Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tonik maut

Posted:

Ipoh: Sindiket pengedar minuman perangsang seks haram dikesan cuba memperdaya orang ramai dengan menjual tonik yang didakwa dirumus daripada pati kurma.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak berasas apabila pemeriksaan oleh tiga makmal kimia mendapati tonik minuman berharga lebih RM100 itu mengandungi kimia beracun sildenafil nitrat dalam kuantiti tinggi.

Susulan penemuan menakutkan itu, Bahagian Penguat kuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan serbuan besar-besaran di seluruh negara tepat jam 11 pagi semalam.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM Wan Hamid Wan Ibrahim berkata, minuman itu yang didakwa turut dihasilkan daripada ekstrak lebih 10 herba terbaik di dunia itu, sebaliknya mengandungi kimia berbahaya sildenafil yang dicampurkan sebagai ramuan khas.


Menurutnya, pengilang produk terbabit cuba menipu pengguna dengan mendakwa minuman tonik itu dihasilkan daripada ekstrak Tongkat Ali, ekstrak Ubi Jaga, ekstrak Ginseng, ekstrak Misai Ali dan pelbagai herba terkenal lain.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Pencuri tinggal bom tangan

Posted:

Manjung: Seorang suri rumah bukan saja kerugian RM30,000 apabila rumahnya diceroboh tiga lelaki bersenjatakan pistol, malah terkejut apabila penjenayah itu mengambil gambar dia dan anak-anaknya serta meninggalkan peluru hidup, bom tangan dan bungkusan dadah di ruang tamu rumahnya dalam kejadian di Kampung Pantai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Suzy, 30-an, berkata, kejadian berlaku ketika dia tidur sebelum terdengar bunyi seakan letupan dari pintu belakang rumahnya.


Menurutnya, dia yang bangun untuk memeriksa terkejut apabila tiga lelaki bertopeng meluru masuk sebelum mengacukan pistol ke arah mukanya.

"Penjenayah memaksa saya duduk sebelum menggeledah bilik tidur. Mereka turut memaksa saya menyerahkan wang tunai dan barang kemas jika tidak mahu dibunuh.


"Saya dan tiga anak perempuan berusia tujuh hingga 13 tahun amat takut ketika itu tambahan pula suami yang menguruskan perniagaan air batu tiada di rumah," katanya.


Dia mendakwa kumpulan penjenayah itu menggeledah rumahnya lebih 30 minit sebelum memaksanya membuka pintu hadapan rumah.

"Mereka bergegas melarikan diri bersama wang dan barang kemas milik saya yang dianggarkan RM30,000. Namun, sebelum meninggalkan rumah, kumpulan penjenayah itu sempat mengambil gambar kami sekeluarga.


"Tambah pelik apabila mereka turut meninggalkan 10 peluru hidup, bom tangan dan bungkusan dadah di dalam rumah tanpa sebab munasabah," katanya.

Menurutnya, suspek turut mengugutnya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.


"Saya tidak pasti identiti sebenar penjenayah, namun ada kemungkinan rompakan ini didalangi sindiket ceti haram yang sebelum ini kerap mengganggu kami sekeluarga.


"Malah, beberapa along pernah mengugut suami saya beberapa kali selepas dia menghadapi masalah melunaskan hutang," katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


Katanya, sebelum kejadian itu rumah bapanya yang terletak tidak jauh daripada kediamannya turut disimbah cat merah dan pejabat suaminya turut dipecah masuk awal pagi pada Jun tahun lalu.


Difahamkan, gelagat penjenayah turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar kediaman mangsa.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Hargai 'nota bergerak'

Posted:

Alor Setar: "Saya begitu menghargai bantuan dua sahabat baik yang selama ini diibarat sebagai 'nota bergerak' untuk memudahkan saya mengulangkaji pelajaran sehingga memperoleh keputusan cemerlang ini," kata Fudzla Suraiyya Abdul Raup,19.

Fudzla antara tiga pelajar Maktab Mahmud Alor Setar (MMAS), di sini, yang berjaya memperoleh keputusan 10 Mumtaz sekali gus mendapat pangkat Mumtaz Sofi dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012, yang diumumkan serentak di seluruh negara, semalam.


Dua lagi rakannya yang berkongsi kejayaan itu ialah Nurussyifaa Aula Mohamad Zukkri, 19 dan Wanmuhammad Hajeewaeharong, 20.

Mereka mencatatkan gred Mumtaz dalam semua 10 subjek diambil iaitu Nahu dan Sarf; Insya dan Mutalaah; Adab dan Nusus; Arudh dan Qafiah; Balaghah; Fiqh dan Faraid; Tafsir dan Ulumuhu; Hadis dan Mustalah; Hifz al-Quran dan Tajwid serta Tauhid dan Mantiq.


Fudzla Suraiyya dari Jitra berkata, sikap saling membantu dan kesediaan dua sahabat karibnya iaitu Musyawwiroh Abdul Aziz dan Saidatul Afza Mohamed Amin, yang sering berkongsi ilmu selama ini menjadi antara faktor utama buat dirinya memperoleh keputusan cemerlang itu.


Katanya, walaupun kecewa kerana dua sahabatnya gagal memperoleh pangkat Mumtaz Sofi, dia amat berterima kasih dan menghargai bantuan mereka dengan berkongsi ilmu dan maklumat sepanjang proses mengulangkaji pelajaran.

"Saya tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang kerana pada peperiksaan percubaan pada Ogos tahun lalu, saya hanya mendapat lapan Mumtaz, manakala dua subjek lagi masing-masing Jayyid Jiddan dalam Nahu dan Sarf serta Jayyid bagi Adab dan Nusus.


"Malah, usaha guru yang tidak berputus asa memberi kami latihan dengan menyediakan koleksi soalan STAM dari 2004 hingga 2011 memang membantu kami menjawab soalan peperiksaan dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita di MMAS, di sini, semalam.

Dia yang bercita-cita menjadi pensyarah berhasrat melanjutkan pengajian dalam Bahasa Arab sama ada di Universiti Malaya atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas ini.


Kata anak kedua daripada empat beradik itu, dia juga menjadikan kejayaan abangnya, Ilham Hussainy, 20 yang kini berada di tahun kedua di Universiti Yarmourk, Jordan sebagai sumber inspirasi untuk berjaya.


"Saya mahu berjaya seperti abang dan menjadi kebanggaan keluarga, namun hanya memilih universiti tempatan untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi selepas ini," katanya.


Nurussyifaa Aula pula berkata, dia juga tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang kerana ketika peperiksaan percubaan sebelum ini hanya memperoleh lapan Mumtaz, manakala dua lagi subjek, Fiqh serta Adab dan Nusus hanya mendapat Jayyid Jiddan.


Kata anak sulung empat beradik itu, dia mahu kejayaannya menjadi contoh terbaik kepada tiga adiknya.


"Sejak kecil saya bercita-cita mahu menjadi pendidik dan berhasrat melanjutkan pengajian Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Baca al-Quran bantu lebih fokus

Posted:

Kota Bharu: "Amalan membaca al-Quran, berpuasa sunat dan solat hajat membantu saya lebih fokus serta tenang menghadapi peperiksaan," kata pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, Wardah Mat Ali, 19, yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), semalam.

Wardah memperoleh Mumtaz untuk mata pelajaran Hifz al-Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus, 'Arudh dan Qafiyah, dan Balaghah, manakala dalam mata pelajaran Insya' dan Mutala'ah, dia memperoleh Jayyid Jiddan.


Anak keenam daripada tujuh beradik itu turut menjadikan contoh kejayaan dua abang dan tiga kakaknya melanjutkan pengajian di Mesir, Madinah dan Maghribi sebagai pendorong dan pembakar semangatnya untuk memperoleh kejayaan.

Berkongsi tips kejayaannya, anak pasangan Mat Ali Ngah, 54, dan Noriah Ismail, 53, dari Kampung Bayam di sini, berkata, dia memberi 100 peratus tumpuan ketika sesi pembelajaran selain kerap bertanya soalan kepada guru jika tidak faham.


"Saya membuat latih tubi bersama rakan dan belajar berkumpulan. Bagi membantu meningkatkan daya ingatan, saya amalkan memakan kismis serta kurma yang sememangnya baik untuk kesihatan," katanya yang memperoleh 10A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Separuh daripada calon lulus

Posted:

Putrajaya: Lebih separuh daripada 5,818 calon yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu memperoleh sijil sekurang-kurangnya peringkat Maqbul (lulus).

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak berkata, seramai 3,925 atau 67.4 peratus calon memperoleh sijil masing-masing 385 di peringkat Mumtaz (cemerlang), Jayyid Jiddan atau sangat baik (1,263), Jayyid atau baik (1,868) dan Maqbul atau lulus (409). Menurutnya, analisis keputusan peperiksaan juga mendapati seramai 1,893 calon Rasib atau gagal berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 1,963. "Keputusan STAM juga mendapati jumlah yang berjaya mendapat gred Mumtaz untuk semua 10 mata pelajaran mencatatkan penurunan iaitu seramai 41 calon berbanding 52 calon pada tahun sebelumnya. "Bagaimanapun, bilangan calon mendapat minimum gred Maqbul (tidak termasuk semua Mumtaz) dalam semua mata pelajaran bertambah seramai 3,884 berbanding tahun sebelumnya iaitu 3,368 calon," katanya pada sidang media pengumuman keputusan STAM, di sini, semalam. Pada masa sama, Na'imah berkata, bilangan calon yang mendapat gred Rasib bagi semua 10 mata pelajaran berkurang kepada 67 calon berbanding seramai 78 sebelum ini. Mengenai prestasi mata pelajaran, beliau berkata, enam mata pelajaran mencatatkan peningkatan manakala empat lagi menunjukkan penurunan. "Peningkatan kelulusan gred Mumtaz hingga Maqbul paling tinggi iaitu sebanyak tujuh peratus bagi mata pelajaran Tauhid dan Mantiq diikuti Fiqh (5.7 peratus), Balaghah (4.3 peratus), Hifz al-Quran dan Tajwid (2.4 peratus), Nahu dan Sarf (0.7 peratus) serta Hadith dan Mustolah (0.2 peratus). "Mata pelajaran Adab dan Nusus mencatatkan penurunan prestasi paling tinggi iaitu sebanyak 4.1 peratus diikuti mata pelajaran Tafsir dan Ulumuhu (0.8 peratus), 'Arudh dan Qafiyah (0.3 peratus) dan Insya' dan Mutala'ah (0.2 peratus)," katanya. Sementara itu, Na'imah berkata, pihak kementerian dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan sekolah akan melaksanakan strategi serta program khusus bagi meningkatkan pencapaian mata pelajaran yang mencatatkan penurunan prestasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

No comments:

Post a Comment