Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangan ponteng latihan

Posted:

Kuala Lumpur: Jaguh terjun negara, Bryan Nickson Lomas bukan saja digilai peminat sukan tempatan malah turut diminati barisan atlet cilik yang memilihnya sebagai idola untuk bergelar penerjun bertaraf dunia.

Namun bagi Bryan, 23, untuk sampai ke tahap dunia, keupayaan harus digilap seawal usia lima hingga tujuh tahun selain perlu mempunyai disiplin tinggi.


Bagi dua pelapis negara yang meminati Bryan, Nur Dhabitah Sabri dan Muhammad Nazreen Abdullah, kunjungan Bryan menyaksikan sesi latihan di Cheras baru-baru ini amat bernilai. Sekalipun kejayaan Pandelela Rinong memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik London membanggakan negara, Bryan tetap menjadi pilihan kerana semangat juang serta keramahannya yang tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada 'junior'.

Kemesraan Bryan bersama skuad pelapis jelas terserlah apabila mereka menyambutnya dengan penuh kemesraan serta hilai ketawa. Ikuti sesi temu bual Nur Dhabitah dan Muhammad Nazreen yang berkesempatan berbicara secara dekat bersama idola kesayangan mereka, Bryan.


SOALAN: Bagaimana Bryan boleh terbabit dengan sukan terjun hingga bergelar penerjun bertaraf dunia serta layak ke Olimpik? JAWAPAN: Sebenarnya secara tidak sengaja kerana terpilih di sekolah disebabkan struktur badan bersesuaian. Kemudian diberi galakan ibu dan bapa untuk berkecimpung dalam sukan ini secara serius hingga sampai ke tahap dunia sekarang ini.


Apakah tips menjadi penerjun terbaik? Untuk menjadi penerjun terbaik dan berjaya, seseorang itu perlu menanam sifat rajin, disiplin dan sentiasa mendengar tunjuk ajar jurulatih. Jangan sesekali malas dan ponteng latihan.

Foto

BRYAN (kanan) beri nasihat kepada Dhabitah (dua dari kiri) dan Nazreen (kanan).

Bagaimana membahagikan masa dengan baik, terikat dengan sesi jadual padat, bergelar mahasiswa Universiti Malaya (UM), berjumpa dengan keluarga serta rakan? Perlu bijak membahagikan masa, jadual saya memang sibuk. Misalnya sesi latihan di sebelah pagi dan petang, sibuk pula menghadiri kuliah. Malam pula akan siapkan tugasan diberikan pensyarah dan selebihnya mengulang kaji pelajaran. Sama juga dengan Sabtu. Ahad pula masa untuk berehat dan keluar bersama rakan. Bagi melepaskan rindu dengan keluarga di Kuching, Sarawak, saya akan hubungi mereka menerusi telefon.


Selain sukan terjun, mungkin ada meminati sukan lain? Bola sepak. Amat meminati sukan ini sejak kecil kerana terpengaruh dengan ayah yang aktif bermain bola sepak. Ayah bukanlah pemain negara tetapi aktif bermain di tempat kerja bersama rakan-rakannya.

Apakah aktiviti riadah di masa lapang? Suka bermain permainan komputer. Itu memang wajib jika ada masa terluang.


Siapakah penerjun yang menjadi idola? Pastinya penerjun dari Kanada, Alexandre Despatie. Dia adalah juara dunia dalam tiga kategori iaitu 1 meter papan anjal, 3m papan anjal dan 10m platform.


Kini sudah terkenal di peringkat antarabangsa, bagaimana Bryan melayan peminat? Setakat ini belum pernah diserbu peminat seperti artis atau pemain bola sepak popular tempatan (ketawa). Tapi jika ada yang menyapa dan ingin bergambar, saya sentiasa layan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Chelsea hati-hati

Posted:

London: Chelsea cuba menghidupkan kembali cabaran musim ini meskipun tanpa kelibat Eden Hazard apabila turun beraksi menentang Brentford di pusingan keempat Piala FA, malam ini.

Hazard digantung selepas diarah keluar padang pada perlawanan separuh akhir Piala Liga di Swansea selepas menendang budak pengutip bola dan berdepan tindakan susulan FA Inggeris.


Insiden itu mengaburi kegagalan Chelsea menundukkan pasukan kendalian Michael Laudrup dan mereka perlu bangkit pada pertemuan di Griffin Park.

Jika kalah buat kali kedua minggu ini, Blues hanya tinggal saingan Liga Europa untuk bergelar juara musim ini sekali gus meningkatkan tekanan kepada pengurus pasukan, Rafael Benitez.


Ketiadaan Hazard memburukkan lagi keadaan terutama di saat pasukan ingin memburu kemenangan sejak awal musim ini.


"Amat mengecewakan kerana kami gagal menjaringkan gol ketika menentang Swansea," kata penjaga gol, Petr Cech.

"Kami tahu perlu menjaringkan gol untuk mengukuhkan kedudukan tapi gagal melakukannya.


"Malah ketika menentang Southampton kami gagal konsisten selepas mendahului 2-0 dan mereka berjaya menjaringkan dua gol untuk menyamakan kedudukan.

"Pasukan perlu lebih mantap di depan gawang kerana kami banyak mencipta peluang menjaringkan gol. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol.


"Pasukan seharusnya lebih menyengat. Ketika menentang Arsenal dulu kami turut melakukan kesilapan sama meskipun menang 2-1.


"Kami terpaksa bekerja keras hingga hujung perlawanan kerana gagal menggunakan peluang yang terhidang." David Luiz tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan buku lali tapi kapten, John Terry mungkin boleh diturunkan dalam kesebelasan utama.


Benitez akur Brentford pasti bermain mati-matian.


"Pasti sukar kerana lawan mampu bermain bola jauh mahupun hantaran pendek. Mereka sebuah pasukan yang menarik," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

'Usah perkecil kemampuan Leeds'

Posted:

LEEDS: Steffen Freund memberi amaran kepada Tottenham Hotspur supaya tidak memandang remeh cabaran Leeds United apabila ke Elland Road untuk pertemuan pusingan keempat Piala FA, malam ini.

Spurs kini memburu tiket ke pusingan kelima selepas tidak tewas lapan perlawanan.


Skuad kendalian Andre Villas-Boas yang menduduki tangga keempat Liga Perdana turut bercita-cita merebut tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Namun, Freund yang menyertai kelab itu sebagai pembantu pengurus kepada Villas-Boas, Julai lalu akur Leeds pasti tidak akan mudah menyerah kalah.


"Mereka menang sembilan dan hanya kalah tiga kali di laman sendiri. Pasti pertembungan ini sukar buat kami.


"Piala FA antara kejohanan terbesar di dunia selain aksi utama buat Tottenham. Kami sudah muncul juara lapan kali dan ingin menang lagi," katanya.

Freund sebelum ini beraksi di White Hart Lane selama lima musim dan hanya sekali menewaskan Leeds dalam empat pertemuan.


Pengalaman itu berlaku ketika era terbaik kelab Yorkshire itu yang mencabar kejuaraan Liga Perdana dan berjaya mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum tewas kepada Valencia pada 2001.

Kedudukan Leeds kini semakin pulih selepas dihantui masalah kewangan dan Freund mengaku terkejut kerana kelab itu berjaya memulihkan keadaan dalam waktu yang singkat.


"Ketika zaman saya dulu, kami sering berdepan aksi sukar di Elland Road.


"Meskipun tidak beraksi di Liga Perdana, Leeds sudah buktikan kemampuan mereka apabila menewaskan Southampton dan Everton pada aksi Piala Liga musim ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Buru status No 1

Posted:

Mumbai, India: Jaguh badminton India, Saina Nehwal, yang bergelar pemain wanita nombor dua dunia minggu ini, kali pertama selepas dua tahun kini menanam tekad memburu ranking teratas dunia tahun ini.

"Saya bekerja keras dan prestasi semakin mantap. Kini saya nombor dua, sudah pasti saya akan cuba sedaya upaya menggenggam kedudukan nombor satu," kata Saina.


"Ada banyak kejohanan tahun ini. Hampir 15 hingga 20 kesemuanya. Matlamatnya adalah beraksi cemerlang dalam semua kejohanan itu, tapi paling penting pada Kejuaraan Dunia. Nombor satu dunia juga menjadi matlamat dan saya harap berjaya mencapainya. Lihat saja nanti." Ditanya bagaimana dia mengekalkan motivasi, pemenang pingat gangsa Olimpik itu berkata, ia satu tugas yang sukar dilaksanakan.

"Sukar menentang pemain dari China. Pemain nombor satu dunia juga dari China, lebih 12,000 mata daripada saya. Bukan mudah menjadi pemain nombor satu dunia. Saya akan cuba melakukannya. Tiada yang mustahil.


"Banyak perkara sudah saya lakukan dan saya harap mampu menggapai impian ini. Usaha yang bakal saya lakukan dalam permainan sungguh penting. Motivasi datang daripada kemenangan dan itulah yang terus menggerakkan saya." Selepas mencipta sejarah tahun lalu dengan memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik London, Saina berkata, kejayaan dikecapi pada masa ini adalah momentum daripada kejayaan ini.


"Ia satu tahun yang hebat, saya hampir menang lima kejuaraan. Menang pingat gangsa Olimpik buat kali pertama dalam sejarah badminton India. Ia tahun yang menakjubkan, memberi saya banyak motivasi untuk beraksi cemerlang tahun ini. Semuanya bermula dengan baik dan saya gembira dengan aksi yang saya pamerkan pada dua kejohanan pertama tahun ini." Sasaran paling hampir adalah Kejohanan Badminton Seluruh England bermula 5 Mac ini, pemain berusia 22 tahun itu akan berlatih selama sebulan untuk kejohanan itu.

"Terdapat banyak lagi kejohanan tahun ini. Saya memberi tumpuan terhadap Seluruh England dan Kejuaraan Dunia. Perkara penting adalah masa untuk berlatih yang tidak banyak saya miliki. Saya menyertai terlalu banyak kejohanan. Kini, memandangkan saya mempunyai masa terluang selama sebulan, saya harap dapat beraksi cemerlang di Seluruh England," katanya.


Parupalli Kashyap turut berada dalam kelompok 10 teratas pemain lelaki dan Saina yakin badminton semakin berkembang di negaranya.

"Badminton di India semakin meningkat. Kami memiliki dua pemain dari India dalam kelompok 10 teratas dan (PV) Sindhu kini berada di tangga ke-16. Memang bagus kerana kami menunjukkan peningkatan." Sementara itu, Saina dan penggusti Mary Kom bakal dipilih sebagai ikon nasional Suruhanjaya Pilihanraya negara itu. Selain Saina dan Mary, bekas Presiden APJ Abdul Kalam dan kapten kriket MS Dhoni juga menjadi ikon nasional untuk menarik golongan pemuda.


"Saina dan Mary akan menjadi ikon nasional selain Kalam dan Dhoni," kata Ketua Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya negara itu, Akshay Rout.


Menurutnya, kedua-dua wira Olimpik itu dibawa masuk untuk menarik lebih ramai golongan muda dalam kategori usia 18 dan 19 tahun, menambah bahawa jumlah pengundi kali pertama adalah 1.76.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Idam miliki restoran tomyam

Posted:

Kuala Lumpur: Pemain hoki kebangsaan, Azlan Misron ingin menjadi pemilik restoran andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...


Jawapan (J): Pemilik restoran makanan Melayu atau Thai.

S: Mengapa? J: Saya memang bercita-cita untuk memiliki perniagaan sendiri sebab sudah lama berminat berniaga demi jaminan jangka masa panjang. Restoran ini juga untuk masa depan anak-anak serta keluarga kerana itu yang paling utama. S: Jika begitu, rancangan ini mungkin akan direalisasikan secepat mungkin? J: Dalam proses tapi bukan mudah untuk memulakan perniagaan. Banyak perkara yang perlu saya lakukan antaranya lokasi, tema, menu masakan, tukang masak dan sebagainya. Semua itu saya sudah usahakan pada masa ini.


S: Memilih restoran dan bukan perniagaan lain, mungkin ada sebab tertentu anda lakukannya? J: Menetap di sekitar Lembah Klang dan berdasarkan pemantauan saya, orang di sini gemar keluar makan umpama 'trend' kerana faktor masa dan kesibukan jadual kerja harian. Lantaran itu, saya memilih membuka perniagaan restoran yang memenuhi kehendak orang ramai serta memudahkan lagi jadual kerja harian mereka yang lebih kerap makan di luar.


S: Difahamkan anda sudah melakukan sedikit kaji selidik mengenai perniagaan ini, mungkin sudah jumpa lokasinya? J: Tidak pasti dan masih meninjau kawasan paling sesuai. Jika ada masa terluang pada masa ini memang saya gunakan untuk meronda dan melihat kawasan yang strategik demi kebaikan pelanggan serta saya sendiri.

S: Bila sudah mempunyai restoran, adakah anda akan masak sendiri? J: Akan ada tukang masak di restoran kerana saya tidak pandai masak tapi nak tak nak perlu juga belajar memasak (ketawa). Takut nanti ada situasi kecemasan yang memerlukan saya berperang di dapur untuk memasak.


S: Selain sukan hoki, apa aktiviti riadah lain? J: Tiada yang khusus. Setakat ini jika ada kawan ajak memancing, saya akan turut serta dan jika ada yang ajak tengok wayang, saya tetap pergi.

S: Sudah berumah tangga, setakat ini dikurniakan berapa ramai cahaya mata? J: Baru setahun lebih berkahwin dan dikurniakan seorang puteri, Audra Audllia, 6 bulan. S: Bagaimana pula dengan rancangan dalam sukan hoki? J: Buat masa ini saya bersama rakan seangkatan memberi tumpuan penuh pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, Mac ini. Skuad kebangsaan pula menetapkan misi layak ke Piala Dunia 2014 dan Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Impian besar KSR

Posted:

Kuala Lumpur: Mungkin masih belum dikenali namun uniknya Kelab Sukan Rekreasi (KSR) Seri Cempaka optimis mampu menempah laluan ke Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat bersandarkan kehebatan dua pemain importnya.

Bagi kelab ternama, antaranya PKNS dan ATM mempunyai barisan pemain import menjadi perkara biasa namun bagi kelab yang bermain di Liga Kuala Lumpur senario itu luar biasa.


"Saya berbelanja agak besar untuk membawa dua pemain import ini. Namun, bagi saya faktor wang tidak menjadi ukuran asalkan sasaran kelab bertempur di perlawanan liga lebih utama, Liga FAM tercapai.

"Buat masa ini kami sekadar bermain di Liga Kuala Lumpur dan berdasarkan pemantauan skuad berada di landasan tepat untuk pergi lebih jauh. Lebih-lebih lagi kami mempunyai dua pemain import yang berwibawa," kata jurulatih pasukan, Rosli Baba (gambar).


Dua pemain import yang baru dua bulan bersama skuad itu ialah Lewis Henry, 20 dari Sierra Leone dan Kareem Fayed Ali Fayed, 23 dari Mesir.


Mengulas lanjut, Rosli berkata, salah seorang pemain importnya pernah bersama kelab profesional negara Timur Tengah, Al Ahly.

"Kareem pernah bersama Al Ahly, pasukan bola sepak profesional yang berprestij di Timur Tengah. Meskipun tidak begitu lama bersama Al Ahly namun pengalaman bermain bersama pasukan berprestij itu amat berharga untuk membantu KSR Seri Cempaka.


"Bagaimanapun, pada masa ini kami bersikap realistik dan menumpukan pada Liga Kuala Lumpur terlebih dulu. Kami optimis mampu melakar kejayaan mengikut peringkat," katanya.

Sementara itu, Henry berkata, dirinya tidak punyai pengalaman sehebat pemain import lain dalam kelab hebat di Malaysia namun yakin akan menyumbang kejayaan buat KSR Seri Cempaka.


"Saya tidak akan mempersia-siakan kepercayaan jurulatih dan cuba melakukan yang terbaik untuk menaikkan lagi nama kelab di peringkat lebih tinggi," katanya.


Kareem pula turut bersemangat menjulang nama kelab dalam perlawanan lebih utama kelak.


"Tidak mustahil, KSR Seri Cempaka mampu bermain di Liga FAM seperti yang disasarkan jurulatih. Saya akan membantu pasukan mempamerkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Transformasi bawa padah!

Posted:

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi watak hangat dalam arena bola sepak negara apabila kritikannya yang menuntut transformasi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menjadikannya mangsa terbaru Artikel 88.

Biarpun surat pendakwaan terhadap beliau belum dikeluarkan, kenyataannya yang dianggap mencalar kredibiliti badan induk sukan itu, meletakkan beliau dalam situasi 'panas'.


Beliau yang agak kecewa dengan keputusan itu, menyelar FAM dan mendakwa badan induk itu mengamalkan dasar pilih kasih.

Maksudnya ada kenyataan pegawai tertinggi tertentu terlepas, ada pula yang terus disabitkan kesalahan.


Walaupun tidak menyertakan nama pegawai tertinggi terbabit, rekod media menunjukkan bekas Timbalan Presiden, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Presiden sekarang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pernah mengkritik badan induk itu.


Mereka terlepas daripada radar Sekretariat FAM di bawah pengurusan Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad.

Malah tahun lalu, Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dihukum menerusi peraturan sama apabila digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu atas kesalahan mengkritik prestasi skuad kebangsaan.


Soalnya, mengapa perlu ada amalan pilih kasih? Apakah sebenarnya yang ditakutkan pucuk pimpinan FAM? Apakah tiada ruang untuk pegawai FAM bersuara demi kebaikan bola sepak tempatan, biarpun mereka diamanahkan tanggungjawab untuk sama-sama membangunkan sukan nombor satu negara itu.

Jika 'orang kuat' persatuan sekalipun tidak terlepas daripada menerima hukuman, tentu sekali golongan bawahan seperti pemain dan jurulatih mudah berada dalam radar mereka.


Pengkritik sukan, Tan Sri Khoo Khay Kim berkata terpulang kepada jawatankuasa yang dipilih oleh setiap badan sukan untuk mengutarakan pandangan mereka sama ada sesuai atau sebaliknya memandangkan mereka dipilih secara demokratik.


"Apa yang dibimbangi adalah mereka yang menjadi ahli jawatankuasa terbabit tidak tahu apa hak mereka," katanya.


Jelasnya, sudah pasti mereka mempunyai hak untuk memperkatakan perkara yang boleh membawa kebaikan kepada persatuan terbabit.


"Mereka tidak boleh sekadar menjadi orang biasa saja memandangkan mereka adalah pemimpin yang mewakili golongan di peringkat negeri, misalnya.


"Sekiranya mereka rasa suara mereka tidak didengari, mungkin perlu juga untuk memberi pandangan dari luar seperti menerusi media." Begitupun bagi Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, tentunya ada cara untuk menyuarakan pandangan atau persoalan dalam mana-mana pertubuhan sukan tanpa perlu melanggar peraturan persatuan terbabit.


"Tiada salahnya mengeluarkan pandangan tapi jika mengkritik perlu bersandarkan bukti dan perkara ini tidak mendapat perhatian dalam mesyuarat serta perlu bersebab," katanya.


Menyifatkan perkara ini lumrah dalam mana-mana persatuan sukan, beliau berpandangan mungkin wujud kem tertentu dalam persatuan yang menganggap diri mereka terpinggir dan kemudian memutuskan untuk meluahkan pandangan kepada media.


"Mereka perlu bertanggungjawab terhadap apa yang mereka perkatakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Kebebasan bersuara masih wujud dalam FAM

Posted:

Artikel 88 Peraturan 2010-2014 yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini menjadikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai sasaran pemerhati dan pengkritik bola sepak negara. Benarkah peraturan itu menyekat kebebasan bersuara dalam berpersatuan di kalangan pegawai FAM, jurulatih mahupun pemain seolah-olah badan induk itu tidak langsung boleh ditegur. Ikuti pandangan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak.

SOALAN (S): Secara terperinci, apa yang di maksudkan dengan Artikel 88? JAWAPAN (J): Artikel 88 di bawah statut FAM membabitkan kenyataan yang dibuat dan kita membuat garis panduan yang membenarkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan mengeluarkan kenyataan. Ini tidak bermakna orang bawahan tidak dibenarkan membuat kenyataan tapi perlu meminta kebenaran terlebih dahulu. Biarpun mendapat kebenaran itu, ia tidak bermakna mereka boleh mengeluarkan kenyataan berbau kritikan, memfitnah ataupun menghina persatuan. Secara ringkasnya, ia membabitkan dua aspek iaitu perlukan kebenaran untuk membuat kenyataan dan sebaik mendapat kebenaran, tidak boleh mengkritik pentadbiran kerana mereka tertakluk kepada syarat. Jika ia dilanggar, tindakan boleh diambil terhadap mereka.


S: Tidakkah ini menyekat kebebasan bersuara? J: Siapa saja boleh bercakap tapi perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan, bermakna soal menyekat kebebasan bersuara itu tidak timbul. Malah dalam kebebasan bersuara itu sendiri perlu dikawal seperti dalam Perlembagaan Negara yang menyatakan kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan sebagainya tapi tidak boleh menghina, mengamalkan sikap perkauman, menggugat keselamatan negara. Perkara sama juga boleh dikaitkan dengan Artikel 88.

S: Justeru, adakah FAM mengetengahkan sebarang garis panduan untuk bersuara di media? J: Banyak pihak membuat kenyataan kepada media seperti jurulatih membuat kenyataan media selepas perlawanan begitu juga pemain. Mereka tidak boleh membuat kenyataan yang mempunyai unsur menghina majikan (FAM). Mereka bebas bercerita mengenai perlawanan disertai, serta pendekatan mereka dalam perlawanan terbabit dan perlawanan seterusnya. Ini menunjukkan Artikel 88 ini fleksibel. Kami masih benarkan mereka memberi komen asalkan tidak mengkritik majikan. Kami benarkan mereka memberi komen berbentuk munasabah.


S: Apa hukuman yang mungkin dikenakan terhadap mereka yang melanggar Artikel ini? J: Dalam Kod Tatatertib itu, kami boleh mendenda, memberi amaran atau menggantung mereka, bergantung kepada bagaimana kenyataan itu dibuat. Berdasarkan Peruntukan Kesalahan 18 Kod Tatatertib FAM, hukuman paling minimum adalah penggantungan perlawanan, paling minimum penggantungan satu perlawanan. Ia mungkin membabitkan penggantungan dua bulan dan boleh membawa kepada penggantungan maksimum dua tahun. Di bawah Kesalahan 18, Perkara 6.3.2, pegawai boleh didenda hingga RM50,000 manakala pemain RM25,000. Kami juga memberi amaran keras kepada mereka. Ini adalah hukuman yang dijatuhkan mengikut Artikel 88 di mengikut Kod Tatatertib 4.5.8. S: Sekiranya dihukum, adakah mereka berpeluang untuk membuat rayuan? J: Peluang untuk merayu terpulang kepada Kesalahan 18 dengan hukuman penggantungan minimum tidak dibenarkan merayu begitu juga dengan denda kurang RM15,000. Semuanya tertakluk kepada Kod Tatatertib, tidak boleh merayu jika hukuman minimum dijatuhkan, sudah pasti akan ditolak tapi jika hukuman melebihi hukuman minimum seperti contoh hukuman penggantungan dua bulan tapi dijatuhkan empat bulan, maka dalam kes ini, mereka boleh membuat rayuan.


S: Sebelum ini, dilaporkan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Artikel 88 ini dikaji semula, apa perkembangannya? J: Usul untuk mengkaji Artikel itu sebenarnya sudah dibawa ke dalam Mesyuarat Kongres tidak lama dahulu tetapi ia tidak dibincangkan kerana cadangan yang dibuat untuk mengkaji Artikel berkenaan tidak mendapat sebarang sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Mahu jadi 'Ganu Kite'

Posted:

Kuala Terengganu: Jika diberi pilihan, Caleb Folan, mahu bermain dalam setiap perlawanan T-Team musim ini.

Namun kecederaan pangkal paha yang dialaminya sebelum tamat separuh masa pertama perlawanan menentang Lions XII, Selasa lalu, memaksa penyerang berusia 30 tahun itu berehat sementara dan tidak menyertai rakan pasukan The Titans lain bertarung de­ngan Perlis dalam perlawanan pembukaan Piala FA di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Pemain kelahiran Leeds, England, itu mengaku kecewa kerana terlepas peluang beraksi untuk The Titans buat kali pertama dan dia berharap supaya cepat sembuh sebelum perlawanan seterusnya bertemu Johor Darul Takzim (DT) di Johor Bahru pada 16 Februari nanti.

Bekas pemain Leeds Uni­ted, Chesterfield, Wigan Athletic dan Hull City itu mengaku bermain dalam kesakitan ketika tewas 0-3 kepada Sela­ngor PKNS dan semakin parah apabila bertemu Lions XII.


"Saya sayangkan pasukan ini dan kalau boleh tidak mahu tertinggal satu perlawanan pun namun sudah nasib saya kerana tercedera juga akhirnya dan perlu tabah menempuhi dugaan ini.


"The Titans memerlukan saya kerana rakan sepasukan, George Boateng, juga sudah dua kali tidak dapat bermain, juga kerana kecederaan pangkal paha yang memerlukan beberapa minggu untuk pulih semula," katanya.

Boateng, bekas pemain antarabangsa Belanda, yang mengalami kecederaan ketika bertarung dengan Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) di Paroi, Nege­ri Sembilan, sebenar­nya rakan karib Folan, bukan sahaja di Kuala Terengganu malah sewaktu mereka sama-sama bermain di Hull City sebelum ini.

"Saya senang menyesuaikan diri di sini kerana ada George dan berdua, kami lebih berani mencuba perkara baru seperti makan nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak bungkus di warung, beli burger di tepi jalan dan juga minum air kelapa.

"Cuma se­le­pas bebe­rapa hari sa­haja, saya su­dah dapat merasakan yang Kuala Terengganu ini adalah tempat tinggal saya kerana penduduk di sini cepat mesra dengan orang asing seperti saya dan George, selain masakan yang menyelerakan" katanya.

Folan yang pernah bermain bola sepak di Amerika Syarikat bersama Colorado Rapids berkata, dia selesa dengan cuaca di sini yang dirasakannya tidak terlalu panas dan sentiasa hujan seperti juga di negara kelahirannya, England.

"Tapi saya diberitahu musim panas belum lagi tiba tetapi saya yakin tidak akan rasa terseksa dengan keadaan di sini seperti apa yang dikatakan oleh ketua jurulatih dan juga pengurus pasukan, Peter Butler.

"Butler yang juga orang Leeds seperti saya tahu apa yang dikatakannya kerana beliau sudah lama berada di sini dan sekiranya boleh tinggal di negara ini sebegitu lama, saya juga boleh mengikut jejak langkahnya,' katanya.

Kata Folan yang pernah mewakili pasukan kebangsaan Republik Ireland lagi, jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic dan jurulatih penjaga gol, Dado Kondic, yang berasal dari Croatia juga tidak mempunyai masalah tinggal di Kuala Terengganu.

"Kami semua adalah satu keluarga bahagia di mana kami saling bantu-membantu begitu juga dengan rakan sepasukan lain yang senang diajak berbicara serta sentiasa membantu kami menyesuaikan diri de­ngan keadaan persekitaran.

"Saya juga sudah mempunyai ramai kawan di sini serta berkunjung ke beberapa tempat menarik di negeri ini namun saya belum berpeluang untuk menikmati keindahan Pulau Redang dan Pulau Perhentian," katanya.

Menurutnya, dia mungkin tidak jatuh cinta pandang pertama dengan Kua­la Terengganu namun mengaku, jika diberi pi­lihan dia mahu terus berada di sini lebih lama lagi.

"Tak kenal maka tak cinta dan kini saya sudah mengenali tempat ini serta juga sudah mencintai Kuala Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Folan belajar Bahasa Melayu

Posted:

"Belum pernah saya temui pemain import seperti Folan yang tidak kekok langsung berasimilasi dengan pasukan baru," kata ketua jurulatih T-Team Peter Butler.

Butler yang juga pengurus pasukan berkata, Caleb Folan yang pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Republik Ireland cepat menyesuaikan diri bukan sahaja dengan rakan sepasukan malah bersama penduduk Kuala Terengganu juga.

"Saya memujinya bukan kerana Folan dan saya datang dari Leeds, England, tetapi kerana kagum dengan perwatakan dirinya di negara asing yang senang diterima oleh orang tempatan.

"Dia tidak sombong, tidak terlalu banyak cakap, baik hati, senang didekati, rajin bekerja dan mempunyai ciri-ciri kawan sejati yang membuatnya popular di kalangan rakan sepasukan," kata jurulatih berusia 46 tahun itu.


Katanya, Folan juga mudah menyesuaikan diri di sini kerana kawan rapatnya, George Boateng, yang pernah sama-sama beraksi untuk kelab Hull City juga ada dalam pasukan The Titans.


"Mereka berdua selalu bersama dan mungkin sebab itu Folan senang mempelajari budaya serta adat resam penduduk tempatan kerana Boateng juga cepat mesra dengan kenalannya yang baru di sekitar bandar Kuala Terengganu.

"Mereka berdua juga kerap bersama saya ke kedai makan di sini dan saya perhatikan mereka berdua tidak memilih makanan serta sanggup mencuba apa sahaja makanan yang dicadangkan kepada mereka," katanya.

Menurutnya, Folan dan George gemar mendekati masyarakat setempat dan mereka berdualah yang paling gembira apabila diberitahu yang pasukan akan berkunjung ke sekolah ataupun rumah kebajikan.

"Walaupun masih belum dapat bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih, Folan masih mampu berinteraksi bersama kanak-kanak dengan baik apabila kami mengadakan program untuk pelajar sekolah.

"Begitu juga apabila berkunjung ke pusat jagaan orang tua Rumah Sejahtera Taman Bahagia di Marang, dia dan Boateng jugalah yang berada di depan beramah-mesra dengan penghuni rumah berkenaan," katanya.

Cuma, kata Butler, pada masa ini, Folan agak terkilan kerana dia masih belum berjaya menjaringkan gol dalam lima perlawanan pertama Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

No comments:

Post a Comment