Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Isteri rabai terabai

Posted: 22 Jan 2013 03:04 PM PST

Sussex: Selama tiga tahun Tracey Sharp percaya dia akan gembira berkongsi suami dengan enam wanita lain.

Dia mencintai bekas rabai, Philip Sharp serta bekerja keras di ladang milik keluarga itu dan cuba berbaik-baik dengan 'madunya.' Bagaimanapun, selepas dipencilkan, dicemburui dan kesunyian, Tracey tidak dapat lagi menanggung penderitaan. Dia akhirnya mendapat keberanian meninggalkan 'suaminya' yang kini dikenali sebagai 'rabai yang berang.' Kini, selepas lebih dua tahun dan menetap bersama-sama anaknya di rumah pangsa dua bilik di Sussex, Tracey mendedahkan kisah buruk di sebalik keluarga ganjil itu.


Wanita berusia 46 tahun itu berkata, kehidupan keluarga itu tidak pernah bahagia, bertentangan dengan apa yang sering digambarkan oleh bekas rabai berkenaan.

Menurut Tracey, pergaduhan sering berlaku antara 'isteri' Sharp. Mereka bekerja enam hari seminggu dan diberi elaun RM150 sebulan untuk hidup sedangkan lelaki itu dilayan seperti 'raja.' Tracey mula berkenalan dengan Sharp pada 1998 ketika dia menjadi rabai di sebuah kuil Yahudi di Hove, Sussex, selepas berpisah dengan suaminya.


Ketika itu juga Sharp mendakwa menerima 'perutusan' daripada Tuhan yang memaklumkan kepadanya bahawa dia adalah 'raja' dan mengarahnya supaya menggandakan bilangan isterinya. Dakwaan dan tindakannya itu menyebabkan Sharp disingkir daripada agama Yahudi.


Selepas menceraikan isterinya yang sah, Sharp 'mengahwini' setiausahanya, Judith sebelum mengambil Tracey sebagai isterinya pada 2001.

Foto

TRACEY (dua dari kiri) bersama Sharp (berkemeja biru muda) dan 'isterinya' yang lain.

Foto

TRACEY

Beberapa tahun selepas itu, dia 'berkahwin' dengan Hannah, Vreni, Margo, Chava dan Karyn. Lelaki itu mempunyai 12 anak hasil perkahwinan dengan tujuh wanita itu. Tidak satu pun perkahwinan itu dilakukan menurut undang-undang dan Sharp berkata, perkahwinan hanya berlaku ketika seks.


Keluarga itu kemudian membina sebuah rumah berharga RM3.4 juta di sebuah ladang di Whatlington, Sussex Timurmenggunakan elaun anak dan kredit cukai.

Tracey yang melahirkan dua anak Sharp - Naomi, kini 9 tahun dan Mischa, 3 tahun, berkata, dia mulanya mempercayai sepenuhnya lelaki itu dan ajarannya. Bercakap dalam wawancara dengan majalah Closer, Tracey berkata: "Saya mencintainya dan percaya ajarannya." Ketika hamil kali pertama, Tracey berkata, dia dan Sharp begitu rapat menyebabkan madunya cemburu.


Katanya, perasaan cemburu wujud antara 'isteri' Sharp kerana sikapnya yang suka memilih wanita yang digemarinya serta berpindah dari satu katil ke katil lain.


Semua 'isteri' Sharp terpaksa melakukan kerja seperti membasuh dan memasak sementara anak mereka tidak ke sekolah, sebaliknya belajar di ladang berkenaan.


"Saya begitu sengsara. Tetapi, tidak boleh melakukan apa-apa, seolah-olah telah disihir olehnya," kata Stacy.


Tetapi, pada 2010, Tracey bertindak berani, menyoal Sharp mengenai kekurangan tumpuan yang diberikan kepadanya dan anak mereka sebelum bertindak meninggalkan ladang itu.


Menurutnya, anaknya, Naomi, mulanya rindukan 'isteri' Sharp yang lain dan adik beradiknya. Tetapi katanya, anaknya kini hidup lebih gembira.


"Saya gembira mendapat kebebasan dan menyesal terjerumus dalam kehidupan dengan Sharp. Saya berharap menemui 'orang baru' dan saya tidak akan berkongsinya dengan wanita lain," kata Tracey. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Amuk dalam mahkamah

Posted: 22 Jan 2013 02:59 PM PST

Cebu City: Seorang lelaki Kanada yang berdepan dakwaan memiliki senjata api secara haram melepaskan tembakan di dalam kamar mahkamah Filipina semalam, membunuh dua orang dan mencederakan seorang pendakwa raya sebelum polis menembaknya.

Suspek, John H Pope muncul di mahkamah di pusat bandar raya Cebu, tempat dia tinggal untuk menghadapi dakwaan apabila tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak seorang peguam dan doktor yang memfailkan kes terhadapnya, kata polis.


Dia kemudian menembak ke arah pendakwa raya di laluan bangunan itu sebelum polis bertugas menembaknya hingga cedera, kata Ketua Polis Cebu, Mariano Natuel. Pengarah polis daerah, Marcelo Garbo berkata, Pope tidak menghiraukan arahan agar menyerah diri dan cuba untuk menembak polis.

Polis berkata, mereka sedang menyiasat latar belakang Pope.


Media tempatan melaporkan pada 2011, Pope turut ditahan polis kerana tuduhan memiliki senjata api secara haram. Doktor sama yang dibunuh menuduh Pope, yang juga jirannya mengacukan senjata dan mengancamnya dan penduduk lain di kondominium mereka. Pope dipetik sebagai berkata ketika itu bahawa pistol dibawanya adalah untuk pertahanan diri. Selain, memiliki senjata api secara haram, dia turut dituduh melakukan ancaman dan perbuatan berunsur jahat. Insiden tembakan itu berlaku selepas beberapa pembunuhan baru-baru ini di negara terbabit yang menggesa kepada pengawalan senjata yang lebih ketat. - Philippines Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Filipina heret China ke tribunal PBB

Posted: 22 Jan 2013 02:58 PM PST

Manila: Filipina membawa China ke tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencabar tuntutan negara itu terhadap kebanyakan wilayah di Laut China Selatan, termasuk wilayah Filipina, kata Setiausaha Luarnya, Albert del Rosario semalam.

"Filipina sudah buntu dengan semua usaha untuk penyelesaian rundingan secara damai terhadap isu perebutan itu dengan China, kami berharap pertimbangan undang-undang akan memberi penyelesaian muktamad terhadap isu perebutan itu," katanya kepada sidang media. Del Rosario berkata, Manila telah memberitahu duta Beijing mengenai keputusan membawa China kepada tribunal undang-undang di bawah Konvensyen PBB terhadap Akta Laut, perjanjian 1982 yang ditandatangani kedua-dua negara. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Guru swasta tuntut elaun risiko

Posted: 22 Jan 2013 02:57 PM PST

Narathiwat: Guru di sekolah swasta di wilayah selatan negara ini patut menerima elaun bulanan berdepan risiko bagi memastikan keadilan dengan guru kerajaan, kata Persatuan Sekolah Persendirian semalam.

Persatuan terbabit membuat permohonan itu ketika mesyuarat pertamanya di Pattani bagi mengkaji aktivitinya sejak penubuhannya lebih dua tahun lalu.


Persatuan itu mewakili 14,000 guru sekolah persendirian di enam wilayah di selatan Thai.

Pengerusi persatuan itu, Khoddaree Binsen berkata, guru sekolah persendirian berdepan risiko sama seperti rakan sejawat mereka di sekolah kerajaan.


Menurutnya, persatuan itu sebelum ini telah mengemukakan cadangan sama kepada Kementerian Pendidikan tetapi tidak diluluskan.


Katanya, kementerian perlu menilai nyawa guru sekolah persendirian. Beberapa guru sekolah persendirian turut dibunuh kumpulan pemisah, tetapi mereka sering tidak dipedulikan. Guru sekolah persendirian tidak menutup sekolah mereka ekoran keganasan itu seperti dilakukan guru sekolah kerajaan yang menjelaskan mengapa mereka kurang mendapat perhatian. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Nenek seludup dadah dihukum mati

Posted: 22 Jan 2013 02:56 PM PST

Bali: Mahkamah Indonesia semalam mejatuhkan hukuman mati ke atas seorang nenek warga Britain kerana menyeludup kokain bernilai AS$2.5 juta (RM7.6 juta) dalam beg pakaiannya ketika mengunjungi pulau peranginan Bali walaupun pendakwa raya meminta hukuman penjara 15 tahun dikenakan terhadapnya.

Lindsay June Sandiford, 56, menangis ketika hakim menjatuhkan hukuman itu dan enggan bercakap kepada wartawan ketika dalam perjalanan ke penjara semula sambil menutup mukanya dengan skaf. Dia memberitahu mahkamah dia dipaksa membawa dadah itu ke negara terbabit oleh sekumpulan sindiket yang mengancam akan mencederakan anak-anaknya. Indonesia, seperti kebanyakan negara Asia lain sangat tegas dengan jenayah dadah dan lebih daripada kebanyakan 40 rakyat asing yang menanti hukuman mati disabitkan kerana kesalahan dadah.


Peguam Lindsay berkata, anak guamnya akan membuat rayuan. Rayuan mengambil masa beberapa tahun dan negara itu tidak menjalankan hukuman mati sejak 2008 terhadap 10 orang yang dijatuhkan dengan hukuman itu. Keputusan dijangka dilakukan dalam perbicaraan rakan subahat Lindsay, lelaki Britain Julian Anthony Pounder esok (hari ini).

Dia dituduh menerima dadah di Bali yang dipenuhi suasana sibuk kelab malam dan bar, di mana parti dadah seperti kokain serta ecstasy dibawa dan dijual kepada pelancong asing.


Dua lagi rakyat Britain dan seorang warga India sudah disabit dan dipenjarakan ekoran serbuan dilakukan. Dalam keputusannya, panel hakim di mahkamah daerah Denpasar menyimpulkan bahawa Lindsay telah menjejaskan imej Bali sebagai destinasi pelancongan dan mencemari program pembanterasan dadah kerajaan. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Peras wang dari gereja

Posted: 22 Jan 2013 02:56 PM PST

Mexico: Beberapa kumpulan jenayah memaksa paderi supaya menyerahkan semua kutipan gereja mereka di pinggir bandar raya ini, kata bishop kawasan itu semalam.

Bishop Nezahualcoyotl, Luis Morales memberitahu akhbar El Universal bahawa beberapa paderi menerima panggilan tidak dikenali daripada pihak yang menuntut agar mereka menyerahkan sumbangan didermakan oleh orang ramai.


"Tiada kematian dilaporkan, tetapi terdapat keganasan fizikal melalui peras ugut," kata Morales yang bertanggungjawab atas penduduk bandar Nezahualcoyotl dan dua lagi bandar dengan jumlah seramai 3.5 juta orang di timur ibu negara Mexico.

Sekurang-kurangnya 10 paderi menyerahkan wang kutipan gereja kepada kumpulan itu. "Ada beberapa paderi yang menyerahkan wang berkenaan dan yang lain bersyukur kepada Tuhan kerana berjaya menangangi situasi itu," katanya.


Paderi antara mangsa peras ugut yang tidak terkira jumlahnya dalam perang tanpa kesudahan antara kartel dadah yang melanda Mexico sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Lebih 70,000 orang maut akibat keganasan berkaitan dadah di seluruh negara itu sejak 2006 apabila tentera dikerah untuk membanteras kartel dadah.

Nezahualcoyotl yang terletak di negeri bahagian tengah Mexico dan bandar raya Mexico menjadi sasaran keganasan sejak dua minggu lalu dan menyebabkan 40 orang maut.


Sementara pihak berkuasa bandar raya Mexico berkata, pembunuh tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan dadah dan pegawai kerajaan mengaitkan keganasan itu dengan kehadiran tiga kartel yang semakin banyak iaitu The Zetas, La Familia Michoacana dan kumpulan baru Guerreros Unidos (Satria Bersatu). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Mogok bantah peraturan ketat kilang

Posted: 22 Jan 2013 02:56 PM PST

Beijing: Beratus-ratus pekerja kilang China yang berang dengan peraturan ketat waktu untuk ke tandas dan denda kerana lewat datang bekerja menjadikan pengurus warga Jepun dan tempatan sebagai tebusan selama satu setengah hari sebelum polis menggagalkan mogok dilakukan mereka.

Kira-kira 1,000 pekerja di syarikat elektrik Shinmei Shanghai menahan 10 pengurus warga Jepun dan lapan pengurus tempatan di dalam kilang di Shanghai itu mulai pagi Jumaat hingga jam 11.50 malam Sabtu, kata kenyataan daripada ibu pejabat, Shinmei Electric Co yang dikeluarkan kelmarin.


Ia mengatakan pengurus terbabit dibebaskan tanpa kecederaan selepas 300 anggota polis dikerahkan ke kilang itu.

Seorang pengawal keselamatan di kilang di Shanghai itu berkata, pekerja melancarkan mogok membantah peraturan baru kerja dikeluarkan syarikat itu termasuk waktu rehat yang dihadkan untuk ke tandas dan denda akibat datang lewat. "Pekerja menuntut agar membatalkan peraturan tegas yang tidak wajar menggariskan pekerja hanya ada dua minit ke tandas dan didenda 50 yuan (RM24) jika mereka lewat sekali dan dipecat jika mereka lewat dua kali," kata pengawal itu hanya dikenali sebagai Feng. "Pengurus terbabit kemudian dibebaskan apabila polis campur tangan dan mereka bersetuju untuk menimbangkan semula peraturan itu," katanya.


Kilang itu membuat gelung elektromagnet dan produk elektronik lain. Ia ditutup semalam, kata seorang lelaki yang menjawab panggilan di kilang itu, tetapi enggan menyatakan identitinya. Dia berkata, tiada pekerja melakukan mogok dan mereka akan datang bekerja semula esok (hari ini). - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Budak maut, 15 cedera

Posted: 22 Jan 2013 02:55 PM PST

Banda Aceh: Satu gempa bumi berukuran 5.9 magnitud melanda wilayah Aceh di Indonesia, semalam membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan menyebabkan 15 lagi orang cedera, kata pihak berkuasa.

Gempa itu melanda 112 kilometer di tenggara Banda Aceh pada jam 5.22 petang waktu tempatan dengan kedalaman 37 kilometer, lapor badan penyelidkan geologi Amerika Syarikat.


"Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di daerah Pidie terbunuh selepas sebuah almari di bilik tidurnya menghempap mangsa ketika gempa berlaku," kata ketua agensi pengurusan bencana daerah, Apriyadi kepada media.

Menurutnya, 15 lagi orang cedera dengan lima daripada dalam keadaan parah ekoran ditimpa dinding yang roboh.


Sekurang-kurangnya 50 kediaman di daerah itu turut rosak dengan sebahagian dindingnya runtuh. Agensi Cuaca, Geofizik dan Meteorologi Indonesia tidak mengeluarkan sebarang amaran tsunami.


Indonesia terletak di rangkaian api Pasifik di mana kerak bumi berlaga menyebabkan kekerapan aktiviti gempa dan letusan gunung berapi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

5 ahli keluarga dibunuh kerana marah ibu

Posted: 22 Jan 2013 02:54 PM PST

Albuquerque (New Mexico): Seorang remaja Amerika Syarikat yang dituduh menembak mati ibu bapa dan tiga adik-beradiknya memberitahu pihak berkuasa dia berang dengan ibunya dan terfikir untuk membunuh, selain ingin membunuh diri.

Nehemiah Griego, 15, ditahan ekoran insiden tembakan Sabtu lalu di sebuah kediaman di kawasan luar bandar barat daya Albuquerque, New Mexico, di mana dia tinggal dengan keluarganya.


Griego masih ditahan ekoran tuduhan membunuh dan penderaan kanak-kanak yang membawa maut.

Sherif daerah Bernalillo, Dan Houston mengadakan sidang akhbar pagi semalam dan remaja terbabit boleh tampil di mahkamah kali pertama esok atau hari berikutnya.


Remaja terbabit memberitahu polis, dia mengambil raifal .22 daripada almari pakaian ibu bapanya pada waktu tengah malam dan menembak ibunya di kepala ketika adik lelakinya tidur di sebelah wanita itu.


Griego memberitahu, adiknya tidak percaya apabila dikatakan ibu mereka sudah mati, jadi dia menunjukkan muka ibu mereka yang berdarah sebelum menembak adiknya.

Dia kemudian didakwa membunuh dua adik perempuannya di bilik mereka. Dia kemudian mengambil raifal AR-15 daripada almari pakaian ibu bapanya dan menunggu bapanya pulang dalam bilik air di tingkat bawah. Dia menembak bapanya beberapa kali ketika lelaki itu melalui laluan di bilik air berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

No comments:

Post a Comment