Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Hodak hina ibu saya'

Posted: 13 Jan 2013 01:57 PM PST

Kuala Terengganu: "Boleh hina saya tapi bukan ibu saya," kata ketua jurulatih T-Team, Peter Butler yang berang dengan tindakan pengendali Kelantan, Bojan Hodak yang didakwa menghamburkan kata kesat menghina mendiang ibunya ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Jurulatih Inggeris berusia 46 tahun yang juga pengurus pasukan Titans berkata, walaupun Hodak mengeluarkan kata-kata kesat itu dalam bahasa Croatia, beliau tahu maksudnya kerana dua penolong jurulatihnya berbangsa Croatia.


"Memang sudah lumrah bola sepak di mana pemain atau jurulatih hilang sabar dan mengucapkan perkataan yang tidak sepatutnya disebut namun mereka sepatutnya tahu yang semua itu ada batasnya.

"Beliau boleh berkata apa saja kepada saya dan saya boleh menerimanya namun tidak ada sesiapapun yang boleh menghina ibu sendiri ataupun ibu orang lain," katanya.


Butler berkata, beliau berharap Hodak yang juga pengurus Kelantan datang memohon maaf selepas tamat perlawanan yang berkesudahan dengan T-Team menang 1-0 ke atas juara tiga piala musim lalu itu.


"Namun Hodak tidak menyesal dengan perbuatannya dan tidak pun memohon maaf kepada saya dan sekiranya tidak ada permohonan maaf daripadanya dalam masa terdekat ini, saya akan membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Foto

PEMAIN T-Team, Muinuddin Mokhtar (kanan) diasak pemain Kelantan, Rizal Fahmi Rosid pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Kuala Terengganu, kelmarin.

"Apa yang dilakukannya lebih buruk daripada sikap perkauman yang ditegah sama sekali Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan saya tidak mahu beliau terlepas begitu saja," katanya.


Menurut Butler, ibunya yang meninggal dunia hampir 20 tahun lalu selepas menderita akibat kanser selama tujuh minggu adalah seorang yang sangat istimewa buat dirinya.

"Luluh hati saya mendengar celaan terhadap ibu saya dan saya sanggup melakukan apa saja untuk menjaga nama baik mendiang.


"Mungkin kata kesat daripada Hodak itu datang daripada perasaan marahnya namun sebagai manusia, beliau perlu menyesal dan meminta maaf kepada saya," katanya.


Butler berkata, beliau turut hilang sabar dan mahu saja menyerang Hodak namun mengaku masih boleh berfikir secara waras dan tidak sampai hati untuk turut menghina ibu jurulatih berbangsa Croatia berusia 42 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Buru gelaran ketiga

Posted: 13 Jan 2013 01:40 PM PST

Melbourne: Novak Djokovic memburu gelaran ketiga berturut-turut pada Terbuka Australia bermula hari ini, dengan Andy Murray dan bintang veteran, Roger Federer tampil sebagai pencabar utamanya.

Pemain Argentina, Juan Martin Del Potro adalah satu-satunya pemain selain Djokovic, Rafael Nadal, Federer dan Murray memenangi gelaran Grand Slam sejak 2005, namun pemain Serbia itu berkata ramai lagi pemain yang mampu menggugat dominasi mereka.


"Mungkin ramai yang menjangkakan kami bertiga selain Nadal masih kekal menjadi calon pilihan merangkul gelaran utama," kata Djokovic.

"Tapi saya tidak akan memandang remeh cabaran Del Potro, (Jo-Wilfried) Tsonga, (David) Ferrer, (Tomas) Berdych dan mana-mana pemain dalam kelompok 10 terbaik.


"Saya pasti ada pemain muda yang mampu mencabar seperti (Bernard) Tomic, (Grigor) Dimitrov, (Milos) Raonic.


"Saya fikir tidak bagus buat saya meramalkan ketiga-tiga kami akan muncul juara pada semua acara Grand Slam tahun ini." Bagaimanapun, semuanya bagaikan memihak Djokovic yang memburu gelaran Terbuka Australia kali ketiga berturut-turut, pencapaian yang belum pernah dilakukan dalam era profesional.

Nadal tidak beraksi kerana kecederaan sekali gus meranapkan impian ulangan perlawanan akhir epik tahun lalu, apabila Djokovic akhirnya menundukkan pemain Sepanyol itu pada jam 1.40 pagi selepas catatan rekod 5 jam 53 minit.


Namun Djokovic berdepan cabaran sengit Murray, yang masih segar daripada kemenangan pertama Grand Slam dan berhasrat membalas dendam kekalahannya pada final dan separuh akhir di tangan Djokovic di Melbourne pada 2011 dan 2012.

Turut memberikan cabaran sengit adalah Federer, pemegang 17 gelaran Grand Slam yang masih berhasrat menambah koleksi kemenangan walaupun kini berusia 31 tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Serena buru kejuaraan keenam, Victoria idam kali kedua

Posted: 13 Jan 2013 01:39 PM PST

Melbourne: Serena Williams hadir pada Terbuka Australia sebagai pilihan utama dalam usahanya merangkul kejuaraan keenam malah pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka mengakui pemain Amerika itu pasti menggegar.

Serena memulakan kempen kali ke-13 di Melbourne esok menentang pemain Romania, Edina Gallovits-Hall dan bersemangat selepas meraih gelaran ke-47 kariernya di Brisbane. Malah dia dikatakan mampu memenangi semua empat kejuaraan Grand Slam dalam tempoh setahun.


Namun bintang Amerika berusia 31 tahun itu cuba sedaya upaya melupakan harapan besar diletakkan di bahunya sebelum musim Grand Slam bermula di Melbourne Park, hari ini.

"Ia satu sasaran yang menakjubkan," katanya mengenai gelaran Grand Slam dengan memenangi Terbuka Australia, Wimbledon dan Terbuka AS pada tahun sama, pencapaian yang kali terakhir dilakukan Steffi Graf pada 1988.


"Ia belum berjaya dilakukan sejak 80-an. Saya tidak tahu jika saya boleh melakukannya. Mungkin seseorang boleh menyempurnakannya. Kita tunggu dan lihat. Tapi ia memang sukar." Serena, yang menjuarai Wimbledon, Terbuka AS dan pingat emas Olimpik tahun lalu, turut berada di separuh jalan untuk menjulang kejuaraan utama serentak buat kali kedua, selepas kali pertama pada 2002-03.


"Ketika ini, saya bermain dengan baik. Saya amat berharap boleh terus bermain dengan bagus," katanya.

Pemenang 15 kejuaraan Grand Slam itu menduduki ranking ketiga dunia di belakang juara bertahan, Victoria dan Maria Sharapova, namun apabila berdepan kejohanan utama pertama musim, dia pasti menggegar.


Dia menang pada 2003, 2005, 2007, 2009 dan 2010 dan satu lagi kejuaraan Terbuka Australia akan menyaksikannya kembali sebagai pemain nombor satu dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Henley, Langley kuasai hari ketiga

Posted: 13 Jan 2013 01:38 PM PST

Honolulu, Hawaii: Pemain rookie menguasai buat hari ketiga berturut-turut pada kejohanan Terbuka Sony apabila rakan karib, Russell Henley dan Scott Langley menamatkan pusingan ketiga semalam sebagai pendahulu bersama.

Pendahulu semalaman, Henley mencatat tiga bawah par 67 di Waialae Country Club manakala rakan senegaranya dari Amerika, Langley melakar 65 dan kedua-duanya merekod catatan terbaik kejohanan 17 bawah par 193 selepas 54 lubang.


Kedua-dua pemain berusia 23 tahun itu, masing-masing tampil buat kali pertama sebagai ahli Jelajah PGA, mendahului dengan tiga pukulan di depan pemain Afrika Selatan, Tim Clark (66).

Pemain Australia, Scott Gardiner (65) dan pemain AS, Charles Howell III (67), yang dua kali muncul naib juara di Waialae, satu pukulan lagi di belakang dengan 13 bawah par untuk berkongsi tangga keempat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Kelisa FC gah ketepi 43 pasukan

Posted: 13 Jan 2013 01:38 PM PST

Baling: Pasukan Kelisa FC unggul mengetepikan 43 pesaing lain apabila menjuarai Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Kelab Sukan Kupang (KSK) di padang awam Keda Kupang, dekat Baling, Kedah, baru-baru ini.

Kelisa FC yang berpusat di Padang Serai, Kulim itu konsisten mencatat kemenangan demi kemenangan sebelum bergelar juara untuk membawa pulang wang tunai RM1,200.


Menang pusingan awal mengalahkan Kampung Padang A, 2-0 dan Kampung Padang B, 2-1 dan cemerlang di suku akhir menewaskan KC FC B, 3-1.

Bagaimanapun pada saingan separuh akhir, Kelisa FC yang dibimbing Alias Abdul Rahman menerima saingan sengit Malinja FC B.


Kemenangan tipis 1-0 sudah cukup bagi Kelisa FC berentap dengan pasukan pilihan, Wira Muda FC dari Nibong Tebal, Pulau Pinang di final.


"Kami boleh bergelar juara lebih awal jika tidak kerana kealpaan pertahanan membiarkan penyerang Wira Muda menyamakan jaringan di minit akhir perlawanan.

"Jaringan 1-1 dalam permainan sebenar memaksa kami merebut juara melalui sepakan penalti. Terima kasih kepada pemain kerana berjaya menyempurnakannya dengan kemenangan 5-4," kata Alias.


Wira Muda FC meraih RM600 selaku naib juara manakala tempat ketiga dan keempat digondol Malinja FC B dan KSK A yang masing-masing menerima RM300.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Program Remaja Sihat Gimnasium dalami aspek penjagaan kesihatan

Posted: 13 Jan 2013 01:38 PM PST

Alor Gajah: Seramai 40 peserta menyertai program Remaja Sihat Gimnasium Rakyat sempena bulan kecergasan nasional peringkat Alor Gajah di Kompleks Rakan Muda Lendu, Melaka baru-baru ini.

Peserta terdiri daripada usia sembilan hingga 17 tahun didedahkan dengan teknik penggunaan peralatan gimnasium di kompleks itu selain mendalami aspek penjagaan kesihatan.


Program anjuran bersama Kelab Gimnasium Alor Gajah, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta Kelab Sukan Arena FM itu disertai pelajar sekolah sekitar Masjid Tanah dan Melaka Tengah.

Urusetia penganjur, Mohd Noh Bidin berkata, semua peserta diajar berkaitan aspek kecergasan dalam dewan yang menekankan kepada teknik pengunaan peralatan gimnasium yang betul.


Katanya, program selama kira-kira tiga jam turut dibantu empat tenaga pengajar berpengalaman yang pernah menyertai pertandingan bina badan dan angkat berat kebangsaan.


Beliau berkata, persepsi gimnasium hanya untuk kegunaan ahli bina badan saja berjaya dinafikan menerusi program itu.

Katanya, setakat ini kelab itu memiliki 200 keahlian dengan yuran pendaftaran RM30 bagi menampung kos pengurusan dan jurulatih.


Menurutnya, gimnasium rakyat itu juga terbuka kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta selain golongan veteran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Strategi Fandi tak turunkan Safee

Posted: 13 Jan 2013 01:36 PM PST

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad mempunyai alasan tersendiri kenapa kelibat penyerang sensasi, Safee Sali (gambar) masih berada di bangku simpanan ketika menentang Pahang dan Perak dan tidak disenarai dalam kesebelasan utama.

Beliau menegaskan, pemain pinjaman dari Arema FC itu masih belum cergas sepenuhnya dan perlu masa untuk mendapat tahap kecergasan memuaskan dan tidak mahu terburu-buru menurunkan pemain itu yang sudah lima bulan tidak beraksi pada saingan Liga Indonesia sekali gus menjejas momentum permainannya.


"Beri Safee masa. Dia harus diberi ruang untuk meningkatkan prestasi kerana kita mahu Safee yang dahulu dan bukannya kita bersikap 'tamak' untuk pastikan dia beraksi malah ia pasti menjejaskan prestasinya yang sudah lima bulan tidak beraksi dalam Liga Indonesia.

"Apapun saya sudah ada perancangan dan tunggu saja kemungkinan dia akan turun berdepan Kelantan di Kota Bharu, malam esok kerana misi utama adalah mencari kemenangan.


"Semua pemain bebas kecederaan dan saya akan cuba turunkan pemain terbaik dah bukannya pemain 'bintang'," katanya.


Skuad bergelar Harimau Selatan itu menghadapi tugas getir di Stadium Sultan Muhammad IV kerana juara tiga piala itu pasti mahu menebus kehampaan selepas diaibkan T-Team 0-1, kelmarin.

Sememangnya ia pertembungan yang dinanti-nantikan bukan saja peminat di Johor dan Kelantan malah turut menarik perhatian ramai selepas tercetusnya kontroversi isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Takzim yang membabitkan tuntutan tebus kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).


Apapun, sebagai pemain dan pengurusan profesional, kedua-dua pihak sama ada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan KAFA harus mengetepikan isu itu sebaliknya memastikan kerancakan perlawanan itu bakal berlangsung tanpa insiden buruk yang boleh mencemar imej bola sepak negara.

"Selepas kecewa dengan persembahan kurang konsisten walaupun menang 1-0 ke atas Perak, saya tuntut pemain kembali dengan corak permainan lebih mantap dan kita mahu tiga mata dibawa pulang biarpun sedar kepayahan yang bakal ditempuh tetapi jika disiplin dalam permainan tinggi sudah pasti ia berhasil," kata Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

De Porras ketuai Hoben Jang Hoben

Posted: 13 Jan 2013 01:36 PM PST

Seremban: Biarpun tercari-cari sentuhan penyudah selepas dua perlawanan, penyerang import Negeri Sembilan, Emanuel De Porras tetap diberikan kepercayaan ketua jurulatih, Divaldo Alves mengemudi jentera serangan menentang Pahang dalam saingan Liga Super, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok.

Penyerang berusia 31 tahun dari Argentina itu menjadi taruhan Alves berikutan penyerang lain seperti Mohd Firdaus Azizul, Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Alafi Mahmud belum begitu cergas sepenuhnya untuk menggalas tugas berat itu.


De Porras pasti mempunyai tugas mencabar kerana dia kini dalam perhatian penyokong Negeri Sembilan yang mengharapkan aksi terbaiknya.

Apa yang jelas anak buah Alves bakal berdepan laluan berliku apabila mempamerkan aksi hambar ketika seri tanpa jaringan dengan Terengganu di laman sendiri, Jumaat lalu, ketika Pahang cemerlang apabila merekodkan dua kemenangan berturut-turut.


Skuad bimbingan Dollah Salleh itu sudah tentu akan mempertahankan reputasi dan kelebihan mereka beraksi di gelanggang sendiri untuk mamastikan tiga mata milik mereka.


"Memang saya rasakan ia suatu tugas berat kerana Pahang tampak lebih mantap selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Johor Darul Takzim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Chong Wei balas dendam

Posted: 13 Jan 2013 01:35 PM PST

Kuala Lumpur: MISI membalas dendam pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei ke atas lawan dari China, Du Pengyu akhirnya terlaksana pada perlawanan akhir Kejohanan Siri Super Perdana Terbuka Korea, semalam.

Chong Wei memerlukan 42 minit menjinakkan pilihan ketiga itu untuk menang 21-12, 21-15 sekali gus mempertahankan gelaran dengan membawa pulang, AS$75,000 (RM226,000), hadiah kemenangan termahal yang ditawarkan dalam saingan Siri Super Perdana. Pengyu mara ke final selepas membenam cabaran jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-17, 21-17 bagaimanapun dilihat goyah di set pertama dengan Chong Wei pantas mengambil kesempatan ke atas aksi longlai pemain China itu apabila meninggalkan lawan 10 mata di hadapan.


Chong Wei sedar dia perlu bertindak agresif bagi merealisasikan impian membalas dendam kekalahan kepada pemain nombor tujuh dunia itu bulan lalu pada peringkat kumpulan Siri Super Akhir di Shenzhen, akhirnya mudah menguasai set pertama 21-12.

Memasuki set kedua, perlawanan dilihat mula seimbang dengan kedua-dua pemain mengejar mata demi mata dengan pemain muda China berusia 24 tahun itu berjaya mengikat kedudukan di angka 10.


Chong Wei, diletakkan pilihan utama kejohanan pembuka tirai musim 2013 bernilai AS$1 juta itu (RM3.02 juta), akhir menamatkan cabaran Pengyu dengan kemenangan 21-15 di set kedua.


Tahun lalu, Chong Wei mengalahkan pesaing utamanya Lin Dan dari China untuk meraih gelaran kali kedua Terbuka Korea melalui perlawanan rubber set, 12-21, 21-18 21-14, manakala gelaran juara kali pertama kejohanan ini diraihnya pada 2010 selepas mengalahkan pemain Denmark Pete Gade Christensen.

Jurulatihnya, Tey Seu Bock berkata, kemenangan itu cukup menggembirakan Chong Wei dengan riak wajah kepuasan selepas meninggalkan gelanggang. "Dia sangat gembira. Kemenangan itu menebus kembali kekalahannya tempoh hari biarpun dia belum cergas sepenuhnya tapi cukup untuk turun beraksi di Terbuka Korea dan Malaysia nanti," katanya. Mengulas tahap kecergasan Chong Wei yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, Seu Bock berkata, apabila usia semakin meningkat untuk kembali mendapatkan tahap kecergasan terbaik memerlukan masa namun beliau yakin, Chong Wei tidak akan mudah menyerah di Terbuka Malaysia.


Sementara itu, beregu wanita nombor lima dunia, Yu Yang/Wang Xiaoli dari China mengalahkan rakan senegara Ma Jin/Tang Jinhua, 21-17, 21-13 untuk muncul juara.

China meraih gelaran kedua melalui Zhang Nan/Zhao Yunlei mengalahkan rakan senegara Xu Chen/Ma Jin, 13-21, 21-16, 21-13 pada pfinal beregu campuran.


Pemain bukan pilihan Sung Ji Hyun dari Korea Selatan membuat kejutan dengan mengalahkan pemain pilihan keempat Wang Shixian dari China 21-12, 22-20 untuk menjuarai perseorangan wanita.


Beregu pilihan keenam Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dari Korea Selatan pula muncul juara selepas menumpaskan beregu lelaki nombor satu dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark 19-21, 21-13, 21-10 dalam perlawanan selama sejam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

UniKL Young Guns belasah SSTMI Juniors

Posted: 13 Jan 2013 01:35 PM PST

Kuala Lumpur: UniKL Young Guns memberi amaran awal kepada juara berganda musim lalu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolt) bahawa mereka adalah antara pencabar utama musim ini selepas mencatat kemenangan besar 6-2 ke atas SSTMI Juniors pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia semalam.

Turun selaku pasukan pilihan, UniKL membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri apabila di depan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Meor Azuan sebelum Fitri Ismail menambah gol kedua pada minit ke-19.


Nor Azrul Rahman menambah gol ketiga m-31 dan selang dua minit kemudian, Dzahiruddin Illyas menambah gol keempat sebelum Raja Izzat Raja Hussin mengurangkan defisit dengan menyumbang gol pertama SSTMI Juniors m-36.

Syafiq Zulzairin dan Wan Mohamad Hazrul masing-masing menyumbang dua gol lagi untuk mengesahkan kemenangan pertama UniKL di Stadium Hoki Taman Daya, Johor.


Sementara itu, di Stadium Bukit Serindit, Melaka, pasukan Sekolah Tinggi Melaka (Melaka HS) bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk mengikat MBI Anderson 3-3.


Gol sumbangan Sofian Kamaruddin pada minit ketiga, Khairul Adha selang enam minit kemudian dan T Kaatigan m-19 menyaksikan MBI dilihat mudah untuk mencatat kemenangan.

Namun Melaka HS bangkit menerusi gol pertama Luqman Nurhakim m-26 sebelum Amir Farhan menjadikan kedudukan 3-2 dan jaringan sendiri oleh pemain MBI menghampakan pasukan pelawat.


Pada satu lagi perlawanan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 1-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

No comments:

Post a Comment