Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Britney Spears putus tunang

Posted: 12 Jan 2013 05:49 AM PST

Los Angeles: Bintang pop Britney Spears semalam memutuskan pertunangannya dengan Jason Trawick dan menarik diri daripada menjadi juri selebriti dalam rancangan mencari bakat nyanyian, X Factor.

Britney, 31, dan Trawick, 41, yang juga bekas ejennya bertunang pada Disember 2011. "Trawick dan saya memutuskan untuk membatalkan pertunangan kami. Saya akan sentiasa memujanya dan kami akan kekal sebagai kawan baik," katanya dalam satu kenyataan.


Pasangan itu mula berpacaran pada Mei 2010, selepas beberapa tahun berdepan dengan kerumitan hidup, termasuk kehilangan hak penjagaan dua anaknya, memasuki pusat rawatan dan mencukur rambutnya.

Dalam satu kenyataannya, Trawick berkata: "Apabila episod ini berakhir buat kami, episod baru akan bermula. Saya selalu akan menyayangi dan mengingati Britney serta anak lelakinya. Kami akan terus menjadi teman rapat selamanya," katanya.


Trawick adalah calon suami ketiga buat Britney. Sebelum ini dia menceraikan Kevin Federline pada 2006 dan mempunyai dua anak bersama penari itu.


Britney juga pernah berkahwin dengan kawan zaman kanak-kanaknya, Jason Alexander di Las Vegas pada 2004. Perkahwinan itu bertahan hanya 55 jam sebelum penyanyi itu membatalkannya. Britney dan Trawick mengumumkan perpisahan mereka pada hari sama penyanyi "Toxic" itu mengesahkan pengunduran diri daripada rancangan X Factor hanya selepas setahun menjadi juri rancangan nyanyian terbitan Fox itu. Dia memberitahu sudah sampai masanya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Potret Kate dikritik nampak tua

Posted: 12 Jan 2013 05:45 AM PST

London: Potret rasmi diraja pertama Duchess of Cambridge, Kate Middleton dipamerkan kelmarin di Galeri Potret Nasional di sini.

Meskipun isteri Putera William itu gembira dengan sentuhan akhir karya itu, tetapi ulasan mengenai lukisan berkenaan bercampur baur.

"Nampaknya Paul Emsley terdorong dengan sentuhan 'pelukis agung' dalam lukisannya. Kate tampil separuh tersenyum seperti senyuman Mona Lisa yang begitu misteri seolah-olah dia menyimpan rahsia," kata Pengarang Eksekutif ArtNews, Robin Cembalest.

"Bercakap mengenai kritikan diterima, sukar untuk melukis potret seseorang yang terkenal mengikut cara disukai ramai," katanya.


Aduan utama daripada artis dan pengkritik menyatakan, potret itu membuatkan Kate kelihatan lebih tua.


"Bagaimana seseorang boleh menghasilkan wanita jelita, muda dan lemah lembut seperti Kate kelihatan seperti anak dara tua?," tanya Tom Sykes dari The Daily Beast.

"Potret Kate Middleton sudah dipamerkan dan dia kelihatan seperti berusia 53 tahun," lapor satu tajuk berita dalam akhbar The Star.

Namun, pengasas dan pengarang laman web kesenian yang berpejabat di New York, Paddy Johnson berkata, kekurangan personaliti dalam potret itu adalah kesalahan utamanya.

"Kate meminta Emsley menggambarkan wajahnya secara semula jadi tanpa bertanya sama ada itu adalah kemahiran utama artis terbabit. Ternyata tidak. Emsley ialah pelukis hidupan liar, terkenal dengan hasil lukisan yang mengalihkan subjek daripada persekitaran semula jadi," katanya kepada Shine.

"Dia melakukan perkara sama dengan karya ini meletakkan Kate mengikut personaliti tertentu kurang latar belakang dan daripada membentuk sentuhan misteri seperti mana dilakukan ketika dia melukis imej badak, ia mematikan kerja seninya. Potret yang baik menghidupkan jiwa objek lukisannya dan bukan mematikannya," kata Johnson.

Potret Kate itu dilukis Emsley berdasarkan foto yang diambil dalam satu daripada dua pertemuan pelukis terbabit dengan isteri William itu.

Kate menekankan dia mahu kelihatan seperti "dirinya secara semula jadi dan bukan dirinya secara rasmi" dalam potret yang dihasilkan itu, kata Emsley kepada Daily Mail.

Bagaimanapun, pengkritik seni Britain berpendapat Emsley keterlaluan dengan gambaran realistiknya mengenai Kate, menyifatkan ia sebagai gagal sepenuhnya.

"Nasib baik, Duchess of Cambridge tidak kelihatan seperti itu dalam kehidupan sebenar. Saya benar-benar sedih untuk mengatakan ini adalah potret yang teruk," kata pengkritik seni Daily Mail, Robin Simon. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Pengguna Facebook perlu bayar hantar mesej

Posted: 12 Jan 2013 05:44 AM PST

New York: Rangkaian laman sosial Facebook kini menguji satu sistem yang mengenakan bayaran kepada pengguna untuk menghantar mesej kepada mereka yang bukan dalam kelompok rakan pengguna.

Laman sosial itu semalam mengesahkan percubaan perkhidmatan baru itu sudah bermula, tetapi hanya sebilangan kecil pengguna Facebook mempunyai akses yang dikenakan bayaran itu untuk menghantar mesej secara langsung.


Pada masa ini, setiap pengguna boleh menghantar mesej kepada pengguna lain secara percuma. Bagaimanapun, jika ia tidak dihantar kepada rakan atau kawan kepada rakan itu, mesej berkenaan akan pergi kepada fail lain penerima. Ia dijelaskan Facebook sebagai 'tempat mesej yang kurang penting', yang diperkenalkan pada 2010. Bagaimanapun, perkhidmatan baru ini menawarkan akses terus ke dalam kotak penerima, dengan syarat penghantar bersedia membayar yuran dikenakan.

Facebook pada asalnya mengetengahkan idea mengenakan bayaran untuk penghantaran mesej sebelum Krismas, apabila ia mencadangkan perkhidmatan itu dikenakan bayaran AS$1 (RM3) untuk setiap penghantaran mesej. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

3 lagi mayat ditemui

Posted: 12 Jan 2013 05:40 AM PST

Beijing: Operasi mencari tiga lagi mangsa yang hilang akibat kejadian tanah runtuh di barat daya China berakhir semalam apabila semua mayat ditarik keluar dari kawasan lumpur.

Penemuan itu menjadikan jumlah kematian akibat bencana berkenaan kepada 46, termasuk 19 kanak-kanak. Pihak berkuasa di Yunnan berkata, tiga mayat terakhir itu ditemui pagi semalam selepas usaha mencari tanpa henti membabitkan lebih 1,000 petugas penyelamat dilakukan di desa terpencil Gaopo. Agensi berita kerajaan, Xinhua melaporkan mereka yang tertimbus termasuk 27 orang dewasa dan 19 kanak-kanak.


Dua lagi mangsa dirawat di hospital selepas kejadian itu yang berlaku pagi kelmarin turut menimbuskan 16 kediaman. Petugas yang berjaga sepanjang malam dan berdepan dengan suhu tahap beku menggunakan lampu serta peralatan pengesan khas untuk mencari mangsa.

Tentera, polis, anggota bomba dan kakitangan penyelamat lombong menyertai operasi mencari yang menggunakan 20 mesin pengorek dan trak itu. Penduduk, Li Yongju, 50, berkata, dia mendengar bunyi tanah runtuh ketika membersihkan kawasan belakang rumahnya sebelum bergegas bersama penduduk lain ke tempat kejadian sambil membawa penyodok dan cangkul. "Kami menarik beberapa orang, seorang daripadanya bernafas dengan lemah. Dia mati tidak lama kemudian, " katanya sebagaimana dipetik daripada agensi berita Xinhua. Beberapa anggota keluarga saya, termasuk nenek, abang, bapa dan ibu saudara mati dalam kejadian ngeri berkenaan," katanya ketika ditemui. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Korban selesema di AS meningkat

Posted: 12 Jan 2013 05:40 AM PST

Chicago: Jumlah kematian akibat selesema yang mencengkam Amerika Syarikat mencapai tahap epidemik.

Pihak berkuasa kesihatan berkata, ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa minggu sebelum reda.


Selesema atau pneumonia bertanggungjawab atas 7.3 peratus kematian dilaporkan di 122 bandar raya yang dipantau Pusat untuk Pengawalan dan Perlindungan Penyakit (CDC) yang berakhir pada 5 Januari lalu.

Jumlah itu mengatasi paras epidemik pada 7.2 peratus. "Kebanyakan bahagian di negara ini menyaksikan banyak kes selesema," kata Pengarah CDC, Tom Frieden dalam sidang media. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Aquino tetap bawa senjata

Posted: 12 Jan 2013 05:39 AM PST

Manila: Presiden Filipina, Benigno Aquino tetap akan membawa pistol walaupun pengharaman membawa senjata akan dikuatkuasakan menjelang pilihan raya negara itu.

Pemilikan senjata menjadi topik sensitif di negara itu dengan gesaan semakin meningkat supaya kawalannya diketatkan atau diharamkan sama sekali selepas beberapa kejadian menembak bermula dengan sambutan Tabun Baru menyebabkan 23 orang terbunuh.


Keputusan pegawai Suruhanya Pilihan Raya mengecualikan Aquino, peminat senjata api ialah kerana beliau adalah panglima tertinggi tentera negara itu.

"Kami mengecualikan anggota tentera Filipina dan memandangkan presiden adalah pemerintah tertinggi pasukan tentera, beliau juga terkecuali daripada peraturan itu," kata Emil Maranon, pegawai suruhanjaya berkenaan.


Pengharaman itu yang berkuatkuasa hari ini dan akan berlanjutan selama enam bulan bertujuan mengurangkan keganasan menjelang pilihan raya tempatan dan Kongres pada Mei depan.


Bukan sesuatu yang luar biasa bagi pegawai tempata memohon supaya dikecualikan daripada peraturan itu.

Rabu lalu, Aquino menolak desakan supaya diharamkan sama sekali orang awam membawa pistol dengan berkata kematian berpunca daripada senjata api itu bukan isu besar.


Dua kanak-kanak mati selepas terkena tembakan ketika sambutan Tahun Baru lalu.

Beberapa hari kemudian, seorang penagih dadah menembak mati tujuh orang di pinggir bandar raya Manila sebelum dia ditembak mati oleh polis.


Sementara itu, pasukan keselamatan menembak mati 13 orang Ahad lalu dalam kes yang menjejaskan imej kerajaan dan meningkatkan tumpuan terhadap masalah rasuah di kalangan anggota tentera dan polis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Tiada kaitan serangan bio dengan H5N1

Posted: 12 Jan 2013 05:39 AM PST

Jakarta: Ketua Agensi Perisikan Indonesia (BIN), Marciano Norman berkata, belum ada tanda-tanda menunjukkan selesema burung yang kini merebak di negara itu mempunyai kaitan dengan serangan senjata bio.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus mengawasi perkembangan wabak baru itu, H5N1 klad 2.3.2 yang menyebabkan kematian puluhan ribu ayam dan itik di negara itu.

"Agensi saya memberi tumpuan teliti terhadap fenomena yang berlaku sejak mula lagi.

"Kami akan sentiasa berwaspada kerana perkembangan senjata bio kini begitu pantas.


"Pada masa depan, serangan bio seperti ini akan kerap digunakan dalam peperangan.


"Tetapi, sehingga kini, belum ada tanda-tanda menunjukkan wabak selesema burung berpunca daripada serangan senjata bio," katanya kepada wartawan, semalam.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keamanan, Djoko Suyanto berkata, isu serangan bio masih diperingkat dugaan.

Menurutnya, beberapa agensi kerajaan terbabit dalam menyiasat wabak baru itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Timbalan Perdana Menteri Thai akui mabuk ketika di Malaysia

Posted: 12 Jan 2013 05:38 AM PST

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yubanrung semalam mengaku mabuk kerana minum arak ketika melakukan lawatan ke Malaysia.

Bagaimanapun, menurutnya, dia tidak mabuk ketika bertugas.


Chalerm berada di Kuala Lumpur awal minggu ini untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai kekacauan di selatan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri itu mengaku demikian sebagai menjawab soalan daripada media mengenai laporan dia mabuk.


Laporan itu disokong dengan gambar dan klip video yang menunjukkan beliau dalam keadaan mabuk.


"Lima orang minum lapan botol wain. Sudah tentu ia menyebabkan saya mabuk," kata Chalerm.

Menurutnya, dia minum selepas berbincang dengan pegawai Malaysia dan tidak ada pegawai Thai bersama-samanya ketika itu.


Chalerm menyelar pihak yang mengedar gambar dan klip video berkenaan dengan berkata, tindakan itu mencabuli hak peribadinya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Jual anak gadis RM200

Posted: 12 Jan 2013 05:37 AM PST

Bangkok: Seorang ibu di Lop Buri memaksa anaknya berusia 13 tahun untuk berkahwin dengan lelaki berumur 34 tahun selepas dia menerima bayaran mas kahwin sebanyak 2,000 baht (RM200).

Yayasan Pavena untuk Wanita dan Kanak-Kanak semalam berkata, gadis bawah umur itu memberitahu kakitangannya, lelaki terbabit datang ke rumahnya untuk minum bersama-sama ibu bapanya Selasa lalu.


Dia kemudian memasuki biliknya lalu memeluknya ketika dia tidur. Lelaki itu bagaimanapun melarikan diri selepas dia menjerit.

Keesokannya, lelaki itu datang lagi ke biliknya dan memaksanya mengadakan seks.


Apabila dia memaklumkan perkara itu kepada ibubapanya, mereka meminta lelaki itu membayar RM200 untuk menjadikan gadis itu isterinya.


Menurut yayasan itu, polis menyerbu rumah gadis berkenaan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kejadian itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

No comments:

Post a Comment