beraksi di Liga Satu menerusi gol sumbangan Adam Forshaw yang menewaskan Turnbull menerusi hantaran rendah.


Cheslea memasukkan Juan Mata pada separuh masa kedua dan selepas 10 minit permainan, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan meneruso Oscar yang merembat deras ke penjuru kiri gawang Brentford.


Chelsea dilihat mula menguasai perlawanan, tetapi Turnbull melakukan kesilapan apabila menjatuhkan Tom Adeyemi di dalam kotak penalti sebelum Forrester menyempurnakan sepakan penalti ke penjuru kiri gawang pelawat.

Ketika penyokong tuan rumah bersedia untuk meraikan kemenangan cukup bermakna pasukan mereka, Torres menyamakan kedudukan pada lewat permainan menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Wenger akui pasukannya kurang menyengat

Posted:

Brighton (United Kingdom): Arsene Wenger mengakui skuad Arsenal kurang menyengat di jentera serangan walaupun Olivier Giroud meledak dua jaringan untuk kemenangan 3-2 dalam pusingan keempat Piala FA di Brighton.

Giroud melakukan dua jaringan untuk menyingkirkan skuad Liga Kejuaraan yang memberi saingan sengit itu selepas turut meledak dua jaringan ketika menewaskan West Ham dalam saingan Liga Perdana tiga hari lalu.


Persembahan penyerang Perancis itu menarik perhatian Wenger untui memujinya namun pengurus Gunners itu mengakui beliau masih kekurangan pemain di barisan depan untuk mengisi kekosongan terutamanya dengan ketiadaan Gervinho yang bersama Ivory Coast dalam Piala Negara-Negara Afrika.

"Ia adalah bagus untuk keyakinan Giroud. Dia menjaringkan empat gol minggu ini dan mendapat beberapa peluang lagi di sini," kata Wenger.


"Dia berada pada kedudukan tepat. Kehadirannya dirasai dalam kotak penalti, dia berbahaya dan kehadiran fizikalnya adalah sangat penting." Namun ketika ditanya sama dia mempunyai penyerang yang mencukupi, beliau menambah: "kualiti dan kebijaksanaan ada namun kualiti serta jumlah pemain sebaliknya, kami mungkin sedikit kekurangan. Gervinho tidak bersama kami ketika ini.


" Kami mempunyai (Theo) Walcott yang mampu beraksi di bahagian tengah selain Giroud." Dengan kenyataan itu Wenger dijangka akan membawa seorang lagi penyerang sebelum tamat jendela perpindahan pemain bulan ini walaupun beliau tidak optimis melengkapkan perjanjian dan menafikan cuba mendapatkan pemain Fiorentina, Stevan Jovetic.

"Anda tidak akan mendapat mereka (penyerang) di jalanan, penyerang yang mampu beraksi untuk kami dan menguatkan pasukan. Adalah sukar pada Januari," katanya.


"Dalam pekerjaan seperti ini, realiti adalah penting. Secara realistik saya tidak boleh memberitahu anda bahawa saya akan menandatangani mana-mana pemain hari ini atau esok kerana kami tidak sampai pada tahap itu lagi." Wenger memilih untuk meletakkan Walcott, Jack Wilshere dan Santi Cazorla di bangku simpanan dalam perlawanan di Brighton namun rancangan itu hampir membawa padah.

Dua kali Giroud meletakkan Arsenal di depan namun Brighton bangkit menerusi Ashley Barnes dan pemain baru, Leonardo Ulloa dengan pasukan Liga Perdana itu hanya mampu memastikan kemenangan menerusi jaringan lewat Walcott dengan rembatannya terkena pemain lawan.


"Dengan jumlah perlawanan kami beraksi, anda tidak boleh mengekalkan 11 pemain yang sama pada setiap perlawanan.


"Kami akan menentang Liverpool pada Rabu, Stoke pada Sabtu dengan pemain selepas itu pemain akan bersama skuad kebangsaan masing-masing.


"Anda perlu menggilirkan pemain kerana menyedari akan dipersalahkan seandainya membuat keputusan yang salah." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Luton cipta sejarah

Posted:

Pasukan yang tidak beraksi di liga utama, Luton Town mencipta sejarah Piala FA apabila mencatatkan keputusan mengejut 1-0 dengan mengatasi Norwich City yang beraksi di Liga Perdana pada pusingan keempat awal pagi semalam.

Luton yang beraksi dalam saingan bahagian kelima dalam sistem bola sepak Inggeris, Conference National meraih kemenangan pada minit ke-80 menerusi jaringan tunggal Scott Rendell di Carrow Road untuk menjadi pasukan pertama bukan liga yang menyingkirkan skuad liga utama dalam tempoh 24 tahun.


Luton yang menjuarai Piala Liga pada 1988 namun disingkirkan daripada Liga Bola Sepak selepas mengalami masalah kewangan pada 2009 berada 85 tangga di belakang lawan mengikut sistem liga bola sepak Inggeris.

Kelab terbabit adalah pasukan ketujuh bukan liga yang mara ke pusingan kelima sejak Piala Dunia II.


"Ia memerlukan pengorbanan," kata pengurus Luton, Paul Buckle.


"Pemain sangat hebat hari ini (awal pagi semalam). Mereka mengekang pasukan Liga Perdana untuk tempoh lebih 90 minit.

"Ia adalah hari yang bersejarah untuk mereka, bagi saya dan penyokong. Norwich mengasak sepanjang perlawanan namun kami terlalu bagus untuk meraih kemenangan akhirnya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Redknapp berang kalah dengan MK Dons

Posted:

London: Pengurus Queens Park Rangers, Harry Redknapp kecewa selepas skuad kendaliannya itu kecundang 2-4 di laman sendiri menentang pasukan yang berada di Liga Satu, MK Dons pada pusingan keempat Piala FA, awal pagi semalam.

Redknapp melakukan sembilan pertukaran pemain ketika skuad itu terikat 1-1 dengan West Ham dalam Liga Perdana hujung minggu lalu, menyimpan sesetengah pemain utamanya untuk bersaing dalam zon penyingkiran, memakan dirinya apabila rancangan itu menyebabkan mereka ketinggalan 0-4.


Jaringan lewat menerusi pemain pertahanan Manchester United, Fabio dan Jay Bothroyd memastikan kelab itu tidak dimalukan sepenuhnya dengan Redknapp mengeluarkan kata-kata keras.

"Ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan. Tiada alasan melepaskan empat gol kepada MK Dons di tempat sendiri - ia mengarut," kata Redknapp yang memenangi Piala FA bersama Portsmouth pada 2008 dan membawa Tottenham Hotspur ke separuh akhir musim lalu.


Di sebalik pertukaran terbabit, QPR masih mengekalkan pemain berpengalaman Liga Perdana seperti Park Ji-sung dan Anton Ferdinand serta tujuh pemain antarabangsa.


Redknapp yang kini lima mata di atas zon penyingkiran berkata ia mencetuskan kegusarannya ke atas skuad yang diambil alih daripada Mark Hughes yang dipecat.

"Saya menurunkan pemain yang tidak beraksi sejak kebelakangan," kata Redknapp. "Hari ini menjawab banyak persoalan. Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Drogba tersisih

Posted:

Kapten Ivory Coast, Didier Drogba menyangkal dakwaan bahawa prestasinya merosot selepas hanya beraksi sebagai pemain gantian ketika pasukannya menewaskan Tunisia 3-0 pada kejohanan Piala Negara-Negara Afrika semalam.

Itu kali pertama dalam kariernya dia diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan antarabangsa.


Drogba dimasukkan pada 25 minit terakhir dalam perlawanan Kumpulan D itu namun masih gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dan hanya mengharapkan khidmat rakan sepasukannya Gervinho, Yaya Toure dan Didier Ya Konan bagi mengesahkan kemenangan buat skuad Elephants itu.

Minggu lalu Drogba berkata, dia hanya cergas 50-60 peratus selepas menamatkan musim dengan Shanghai Shenhua di China pada awal November dan tidak bermain selama dua bulan sebelum menyertai latihan persiapan Piala Negara-Negara Afrika.


Dia semalam berkata tidak cergas untuk bermain sepenuh masa.


"Saya berasa sangat baik ketika ini. Jurulatih memilih pemain yang tepat dan pasukan bermain dengan baik," kata Drogba.

"Saya bukan jurulatih dan ia bukan kuasa saya untuk membuat keputusan. Jangan memperbesarkan isu mengenai saya diletakkan di bangku simpanan kerana masalah prestasi tapi sebenarnya tidak." Drogba yang menjadi tonggak utama Ivory Coast sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjaringkan 56 gol dalam 91 penampilan namun sumbangnya kurang berkesan pada perlawanan pertama menentang Togo dan digantikan pada 20 minit terakhir. Untuk tahun kelima berturut-turut, Ivory Coast menjadi pasukan pilihan kejuaraan namun hanya berjaya muncul naib juara pada empat kejohanan terakhir.


Ivory Coast yang turut melangkah ke separuh akhir pada 2008 dan tersingkir di suku akhir pada 2010 bakal berdepan Algeria pada perlawanan terakhir kumpulan di Rustenburg Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Ivory Coast hampiri suku akhir

Posted:

Rustenburg: Prestasi memberangsangkan Ivory Coast meletakkan mereka semakin hampir untuk melangkah ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Tunisia, kelmarin.

Selepas mencatat kemenangan kurang meyakinkan ke atas Togo, Ivory Coast menampilkan watak berbeza pada perlawanan kali ini, menerusi gol sumbangan gandingan dua bintang Liga Perdana Inggeris, Gervinho (gambar kiri) dan Yaya Toure serta pemain gantian, Didier Ya Konan.


Keputusan itu meletakkan Ivory Coast mengutip enam mata penuh yang dijangka sudah memadai bagi mereka menempah tiket ke pusingan suku akhir.

Agak mengejutkan apabila kapten, Didier Drogba diketepikan pada perlawanan itu dan sekadar memanaskan bangku simpanan.


Pemain veteran berusia 34 tahun itu yang membuat penampilan terakhir pada saingan kali ini, jelas beraksi hambar ketika bertemu Togo yang menyaksikan jurulatih, Sabri Lamouchi mengetepikannya ketika perlawanan masih panjang.


Turut dikeluarkan adalah pertahanan Manchester City, Kolo Toure dan gandingan dua pemain tengah, Max Gradel serta Ya Konan.

Lamouchi memberi peluang kepada penyerang Lille, Salomon Kalou dan Lacina Traore. Kedua-duanya menyertai bintang Arsenal, Gervinho dan pemain tengah Newcastle, Cheik Tiote.


Bekas pemain Spurs, Didier Zokora diberi tanggungjawab memikul tugas sebagai kapten pasukan.

Tunisia pula terpaksa beraksi tanpa penyerang utama mereka, Issam Jemaa yang diketepikan sepanjang baki saingan kali ini selepas berdepan kecederaan lutut ketika bertemu Algeria.


"Kenapa saya tidak menurunkan Didier Drogba? Kerana saya rasakan 11 pemain yang saya pilih adalah yang terbaik apabila bertemu Tunisia," kata Lamouchi. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Adebayor bangkit daripada aksi hambar

Posted:

Rustenburg: Penyerang Togo, Emmanuel Adebayor bangkit daripada prestasi buruk sebelum ini apabila menjaringkan gol pembukaan ketika pasukannya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Algeria dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika semalam.

Jaringan Adebayor pada minit ke-32 bukan hanya menjadikan Algeria sebagai pasukan pertama tersingkir selepas dua kekalahan malah ia juga membantu Ivory Coast sebagai pasukan pertama mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan D.


"Kami menentang pasukan Algeria yang sangat bagus tapi kami memang berhak menang. Togo memang mahukan kemenangan," kata jurulatih Didier Six.

"Kami kena kekal fokus, kami dalam kumpulan maut dan kami perlu berusaha lebih keras." Gol kedua Togo pada masa kecederaan oleh pemain gantian, Dove Wome mengesahkan kemenangan mereka selepas perlawanan itu terpaksa ditangguhkan selama 13 minit kerana petugas stadium terpaksa membetulkan tiang gol.


Mereka terpaksa menanggalkan semula bingkai tiang gol itu dan meluruskan semula selepas pemain Algeria, Adlene Guedioura menyebabkan tiang gol itu lari daripada kedudukan apabila dia menarik jaring selepas percubaannya tersasar pada minit ke-86.


Kemenangan itu adalah yang ketiga dalam 19 perlawanan untuk Togo di pusingan akhir dan yang pertama sejak insiden keganasan Cabinda di Angola di mana dua pemain mereka mati selepas bas yang mereka naiki diserang oleh sekumpulan bersenjata.

Togo menarik diri daripada kejohanan itu dan tidak layak pada kejohanan tahun lalu di Gabon dan Equatorial Guinea. Mereka membuka kempen kali ini dengan kekalahan 1-2 kepada Ivory Coast namun kemenangan ini menghidupkan peluang mereka untuk mara ke suku akhir.


Algeria yang tumpas 0-1 di tangan Tunisia pada aksi pertama menjadi pasukan pertama tersingkir pada kejohanan ini yang dianggap sesuatu yang memalukan bagi jurulatih Vahid Halilhodzic dan pasukannya yang dibarisi pemain berbakat namun kurang pengalaman.

Halilhodzic berkata: "Ia malapetaka buat kami, saya berasa malu. Ia sukar untuk dijelaskan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Genoa ikat Juve

Posted:

Gol penyamaan Marco Borriello membantu Genoa mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendahulu Serie A Juventus semalam sekali gus menjejaskan peluang juara bertahan itu memburu gelaran kedua berturut-turut.

Borriello, meledak gol pada minit ke-68 untuk meletakkan skuad kendalian Antonio Conte menduduki tangga teratas liga dengan 49 mata, hanya enam mata mengatasi Napoli dan Lazio yang menerima kekalahan mengejut 1-0 di laman sendiri di tangan Chievo Verona.


Genoa yang beraksi di bawah kendalian pengurus baru, Davide Ballardini buat kali pertama mengumpul 18 mata namun kekal di dalam kelompok tiga pasukan tercorot dengan Chievo melonjak ke tangga ke-11 dengan 28 mata.

Perlawanan Juve pula dicemari dengan dua kontroversi apabila dua sepakan penalti tidak diberikan kepada juara bertahan itu pada separuh masa kedua dan penyerang Juventus, Mirko Vucinic pula tidak dikenakan tindakan kerana memegang bola di dalam kotak penalti.


Luca Antonelli pula dilihat menarik baju Vucinic ketika penyerang itu cuba menolak masuk bola hantaran lintang Emanuele Giaccherini manakala Andreas Granqvist mencetuskan rasa tidak puas hati pemain Juventus apabila bola sepakannya terkena tangan sendiri pada masa kecederaan namun pengadil Marco Guida tidak menghadiahkan sepakan penalti.


"Saya tidak mahu membuat penjelasan lanjut. Saya fikir semua orang menyaksikan perlawanan itu. Kami lihat banyak insiden dan ini bukan kali pertama," kata Conte kepada pemberita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Pemain K13 pamer belang

Posted:

Sungai Petani: Dengan jatuhan pin terkumpul sebanyak 1,068 sudah cukup untuk Kumpulan 13 (K13) menjuarai Kejohanan Tertutup Ten Pin Bowling Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kempas 1 dan Kampung Tengah.

Berlangsung di Sejati Superbowl Park Avenue, di Sungai Petani, Kedah, pasukan Kumpulan 13 itu yang dibarisi seramai tujuh anggota mengatasi 14 pasukan pesaing lain.


Kejohanan kali pertama itu dirasmikan pembukaan dan penutup oleh Pengerusi KRT Taman Kempas 1, Ahmad Buyong.

Kumpulan 8 pula berjaya meraih naib johan selepas menjatuhkan 981 pin manakala Kumpulan 11, ketiga dengan 901 pin.


Ahmad, dalam ucapannya berkata, pihak KRT mengadakan kejohanan itu sebagai medan mengeratkan hubungan di kalangan penduduk Taman Kempas 1 dan Kampung Tengah.


"Ini penting kerana selain mengukuhkan hubungan dua hala, kejohanan ini juga dilihat sebagai penanda aras kerjasama penduduk membabitkan golongan muda dan dewasa.

"Kejohanan ini juga adalah medan untuk penduduk menunjukkan bakat masing-masing sekali gus memberi pilihan lebih luas kepada penganjur bagi mengetengahkan pemain apabila diadakan kejohanan antara komuniti nanti," katanya.


Ahmad, berkata pihaknya bercadang mengadakan lagi kejohanan serupa kerana ia ternyata memberi pengalaman baru kepada penduduk.

"Jika sebelum ini KRT lebih sinonim dengan gotong-royong kawasan penempatan, kejohanan ini diharap mampu mengubah persepsi klise masyarakat."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

No comments:

Post a Comment