Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mabuk punya bapa

Posted:

Seorang budak tidak dapat makan secara normal dan mungkin gagal bertutur dengan baik kecuali berpeluang menjalani pembedahan selepas hidung dan bibir atasnya digigit bapa sendiri.

Menurut laporan media semalam, Radha diserang bapanya apabila bayi berusia lima bulan itu menangis tidak berhenti-henti.


Polis berkata, bapa Radha, Bhadar Singh ditahan dan didakwa kerana menyebabkan kecederaan parah dengan niat berbahaya.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku di rumah Bhadar - seorang petani - di Siyana di daerah Bikaner, Rajasthan.


"Jika disabitkan kesalahan, Bhadar boleh dipenjara antara 10 tahun hingga seumur hidup," katanya. Jurucakap polis itu berkata, Bhadar, 36, pulang dalam keadaan mabuk jam 10 malam Khamis lalu.


Isterinya, Santosh, serta adiknya, Saroj ketika itu sedang menghias tangan mereka dengan inai. "Bhadar meminta Santosh membuat sesuatu, tetapi wanita terbabit keberatan kerana tangannya berinai.

"Keengganan Santosh menyebabkan Bhadar berang dan mula membelasah isterinya," katanya.


Menurut jurucakap itu, Saroj cuba membantu Santosh, tetapi diugut Bhadar.

Sejurus kemudian, anak perempuan Bhadar berusia tiga tahun, Bhanwar Kanwar mula menangis dan menimbulkan kemarahan lelaki terbabit. Katanya, Bhadar menggigit belakang, tangan serta bahagian lain badan Bhanwar sebelum mencampak budak terbabit ke luar rumah. Kekecohan itu mengejutkan Radha yang sebelumnya tidur di dalam bilik.


Jurucakap polis berkata, Bhadar kemudian mula menyerang Radha sehinggalah Santosh memanggil jiran mereka membantu.


Radha dan Bhanwar kemudian dirawat di Hospital Putera Bijay Singh di Binaker. Ketua Unit Pembedahan Pediatrik hospital itu, Dr Girish Prabhakar berkata, walaupun keadaan Radha kini stabil, dia perlu menjalani pembedahan plastik yang banyak untuk memulihkan mulut serta hidungnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Anak penyanyi dangdut diculik ditemui semula

Posted:

Jakarta: Anak perempuan penyanyi dangdut Nassar, Siti Nurjanah yang diculik sembilan hari lalu ditemui di Cibubur Jawa Barat, semalam.

Pegawai penyiasat dan Ketua Jenayah Am Polis Jakarta, Adjutan Komisioner Kanan Herry Heriawan memberitahu media bahawa polis mebemui Siti Nurjanah, 11, dalam keadaan lemah di kediaman penculiknya di Cibubur kira-kira jam 3 pagi.


Herry berkata, polis menahan seorang daripada suspek penculik, Fadlun Haryanto, 29, manakala seorang lagi suspek dapat meloloskan diri.

Menurut Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Putut Eko Bayuseno, polis berjaya menjejaki lokasi penculik terbabit berdasarkan isyarat telefon bimbit digunakan menghantar mesej pesanan ringkas kepada Nassar dan isterinya, Muzdalifah Khamis lalu. Penculik meminta wang tebusan sebanyak 4 bilion rupiah (RM1.2 juta).


Polis menemui bukti termasuk sepucuk revolver, foto Siti, sebuah motosikal, 14 kad pengenalan palsu, buku bertema jihad dan bahan membuat bom seperti tiga beg potasium dan kertas aluminium dari kediaman suspek. - tempo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Calon Parti PAP kalah lagi

Posted:

Pengundi semalam mengetepikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, menjadikannya kekalahan kedua dalam pilihan raya kecil untuk tempoh lapan bulan, memberikan pembangkang satu lagi kerusi di Parlimen.

Keputusan itu sebagai isyarat tidak puas hati yang semakin meningkat mengenai polisi imigresen dan jurang pendapatan yang kian ketara.


Calon Parti Pekerja, Lee Li Lian memenangi 54.5 peratus iaitu 29,800 undian kelmarin di daerah Punggol Timur menewaskan tiga lagi calon, termasuk Koh Poh Koon dari parti PAP yang mendapat 43.7 peratus. Parti Pekerja kini mempunyai tujuh kerusi di Parlimen dan PAP memiliki 80 kerusi.

"Walaupun mencapai kemenangan, Parti Pekerja masih parti kecil dan perlu melakukan serta memperbaiki banyak perkara," kata Pengerusi parti itu, Sylvia Lim kepada wartawan. PAP menguasai pemerintahan sejak 1959, tetapi sokongannya kian berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia hanya memenangi 60 peratus undian pada 2011 dalam pilihan raya umum - undian terendah sejak kemerdekaan negara itu pada 1965. PAP masih berusaha mengekang ketidakpuasan yang kian berleluasa ekoran kos hidup yang tinggi, kebanjiran warga asing dan ketidaksamarataan pendapatan yang semakin ketara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

12 maut akibat tanah runtuh

Posted:

Jakarta: Jumlah kematian akibat dua kejadian berasingan tanah runtuh ekoran hujan lebat di barat Indonesia meningkat kepada 12 orang termasuk lima pekerja geotherma dan menimbus lebih puluhan yang lain, kata pihak berkuasa semalam.

Insiden tanah runtuh terburuk itu berlaku di Tanjung Sani, daerah Agam di wilayah Sumatera Barat, di mana 20 kediaman ditimbus lumpur dan batu-batan yang runtuh dari bukit di kelilingnya pada waktu Subuh membunuh tujuh penduduk kampung, kata pegawai bencana, Ade Edward.


Menurutnya, lima penduduk kampung yang cedera dirawat di hospital, termasuk seorang dalam keadaan kritikal. Mayat mangsa yang terkorban sudah ditemui dan petugas penyelamat menggunakan peralatan menggali bagi mencari 14 orang yang dilaporkan tertimbus di bawah lumpur. Beratus-ratus penduduk yang terselamat melarikan diri dari kediaman mereka di lereng bukit untuk berlindung di khemah dan tempat lebih selamat, bimbang lebih banyak lereng gunung yang akan runtuh ekoran hujan yang turun berterusan, kata Ade.

Di wilayah Jambi, hujan lebat yang turun selama beberapa hari menyebabkan insiden tanah runtuh berlaku di kawasan penggalian dimiliki syarikat Tenaga Pertamina Geotherma yang dimiliki oleh kerajaan.


Jumlah kematian meningkat kepada lima orang selepas petugas pencari menarik mayat seorang lagi pekerja dari lumpur semalam, kata Sutopo Purwo Nugroho daripada Agensi Bencana Nasional. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Ibu bapa kebulur makan anak

Posted:

Londn: Ibu bapa di Korea Utara didakwa memakan anak mereka bagi mengelak kebuluran, dakwa saksi semalam.

Baru-baru ini, katanya, seorang bapa ditembak mati pihak berkuasa di Hwanghae Selatan kerana membunuh dua anaknya untuk dijadikan makanan. Saksi berkata, lelaki terbabit menawarkan daging itu kepada isterinya apabila wanita terbabit kembali daripada urusan luar. "Ada kemungkinan kejadian seumpama itu berlaku di tempat lain di Korea Utara," katanya.


Akhbar Sunday Times diberitahu, sekumpulan wartawan menyamar sempat merakamkan insiden mengerikan di negara itu. Antaranya, seorang lelaki menggali kubur cucunya untuk dimakan, manakala di daerah Chongdan, ada individu merebus anak sendiri untuk dimakan dagingnya. Ribuan penduduk Korea Utara dikhuatiri kebuluran ketika pemimpin mereka, Kim Jong-Un terus menikmati hidangan mewah. Sumber berkata, lebih 10,000 orang mungkin mati akibat kebuluran di Pyongyang saja kerana bekalan makanan amat terhad untuk digunakan. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Anak ke-empat Shirley juga mati ditembak

Posted:

Chicago: Sekurang-kurangnya lima orang ditembak mati di Chicago dalam tempoh sehari, kata pihak berkuasa semalam.

Seorang daripada mangsa adalah seorang lelaki berusia 34 tahun, Ronnie Chambers, yang mengalami nasib sama seperti dua abang dan seorang kakaknya sebelum ini. Ronnie - anak bongsu kepada Shirley Chambers - mati selepas ditembak di kepala ketika berada dalam sebuah kereta di West Side.


Kata polis, seorang lagi lelaki berusia 21 tahun yang ada bersama Ronnie cedera.

Shirley kehilangan tiga anaknya yang ditembak dalam kejadian berasingan lebih sedekad lalu.


Stesen televisyen WLS-TV melaporkan, Shirley terpaksa berduka sekali lagi atas kehilangan anaknya.


"Saya tidak mampu berfikir apa-apa kerana Ronnie satu-satunya anak yang saya ada," katanya. Anak sulung Shirley, Carlos, ditembak mati rakan sekolah tingginya pada 1995 selepas mereka bertengkar.

Carlos baru berusia 18 tahun ketika itu.


Anak kedua Shirley, Latoya, 15, dan adiknya, Jerome, juga ditembak mati dalam tempoh beberapa bulan pada 2000.

Kata Shirley, dia tidak faham apa yang tidak kena sehingga semua anaknya dibunuh.


"Kami tidak dapat semua yang kami mahu, tetapi kami ada apa yang kami perlukan," katanya.


Namun, Shirley mengaku dia tidak berdendam atau marah atas tragedi yang menimpa dirinya. Beberapa jam selepas Ronnie dibunuh, seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki di South Side, membunuh dua daripada mereka dan seorang lagi cedera. Pada tengah hari, polis dimaklumkan mengenai pembunuhan seorang lelaki berusia 30-an dan seorang remaja di Chicago.


Tiada sebarang tangkapan setakat ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Hilang lepas konsert

Posted:

Sekurang-kurangnya 20 orang dari kumpulan muzikal Kombo Kolombia dilaporkan hilang selepas mengadakan konsert di timur laut Mexico, kata pihak berkuasa dan waris mangsa, semalam.

Menurut waris pemuzik terbabit, 12 pemuzik dan lapan kru kumpulan itu dijadual mengadakan persembahan di Potrero Chico di bandar Hidalgo malam Jumaat lalu. Bagaimanapun, kata seorang daripada waris itu, Jose Ruiz, anggota kumpulan itu gagal dikesan. "Mereka tidak menjawab panggilan telefon, tetapi kami tidak menyangka apa-apa kerana berpendapat mereka mungkin berada di tempat terpencil," katanya. Namun, kata Ruiz, mereka mula mencari ahli keluarga masing-masing dan menemui kereta pemuzik terbabit ditinggalkan terbiar dan kosong. Katanya, alat muzik yang sepatutnya ada di kawasan ladang tempat mereka akan membuat persembahan juga gagal dikesan. Sementara itu, jurucakap keselamatan Nuevo Leon, Jorge Domene, berkata 20 orang, termasuk pemuzik dan kakitangan sokongan Kombo Kolombia hilang sejak Jumaat. Seperti kebanyakan negeri lain. Nuevo Leon mengalami peningkatan keganasan jenayah culik, pemeras ugut, pengedaran dadah dan pergeseran antara kumpulan kartel dadah serta polis. Data rasmi menunjukkan, lebih 70,000 orang terbunuh dalam keganasan berkaitan dadah di Mexico sejak Presiden Felipe Calderon melancarkan perang ke atas kartel dadah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Kam Air nafi dakwaan seludup dadah

Posted:

Kabul: Syarikat penerbangan swasta terbesar Afghanistan, Kam Air, menafikan dakwaan mengaitkan mereka dengan aktiviti penyeludupan dadah dan mengancam mengemukakan saman jika tuduhan Amerika Syarikat (AS) terhadap agensi itu dibuktikan palsu.

Pemilik Kam Air, Zamari Kamgar, berkata tuduhan AS itu tidak berasas, tidak dapat dipercayai dan menghina.


"Ada lebih 10 pasukan keselamatan beroperasi di Lapangan Terbang Kabul selain langkah keselamatan ketat di Tajikistan," katanya dalam temu bual semalam.

Akhbar Wall Street Journal pada Jumaat lalu melaporkan, tentera AS melarang Kam Air dijadikan kontraktor berpotensi mereka kerana menganggap syarikat terbabit mengangkut sejumlah besar dadah ke Tajikistan.


Ketika ini Kam Air memiliki 16 pesawat yang beroperasi di Afghanistan serta beberapa lokasi sekitar negara berkenaan. Pegawai tentera AS mendakwa, Kam Air mengangkut candu - yang diperlukan untuk menghasilkan heroin - secara "pukal" melalui penerbangan awam. Jurucakap pasukan tentera asing yang bertugas di Afghanistan mengesahkan laporan itu tetapi enggan memberi butiran lanjut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

'Palestin terperangkap'

Posted:

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) semalam menggesa penderma antarabangsa mengambil kira mengenai nasib lebih setengah juta warga Palestin yang terperangkap dalam konflik Syria apabila mereka bersidang di Kuwait minggu depan.

"Ketika semua orang awam menanggung derita akibat keganasan di Syria, keadaan rakyat Palestin di negara itu ketika ini adalah berbeza. Mereka menjadi dua kali pelarian. Yang menyayatkan hati, lebih 525,000 pelarian Palestin di Syria kini amat menderita," kata Pesuruhjaya UNRWA, Filippo Grandi.


Menurut angka yang dikeluarkan PBB, lebih 60,000 orang terbunuh sejak pertelingkahan bersenjata di Syria pada Mac 2011.

"Ketika negara penderma membuat ikrar di Kuwait, saya menyeru mereka supaya mengenang juga nasib pelarian Palestin," kata Grandi.


Kuwait menjadi tuan rumah persidangan penderma antarabangsa bagi mengumpulkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Syria pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Israel risau senjata kimia Syria jatuh ke tangan Hizbullah

Posted:

Baitulmaqdis: Naib Perdana Menteri Israel semalam berkata, rejim Zionis itu akan melancarkan serangan sekiranya ada tanda-tanda menunjukkan kemungkinan senjata kimia Syria jatuh ke pihak lain.

Silvan Shalom mengesahkan laporan media bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu minggu lalu berbincang dengan ketua keselamatan rejim berkenaan mengenai perang saudara di Syria dan kedudukan senjata kimia negara itu.


Mesyuarat itu yang diadakan Rabu lalu, tidak diumumkan dan dilihat sebagai luar biasa kerana ia diadakan ketika undi pilihan raya Israel masih dikira.

"Sekiranya pejuang Hizbullah di Lubnan atau penentang yang memerangi askar yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad memperoleh senjata kimia Syria, ia sudah pasti mengubah secara dramatik keupayaan kumpulan berkenaan. Perkembangan itu memerlukan pendekatan berbeza, termasuk operasi pencegahan," kata Shalom.


Pegawai kanan tentera Israel sebelum ini berkata, rancangan melancarkan serangan terhadap Syria sudah disiapkan. "Konsep itu, secara prinsipnya, ialah senjata kimia itu tidak boleh bertukar tangan Sebaik kami mengetahui ia berlaku, kami perlu membuat keputusan," kata Shalom ketika diwawancara oleh Radio Israel.


Dalam wawancara berasingan dengan Radio Tentera, Menteri Pertahanan Awam, Avi Dichter berkata, Syria kini di ambang keruntuhan.

Apabila ditanya sama ada rejim Zionis itu melihatnya sebagai ancaman, Dichter berkata: "Tidak, belum lagi. Saya berpendapat, sekiranya perkembangan yang berlaku mengancam kita, Israel akan mengetahui mengenainya." Perancis, antara penyokong kuat kumpulan penentang Syria berkata minggu lalu, tidak ada tanda-tanda Bashar akan digulingkan memandangkan usaha antarabangsa menangani krisis itu terus buntu. Di medan tempur, konflik berkenaan juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan baru. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

No comments:

Post a Comment