Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Misi besar Kenichi

Posted: 14 Jan 2013 11:26 AM PST

Kuala Lumpur: Finalis tahun lalu, Kenichi Tago membawa dua misi besar di Terbuka Malaysia kali ini iaitu membalas dendam ke atas pemain nombor tiga negara, Chong Wei Feng (gambar) dan memberi cabaran getir kepada pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei andai berjaya ke final sekali lagi.

Pilihan kedua kejohanan itu yang mula mengalami kemerosotan prestasi sejak kekalahan kepada Wei Feng pada pusingan pertama Terbuka Jepun tahun lalu, membawa azam membara sejak tiba di Kuala Lumpur dua hari lalu.


"Saya masih ingat detik diaib Wei Feng di depan penyokong sendiri tahun lalu dan kali ini kami sekali lagi diundi bertemu pada pusingan pertama, saya mahu menang di depan penyokong anda," kata Kenichi selepas menjalani latihan di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Itu adalah kekalahan sulung Kenichi kepada Wei Feng dan dia masih memegang kelebihan rekod pertemuan 3-1 ke atas pemain negara itu.


Namun prestasinya kurang baik awal tahun ini, apabila tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Korea minggu lalu selepas tunduk kepada pemain Denmark, Jan O Jorgensen.


"Berat badan saya naik dari 71kg ke 74kg biarpun saya menjalani latihan seperti biasa, mungkin saya banyak makan kerana cuaca di Jepun terlalu sejuk," kata Kenichi.

Foto

KENICHI idam atasi Chong Wei andai berjaya ke final.

Kenichi yang menaruh impian melangkah ke final sekali lagi berjanji tidak mempamerkan aksi buruk seperti final menentang Chong Wei tahun lalu.


"Saya impikan satu lagi final menentang Chong Wei tahun ini tapi saya janji tidak akan menjadi budak belasahan lagi," katanya merujuk kekalahan 6-21, 13-21 tahun lalu.

Kenichi menentang Wei Feng di pusingan pertama esok dan rakan senegaranya, Sho Sasaki, Wang Zhengming (China) serta Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) berada dalam laluannya ke final.


Dua pemain sensasi remaja negara, Misbun Ramdan Misbun dan Zulfadli Zulkifli turun beraksi di pusingan kelayakan hari ini.


Perlawanan kelayakan bermula jam sembilan pagi dijangka berakhir lewat petang berikutan penambahan gelanggang kepada lima bagi mengelakkan perlawanan berlarutan hingga ke lewat malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Bertam Ulu, Phoenix gah

Posted: 14 Jan 2013 11:13 AM PST

Kuala Lumpur: Penguasaan pasukan Bertam Ulu (BU) nyata sukar digugat apabila muncul sebagai juara Pertandingan Futsal PEMADAM merebut Piala Pusingan Penaung PEMADAM Kebangsaan selepas menewaskan pasukan MBC.

BU memperagakan aksi mengagumkan untuk menang dengan jaringan 2-0 sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta Piala Pusingan dan Iringan.


Bagi pengurus pasukan Sani Abdul Rahman, kejohanan anjuran PEMADAM itu medan persediaan BU untuk mencuba nasib di Kejohanan Futsal Indonesia yang berlangsung di Jakarta pada 17 hingga 25 Januari ini. "Ia medan pemanas badan selepas kami berjaya menjuarai kejohanan Futsal Endurance 1Malaysia di Selangor dan berharap rentak kejayaan ini diteruskan selepas ini," katanya.

Kecemerlangan BU yang mendapat tajaan penuh Equal System Sdn Bhd serta tajaan barangan Figos Sdn Bhd itu turut mendapat pengiktirafan apabila pemain, Jamaluddin Alias dinobatkan pemain terbaik kejohanan.


Pasukan Phoenix muncul juara kategori wanita selepas menundukkan Titans 3-2 menerusi sepakan penalti.


Phoenix membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala pusingan dan iringan manakala naib juara membawa pulang wang tunai RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Veteran pilihan Melaka benam JBS

Posted: 14 Jan 2013 11:12 AM PST

Melaka: Pasukan veteran pilihan Melaka menewaskan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, 3-2 pada aksi persahabatan bola sepak di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput baru-baru ini.

Program sempena persaraan pegawai JBS, Muhd Hatta Abu itu turut menyaksikan penyertaan bekas pemain kebangsaan dan Johor, Azmil Azali yang mewakili pilihan Melaka.


Pegawai JBS, Nurul Haida Ghazali berkata, kehadiran Azmil yang pernah membantu pasukan negara muncul naib juara piala AFF Suzuki 1996 turut merancakkan saingan.

"Perlawanan itu juga bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara sektor awam dan Agensi Bukan Kerajaan (NGO).


"JBS juga aktif mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain dan kemenangan sebenarnya bukan matlamat utama melainkan mendekatkan jabatan itu dengan masyarakat.


"Selain itu, ia juga bertujuan mencari pemain berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

AD-Navy juara beregu Badminton Piala Presiden

Posted: 14 Jan 2013 11:12 AM PST

Kuantan: Pasukan AD-Navy A muncul juara beregu Kejohanan Badminton Piala Presiden selepas menewaskan MBS A, 2-1 di Dewan Persatuan Badminton Pahang (PBP), Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.

Kejayaan AD-Navy A itu melayakkan mereka menerima wang tunai RM3,000, piala pusingan, pakej pelancongan dan medal manakala MBS A membawa pulang RM2,000 dan medal.


Namun, Ad-Navy A yang memenangi beregu terbuka satu perlu berterima kasih kepada beregu terbuka kedua untuk memastikan kemenangan selepas terikat 1-1 apabila acara beregu veteran dimenangi MBS A.

Sementara itu, Mika/KKRC A dan Persatuan Badminton Melayu Pahang B menduduki tempat ketiga dan keempat, menerima RM500.


Kejohanan itu terbuka kepada semua persatuan daerah dan kelab badminton Pahang. Dua kategori dipertandingkan, dua beregu terbuka dan satu beregu veteran 40 tahun ke atas.


Hadiah disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah yang juga Presiden Persatuan Badminton Pahang (PBP) Tahun lalu, johan beregu diraih Kelab Vetsis dari Kuantan.

Sebanyak 26 pasukan berentap pada kejohanan anjuran Persatuan Badminton Daerah Kuantan itu dengan kerjasama PBP.


Pengerusi Pembangunan PBP, Razak Muda berkata, kejohanan itu diharap melahirkan pemain badminton berprestasi tinggi untuk memikul cabaran negara di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Sang Kenari dijinak PDRM

Posted: 14 Jan 2013 11:11 AM PST

Melaka: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membenam cabaran Kedah, 2-0 pada aksi liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka, petang semalam.

Kemenangan Polis sekali gus memusnahkan rekod tanpa kalah dua perlawanan pelawat dan kini mereka mengungguli carta liga dengan sembilan mata dan meledak 11 jaringan.


Kecemerlangan tuan rumah bermula menerusi jaringan Khairul Izuan Abdullah yang bijak menghidu peluang pada minit ke-16 untuk gol pembukaan.

Namun gol itu menyebabkan pelawat umpama 'harimau luka' untuk mencari gol penyamaan namun segala usaha mereka untuk mengikat kedudukan buntu hingga babak pertama berakhir. Sebaliknya ketika Sang Kenari menguasai permainan babak kedua, anak buah R Nallatamby bijak mengatur serangan balas pantas untuk menambah jaringan.


Kesilapan penjaga gol Abd Hadi Abd Hamid meninggalkan posisi ketika rakan giat mengasak membawa padah apabila Khairul Izuan meledak gol kedua pada minit ke-75.


Kealpaan benteng Kedah ketika memburu gol penyamaan antara punca mereka kecundang dua gol hasil sentuhan Khairul.

Aksi perlawanan yang kurang menarik dan Kedah lebih kerap berlegar di barisan tengah hanya mencipta satu peluang tapi rembatan pemain import Brazil, Chayene Santos pada minit ke-71 tersasar di kanan gawang tuan rumah.


Kemasukan bekas penyerang negara, Akmal Rizal Rakhli turut gagal memburu gol yang diharapkan dan benteng pertahanan Polis diketuai Mohd Afiff Amiruddin kebal hingga ke penghujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Sabahawks akan terus buru kemenangan

Posted: 14 Jan 2013 11:11 AM PST

Kota Kinabalu: "Kami akan terus memburu tiga mata pada setiap perlawanan selain mahu pemain kurangkan kesilapan," tegas pengurus Alijus Sipil selepas Sabahawks berjaya membenam NS Betaria FC, 2-0 pada aksi Liga Perdana 2013 di Stadium Likas, semalam.

Walaupun bermain di padang lembab ekoran hujan berterusan sejak awal pagi, Alijus melahirkan rasa puas hati dengan aksi 90 minit dipamerkan anak buahnya.


"Ini adalah perlawanan ketiga dalam masa tujuh hari dan setakat ini, saya puas hati dengan aksi ditunjukkan pemain.

"Selain itu, saya mahu mengingatkan mereka supaya kurangkan kesilapan dan yang penting adalah memburu kemenangan pada setiap perlawanan," katanya.


Selain mengaku kedudukan dalam liga belum di tahap selesa, Alijus berkata, banyak strategi perlu diatur dan diperbaiki.


Sabah mendahului perlawanan menerusi Shahrudin Yakup pada minit ke-21 yang menyambar hantaran Koh Traore untuk menewaskan penjaga gol NS Betaria FC, Khairul Izwan.

Tuan rumah terlepas peluang menambah gol pada m-63 apabila tandukan Traore hasil hantaran lintang Zainizam Marjam berjaya didakap kemas Khairul.


Namun kesilapan pemain import lawan, Tomas Chovanec yang tertampan bola ke gawang sendiri membolehkan Sabah menambah gol kedua pada minit ke-85 untuk meraih tiga mata penuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Azraai tuntut aksi bertenaga

Posted: 14 Jan 2013 11:09 AM PST

IPOH: Aksi bertenaga seperti ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT), Jumaat lalu dituntut daripada pemain Seladang apabila turun melayani Felda United di Stadium TLDM, Lumut, malam ini.

Bagi jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah hanya persembahan mantap seperti itu dapat menjamin kejayaan ke atas skuad bimbingan K Devan itu.


"Jika mampu beraksi cemerlang seperti Jumaat lalu saya tidak nampak sebab kenapa Perak tidak boleh menang.

"Cuma apa yang perlu dilakukan ialah memanfaatkan peluang diperoleh sebaik mungkin," katanya.


Biarpun turun tanpa dua tonggak benteng, Khairi Kiman dan Mohd Hisyamudin Sha'ari yang mengutip kad merah di Pasir Gudang, Azraai yakin mempunyai pengganti berkemampuan di posisi bek kanan dan kiri Perak itu.


Menurutnya, Mohd Syawan Roslan dan Mohd Nasir Basharuddin akan bertindak sebagai bek kanan dan kiri untuk bergandingan dengan kapten, Mohd Sharom Kalam dan Rafael Souza Silva Novais.

"Mereka bukan baru kerana pernah bermain di posisi itu sebelum ini. Oleh yang demikian keupayaan pasukan tidak terjejas." Katanya kemenangan ke atas Felda United akan meningkatkan keyakinan penyokong terhadap kemampuan pasukan selepas merakam kejayaan 1-0 ke atas T-Team.


Beliau bagaimanapun tetap mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah perlawanan itu kerana Felda United juga bukan calang-calang pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Divaldo tetap positif

Posted: 14 Jan 2013 11:09 AM PST

Seremban: "Saya tetap percaya dengan diri sendiri, walaupun persiapan kami sedikit terjejas kerana beberapa pemain kurang cergas, saya yakin misi menewaskan Pahang untuk mencipta kemenangan pertama Liga Super boleh direalisasikan," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves.

Bekas pengendali kelab Persebaya FC itu mengaku skuad bimbingannya berdepan tugas getir menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini, apatah lagi pemain utama kurang cergas akibat kecederaan ketika menentang Terengganu, Jumaat lalu.


Antara pemain itu adalah Emanuel De Porras, William Paul Modibo dan Eddy Helmi Manan selain beberapa lagi yang mengalami kecederaan lebih awal seperti Idris Karim, Mohd Alafi Mahmud dan Norhafiz Zamani Misbah.

Begitupun, pengendali berusia 44 tahun dari Portugal itu tidak panik sebaliknya percaya dengan kemampuan pemain untuk menggalas tanggungjawab mencatat kemenangan pertama.


"Setakat ini, saya sudah mengenal pasti kesebelasan terbaik yang bakal diturunkan antaranya Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Firdaus Azizul yang boleh disenaraikan bagi membantu De Porras, jika dia tidak dapat beraksi 90 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

ATM berdepan situasi sukar

Posted: 14 Jan 2013 11:08 AM PST

Kuala Lumpur: Hanya B Sathianathan saja tahu betapa sukar situasi dihadapinya pada masa ini selepas kehilangan beberapa tonggak utama menjelang pertemuan menentang T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Selain Christie Jayaseelan yang sudah lebih sebulan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan serta Marlon Alex James yang sebenarnya belum cergas 100 peratus di sebalik meledak hatrik ketika bertemu Selangor PKNS, baru-baru ini, pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mengesahkan tidak dapat menurunkan tiga lagi tonggak utama malam ini.


Mereka ialah penyerang veteran, Hairuddin Omar atau Hai-O yang mengalami kecederaan kaki kanan serta Amirizwan Taj Tajuddin yang cedera pangkal paha.

"Terbaru, Affize (Faisal Mamat) pula mengalami keracunan makanan dan dimasukkan ke hospital. Dia tidak akan diturunkan pada perlawanan malam esok (hari ini)," katanya.


Jelas bekas pengendali skuad negara itu, beliau tidak mempunyai pilihan selain menurunkan barisan pemain sedia ada dan memberi peluang kepada pemain simpanan untuk diturunkan pada malam ini.


"Tidak dinafikan kami bertemu lawan yang bagus dan baru mendapat semangat selepas menewaskan Kelantan. Apapun saya akan menggunakan apa saja yang ada.

"Inilah masanya untuk barisan pemain simpanan membuktikan kemampuan.


"Saya tak nafikan jadual yang kami lalui padat dan bakal turun pada perlawanan ketiga dalam tempoh 10 hari. Amat meletihkan tapi kami perlu menghadapinya." Pun begitu, Sathia tetap menaruh harapan anak buahnya mampu meraih tiga mata sekali gus meneruskan rentak kemenangan selepas membenam Selangor PKNS, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Gesa bangkit cipta kemenangan

Posted: 14 Jan 2013 11:08 AM PST

Shah Alam: Kapten Selangor, Mohd Asraruddin Putra Omar menggesa rakan sepasukan supaya bangkit mencipta kemenangan ke atas Terengganu, hari ini bagi membuktikan kredibiliti mereka sebagai antara pasukan yang mampu mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Biarpun melangkah kaki kanan dengan memenangi perlawanan pertama ke atas Negeri Sembilan, 1-0 namun skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dipalit kekecewaan apabila tumpas dengan jaringan sama di tangan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.


Bagi Asraruddin yang dilantik mengetuai barisan Gergasi Merah selepas Safiq Rahim berpindah ke Johor Darul Takzim musim ini, dia berharap mereka tidak keciciran mata meskipun kempen liga baru bermula.

"Saingan baru bermula dan pemain terutama pemain baru masih menyesuaikan diri dalam pasukan ini. Tapi kami perlu cepat memperbaiki kelemahan dan Insya-Allah saya yakin kami boleh mengutip tiga mata penuh menentang Terengganu esok (hari ini)," kata pemain pertahanan itu ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Bagaimanapun Asraruddin, 24, mengingatkan rakan sepasukan supaya waspada berdepan skuad Penyu berwajah baru kendalian E Elavarasan apatah lagi mereka terpaksa beraksi di sebelah petang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


"Ini perlawanan pertama dengan Terengganu tahun ini dan sukar untuk kami meramal kekuatan lawan tambahan pula mereka ramai pemain baru musim ini. "Mungkin beraksi di sebelah petang juga memberi sedikit kelebihan kepada mereka tapi itu bukan alasan kerana semua pasukan akan melalui situasi sama.

"Bagi saya ini satu cabaran buat kami, yang penting semua pemain perlu kekal fokus."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

No comments:

Post a Comment