Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sukar lepasi pintu

Posted: 20 Jan 2013 09:35 AM PST

Los Angeles: Mikel Ruffinelli tidak segan mempamerkan pinggulnya, yang terbesar di dunia dengan ukur lilit lebih 244 sentimeter.

Dalam keadaan sedemikian, ibu empat anak itu terpaksa bergelut untuk memasuki pintu dan memerlukan dua tempat duduk ketika menaiki pesawat.


Mikel, 39, yang seberat 190 kilogram (kg) terpaksa memandu trak kerana tidak muat untuk masuk ke dalam kereta. Dia juga memerlukan sebuah kerusi yang kuat untuk duduk dan berehat di dalam rumah.

Bagaimanapun, wanita itu yang hanya mempunyai berat 63kg ketika berusia belasan tahun, bangga dengan bentuk tubuhnya. Dia tidak mempunyai rancangan untuk menurunkan berat badan meskipun sering diejek.


"Ke mana saja saya pergi, pinggul saya akan menjadi tumpuan. Ada yang mengejek dan ada yang memuji. Apabila saya berjalan di jalan raya, saya boleh mendengar bunyi klik kamera telefon dan orang akan mentertawakan saya. "Saya pernah terdengar orang sekeliling berkata, 'Tengok pinggulnya yang besar.'
Ada orang menyangka saya menjalani pembedahan untuk membesarkan pinggul saya. Tetapi, ia sebenarnya asli. Mungkin ia kesan daripada mempunyai empat anak. Tetapi keluarga saya memang berpinggul besar," kata wanita itu.

Foto

MIKEL bangga dengan bentuk badannya.

Mikel bersaiz normal seperti kanak-kanak biasa ketika remaja. Malah ketika berusia awal 20-an, berat badannya hanya 82kg.


Tetapi, pada usia 22, beratnya bertambah 25kg selepas melahirkan anak pertama, Andrew, yang kini 18. Selepas anak kedua, Destynee, 13, Autumn, lapan dan Justyce, tujuh, dilahirkan, beratnya meningkat mendadak dan pinggulnya terus membesar.

Meskipun dengan bentuk tubuhnya, Mikel hanya setinggi 195 sentimeter dan lilit pinggangnya pula 102 sentimeter.


Mikel dari Los Angeles mengaku berdepan dengan kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian akibat saiznya itu.


"Saya perlu membeli tiket untuk dua tempat duduk setiap kali menaiki pesawat atau kereta api kerana tak muat.


Ia sudah tentu mahal. Saya sanggup memandu trak daripada menaiki pengangkutan awam kerana ia cukup besar untuk saya.


Untuk berjalan menerusi ruang yang sempit juga menjadi masalah utama. Saya juga terpaksa mengiring untuk memasuki pintu masuk. Saya tidak boleh menutup pintu bilik air kerana pinggul saya tersekat.


Pernah berlaku satu kejadian di mana saya tersepit dalam bilik air dan tidak berdaya untuk keluar," katanya.


Namun, wanita itu masih dapat menyertai kegiatan keluarga seperti rutin untuk menyihatkan tubuh di rumah dan bersiar-siar di taman atau tepi pantai. "Mencari pakaian yang sesuai untuk bahagian bawah tubuh menjadi satu cabaran. Saya juga terpaksa menempah khas semua pakaian dalam saya waktu ini," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Pemimpin parti kena acu pistol

Posted: 20 Jan 2013 08:59 AM PST

Sofia: Seorang lelaki melompat naik ke atas pentas dan mengacu pistol ke kepala pemimpin parti etnik Turki Bulgaria.

Pengawal keselamatan bagaimanapun berjaya menjatuhkan lelaki itu. Peristiwa itu berlaku ketika satu persidangan parti yang disiarkan menerusi televisyen, semalam.


Pemimpin Pergerakan Untuk Hak Asasi dan Kebebasan, Ahmed Dogan tidak cedera dan punca dia menjadi sasaran penyerang di kongres parti itu masih tidak diketahui.

Rakaman televisyen menunjukkan lelaki itu melompat naik ke pentas dan mengeluarkan pistol yang di hala ke kepala Ahmed.


Pengawal keselamatan menjatuhkan penyerang itu sebelum dia dipukul dan ditendang berulang kali oleh perwakilan.


Polis berkata, mereka menahan penyerang berusia 25 tahun itu yang berasal dari bandar Burgas, berhampiran Laut Hitam. Lelaki itu turut membawa dua pisau.

Menteri Dalam Negeri, Tsvetan Tsvetanov berkata, penyerang itu cuba melepaskan dua das tembakan, tetapi 'kemungkinan besar tersasar.' Parti itu mewakili etnik Turki dan penganut Islam mewakili 12 peratus populasi Bulgaria daripada tujuh juta penduduk negara itu.


Kebanyakan penganut Islam Bulgaria bukan pendatang baru tetapi sudah beratus-ratus tahun menetap di negara itu sementara sebahagian besar etnik Turki adalah keturunan kerajaan Uthmaniyah.

"Masyarakat Bulgaria secara tradisinya terkenal kerana tolak ansur dan hormat menghormati antara kumpulan etnik dan agama. Tindakan seumpama itu tidak boleh diterima di sebuah negara demokrasi," kata Presiden Rosen Plevneliev dalam satu kenyataan mengulas kejadian itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Pegawai kanan jadi dalang

Posted: 20 Jan 2013 08:33 AM PST

Songkhla: Pegawai tentera daripada Kerahan Operasi Keselamatan Dalaman (Isoc) didakwa terbabit menyeludup masuk pelarian Rohingya ke Thailand, dedah siasatan polis.

Ketua Komander Tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha mengesahkan pembabitan pegawai tentera terbabit kepada Bangkok Post semalam. Sumber pegawai tinggi polis yang terbabit dalam kes itu berkata, siasatan mendapati penyeludupan pelarian Rohingya - kebanyakannya dari negeri Rakhine, di Myanmar ke Malaysia melalui Songkhla telah beroperasi selama beberapa tahun dan di bawah pengendalian beberapa pegawai tentera yang berpangkat mejar hingga kepada kolonel.


Sumber itu berkata, pegawai terbabit mempunyai kaitan dengan rakyat Myanmar di Thailand dan ada kenalan di Myanmar bekerja sebagai broker buruh. Mereka menyeludup masuk pelarian Rohingya dengan bot. Setibanya di Thailand, pelarian Rohingya itu dibawa trak ke Songkhla dan bersembunyi dalam hutan.

"Kadangkala mereka menggunakan trak tentera membawa pelarian Rohingya," kata pegawai polis terbabit.


Kadangkala polis tempatan menahan trak untuk dipemeriksa. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, mereka mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa pegawai kanan tentera meminta trak itu dilepaskan. Sumber itu berkata, serbuan di ladang getah Ban Chaikhuan Thungmaiduan, di tambon Padang Besar, daerah Sadao dekat sempadan Thailand-Malaysia, di mana 397 pelarian Rohingya menginap di khemah sementara berlaku kerana wujud konflik antara pegawai tentera berkenaan. Ladang getah itu dimiliki bekas timbalan datuk bandar majlis perbandaran Padang Besar, Prasit Lemlae yang masih bebas selepas diburu atas tuduhan penyeludupan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

60 lolos penjara

Posted: 20 Jan 2013 08:33 AM PST

Jambi: Seramai 60 tahanan melarikan diri dari penjara Kuala Tungkal di bandar ini, kelmarin.

Warden penjara, Budi Priyanto semalam berkata, enam tahanan sudah ditangkap, manakala 54 lagi masih bebas, lapor tribunnews.com. Tahanan melarikan diri ketika pengagihan makanan tengah hari. Pengawal membuka pintu semua blok serentak sebelum mengagihkan makanan. Seramai 60 tahanan didakwa merancang melarikan diri mengambil kesempatan itu.


Tahanan terbabit bergegas ke pintu bahagian selatan penjara yang tidak dikawal, membuka pintu itu dan menghilangkan diri dalam ladang kelapa sawit. Budi menyifatkan insiden itu berlaku kerana kekurangan pengawal penjara ketika itu. Hanya lima pengawal bertugas hari kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Nasib 52 rakyat Filipina masih kabur

Posted: 20 Jan 2013 08:32 AM PST

Manila: Filipina semalam berkata, seramai 52 rakyatnya yang terbabit dalam krisis tebusan di Algeria sudah dikenal pasti, tetapi masih tidak dapat memastikan sama ada mereka antara terbunuh.

Kementerian Dalam Negeri Algeria, berkata, 23 rakyat asing dan tempatan terbunuh selepas kumpulan lelaki bersenjata yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda memulakan serangan ke atas loji gas di In Amenas yang jauh di pedalaman padang pasir Sahara Rabu lalu.


Filipina belum mengesahkan berapa ramai rakyatnya yang bekerja di loji itu, tetapi berkata, 52 sudah disahkan dan 39 daripada mereka dijangka tiba di Manila hari ini (semalam).

Pekerja terbabit dipindahkan melalui London dan Dubai dan dijangka tiba di Manila jam 4 petang dengan pesawat komersial, kata jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar, Raul Hernandez. "Berdasarkan laporan, terdapat 52 rakyat kami yang disahkan jumlahnya," katanya.


Diplomat Filipina di Algeria masih bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan majikan pekerja terbabit bagi memastikan "keberadaan dan keadaan rakyat Filipina lain yang bekerja di loji gas itu." - Philippines Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Bunuh diri dengan cecair pembersih

Posted: 20 Jan 2013 08:32 AM PST

Manila: Seorang lelaki dikatakan kesunyian sejak beberapa hari lalu mengakhiri kesepiannya dengan meminum sebotol cecair pembersih barangan perak semalam.

Carlo Taure, 27, dari Dagat-Dagatan, Navotas dikatakan kesunyian dan keseorangan sekurang-kurangnya selama dua hari sebelum membunuh diri, kata ibunya kepada pegawai polis, Exequiel Sancong. Menurut wanita itu, Taure mula meminum arak di luar kediaman mereka bebrapa jam sebelum meninggal dunia. Dia berkata, ketika memeriksa anaknya, dia mendapati Taure terbaring di atas lantai dengan mulutnya berbuih. Di sebelahnya terdapat sebotol cecair pembersih barangan perak. Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, tetapi maut ketika dalam perjalanan. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Penyanyi bantu anak 15 tahun gugur bayi

Posted: 20 Jan 2013 08:32 AM PST

Rio De Janeiro: Polis Brazil mendakwa penyanyi Portugis, Maria Adelaide Mengas Matafome membantu anak perempuannya yang berusia 15 tahun melakukan pengguguran, lapor media tempatan semalam.

Pengguguran di Brazil hanya sah dalam kes rogol atau nyawa ibu yang hamil itu dalam bahaya. Remaja Portugis itu berada di Cuiaba, negeri Mato Grosso sejak September lalu untuk bersama dengan teman lelakinya, warga Brazil yang 21 tahun. Dia mendapat tahu dirinya hamil Disember lalu.


Polis di Mato Grosso mendakwa penyanyi berusia 53 tahun itu yang terkenal pada 1981 dengan lagu "Baby Suicida" yang ada kaitan dengan pengguguran, selain turut mendakwa teman lelaki remaja perempuan terbabit. Polis berkata, penyanyi berkenaan memberi kebenaran kepada anaknya untuk mengambil dadah yang akan menyebabkan pengguguran itu.

Remaja terbabit dimasukkan ke hospital kerana pendarahan pada 4 Januari lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Suami sebar fitnah di laman sosial disaman

Posted: 20 Jan 2013 08:31 AM PST

Dammam: Seorang wanita Arab Saudi menyaman suaminya kerana menfitnah dan memeras ugutnya apabila memuat turun foto wanita itu di laman rangkaian sosial dengan kenyataan memburuk-burukkannya.

Selepas perkahwinannya, wanita itu mula menerima mesej pesanan ringkas berbaur ancaman dan kelucahan. Dia memberitahu suaminya kemudian menuduh bekas isterinya menjadi dalang di sebalik perbuatan itu kerana ingin memusnahkan perkahwinan mereka.


Bagaimanapun, wanita itu mulai curiga apabila dia melihat foto pakaian dan bilik tidur mereka dimuat turun dalam laman rangkaian sosial.

Suaminya menafikan tahu siapa dalang yang memuat turun foto itu walaupun tiada sesiapa yang tahu akses kepada akaun laman sosial mereka.


Wanita itu kemudian membuat laporan kepada Biro Siasatan dan Pendakwaan Awam. Kes itu kemudian dirujuk ke mahkahmah. Siasatan mendapati bahawa lelaki terbabit masih menjalinkan hubungan sulit dengan bekas isterinya.


Kes itu tertangguh di mahkamah lebih setahun tanpa sebarang keputusan.

Wanita terbabit kini menuntut hak penjagaan penuh ke atas anak mereka dan mendakwa suaminya tidak bertanggungjawab. Dia juga ingin meminta cerai daripada suaminya itu. - Saudi Gazette

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

2 pemuda laku serangan dengan parang digantung

Posted: 20 Jan 2013 08:30 AM PST

Teheran: Iran menggantung dua lelaki di khalayak ramai semalam selepas satu video yang dimuat turun di YouTube bulan lalu menunjukkan mereka menyerang seorang lelaki di jalan raya di bandar raya itu dengan parang, lapor agensi berita ISNA.

Hukuman itu dikeluarkan Mahkamah Revolusi dan disahkan oleh Mahkamah Agung Iran sebelum dijalankan di Teheran kira-kira jam 6.30 pagi 'di hadapan khalayak ramai yang berjumlah 300 orang', lapor ISNA. Dikatakan dua lelaki itu yang dikenali sebagai Alireza Mafiha dan Mohammad Ali Sorouri, masing-masing berusia 24 tahun, didapati bersalah melakukan Moharebeh (melancarkan perang terhadap Tuhan) dan melakukan kerosakan di dunia. Mengikut tafsiran undang-undang syariah Iran menggunakan senjata api atau pisau dan belantan dalam jenayah dianggap sebagai Moharebeh yang membawa kepada hukuman mati.


Dua lelaki itu ditahan bersama dua lagi rakan subahat mereka bulan lalu selepas siaran video dimuat turun 6 Disember lalu di YouTube menunjukkan mereka menyerang seorang lelaki dan merompak wang, beg dan kot milik mangsa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

No comments:

Post a Comment