Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tukang cuci curi kereta api

Posted: 16 Jan 2013 09:10 AM PST

Stockholm: Seorang tukang cuci kini tenat selepas mencuri sebuah kereta api dan merempuhnya pada sebuah rumah pangsa.

Wanita berkenaan terlantar dalam keadaan tersepit di pinggir bandar Stockholm, Sweden selama dua jam sebelum pasukan penyelamat menariknya keluar dan motif tindakannya masih misteri.


"Ia seperti adegan dalam sebuah filem. Kami menerima aduan mengenai sebuah kereta api hilang pada pagi Selasa dan kemudian menemuinya terperosok pada sebuah rumah, " kata jurucakap polis.

Menurut polis, wanita yang berusia 20 tahun itu, tukang cuci di dalam kereta api berkenaan bertindak mencurinya secara tiba-tiba. Kereta api itu tidak bergerak dan kosong ketika dia melarikannya sejurus selepas jam 2 pagi.


Menurut laporan media tempatan, terdapat lima penghuni tidur di flet itu kejadian. Mereka bagaimanapun terselamat.


Jurucakap polis, Ulf Lindgren berkata: "Mujur tidak ada sesiapa di rumah itu yang cedera. Ketua Perkhidmatan Kecemasan mengarahkan rumah itu dikosongkan atas alasan keselamatan." Jurucakap syarikat kereta api itu, Arivva berkata: "Tukang cuci itu mencuri kereta api berkenaan tanpa sebab. Dia bekerja sebagai tukang cuci tetapi berjaya masuk dan mencuri sebuah daripada kenderaan berkenaan. Kami masih menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku." Wanita berkenaan cedera parah dan dibawa dengan helikopter ke Hospital Universiti Karolinska dalam keadaan tenat.

Foto

KEADAAN rumah pangsa yang dirempuh.

Pengendali kereta api itu berkata, wanita terbabit melanggar sekatan di stesen terakhir dan kereta api itu terus meluncur sejauh kira-kira 30 meter di kawasan tanpa landasan sebelum merempuh apartmen berkenaan. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Pasangan Twilight berpisah buat kali kedua

Posted: 16 Jan 2013 09:03 AM PST

Los Angeles: Robert Pattinson dan Kristen Stewart berpisah buat kali kedua, hanya beberapa bulan selepas menjalinkan semula cinta mereka.

Hubungan empat tahun pasangan Twilight itu berdepan dengan masalah buat kali pertama pada Julai lalu apabila Kristen, 22, mengadakan hubungan sulit dengan pengarah filem yang sudah beristeri, Rupert Sanders, 42.


Dia dan Pattinson bercinta semula pada September dan menghadiri tayangan perdana siri akhir filem pontianak, Breaking Dawn, Bahagian Dua. Tetapi Pattinson mengambil keputusan memutuskannya sekali lagi dengan alasan sukar untuk menghabiskan masa bersama.

Pattinson, 26, mendedahkan keputusannya kepada Kristen hujung minggu lalu dengan memberitahunya, adalah lebih baik jika mereka berkawan saja.


Satu sumber berkata: "Kristen terbang ke Los Angeles dan sepatutnya bersama-sama dengan Pattinson pada majlis anugerah Gloden Globes.


"Pattinson mencintai Kristen tetapi berpendapat adalah lebih baik mereka menjadi rakan rapat supaya dapat membina semula kepercayaan dan memberi tumpuan terhadap kerjaya masing-masing selepas Twilight.

"Kristen kecewa. tetapi memahami hasrat Pattinson. Dia tidak sepatutnya mendesak aktor Britain itu supaya kembali kepadanya selepas curang. Dia berharap akan dapat bersama-sama dengan Pattinson sekali lagi." Rakan dan keluarga Pattinson di London tidak bersetuju dengan tindakannya menerima kembali aktres jelita itu.


Menurut sumber itu lagi, Pattinson berdepan dengan begitu banyak tekanan supaya meninggalkan Kristen. Rakannya mahu dia memberi tumpuan kepada karier dan berkata, Kristen hanya memusnahkan peluangnya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Pencinta alam parah disondol badak

Posted: 16 Jan 2013 09:01 AM PST

Johannesburg: Seorang pencinta alam disondol di belakang oleh seekor badak sumbu ketika dia bergambar di sebuah taman negara.

Chantal Bever diberitahu oleh seorang pekerja supaya berdiri lebih dekat dengan haiwan berkenaan ketika dia bersiap untuk bergambar bersama-sama suaminya.


Pasangan itu berada di taman itu bersama beberapa rakan apabila mereka keluar dari jip untuk bergambar.

Pekerja taman itu yang dikenali sebagai Alex Richter, dikatakan mendesak pasangan berkenaan berdiri lebih dekat untuk mengambil gambar yang lebih baik.


Akhbar, The Beeld melaporkan, Richter memberitahu pengunjung itu bahawa adalah selamat untuk mendekati badak berkenaan dan menawar diri untuk merakam gambar itu.


Tetapi, beberapa saat selepas pasangan itu senyum untuk gambar mereka diambil, Chantal disondol. Wanita berusia 24 tahun itu cedera di paru-paru akibat serangan itu yang turut menyebabkan beberapa tulang serangkanya patah.

Chantal seorang pelajar dari Johannesburg, Afrika Selatan masih di hospital dan keadaannya dikatakan stabil. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Malaysia lokasi cuti utama umat Islam

Posted: 16 Jan 2013 08:57 AM PST

Singapura: Malaysia disenaraikan sebagai destinasti percutian paling mesra Islam di dunia dalam satu kaji selidik dikeluarkan semalam yang turut menyenaraikan Mesir, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Singapura.

Kaji selidik dilakukan syarikat perunding pelancongan Islam berpangkalan di Singapura, Crescentrating itu dibuat berdasarkan sejauh mana mereka memenuhi keperluan pegunjung Islam yang semakin meningkat mencari perkhidmatan dan makanan halal serta mematuhi syariat Islam.


Ia menggariskan kriteria, termasuk tahap keselamatan dalam negara itu, kemudahan mendapatkan makanan halal dan kemudahan tempat solat serta sama ada hotel menyediakan keperluan tetamu Islam. Dalam skala satu hingga 10 (di mana 10 adalah markah terbaik), Malaysia muncul nombor satu dengan gred 8.3 antara 50 negara yang menjalani kaji selidik itu.

Mesir menduduki tempat kedua dengan 6.7, disusuli oleh Emiriah Arab Bersatu dan Turki dengan 6.6. Arab Saudi menduduki tempat keempat dengan skor 6.4 dan Singapura di tempat kelima dengan 6.3 markah.


Indonesia, Maghribi dan Jordan meraih 6.1 markah di tempat keenam, diikuti oleh Brunei, Qatar, Tunisia dan Oman di tempat ketujuh, semuanya dengan 6.0 markah.


Ketua Eksekutif Crescentrating, Fazal Bahardeen berkata, kaji selidik itu dibuat berdasarkan ulasan pengunjung bermakna ia diukur mengikut kemudahan yang diperoleh pelancong Islam - bukan penduduk tempatan - daripada makanan halal hingga kepada kemudahan. "Malaysia adalah satu daripada beberapa negara Islam di mana anda boleh mendapatkan tempat solat di hampir setiap lokasi - sama ada di pusat beli-belah atau lapangan terbang," kata Fazal kepada media. Menurutnya, sementara pihak berkuasa Malaysia memfokus kepada pasaran itu selama beberapa tahun, Indonesia - negara dengan populasi Islam paling ramai di dunia tidak berjaya melakukannya dengan baik. "Masalah utama bagi Indonesia ialah ia tidak dapat menyediakan makanan halal dengan mudah kepada pengunjung Islam. Bagi penduduk tempatan mungkin ia bukan satu isu," katanya. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Dua `mamasan' ditahan

Posted: 16 Jan 2013 08:57 AM PST

Bangkok: Beberapa remaja perempuan bawah umur ditahan dan dua 'mamasan' (ibu ayam) diberkas atas tuduhan terbabit dengan pelacuran kanak-kanak.

Ketua Polis Bangkok Leftenan Jeneral Kamronwit Thupkrachang mengumumkan penahanan itu di ibu pejabat polis Metropolitan Bangkok, semalam.


Polis menerima maklumat bahawa sekumpulan sindiket menjalankan kegiatan pelacuran kanak-kanak beroperasi di daerah Thung Kru sebelum mereka membentuk pasukan dan menjerat mamasan terbabit.

Polis menahan Nok Thonglek, 23, dan seorang lagi mamasan yang tidak dikenal pasti identitinya. Sembilan remaja perempuan yang turut ditahan berusia antara 14 hingga 16 tahun dengan semuanya adalah warga tempatan.


Nok mengakui bertindak sebagai ibu ayam bagi membantu remaja terbabit berhubungan dengan pelanggan.


Dia memberitahu polis, remaja terbabit memperoleh 1,500 baht (RM150) untuk setiap perkhidmatan. Dia dan seorang lagi mamasan mendapat komisyen 500 baht (RM50) daripada remaja berkenaan.

Polis berkata, mereka yang melanggan remaja terbabit juga akan ditahan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Upah 3 lelaki bunuh suami

Posted: 16 Jan 2013 08:56 AM PST

Chiang Mai: Polis menahan dan mendakwa seorang wanita yang mengupah tiga lelaki untuk membunuh suaminya pada Oktober 2011.

Nittaya Jirayanigoon, 37, serta tiga lagi tertuduh, Nattchai Puaksong, 47, Tonnarat Ratanasupa, 38, dan Sarjan Mejar Tanachai Suapraem, 52, didakwa melakukan konspirasi terhadap satu kes bunuh.


Nittaya mengakui dia membayar 200,000 baht (RM20,000) kepada mereka yang kemudian menembak suaminya, Somchai Terjaa.

Menurut Nittaya, dia menjual aset dan melabur wang suaminya ketika Somchai dipenjara atas kesalahan dadah.


Selepas suaminya dibebaskan, dia mendapat tahu mengenai perbuatan Nittiya. Dia mendera dan mengancam akan membunuhnya. Jadi, Nittiya memutuskan membunuh mangsa terlebih dahulu. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Jakarta dilanda banjir angkara hujan monsun

Posted: 16 Jan 2013 08:55 AM PST

Jakarta: Hujan monsun dan air sungai yang melimpah memaksa ribuan penduduk berpindah dari kediaman mereka di ibu negara Indonesia semalam.

Agensi pengurusan bencana Jakarta berkata di laman webnya bahawa 10,825 orang berada di pusat perlindungan sementara selepas berpindah ekoran banjir yang naik setinggi tiga meter di beberapa tempat.


Di Jakarta Barat, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun terbunuh selepas terjatuh dan dihanyutkan air sungai. Laporan media mengatakan banjir menenggelamkan sawah padi dan jalan raya di Jawa Tengah dan wilayah Borneo di Indonesia. Kematian akibat banjir dan tanah runtuh adalah perkara biasa ketika musim monsun tahunan di negara itu.

Minggu lalu, banjir menenggelamkan laluan tol di daerah kejiranan Banten selama beberapa hari, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan menyebabkan kesesakan jalan raya sejauh 12 kilometer di lebuh raya utama selama dua hari. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Jenaka hakim kanan cetus kemarahan

Posted: 16 Jan 2013 08:55 AM PST

Jakarta: Seorang hakim kanan negara ini yang berjenaka bahawa perogol perlu dielak daripada hukuman berat kerana mangsa seronok dengan perbuatan itu mencetuskan kemarahan dan gesaan agar dia dipecat semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Daming Sunusi yang bersaing untuk jawatan di Mahkamah Agung membuat kenyataan itu dalam ujian pengesahan jawatan ketika Parlimen bertanya sama ada negara berkenaan patut memperkenalkan hukuman mati kepada perogol.


"Perogol dan mangsa rogol saling menikmati perbuatan itu, jadi (kita perlu) memikirkan mengenai hukuman mati," katanya.

Daming meminta maaf kerana membuat kenyataan itu mengatakan dia cuba menenangkan dirinya dalam sesi soal jawab yang penuh ketegangan itu.


"Saya sudah mengatakan sesuatu yang tidak patut dikatakan oleh seorang lelaki, terutama calon Mahkamah Agung," katanya dalam televisyen nasional.


Komennya itu mencetuskan kemarahan ramai termasuk di kalangan ahli Parlimen. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Penerbit filem rogol 'aktres'

Posted: 16 Jan 2013 08:55 AM PST

Mumbai: Seorang penerbit filem India didakwa di mahkamah semalam selepas ditahan kerana disyaki merogol seorang wanita yang dijanjikan satu peranan dalam produksinya, kata polis.

Ramesh Singh, 49, ditahan kelmarin selepas wanita terbabit mengadu kepada polis di Oshiwara, Mumbai mengenai insiden berkenaan.


Sumber polis berkata, Ramesh berjanji memberi satu watak kepada wanita itu dalam filem terbarunya.

"Suspek menghubungi wanita itu dengan alasan supaya dia boleh membaca skrip disediakan.


"Apabila tiba, suspek menyerahkan skrip berkenaan kepada pelakon terbabit di sebuah bilik sebelum mengunci pintu," katanya.


Ramesh kemudian mengarahkan wanita itu berbaring untuk cuba melakonkan 'adegan ranjang' tetapi mangsa tersedar dia diperdaya.

Menurut sumber, wanita itu lari ke bilik mandi dan mengurung dirinya di situ.


Bagaimanapun, katanya, Ramesh memecahkan pintu bilik mandi berkenaan dan merogol mangsa.

Akhbar Indian Express melaporkan, Ramesh adalah penerbit filem berbahasa Marathi dan tidak terbabit dalam pembikinan filem Hindi seperti kebanyakan orang lain. Kes keganasan seksual ke atas wanita menjadi perhatian utama di India sejak seorang mahasiswa perubatan maut akibat dirogol beramai-ramai dalam sebuah bas bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Gading RM3.5j dirampas

Posted: 16 Jan 2013 08:54 AM PST

Mombasa: Polis Kenya merampas dua tan gading gajah bernilai RM3.5 juta sekali gus mencatat rekod rampasan terbesar negara itu, kata pihak berkuasa semalam.

Pegawai polis tempatan berkata, mereka tidak faham mengapa ada pihak berani menyeludup begitu banyak gading gajah sekali gus dan yakin berjaya melepasi pihak keselamatan.


Pemburu haram menjadi masalah kian besar di negara itu ketika kerajaan cuba menarik seramai mungkin pelancong menggunakan faktor hidupan liar yang masih ada. Dilengkapi senjata lengkap, pemburu haram membunuh gajah dan badak untuk mendapatkan gading dan sumbu yang digunakan sebagai perhiasan atau ubat tradisional dengan dihantar ke luar negara. Maklumat polis mendapati, kebanyakan gading gajah diseludup dari Afrika dihantar ke negara Asia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

No comments:

Post a Comment