Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Drama padang pasir Sahara

Posted: 19 Jan 2013 04:20 AM PST

Algiers: Kumpulan militan Islam semalam mendakwa, mereka masih menahan sejumlah warga asing sebagai tebusan di loji gas terpencil di padang pasir Algeria, hampir 48 jam selepas operasi cubaan menyelamat membunuh sekurang-kurangnya 12 daripada rakan mereka.

Sumber keselamatan Algeria berkata, tujuh warga asing dijadikan tebusan kumpulan berkenaan, membabitkan tiga warga Belgium, dua Amerika Syarikat dan masing-masing seorang dari Jepun dan Britain.


Seorang anggota keselamatan mendakwa ada 10 warga asing masih menjadi tebusan di kompleks loji gas di Padang Pasir Sahara di timur laut Algeria itu. Kawasan berkenaan terletak berhampiran sempadan Libya. Kata sumber itu, selain 10 warga asing terbabit, lebih ramai pekerja loji berkenaan masih gagal dikesan, termasuk sekurang-kurangnya 10 warga Jepun dan lapan Norway. "Tiada sebarang perubahan sejak semalam (kelmarin) dan situasi di loji itu masih sama," katanya. Sementara itu, media Algeria menyelar pihak berkuasa negara itu yang enggan memberikan butiran mengenai insiden berkenaan.

Menurut mereka, kebanyakan maklumat drama tebusan itu diperoleh dari media antarabangsa melalui agensi berita Mauritius, ANI.


Agensi berita ANI pula mendapat banyak maklumat daripada kumpulan yang menyerang loji berkenaan. Jurucakap kumpulan itu berkata, 34 tebusan maut apabila komando Algeria menyerbu loji berkenaan kelmarin, sehari selepas mereka menawannya.


Bagaimanapun, agensi berita Algeria, APS, mendakwa operasi ketenteraan itu mengorbankan 12 tebusan dan 18 penculik.

Namun, kata APS, 100 daripada 132 tebusan warga asing telah berjaya dibebaskan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Kadar kes rogol lonjak 23 peratus

Posted: 19 Jan 2013 04:15 AM PST

New Delhi: Perangkaan rasmi kerajaan menunjukkan, kadar kes rogol di New Delhi melonjak 23 peratus pada 2012 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Statistik itu dikeluarkan menjelang bermulanya perbicaraan enam suspek yang menculik, merogol dan membunuh seorang mahasiswa perubatan bulan lalu.


Pesuruhjaya Polis Delhi Neeraj Kumar, berkata kadar kes rogol yang disabitkan di daerah itu jauh lebih tinggi berbanding apa yang dicatatkan di peringkat kebangsaan. "Tetapi kami tidak memandang ringan isu ini dan kita perlu berusaha lebih gigih," katanya.

Pada 2012, kata Neeraj, 706 kes dilaporkan dan ia adalah peningkatan 23.34 peratus berbanding 2011. Selepas kejadian menggemparkan di New Delhi itu dilaporkan, polis menerima kira-kira 45 laporan kes rogol dan 75 kes cabull. New Delhi yang didiami kira-kira 16 juta orang digelar pusat kes rogol di India sejak sekian lama, sekali gus meletakkan bandar raya itu sebagai lokasi paling tidak selamat untuk wanita. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Jumpa mayat di pinggir tebing

Posted: 19 Jan 2013 04:14 AM PST

Jakarta: Jumlah korban akibat bencana banjir di Jakarta meningkat kepada 14 orang selepas penyelamat menemui tiga lagi mayat, semalam.

Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, mayat anggota skuad pencari dan penyelamat bandar raya itu ditemui di pinggir tebing sebuah sungai yang melimpah lewat kelmarin.


Menurut kenyataan agensi itu, satu lagi mayat lelaki ditemui berhampiran rumahnya yang ditenggelami air di barat Jakarta. Mayat ketiga adalah seorang buruh lelaki yang ditemui semalam di tingkat bawah sebuah bangunan di tengah Jakarta. "Kebanyakan mangsa terbunuh akibat terkena renjatan elektrik atau lemas," kata kenyataan agensi berkenaan. Bekalan elektrik dipotong di beberapa kawasan dinaiki air bagi mengelak berlaku lebih banyak tragedi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Pindah atau bina terowong?

Posted: 19 Jan 2013 04:13 AM PST

Jakarta: Puncak banjir dahsyat di Ibu Negara Indonesia, Jakarta, Khamis lalu, melahirkan banyak perbincangan mengenai tiga perkara, iaitu kerugian ekonomi yang mencapai jutaan ringgit, wacana pemindahan ibu negara Indonesia dan rancangan Gabenor Jakarta, Joko Widodo, untuk mencontohi Malaysia membina terowong yang menyerupai sistem kawalan banjir SMART (Stormwater Management and Road Tunnel) di Kuala Lumpur, Malaysia.

Cara kerja SMART Tunnel Kuala Lumpur untuk mengalirkan air banjir ke dua sungai utama dekat bandar Kuala Lumpur itu sangat menarik minat Joko widodo untuk menirunya.


Sebelum itu, Persatuan Pengusaha Indonesia (Appindo) menerbitkan maklumat bahawa dalam satu hari kerugian yang disebabkan oleh banjir tidak kurang daripada RM170 juta. Jika jumlah semua kerugian diambil kira, ia dijangka mencapai RM3 bilion.

Dua banjir besar di Jakarta pada 2002 dan 2007 menyebabkan kerugian masing-masing tidak kurang RM 2.3 bilion.


Mengenai rancangan memindahkan ibu negara Indonesia ke luar Jakarta, ia sudah dibicarakan di peringkat pemerintahan tertinggi. Bahkan presiden pertama Indonesia, Sukarno, mengambil kira bahawa Jakarta akan sukar menjadi ibu negara Indonesia di masa depan. Demikian juga dengan Suharto dan Megawati Sukarno Putri, dua presiden selepas Sukarno yang pernah membangkitkan kepentingan ibu negara dipindahkan. Pada 2010, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan sokongannya kepada idea memindahkan ibu negara dari Jakarta. Lima alasan paling utama adalah, faktor Jakarta yang sangat sesak, banjir sering melanda setiap musim hujan, prasarana pengangkutan awam yang buruk, banyak kawasan kotor dan kumuh, serta padat dan sempit kerana jumlah penduduk.


Berdasarkan data Polis Daerah Jakarta, jumlah jualan kereta di Jakarta terus meningkat sebanyak 11 peratus setiap tahun. Pada April 2012, jumlah kereta dan motor di Jakarta adalah 13.346.802 unit dan angka itu terus bertambah ketika isu banjir terus mengepung Jakarta setiap tahun. Jakarta dikenali dengan saranan pengangkutan yang buruk, jauh tertinggal dari ibu negara lain di ASEAN seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Bangkok. Pengangkutan awam Jakarta adalah mimpi buruk. Lihat saja sistem pengangkutan awam ketika waktu orang ramai pergi dan pulang pejabat. Ancaman gangguan seksual juga sering terjadi di dalam busway dan kereta api Jabodetabek. Lalu naik pengangkutan awam bandar (angkot), Metromini atau Kopaja, juga tidak selesa kerana ancaman penyeluk saku, gangguan pengamen dan pedagang jalanan.

Jakarta juga sangat padat dan sempit. Penduduk rasmi Jakarta lebih 10 juta orang dengan tahap kepadatan mencapai 15.427 penduduk per kilometer persegi. Bahkan di siang hari, Jakarta disesaki lebih 14 juta jiwa kerana penduduk Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi yang bekerja di Jakarta. Pemandangan Jakarta seperti 'kampung besar', kerana kawasan yang begitu padat. dan sumpek menjamur di balik gedung-gedung perkantoran mewah mencakar langit.


Sedangkan pemandangan kumuh Jakarta mudah dilihat dengan pandangan mata. Sisi-sisi sepanjang sungai dipadati gubuk-gubuk semi kekal, Sungai Ciliwung kotor dan penuh sampah, saluran air berlumpur tebal, tebaran sampah mudah dilihat di sudut-sudut Jakarta kerana penduduk Jakarta tidak segan membuang sampah di mana saja. Menurut data Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, tahun 2011, ada 392 kawasan kumuh di wilayah Jakarta.

Beberapa bandar disebut sebagai pengganti Jakarta, iaitu Palangkaraya (Ibu Kota Kalimantan Tengah), Karawang (bandar di pantai utara Pulau Jawa, Jawa Barat), Jonggol (sebuah daerah, 70 kilometer di selatan Jakarta), Palembang dan Lampung (kedua-duanya di Pulau Sumatera), dan Purwokerto (Jawa Tengah.) Namun Joko Widodo enggan mendengar perbicangan ramai mengenai pemindahan ibu negara, kerana ia lebih fokus untuk membina terowong di Jakarta. Ketika meninjau saluran air di jalan protokol Jakarta akhir Disember lalu, Joko Widodo nampak hairan kerana saluran air di Jakarta hanya selebar 60 sentimeter. "Dengan selebar itu, apabila dipenuhi tanah dan sampah, ia pasti akan banjir," katanya. Menurut Joko Widodo, selain pembersihan saluran air dan mengorek mendapan sungai, penduduk Jakarta perlu lebih berdisiplin dengan tidak membuang sampah merata-rata serta menjaga kebersihan bersama.


"Harus ada penyelesaian kerana Jakarta sudah puluhan tahun dilanda banjir.


"Misalnya, membina terowong gergasi atau empangan air bawah tanah, dengan diameter 16 meter, dari selatan ke utara, dari Jalan MT Haryono hingga ke Waduk Pluit sepanjang 19 kilometer dengan bayaran Rp16 triliun (RM5.3 bilion)," katanya. Menurut Joko Widodo, terowong tiga tingkat itu mempunyai kedalaman 40 meter dengan diameter 17 meter dan dua peringkat adalah untuk jalan, manakala satu peringkat yang paling bawah untuk air. Terowong itu juga akan dimanfaatkan sebagai tempat kabel elektrik, kabel telefon dan saluran pembuangan sisa.


"Apabila siap nanti, terowong gergasi 'deep tunnel' itu akan menjadi terowong pelbagai kegunaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Thailand kecam isu Rohingya

Posted: 19 Jan 2013 04:13 AM PST

Bangkok: Ketua Tentera Thai, Jeneral Tanasak Patimapragorn semalam mengecam masyarakat antarabangsa kerana lepas tangan terhadap isu pelarian Rohingya.

Menurutnya, sementara organisasi antarabangsa menekankan perlunya bantuan disalurkan kepada pelarian Rohingya, mereka tidak memberikan bantuan secara langsung dan akhirnya Thailand terpaksa memikul beban untuk menjaga kebajikan pelarian berkenaan. Beratus-ratus pelarian Rohingya ditahan di Songkhla, Narathiwat, Trang, Pattani dan Phangnga di selatan negara itu minggu lalu ketika dalam percubaan untuk memasuki Malaysia.


Seramai 949 pelarian berkenaan ditahan di Thailand semalam.

Patimapragorn berkata, sama ada kem pelarian perlu dibina di negara itu bagi pelarian terbabit terserah kepada keputusan kerajaan. Dia berkata, Thailand merasa bertanggungjawab untuk menyediakan perlindungan jangka pendek dan bantuan kepada pelarian itu atas dasar kemanusiaan, tetapi untuk jangka panjang mereka perlu meninggalkan negara itu.


Menurutnya, Thailand bukan negara sasaran pelarian Rohingya, tetapi hanya sebagai persinggahan digunakan mereka untuk melarikan diri ke negara dunia ketiga.


Perdana Menteri Yingluck Shinawatra kelmarin berkata, kerajaan Thailand akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai strategi terbaik untuk membendung pelarian Rohingya daripada meninggalkan Myanmar secara beramai-ramai, selain mengenal pasti negara dunia ketiga yang bersesuaian untuk pelarian itu tinggal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Dua maut jeepney rempuh lori

Posted: 19 Jan 2013 04:12 AM PST

Bandar raya Cebu: Dua wanita terbunuh, manakala 15 lagi penumpang cedera malam semalam apabila kenderaan jeepney merempuh sebuah lori sampah di Barangay Magdugo bandar Toledo kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Cebu.

Seorang daripada dua mangsa yang maut dikenali sebagai Mary Rose Bangkok, kata pegawai polis kanan Toledo, Lorenzo Mahilum. Mangsa kedua belum dikenal pasti identitinya.


Mahilum berkata, penumpang jeepney itu dalam perjalanan menuju ke Barangay DAS dari Barangay Poblacion kira-kira jam 7 malam.

Apabila tiba di Magdugo, jeepney itu tiba-tiba merempuh sebuah lori sampah yang diparkir di tepi jalan. Bagaimanapun, pemandu lori terbabit tiada dalam kenderaannya kerana sedang menjamu selera di restoran berhampiran. Mahilum berkata, dua wanita itu yang cedera parah di kepala segera dikejarkan ke hospital Toledo tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba. Sementara itu, 15 lagi mangsa yang cedera masih menerima rawatan di beberapa hospital berasingan. - Philippines Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Baju Merah ancam adakan perhimpunan

Posted: 19 Jan 2013 04:12 AM PST

Bangkok: Gerakan Baju Merah mengancam untuk mengadakan perhimpunan akhir bulan ini bagi menuntut kerajaan memberikan pengampunan kepada tahanan politik dan membayar pampasan kepada mereka yang dibebaskan.

Proses membayar pampasan kepada anggota Baju Merah yang didakwa, ditahan dan kemudian dibebaskan daripada tuduhan dikenakan pada keganasan 2010 dilakukan secara perlahan hingga meningkatkan tidak puas hati di kalangan mereka yang terbabit. Arthit Baosuwan, seorang daripada anggota yang dibebaskan berkata, hanya puluhan tahanan layak untuk mendapatkan bayaran yang diluluskan kerajaan sebulan lalu. Ini termasuk lima anggota Baju Merah daripada kes Wat Saphan di kawasan Din Daeng, 11 dari wilayah Udon Thani dan 13 dari Ubon Ratchathani.


"Seramai 1,800 yang ditahan atas pelbagai tuduhan, majoriti masih dipenjarakan di bawah akta darurat. Mereka ini layak dibebaskan dan mendapat pampasan berdasarkan pembaharuan Kabinet," katanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Askar Kachin ragui gencatan senjata kerajaan

Posted: 19 Jan 2013 04:11 AM PST

Naypyidaw (Myanmar): Pemberontak Kachin semalam menyatakan keraguan terhadap rayuan kerajaan Myanmar untuk mengakhiri serangan tentera selepas beberapa minggu pertempuran sengit yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Keputusan kerajaan kelmarin dibuat selepas Parlimen negara itu menggesa agar pertempuran yang menyebabkan puluhan orang maut di utara negeri Kachin terbabit dihentikan. Konflik antara tentera kerajaan dan Askar Pembebasan Kachin (KIA) semakin tegang sejak beberapa minggu lalu dengan penggunaan serangan udara oleh tentera, menggesa Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyuarakan kebimbangan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Britney Spears putus tunang

Posted: 12 Jan 2013 05:49 AM PST

Los Angeles: Bintang pop Britney Spears semalam memutuskan pertunangannya dengan Jason Trawick dan menarik diri daripada menjadi juri selebriti dalam rancangan mencari bakat nyanyian, X Factor.

Britney, 31, dan Trawick, 41, yang juga bekas ejennya bertunang pada Disember 2011. "Trawick dan saya memutuskan untuk membatalkan pertunangan kami. Saya akan sentiasa memujanya dan kami akan kekal sebagai kawan baik," katanya dalam satu kenyataan.


Pasangan itu mula berpacaran pada Mei 2010, selepas beberapa tahun berdepan dengan kerumitan hidup, termasuk kehilangan hak penjagaan dua anaknya, memasuki pusat rawatan dan mencukur rambutnya.

Dalam satu kenyataannya, Trawick berkata: "Apabila episod ini berakhir buat kami, episod baru akan bermula. Saya selalu akan menyayangi dan mengingati Britney serta anak lelakinya. Kami akan terus menjadi teman rapat selamanya," katanya.


Trawick adalah calon suami ketiga buat Britney. Sebelum ini dia menceraikan Kevin Federline pada 2006 dan mempunyai dua anak bersama penari itu.


Britney juga pernah berkahwin dengan kawan zaman kanak-kanaknya, Jason Alexander di Las Vegas pada 2004. Perkahwinan itu bertahan hanya 55 jam sebelum penyanyi itu membatalkannya. Britney dan Trawick mengumumkan perpisahan mereka pada hari sama penyanyi "Toxic" itu mengesahkan pengunduran diri daripada rancangan X Factor hanya selepas setahun menjadi juri rancangan nyanyian terbitan Fox itu. Dia memberitahu sudah sampai masanya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Potret Kate dikritik nampak tua

Posted: 12 Jan 2013 05:45 AM PST

London: Potret rasmi diraja pertama Duchess of Cambridge, Kate Middleton dipamerkan kelmarin di Galeri Potret Nasional di sini.

Meskipun isteri Putera William itu gembira dengan sentuhan akhir karya itu, tetapi ulasan mengenai lukisan berkenaan bercampur baur.

"Nampaknya Paul Emsley terdorong dengan sentuhan 'pelukis agung' dalam lukisannya. Kate tampil separuh tersenyum seperti senyuman Mona Lisa yang begitu misteri seolah-olah dia menyimpan rahsia," kata Pengarang Eksekutif ArtNews, Robin Cembalest.

"Bercakap mengenai kritikan diterima, sukar untuk melukis potret seseorang yang terkenal mengikut cara disukai ramai," katanya.


Aduan utama daripada artis dan pengkritik menyatakan, potret itu membuatkan Kate kelihatan lebih tua.


"Bagaimana seseorang boleh menghasilkan wanita jelita, muda dan lemah lembut seperti Kate kelihatan seperti anak dara tua?," tanya Tom Sykes dari The Daily Beast.

"Potret Kate Middleton sudah dipamerkan dan dia kelihatan seperti berusia 53 tahun," lapor satu tajuk berita dalam akhbar The Star.

Namun, pengasas dan pengarang laman web kesenian yang berpejabat di New York, Paddy Johnson berkata, kekurangan personaliti dalam potret itu adalah kesalahan utamanya.

"Kate meminta Emsley menggambarkan wajahnya secara semula jadi tanpa bertanya sama ada itu adalah kemahiran utama artis terbabit. Ternyata tidak. Emsley ialah pelukis hidupan liar, terkenal dengan hasil lukisan yang mengalihkan subjek daripada persekitaran semula jadi," katanya kepada Shine.

"Dia melakukan perkara sama dengan karya ini meletakkan Kate mengikut personaliti tertentu kurang latar belakang dan daripada membentuk sentuhan misteri seperti mana dilakukan ketika dia melukis imej badak, ia mematikan kerja seninya. Potret yang baik menghidupkan jiwa objek lukisannya dan bukan mematikannya," kata Johnson.

Potret Kate itu dilukis Emsley berdasarkan foto yang diambil dalam satu daripada dua pertemuan pelukis terbabit dengan isteri William itu.

Kate menekankan dia mahu kelihatan seperti "dirinya secara semula jadi dan bukan dirinya secara rasmi" dalam potret yang dihasilkan itu, kata Emsley kepada Daily Mail.

Bagaimanapun, pengkritik seni Britain berpendapat Emsley keterlaluan dengan gambaran realistiknya mengenai Kate, menyifatkan ia sebagai gagal sepenuhnya.

"Nasib baik, Duchess of Cambridge tidak kelihatan seperti itu dalam kehidupan sebenar. Saya benar-benar sedih untuk mengatakan ini adalah potret yang teruk," kata pengkritik seni Daily Mail, Robin Simon. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

No comments:

Post a Comment