Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya boleh pergi sendiri'

Posted: 16 Jan 2013 08:51 AM PST

Kangar: "Jika benar kenyataan saya salah, tak perlu siasat dan dihukum, cuma beritahu dan saya boleh 'blah' sendiri."

Begitu tegas Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mengulas laporan beliau mungkin dikenakan hukuman di bawah Artikel 88, nasib sama menunggunya seperti Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa, apabila mengeluarkan pendapat mengenai perlunya transformasi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Shahidan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagaimanapun menjelaskan beliau sebenarnya hanya mengharap ihsan FAM bagi membantu pasukan seperti Singa Utara kerana mereka tidak mempunyai kewangan kukuh selain menyuarakan pandangan mengenai gejala bookie dan bukannya mengutuk badan induk itu.

"Transformasi itu bermaksud meminta FAM memberi bantuan serta menentang bookie dan (pada masa sama) saya juga secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.


"Transformasi yang saya maksudkan dalam FAM itu adalah bantuan kepada persatuan bola sepak yang mempunyai masalah kewangan. Bagi saya, bagaimana pasukan yang dibina dengan kos RM2 juta hendak menyaingi pasukan dibentuk dengan kos RM5 juta? Jurang perbezaan itu sangat besar.


"Justeru, FAM perlu memainkan peranan dengan melaksanakan tindakan tertentu agar persatuan yang kurang sumber kewangan dapat bersaing dengan mereka yang setaraf kewangannya, itu saja," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kangar, Perlis, semalam.

Foto

Datuk Seri Shahidan Kassim

Selain itu, Shahidan berkata, kenyataannya juga mahukan agar orang yang berada di luar menghentikan kutukan serta cacian kepada FAM kerana ia tidak menyumbang apa-apa disebabkan kuasa untuk perubahan hanya bergantung kepada mereka di dalam.


"Saya hanya mengingatkan apabila pemilihan dibuat, undi hanya dikira daripada kalangan wakil FAM dan persatuan negeri dan mereka yang bersuara di luar tidak akan memberi kesan kepada FAM. Mengapa saya perlu berdepan dengan hukuman semata-mata kerana mengeluarkan pendapat sebegitu? "Jika sokong salah, tak sokong salah, apa yang saya harus buat? Jika memohon bantuan juga salah, beritahu saya sebabnya dan saya akan tarik diri (meletak jawatan), tak payah susah-susah ambil tindakan," katanya. Menurut bekas Menteri Besar Perlis itu, beliau sedih dengan apa yang berlaku apabila melihat banyak pihak memegang sepanduk serta melakukan pelbagai perkara lagi untuk mendesak perubahan dalam FAM.

Shahidan yang menganggap dirinya sebagai penyokong utama Presiden FAM kerana percaya terhadap kemampuan beliau mentadbir FAM dengan berkesan bagaimanapun tetap mahukan badan induk bola sepak negara itu membuat transformasi, termasuk memperkasa persatuan bola sepak negeri.


Katanya, setakat ini, beliau belum dihubungi pihak FAM berhubung 'kelantangannya' itu.


Semalam, Arena Metro melaporkan Shahidan bakal berdepan tindakan disiplin berikutan tuntutannya terhadap transformasi kebajikan persatuan negeri daripada FAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Dominasi Maria

Posted: 16 Jan 2013 08:46 AM PST

Melbourne: Maria Sharapova meneruskan dominasinya semalam ketika pilihan kesembilan, Samantha Stosur terkandas pada kejohanan tenis Terbuka Australia, manakala spekulasi hangat diperkatakan mengenai tahap kecergasan Serena Williams.

Pemain nombor dua dunia dari Russia itu bagaikan mengajar pemain muda Jepun, Misaki Doi bermain tenis dengan keputusan berat sebelah 6-0, 6-0 sekali gus memastikan pertembungan dengan juara Grand Slam tujuh kali, Venus Williams pada pusingan ketiga.


Maria turut membelasah lawan pusingan pertama 6-0, 6-0 untuk muncul pemain wanita pertama sejak Wendy Turnbull pada Terbuka Australia 1985 tidak memberikan sebarang mata kepada lawan dalam dua perlawanan berturut-turut bagi acara Grand Slam.

"Saya hanya mahu keluar ke gelanggang kerana tidak banyak perlawanan tahun ini," katanya. "Saya amat teruja untuk kembali ke gelanggang." Persembahan menakjubkan itu berakhir hanya 47 minit, jauh berbeza dengan pemain Australia, Samantha yang mensia-siakan lima permainan terakhir untuk memberikan pemain China, Zheng Jie laluan ke pusingan berikutnya.


Samantha yang kecundang pada pusingan pertama acara WTA di Brisbane dan Sydney tahun ini, mendahului 5-2 pada set ketiga namun merudum di depan penyokong sendiri dan melakukan double-fault yang menghadiahkan Zheng Jie kemenangan 6-4, 1-6, 7-5.


Ketika Samantha berada di gelanggang, Serena mengadakan latihan secara tertutup dalam dewan, mencetus spekulasi mengenai kecergasannya apabila dia mengalami kecederaan buku lali, kelmarin.

Juara 15 Grand Slam itu yang menjadi pilihan utama kejohanan, mendakwa hanya kecederaan parah akan menghalangnya daripada beraksi pada pusingan kedua menentang pemain Sepanyol, Garbine Muguruza, hari ini.


Sementara itu, pilihan keempat, Agnieszka Radwanska meneruskan permulaan cemerlang musim ini untuk mara bersama bintang China, Li Na dan pilihan kelima, Angelique Kerber.

Agnieszka meraih kemenangan ke-11 berturut-turut tahun ini ketika meneruskan rentak kemenangan berikutan kejuaraan di Auckland dan Sydney sebelum tampil pada kejohanan pertama Grand Slam tahun ini.


Pemain Poland itu menundukkan Irina-Camelia Begu, 6-3, 6-3 dengan azam memperbaiki rekod ke suku akhir di Melbourne dan kini berdepan pemain Britain, Heather Watson.


Ketika Agnieszka tidak berdepan masalah mengatasi pemain Romania itu, bekas juara Terbuka Perancis, Li Na terumbang-ambing sebelum menang 6-2, 7-5 ke atas Olga Govortsova dari Belarus. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Djokovic mudah benam cabaran Harrison

Posted: 16 Jan 2013 08:46 AM PST

Melbourne: Novak Djokovic berada dalam kelas tersendiri ketika membenam Ryan Harrison sekali gus layak ke pusingan ketiga kejohanan tenis Terbuka Australia, semalam.

Pemain nombor satu dunia itu tampil dengan persembahan mengagumkan, mengatasi pemain muda Amerika Syarikat (AS) itu 6-1, 6-2, 6-3 dalam masa hanya satu jam 31 minit dengan aksi bertaraf tinggi di Arena Rod Laver.


Djokovic, juara tiga kali yang memburu kejuaraan Terbuka Australia kali ketiga berturut-turut, akan berdepan pemain Republik Czech, Radek Stepanek pada pusingan ketiga.

"Saya cuba fokus pada permulaan perlawanan dan sedar dia tidak bimbang apa-apa dan akan tampil dengan servis kencangnya tapi saya berjaya meraih mata break penting pada permulaan perlawanan," kata Djokovic.


"Saya mendahului satu set selepas 20 minit dan ia satu kelebihan moral dan saya berasa lebih selesa di gelanggang.


"Dia gagal mempamerkan permainan terbaiknya, mungkin kerana terpaksa beraksi di gelanggang tengah tapi saya ucapkan selamat berjaya kerana dia mempunyai masa depan yang bagus." Terdahulu, David Ferrer dipaksa bermain empat set dan lima mata penamat manakala Tomas Berdych mara mudah ke pusingan ketiga.

Pilihan keempat dari Sepanyol, Ferrer dipaksa bekerja keras oleh pemain ranking ke-125 dari AS, Tim Smyczek sebelum menang 6-0, 7-5, 4-6, 6-3 dalam masa dua jam 38 minit di Arena Margaret Court.


Namun pilihan kelima, Berdych tidak berdepan masalah apabila menang 6-2, 6-2, 6-4 ke atas pemain Perancis, Guillaume Rufin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

McGinley dilantik kapten Eropah

Posted: 16 Jan 2013 08:45 AM PST

Abu Dhabi: Paul McGinley tampil bangga semalam selepas dilantik kapten Piala Ryder Eropah bagi kejohanan dwitahunan menentang Amerika Syarikat tahun depan.

Pemain berusia 46 tahun dari Ireland yang menolak masuk putt kemenangan pada 2002 di The Belfry, menjadi pilihan sebulat suara jawatankuasa pemain pada satu mesyuarat di Abu Dhabi dan muncul kapten pertama dari Ireland dalam sejarah kejohanan itu yang bermula pada 1927.


Pengerusi jawatankuasa, Thomas Bjorn berkata, lima nama dicalonkan, McGinley, kapten 2010, Colin Montgomerie, Paul Lawrie, Miguel Angel Jimenez dan Sandy Lyle.

"Saya amat teruja. Ia satu pengalaman berharga dan saya tidak sabar memikul peranan sebagai kapten dan bekerjasama dengan pemain," kata McGinley.


"Saya terlalu gembira dan amat penting mempunyai kapten yang masih terbabit secara kerap dengan pemain dalam jelajah dan itulah yang akan saya lakukan dalam tempoh 18 bulan akan datang hingga kejohanan bermula." McGinley menggantikan kapten dari Sepanyol, Jose Maria Olazabal yang menjadi inspirasi kebangkitan Eropah melakar kemenangan di Illinois, September lalu.


Dia berterima kasih kepada pemain seperti pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy, ranking ketiga, Luke Donald dan wira Piala Ryder tahun lalu, Ian Poulter kerana sokongan mereka hingga menjurus kepada pelantikannya bagi kejohanan 2014 di Gleneagles, Scotland.

"Paul McGinley kapten Piala Ryder Eropah 2014!!!," tulis McIlroy dalam akaun Twitter miliknya. "Terlalu gembira buatnya... jumpa di Gleneagles." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Gandingan mantap

Posted: 16 Jan 2013 08:45 AM PST

Seremban: Aksi mantap dipamerkan Kumpulan G membantu mereka menjuarai Kejohanan Bowling Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan 2013 selepas berjaya mengumpul 880 jatuhan pin di U-Bowl Jusco Seremban 2, baru-baru ini.

Gandingan Zahari Md Rodzi, Mohd Zaini Nawahwi, Mohd Syahril Mohd Zan dan Muhamad Izzat Rahim ditentang hebat peserta kumpulan lain terutama Kumpulan B yang menduduki tempat kedua.


Kumpulan B yang mengumpul 864 jatuhan pin diwakili gandingan Nur Fadhlina Abdullah, Md Nadzri Salleh, Dr Ahmad Taufek Abd Rahman dan Mohd Hilmi Hassan.

Tempat ketiga dimenangi Kumpulan A yang dianggotai Nor Azizah Mohammad Amin, Abdul Halim Malek, Nur Amirah Abdul Halim dan Nur Faqihah Abdul Halim, 787 jatuhan pin.


Zahari turut berjaya meraih gelaran berganda apabila menjuarai kategori individu lelaki selepas mencipta 265 jatuhan pin meninggalkan pesaing terdekat, Md Nadzri Salleh (263) manakala tempat ketiga milik Dr Ahmad Taufek Abd Rahman (237).


Bagi kategori individu wanita, juara milik Nur Faqihah Abdul Halim, 210 jatuhan pin diikuti tempat kedua, Nor Azizah Mohammad Amin (209) dan tempat ketiga Aznin Baharuddin (194).

Pegawai Bahagian Perhubungan UiTM Negeri Sembilan, Wan Elina Faradilla Wan Khalid berkata, kejohanan anjuran Biro Kebajikan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Negeri Sembilan itu disertai 30 peserta kalangan pensyarah dan kakitangan UiTM.


Katanya, kejohanan itu bertujuan merapatkan hubungan selain mencungkil bakat baru serta menjadikan sukan bowling sebagai aktiviti sukan yang mampu mengharumkan nama universiti itu.

"Saya yakin aktiviti seperti ini bukan saja dapat merapatkan hubungan malah mampu mengharumkan nama UiTM yang sentiasa berusaha melahirkan atlet sukan berprestasi tinggi untuk kepentingan universiti dan juga negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

UiTM idam juara Terbuka Melaka

Posted: 16 Jan 2013 08:44 AM PST

Melaka: Universiti Teknoloi Mara (UiTM) bakal menghantar lapan atlet pada Kejohanan Boling Padang Terbuka Melaka anjuran UiTM Melaka di Kompleks Sukan Hang Jebat Paya Rumput pada 16-17 Februari.

Pegawai Sukan UiTM, Haslah Hasan berkata, skuad itu bakal menyenaraikan atlet terbaik pada kejohanan yang turut disertai Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta lain.


Pengalaman dua atlet yang pernah mewakili pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor diyakini mampu membuahkan kejayaan.

"Walaupun saingan sengit terutama daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kami yakin atlet mampu menyerlah," katanya.


Haslah, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1998 bagaimanapun terpaksa membahagikan pasukan kepada dua kumpulan yang memiliki kekuatan seimbang kerana pada 13-16 Februari ini turut berlangsung Kejohanan Piala Harimau di Bukit Kiara.


"Kami harap pasukan mampu mencipta kejayaan pada kedua-dua kejohanan walaupun terpaksa memisahkan gandingan demi memenuhi misi muncul juara kejohanan.

"Saya sentiasa memberi tunjuk ajar dan mencurah pengalaman kepada semua atlet demi merealisasikan hasrat melahirkan bintang baru untuk skuad negara." Selain cemerlang di Komanwel, Haslah pernah meraih emas di Sukan Sea Brunei 1999, Kuala Lumpur 2001 dan Manila 2005.


Beliau bersama rakan lain turut menyumbang kejayaan di Sukan Asia Pasifik New Zealand 1999, 2001 dan 2003 dengan memenangi 1 emas, 2 perak dan 2 gangsa.

"Setakat ini UiTM berjaya melahirkan 25 atlet berpotensi dan 11 daripadanya kini menuntut di UiTM Shah Alam," kata Haslah lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Bukan medan tempur senjata

Posted: 16 Jan 2013 08:43 AM PST

Kota Bharu: Kehadiran anggota tentera termasuk komando Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) yang lengkap bersenjata api di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin mengundang tanda tanya penyokong Kelantan sekali gus mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara itu.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, isu itu perlu dipandang serius FAM kerana ia dilihat boleh mencemarkan liga bola sepak tempatan.


Katanya, kehadiran tentera di stadium seperti memperlekeh kemampuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan polis untuk menjaga keselamatan.

"Bagi saya, FAM perlu mengambil tindakan tegas dan tidak memandang remeh isu itu. Sebelum ini, tidak pernah anggota tentera bersenjata mengawal stadium seperti mahu berperang.


"Kehadiran mereka juga seperti tidak percaya dengan kemampuan kawalan keselamatan disediakan KAFA dan polis kerana selama ini KAFA dan polis yang menjaga keselamatan di stadium," katanya.


Sementara itu, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau diberitahu Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), mereka diarah pihak atasan untuk membawa anggota tentera termasuk komando bersenjata pada perlawanan itu.

Katanya, membawa tentera bersenjata api dianggap tidak perlu dalam perlawanan bola sepak selain berharap perkara itu tidak berulang kerana ia tidak patut dilakukan, malah di luar peraturan.


"Saya dimaklumkan Setiausaha PBNJ, mereka diarah pihak atasan membawa tentera termasuk komando. Saya sudah menjelaskan kepada mereka, perkara itu tidak perlu kerana hal keselamatan menjadi tanggungjawab KAFA dan semua sudah diatur dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

SPRM siasat pengadil

Posted: 16 Jan 2013 08:29 AM PST

Kota Bharu: Tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) yang menimbulkan kontroversi, malam kelmarin, rupa-rupanya tidak berakhir setakat itu saja kerana beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Sumber berkata, pegawai SPRM dilihat memasuki bilik persalinan pengadil di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu selepas perlawanan berakhir 10 minit dan mengambil keterangan pengadil, Suhaimi Mat Hassan. "Ia prosedur biasa bagi SPRM untuk menjalankan siasatan jika ada unsur dan kecenderungan menjual perlawanan," katanya.


Pada perlawanan itu, Suhaimi dikatakan menamatkan perlawanan lebih awal walaupun ada lagi beberapa minit masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

PKNS peroleh tonik terbaik

Posted: 16 Jan 2013 08:28 AM PST

Kuala Lumpur: Kejayaan mengejutkan LionsXII kelmarin nyata satu kejayaan besar bagi pasukan kerdil, PKNS Selangor mengubat kekecewaan tewas dua perlawanan awal.

Pengurus pasukan, Azmi Adnan berkata, kemenangan itu juga menjadi penyuntik semangat kepada barisan pemainnya untuk terus mengutip tiga mata apabila bertemu T-Team di gelanggang lawan esok.


"Saya tak nafikan pada dua perlawanan pertama kami memang kecewa kerana tewas kedua-duanya. Kami tidak bernasib baik ketika bertemu Kelantan manakala gagal beraksi dengan baik pada pertemuan menentang ATM.

"Semalam (kelmarin), pengurusan tetap menaruh keyakinan kepada pemain dan meminta mereka menganggap ia satu pertemuan final.


"Akhirnya mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik meskipun tanpa dua tonggak import. Bagi saya, setiap pemain wajar dipuji kerana mereka beraksi habis-habisan," katanya.


Patrik Ronaldinho tidak dapat beraksi pada perlawanan kelmarin kerana memenuhi hukuman penggantungan perlawanan selepas dilayang kad merah ketika bertemu ATM manakala Helmi Loussaief berdepan kecederaan.

Azmi berkata, untuk pertemuan T-Team esok, PKNS berdepan satu lagi ujian getir tapi beliau tetap berharap anak buah Abdul Rahman Ibrahim dapat terus mengutip tiga mata.


"Kami sedar ia tugas sukar tapi saya percaya jurulatih ada ramuan terbaik untuk memastikan kami terus mengutip tiga mata."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

Amri tarik nafas lega

Posted: 16 Jan 2013 08:28 AM PST

Kuala Lumpur: Ledakan pertama Mohd Amri Yahyah ketika membenam Terengganu 2-1 di gelanggang lawan kelmarin, melegakan penyerang veteran Selangor itu kerana ia satu permulaan yang baik baginya.

Berbanding musim lalu yang menyaksikan bekas penyerang kebangsaan itu lambat panas, Amri mengaku gol pertamanya kelmarin pada saingan Liga Super musim ini menjadi suntikan semangat kepadanya untuk terus menjadi mesin penjaring gol skuad Gergasi Merah.


"Saya tak mahu berlaku seperti musim lalu apabila bermula agak perlahan dan gagal menjaringkan gol. Sebab itu saya rasa agak lega dapat jaringkan gol pada awal musim.

"Ini adalah satu permulaan yang baik dan saya harap dapat menjaringkan lebih banyak gol sepanjang musim ini," katanya.


Amri turut mengaku gandingannya di barisan depan bersama penyerang import baru Selangor, Forkey Doe semakin serasi.


"Walaupun setakat ini dia belum menjaringkan gol tapi Forkey banyak memberi hantaran cantik kepada saya dan membantu pergerakan rakan sepasukan lain." Penyerang berusia 31 tahun itu turut mengaku kekurangan tumpuan ke atas Selangor pada awal musim ini memudahkan pasukannya meraih keputusan terbaik selepas tiga perlawanan.

"Memang saya akui musim ini Selangor nampak agak tenggelam berbanding pasukan lain seperti Johor (Darul Takzim) kerana kami tidak dibarisi ramai pemain bintang.


"Tapi ia sebenarnya bagus untuk kami kerana tidak terlalu tertekan ketika turun pada perlawanan sebenar dan barisan pemain sedia ada sentiasa menunjukkan komitmen tinggi untuk meraih kemenangan.

"Kami akan cuba mengekalkan prestasi ini dan terus memberi tumpuan sepenuhnya pada setiap perlawanan." Selangor kini menduduki tangga ketiga selepas tiga perlawanan dengan meraih dua kemenangan serta tewas satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/17

No comments:

Post a Comment